Showing posts with label perkongsian. Show all posts
Showing posts with label perkongsian. Show all posts

Monday, April 19, 2010

Memperbaharui Momentum Sebuah Perjuangan

Alhamdulillah,syukur kepada Allah yang masih memberi kesempatan pada saya untuk mengambil peduli,membuat sesuatu pada blog yang telah bersawang dan berkusam ini. Satu visi jangka pendek yang telah lama dirancang tetapi baru kini teraplikasi.Justify Full
Semasa saya bersembang-sembang dengan beberapa orang sahabat dan adik-adik usrah saya, ramai yang mengakui dan bersetuju, gelombang facebook yang mengganas di mana-mana sahaja kini antara penyebab ada dikalangan kami yang dulunya blogger yang aktif, kini menjadi begitu pasif, blog terbiar sepi tanpa sebarang update terkini. Facebook sudah menjadi alternatif mudah,ringkas dan efektif untuk meng'update' status diri. Tak perlu bersusah payah memerah idea, menyusun ayat yang rapi untuk membuat sebuah posting di blog, cukup sekadar beberapa ayat ringkas di facebook. Kalau blog,masakan nak posting satu entry hanya sekadar dengan beberapa ayat sahaja.Letih orang buka blog kita semata-mata hanya ingin menatap posting yang berbunyi, "Saya ke Melaka hari ni,doakan perjalanan selamat". Facebook juga membolehkan kita berinteraksi dengan beratus-ratus orang serentak dalam masa yang sama berbincang sesuatu isu atau persoalan tanpa ada batasan jaringan.

Saya mungkin antara golongan yang mula meng'anaktiri'kan blog tatkala begitu asyik dengan facebook. Fitrah manusia,sukakan sesuatu yang baru dan lebih mudah. Hendak membuka blog sendiri rasa susah,sampaikan hampir saja saya terlupa password blog sendiri! Suami saya mencadangkan saya menukar template blog dan masukkan benda-benda baru dalam blog.Baru akan rasa lebih bersemangat katanya. Beliau memang "pendesak tegar" saya untuk meng'update' blog.Saya mencubanya dan hasilnya agak memberansangkan.Saya mula menaip posting ini sejurus sahaja selesai menukar template blog!

Tiba-tiba saya teringatkan peristiwa Hijrah Nabi Muhammad S.A.W dan juga peristiwa perjanjian Hudaibiyah. Dua skrip penting dalam sejarah Islam yang menjadi 'tipping point' dalam perjuangan Rasulullah menyebarkan agama Islam. Dua peristiwa yang mendatangkan impak yang cukup dasyat dalam perjuangan Rasulullan S.A.W. walau hanya sekadar dengan nama sebuah perpindahan dan perjanjian.

Dalam hidup kita yang hanya sekali ini,jangan mudah mengalah melakukan sesuatu yang baik,jangan mudah menyerah dalam perjuangan. Sentiasa mencari jalan dan alternatif untuk sentiasa mampu menyelesaikan sebarang masalah yang kita hadapi dan bersemangat menempuh hidup.Perbaharuilah niat,perbaharuilah momentum sebuah perjuangan walau hanya sekadar dengan menukar template blog!

Saya hanya manusia biasa yang ingin menulis di blog ini,untuk peringatan dan perkongsian bermanfaat buat diri dan sesiapa yang sudi.Hakikatnya,kita hidup untuk agenda Allah!

Blog ini masih under construction,tanpa bantuan suami (sebab dia sangat sibuk) saya memang agak terkial-kial menguruskan blog ini. Namun kerana momentum semangat yang ada kini,saya meredah apa sahaja yang ada walau sangat susah untuk saya memahami html code dan sebagainya. Nampaknya saya perlukan sedikit bantuan muakhah saya jika gagal dalam redahan ;-)

Hari ni ke Sekolah Menengah Seksyen 19 bersama suami dan krew IP MINDA,esok rancangnya ingin berada di Hulu Selangor bersama ibu mertua yang dah seminggu di sana!

Monday, October 26, 2009

Tarbiah Berorganisasi (Laws Of Leadership) Dalam Maruf Club

Sebak juga hati saya tatkala Presiden Maruf Club (ketika itu), Faridzul mengumumkan secara rasmi 'dissolution of office bearers Maruf Club session 2008/2009' pada malam AGM Maruf Club Jumaat lepas. Saya tidak menyangkakan saya akan rasa sesebak itu. Rasa asakan di dada. Terasa macam tak percaya yang dah habis masa satu tenure kepimpinan MC. Terasa terlalu banyak lagi benda yang tak selesai, amanah yang tak tertunai, cita-cita yang tak kesampaian. Saat itu juga lah saya terkenangkan keadaan kita di akhirat nanti tatkala akan menyesal kerana tidak benar-benar beramal di dunia ini. Seperti firman Allah Taala dalam Surah Sajdah,ayat 12 :

"Dan, jika sekiranya kamu melihat mereka ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, (mereka berkata): "Ya Tuhan kami, kami Telah melihat dan mendengar, Maka kembalikanlah kami (ke dunia), kami akan mengerjakan amal saleh, Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin."

Apapun, setinggi kesyukuran saya panjatkan ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan keizinanNYA dapat jua saya dan sahabat seperjuangan yang lain menggalas amanah kepimpinan ini hingga ke akhirnya. Terlalu banyak pelajaran dan pengajaran yang telah saya perolehi.

Dahulunya Maruf Club bukanlah antara sasaran organisasi yang saya berminat untuk bergelumang di dalamnya. Tidak pernah berimpian untuk menjadi pimpinan Maruf Club apatah lagi untuk menjadi Vice President II, jawatan no.1 untuk bahagian muslimat@sister ini. Saya jauh lebih berminat dan cenderung untuk menimba pengalaman di Law Students’ Society (LAWSOC). Namun, ternyata percaturan Allah Taala dan keputusan syura itu jauh lebih baik dan berkat dari keinginan dan ‘projection’ saya sendiri.

Tarbiah berorganisasi ( Laws Of Leadership ) yang saya dapat sepanjang memimpin Maruf Club sesi kali ini cukup bermakna dan berbekas di hati saya. Semuanya menjadi pengalaman berharga, memori yang boleh dijadikan rujukan pada masa depan. Mungkin ini jugalah pengalaman terakhir yang mampu saya kutip dalam memimpin organisasi di alam mahasiswa ini. Antara ‘mutiara-mutiara’ berharga yang telah saya perolehi,

1. Pentingnya setiap pemimpin organisasi memahami grand design dan hala tuju organisasi yang dipacu
"Anyone can steer the ship, but it takes a leader to chart the course"- The Law Of Navigation
(The 21 Irrefutable Laws Of Leadership)

Sejak di awal tenure kepimpinan, kami bersama-sama meletakkan batu asas kepada gerakan Maruf Club. Kami mengimpikan agar Maruf Club mampu memainkan peranan seperti sebuah “Persatuan Mahasiswa Islam” yang komprehensif membawa ketiga-tiga elemen penting gerakan dari sudut tarbiah, dakwah dan siasah. Grand design tersebut kami mulakan dengan usaha untuk menaikkan nama Maruf Club di mata mahasiswa UIAM agar mereka ‘kenal’ siapa Maruf Club. Tekad kami agar mereka ‘kenal’ dan ada ‘persepsi’ yang baik terhadap Maruf Club. Sesudah mereka kenal, barulah mereka berhak untuk membuat keputusan samaada mahu menyokong atau menyanggah Maruf Club. Jika selama ini persepsi negatif yang membelengu mereka, maka wajarlah jika judgement mereka juga cenderung menjadi negatif. Betapa pentingnya untuk kita benar-benar ‘mengurus persepsi’.

Kami mungkin telah berjaya merintis sedikit ‘jalan’ kearah mencapai dream ini, namun kami tak berjaya untuk benar-benar melengkapkan aspirasi ini. Kami tinggalkan kepada kepimpinan baru untuk menganalis, seterusnya melengkapkan agenda ini andai dipersetujui.

Aspirasi dan dream ini perlulah dijiwai oleh setiap pimpinan untuk memastikan momentum kerja ke arahnya laju dan tangkas. Tetapi jika hanya dijiwai dan dirasai oleh 3,4 orang, agak lambat agenda ini mampu dijayakan.

President dan Vice President I MC sedang merenung 'dream' MC


2. Perlunya kepada kemahiran ‘public relation’ dan etika kerja professional yang amat baik
"People naturally follow leaders stronger than themselves" - Law of Respect

Menjadi pemimpin sebuah organisasi yang membawa agenda dakwah,amar makruf nahi mungkar seperti ini bukanlah mudah. Betapa setiap inci perkataan dan perlakuan kadang-kadang menjadi perhatian.Keperluan untuk menguasai kemahiran public relation dengan baik amatlah mendesak. Disinilah training ground yang cukup baik untuk menjadi future leader, negarawan yang boleh diterima oleh kawan dan lawan.

Dalam Maruf Club ini saya belajar untuk deal dan engage dengan pihak pentadbir UIAM terutama bahagian S-DEV (Student Development). Jika dulu saya bergelumang dengan kerja belakang tabir dan kerja pakai ‘jalan belakang’, kini saya ditarbiah untuk menjadi seorang professional dan perlu mengikut procedure dan formality tertentu. Kadang-kadang ‘rimas’ dan ‘letih’ juga. Tapi inilah antara mutiara berharga yang saya dapat. Bukan mudah untuk berurusan dengan pihak atasan, bukan mudah nak dapat kelulusan sesuatu program. Tidak semudah yang kita lihat dari jauh sebelum ini. Sebab itulah cukup penting untuk seorang mahasiswa yang bercita-cita untuk menjadi negarawan mendapat training ini agar mahasiswa yang dilahirkan bukanlah sekadar ‘jaguh kampung’ yang hanya mampu berpencak sesama sendiri di halaman kampung sendiri sahaja

Kenangan bersama seorang sahabat foreigner di booth MC

3. Kepentingan ‘brainstorming’ untuk kekalkan momentum
" Momentum is a leader's best friend"- The Law of The Big Mo

Saya merasakan sepanjang menjadi VP II Maruf Club ini, kami dikalangan mainboard MC lebih banyak mengadakan sesi brainstorming berbanding dengan formal meeting. Disinilah idea-idea dicambahkan, idea-idea yang tak relevan kedengaran, malah disini jualah tempat mendapat semangat kembali. Brainstorming ini menyebabkan program yang sebenarnya biasa menjadi luar biasa, pendekatan,approach yang baru dan fresh dilahirkan. Ada 2,3 program biasa Maruf yang kami re-branding contohnya seperti MC Open Day, MC Sport Day. Selalunya Faridzul lah initiator nya, selalu tempat pilihannya ialah di library UIAM :-)

Kenangan di MC's Open Day


4. Pentingnya ada golongan yang ‘idealis’ dan ‘realis’ dalam satu team kepimpinan
"Leaders find a way for the team to win" - The Law Of Victory

Saya secara peribadi merasakan bahawa ‘synergi’ yang saling melengkapi sangat penting. Dalam team mainboard kali ini, saya sebenarnya sangat bergantung kepada Huda, Asisstant Secretary Maruf Club yang juga merupakan teman rapat dan teman gaduh saya. Ini kerana bagi saya Huda merupakan ‘resource person’ yang sangat penting kepada saya dan juga kami di mainboard. Huda yang sudah cukup ‘menguasai’ susuk tubuh MC, menguasai segala jenis peraturan dan procedure dalam pengurusan MC cukup membantu kami. Beliau juga cukup ‘realistik’ dan praktikal. Beliau tak kesah walau terpaksa banyak melakukan kerja-kerja teknikal yang kadang-kadang tak semua orang sanggup buat. Selalunya beliaulah yang akan me’neutral’kan idea Farid dan saya yang kadang-kadang terlalu idealis. Seolah-olah ada banyak aliran pemikiran dalam team mainborad kami. Ini menjadikan ‘synergi’ yang agak baik. Terima kasih yang tidak terhingga buat Huda. Beliau yang paling banyak bertungkus lumus untuk MC kali ini.

Bersama Huda,Qayah dan Sulia di studio selepas penggambaran Exco MC


5. Persepsi yang orang dah kahwin tak mampu jadi pemimpin organisasi
"Leadership develops daily, not in a day"- The Law Of Process

Saya tidaklah mengatakan yang saya telah berjaya menunaikan amanah kepimpinan ini dengan baik dengan status dan kapasiti saya yang telah bergelar seorang isteri. Namun, saya berpuas hati yang saya telah cuba buat yang termampu. Mungkin ada juga yang tidak berpuas hati dengan komitmen saya, saya terimanya sebagai teguran membina. Ini merupakan satu percubaan saya, merintis jalan untuk membuktikan bahawa walaupun sudah berkahwin, saya masih boleh terus aktif berorganisasi. Kerana hakikatnya di luar nanti, itulah yang akan terjadi. Semua ada impian dan cita-cita untuk berkahwin, dan diluar sana nanti juga sudah pasti ada tanggungjwab dan peranan yang perlu disumbangkan kepada organisasi mahupun parti. Jika beralasan sudah berkahwin tidak boleh terlibat aktif, maka bagaimana di luar nanti? Adakah kita hanya ingin berjuang di alam kampus sahaja? Alhamdulillah, Allah beri saya kesempatan ini untuk melatih diri berdepan dunia realityi di luar kampus nanti. Terima kasih buat suami yang cukup memahami. Disinilah pentingnya pasangan yang memahami dan menjiwai.



Jika ingin dinukilkan, masih terlalu banyak pelajaran dan pengajaran yang saya dapat. Jika ingin dicoret kelemahan dan rasa tidak puas hati juga terlalu banyak sepanjang saya memegang jawatan dalam MC ini. Sebab itu rasa sebak dan sedih, rasa terlalu banyak kelemahan diri ini yang menyumbang kepada kelemahan dalam MC. Terutamanya bila 2 projek terakhir MC tak mampu dilaksanakan. Hanya Allah yang tahu betapa kecewanya diri ini.

Namun segalanya telah berakhir. Saya pasrah dan redho apa yang terjadi. Saya ambil kesempatan ini untuk menghargai semua insan yang telah bersama-sama saya memacu MC. Mereka juga telah banyak menagajar saya. Terima kasih buat Mr. Presiden yang dihormati, merangkap sahabat seperjuangan sejak di KISAS lagi, Faridzul. Ana doakan anta menjadi ‘negarawan sejati’ di masa depan nanti.Buat Huda yang terlalu amat banyak membantu,terima kasih sangat. Maaf banyak menyusahkan anti. Buat Zaki,Amin dan Suffian yang menjadi pelengkap team mainboard MC kali ini.Kalianlah agen ‘check n balance’ yang cukup significant dan efisyen. Tanpa kalian, tempang pengurusan MC.Tak dilupa untuk semua secretariat MC yang meng’hidup’kan MC kali ni. Fakhrul Zaki dan Ruqayyah, adik muakhahku Shahidat dan Ridhuan,Hafriz dan Kak Ida, Mun’em dan Sulia, Cikgu Helmi dan Suraya, Rauf dan Paji. Juga jutaan terima kasih dinukilkan buat semua orang kuat belakang tabir MC, Izzatie, Hafiz Basri, Nabilah, Ust Syuhadak, Tamim, Radziah, G.ah, Buyo, Hakimi, Fazilah, Busra, Huzaifah dan Maziyah.Semuanya komited melaksanakan jobscope masing-masing. Terima kasih atas segala kerjasama dan maaf atas segala khilaf. Juga tak dilupakan terima kasih yang tak terhingga kepada semua members MC yang menyokong MC selama ini yang tak mampu disebut nama kesemuanya disini. Moga semua memperoleh 'saham' masing-masing di akhirat nanti atas usaha dakwah yang telah dijayakan.

Bergambar kenangan terakhir di malam AGM MC

Akhirnya, salam perjuangan buat bakal pimpinan Maruf Club yang akan datang.Memetik kata-kata mantan Presiden MC, "Perjuangan wajib diperkemas".

"It takes a leader to raise up a leader" - The Law Of Reproduction
"A leader's lasting value is measured by succession"- The Law Of Legacy

Friday, August 7, 2009

Talk Tragedi Mahkamah Berdarah

Setinggi ucapan TAHNIAH saya rakamkan buat adik-adik Ikatan Mahasiswa Islam Utara (IMIU) di Matrikulasi UIAM Petaling Jaya atas penganjuran satu talk yang cukup menarik pada malam hari Rabu yang lepas. Kehadiran saya ke sana bersama suami tersayang dan adik UZA saya, Busra, muakhah saya merangkap adik UZA kini, Shahidat cukup bermakna dan meninggalkan antara memori indah dalam jalan perjuangan ini.

Walaupun pada hari tersebut saya hampir membatalkan talk tersebut dek kerana masalah kesihatan yang saya hadapi, namun sokongan dan dorongan suami yang cukup supportive menyebabkan saya menguatkan semangat hadir ke sana walau dalam keadaan pening-pening dan muntah-muntah, kesan dari 'food poisoning' yang saya terkena pada siang harinya.

Memulakan talk dengan debaran dan pening-pening lalat

Pada malam tersebut, saya banyak menyentuh tentang soal hijab @ tudung kerana mengikut mesej awal yang saya terima daripada pihak penganjur, saya dijemput untuk menyampaikan talk yang bertajuk, " Hijab.. Bertuahkah Kita? ". Namun apabila sampai disana, barulah saya dimaklumkan bahawa tajuk telah ditukarkan kepada "Membongkar Tragedi Mahkamah Berdarah" yang fokusnya adalah membicarakan tentang pembunuhan Dr. Marwa Al-Sherbiniy yang berlaku di Jerman baru-baru ini. Alhamdulillah, sehari sebelum talk tersebut saya sempat juga untuk memberi 'assignment' kepada adik usrah saya Busra untuk membuat research tentang kes ini. Saya juga sempat membuka 4,5 website yang mengulas tentang isu ini. Malah suami saya pula dengan penuh cekap dan dedikasinya sempat mencari video menarik tentang kes ini dan meng'edit'nya untuk tatapan kami semua pada malam tersebut.

Saya rasa sangat bertuah, terpanggil untuk menerima jemputan talk tersebut kerana saya cukup tertarik dengan tajuk yang diberikan. Memperkatakan tentang soal hijab dan perjuangan dalam mempertahankan hijab yang cukup dekat dengan diri saya sebagai seorang wanita muslimah. Antara point-point penting yang telah disampaikan di awal slot pada malam tersebut berkenaan dengan HIJAB adalah seperti berikut :

1. Adakah kita sedar kenapa kita kaum muslimah kini memakai tudung @ hijab? Adakah kaum muslimin tahu mengapa perintah untuk memakai tudung ini dikenakan kepada kaum muslimah? Saya mulakan dengan memberi beberapa testimoni yang sempat saya buat survey tentang soalan ini terhadap kawan-kawan classmates saya di AIKOL. Ternyata terdapat pelbagai sebab mengapa seseorang itu memakai tudung. Ada yang mengatakan kerana ini adalah perintah Allah Taala, hukum yang terdapat dalam Al-Quran, ada juga yang mengatakan kerana faktor keluarga dan mak ayah, ada yang kerana ingin nampak lebih cantik dan sopan, tak kurang juga ada yang mengatakan kerana terpaksa memakainya disebabkan peraturan UIAM yang mewajibkan semua pelajarnya memakai tudung. Inilah antara hasil testimoni yang saya dapat.

Makin mendapat rentak

2. Kebanyakan faktor-faktor mengapa seseorang itu memakai tudung adalah kerana faktor 'luaran' atau "outside-in" bukannya bermula dari dalam iaitu "inside-out". Walaupun seseorang itu mengatakan bahawa beliau memakai tudung kerana ayat 31 Surah An-Nur yang secara jelasnya Allah memerintahkan untuk kaum muslimah melabuhkan tudungnya hingga menutup dada, namun adakah faktor ini adalah faktor yang benar-benar datang dari 'dalam' atau 'inside-out'? Atau ianya hanya sekadar satu 'pengetahuan' yang menyebabkan kita TAHU dan mengisi AKAL kita tanpa ayat ini benar-benar menyentak emosi dan memberi MAKNA dan RASA di HATI kita?

3. Pada saya, jika seseorang benar-benar merasai dengan emosinya, benar-benar memahami dan menghayati hikmah disebalik pemakaian tudung, beliau akan merasa TENANG dengan memakai tudung sebagai benteng dirinya dan masyarakat, malah akan berasa BANGGA dengan memakai tudung malah sanggup berjuang dan bermati-matian untuk mempertahankan perintah memakai tudung ini. Apabila hadir ke dalam hati kita perasaan yang sebegini, inilah yang dikatakan 'inside-out', sesuatu yang bermula dari dalam hati dan diterjemahkan ke luaran dengan tindakan memakai tudung. Barulah kita mampu menjawab persoalan 'bertuahkah kita yang memakai hijab ini?

Memberi hadiah kepada adik yang jawab soalan

TRAGEDI MAHKAMAH BERDARAH

Seterusnya, setelah saya membentangkan tentang aspek Hijab, dengan bantuan adik usrah saya Busra yang sememangnya pandai berkata-kata dan pandai berjenaka, ditambah pulak dengan karenah suami saya yang tiba-tiba turut jadi bersemangat untuk juga turut bercakap setelah melihat saya keletihan dan hampir pitam, kami membentangkan pula tentang tragedi pembunuhan Dr. Marwa Al-Sherbiniy di mahkamah Jerman.

Suamiku yang beraksi mengalahkan penceramah utama ;-)

Peristiwa yang tragis ini mungkin kurang mendapat pendedahan dari media utama dengan wajarnya, malah peristiwa sebesar ini seolah-olah terpinggir dan tersepit disebalik kekalutan dunia dengan kematian Michael Jackson dan juga serangan H1N1. Sebab itu saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada adik-adik pimpinan IMIU atas inisiatif dan kerja kuat mereka menganjurkan talk sebegini. Malah mereka juga sangat keratif dengan turut melakukan simulasi dengan menikam buah tembikai sebanyak 18 kali sebagai simbolik kepada kejadian pembunuhan tragis Dr Marwa yang ditikam sebanyak 18 kali di dalam mahkamah di hadapan suami dan anaknya.

Adik UZA ku, Busra beraksi dengan mantapnya, menggugat kakak usrahnya ;-)

Saya tak berhasrat untuk menulis panjang tentang kes ini, cukup dengan video yang telah dibuat oleh suami saya ini untuk menerangkan tentang tragedi 'Mahkamah Berdarah' ini.


Terima kasih kepada adik-adik IMIU dan adik-adik yang sudi hadir ke talk ini, terima kasih buat suami tersayang yang sangat-sangat membantu dan terima kasih buat adik-adikku Busra dan Shahidat yang menemani, kalian lah bakal pemimpin generasi akan datang.

Monday, June 29, 2009

Perkongsian Pengisian

Saya telah membuang posting saya sebelum ini yang sekadar mempunyai gambar-gambar muslimat yang memprotes pilihanraya Iran. Ada beberapa orang yang menegur, Alhamdulillah. Gambar tanpa sebarang penjelasan lanjut memang boleh menimbulkan 1001 tanggapan dan interpretasi. Saya memandangnya mengikut persepsi lain namun ada yang memandangnya dari sisi lain. Saya tidak ego untuk memohon maaf pada yang telah ter'konfius', tersalah tafsir dan sebagainya. Untuk tidak keruhkan lagi keadaan, saya menarik balik posting tersebut. Saya tak rugi apa-apa pun. Saya rasa muslimat lebih mudah ditegur dan kurang sikit egonya berbanding muslimin dalam hal-hal tidak sependapat dan tidak sehaluan ini. Alasan pertahankan prinsip, tidak berada di pihak yang salah, selalu jadi alasan mereka. Tapi, itulah antara keunikan penciptaan lelaki dengan sifat yang sebegitu untuk jadi pemimpin tertinggi dan komuniti yang besar. Mungkin hikmah penciptaan muslimat, menyeimbangkan keadaan.

Justeru, saya publish posting yang lebih bermanfaat insyaAllah. Saya publishkan posting saya yang telah saya taip pada hari Sabtu, 27 Jun yang lalu. Sekadar perkongsian sebuah pengisian.


PERKONGSIAN PENGISIAN


Lama tidak 'merempit'. Tiba-tiba hari ni terasa macam kembali ke masa lalu. Sejak bergelar 'isteri', dan setelah kehadiran Fateh (kereta VIVA hitam milik kami,dah tentu suami saya yang menamakannya sempena nama tokoh Sultan Muhamad Al-Fateh yang menjadi kegilaan beliau), saya jarang-jarang sekali menaiki motor. Paling jauh pun ke kampus UIAM untuk urusan kelas mahupun meeting. Berbeza dengan sebelum kahwin. Bermula dengan motor NAR hinggakan KBW, merekalah teman setia saya dalam perjuangan. Mereka juga seolah-olah telah 'berbaiah' untuk perjuangan ini. Ke mana sahaja saya akan menaiki motor, jauh mana sekalipun sebolehnya nak menaiki motor. Lebih mudah dan cepat. Setakat ke Banting, Bangi, Kuala Selangor dengan motor, memang dah pernah rasai. Tak kesah waktunya siang, malam, pagi, petang memang redah je. Saya rasa ramai muslimat haraki yang ada kebolehan ni. Berani bergerak.

Namun, sejak bergelar seorang 'isteri', entah ke mana perginya semangat yang seperti itu. Keberanian yang dulunya tidak kenal erti takut macam makin terhakis. Lain rasanya bila dah bergelar isteri orang ni rupanya. Kalau dulu, semangat jihad membara-bara, tawakkal pada Allah juga tinggi. Apa jua cabaran dan halangan, berani ditempuhi. Terasa manisnya perjuangan ini kerana Allah semata. Dalam fikiran bila naik motor jauh-jauh ni, hanya ingat Allah, jihad dalam perjuangan dan mak ayah. Tapi kini makin bertambah rasanya orang yang menyayangi dan penting untuk diri ini. Rasa diri ini dimiliki juga oleh seseorang yang bergelar 'suami'. Dah agak takut nak naik motor sorang-sorang, jauh-jauh, malam-malam sekarang ni. Kadang-kadang nak ke tempat-tempat awam berseorangan pun terasa sedikit gentar. Rasa diri ni makin 'lembik' pula. Mungkin ini juga sedikit ciri-ciri 'kematangan' mungkin. Bila dah melangkah ke alam rumahtangga ni, tanggungjawab dan bebanan, hati dan perasaan, pergerakan dan rentak perjuangan terasa lain sedikit. Moga Allah terus kukuhkan kaki saya di alam perjuangan Islam yang indah ini, apatah lagi dalam alam fatrah kemahasiswaan yang cukup menarik untuk meraih pengalaman, belajar buat kesilapan, asah bakat untuk perjuangan Islam.

Bergambar kenangan bersama suami setelah selesai mengendalikan bengkel Public Speaking untuk adik-adik UIAM Gombak

Saya hari ni sekadar 'merempit' ke Matrikulasi UIAM Petaling Jaya, memberi sedikit pengisian kepada adik-adik alumni sekolah berasrama penuh (SBP). Tak pasal-pasal saya syarah bab 'rempit' plak kat atas tu sedangkan tujuan utama nak cerita pasal ni. Moga syarahan spontan saya ada jua sedikit manfaat.

Atas kapasiti seorang alumni KISAS, saya gagahkan diri hadir ke sana walau tanpa suami dan sesiapa pun menemani. Alhamdulillah, selamat sampai ke destinasi tanpa sebarang kecelakaan menimpa diri. Saya sekadar ingin berkongsi, walau diri ini cukup kerdil dalam ilmu dan darjat disisi Tuhan.

Saya letakkan 3 perkara besar yang saya ingin capai pada slot yang diberi kepada saya hampir 2 jam tersebut. Yang pertama sekadar ingin menjalin ukhuwah sesama mereka, wujudkan 'engagement' jangka panjang atas dasar ukhuwah Islamiyah. Lalu, taaruf ringkas saya jalankan diawalnya. Yang kedua saya bercakap tentang aspek kepimpinan dalam diri dan organisasi. Seterusnya yang ketiga, saya syarahkan sedikit kepada mereka 'bedahan' buku@ introductory kepada buku yang tengah saya baca sekarang iaitu buku "Generasi Ulul Al-Bab, Segunung Harapan, Seteguh Impian".


Kepimpinan ; Antara Integriti dan Kompetensi

Saya mulakan dengan kewajipan untuk menerapkan dua elemen penting pemimpin ini dalam diri sendiri terlebih dahulu. Integriti kita dengan amanah dan syariat Allah, setakat mana kita 'menjaga' hubungan dengan Allah sedangkan Allah menjaga kita rapi setiap saat, makan pakai rezki kejayaan kehidupan kita ini Allah jaga serapinya. Tapi kita yang sekadar berstatus hamba Allah ini tidak mampu menjaga hak-hak Allah terhadapNya sebaiknya. Inilah rahsia kejayaan terbesar seorang pemimpin. Takde rahsia lain yang lebih utama untuk terus kekal menjadi hambaNya yang sebenar dalam jalan perjuangan ini melainkan menjaga hubungan dengan Allah. Menjaga hubungan yang baik sesama manusia juga sangat perlu dan termasuk juga dalam elemen ini. Masakan mampu terlunas hubungan kita dengan Allah andai tersangkut hubungan kita dengan manusia. Hubungan sesama manusia lebih parah dan susah untuk dijaga sebenarnya. Realitinya kita boleh lihat secara 'live' dalam sosial masyarakat kita kini. Hinggakan anak sendiri sudah gagal menjaga hubungan yang sepatutnya dengan ibu ayahnya sendiri. Kebrobokan sosial yang maha dasyat.

Aspek kompetensi saya tidak syarahkan yang sudah termaklum yang terlalu factual dan fundamental. Cukup saya menekankan pada diri saya dan adik-adik tersebut, pentingnya 'memanfaatkan' masa sebagai mahasiswa ini untuk meningkatkan potensi dalam diri. Meningkatkan kemampuan dari aspek intelektual dan kemahiran dalam diri. Hinggakan 'kelayakan' kita sebagai seorang pemimpin tidak akan mampu dipertikaikan kewajarannya. Aspek intelektual ini, kita perlukan individu-individu yang memiliki 2M. "Master your field dan Multi-Field". Kita perlukan individu-individu yang bukan sekadar datang dari pelbagai bidang dari aliran hard science hinggalah ke soft science, tapi kita perlukan orang-orang yang pakar dalam bidang tersebut. Pakar yang benar-benar pakar yang cukup berautoriti dan kompeten dalam bidangnya sendiri. Selain itu, pakej yang kita perlukan adalah juga insan-insan yang juga mempunyai pengetahuan yang sepatutnya dalam bidang-bidang lain juga(Multi-Field). Maksudnya, kita mampu bercakap dan mengulas bidang-bidang luar dari bidang pengajian atau pengkhususan kita. Terutamanya bidang fundamental agama dan akan berlakulah islamisasi ilmu disini. Maka kelak, takkan timbul lagi isu ulamak vs profesional yang saban tahun hangat dibahaskan. Era sekarang, kita tak mampu memimpin dengan hanya menguasai dan pakar dalam bidang kita sahaja tanpa ada ilmu dalam bidang-bidang lain juga.

Muslimat ; Antara Integriti dan Kompetensi

Subtopik ini saya tidak sebut secara spesifik dalam slot pengisian saya tersebut kerana bukan adik-adik muslimat sahaja yang hadir, ada juga adik-adik muslimin. Saya sekadar selitkan pandangan peribadi saya tentang isu ini.

Pada saya, generasi kepimpinan muslimat kini cukup hebat dari aspek 'integriti', namun mungkin agak kurang sedikit dari sudut 'kompetensi'. Kita selalu dengar betapa berbezanya karektor muslimin dan muslimat hingga ada yang mencadangkan agar tamrin muslimin dan muslimat diasingkan. Saya agak bersetuju. Kerana muslimat memang terkenal cukup kuat menjaga 'ruhiyyah', menjaga aspek-aspek mikro dan dalaman, hati dan perasaan. Jadi mungkin muslimat agak terlepas membina diri sebagai pemimpin yang kompeten sesuai dengan amanah yang perlu dipikulnya. Hatta untuk memimpin diri sendiri, muslimat perlu bangkit mengasah bakat dan kemahiran dalam pelbagai bidang. Pelbagai gagasan, MP3, MP4 di peringkat SIGMA, Tipple M (Membaca,Multi-Skill,Memimpin) di UIAM dan pernah gagasan 3B (Berani,Bijak,Bedikari) digunakan untuk muslimat di UM untuk membantu muslimat meningkatkan kompetensi dalam diri. Moga gagasan-gagasan seperti ini dapat terus membantu muslimat upgrade kualiti diri untuk memacu gerakan.

Malah mungkin pernah timbul isu Dewan Muslimat Kangkung Layu dan sebagainya dulu kerana muslimat masih kurang dari aspek kompetensi ini. Tidak perlu tuding jari pada sesiapa, tuding pada diri untuk ubah diri.

Saya tidak katakan aspek integriti tidak penting malah terpenting. Muslimat perlu terus kekalkan,maintain bertahan dengan kekuatan yang hebat ini. Cuma perlu di 'top up' dengan aspek tingkatkan kemampuan dan keberdayaan dalam diri masing-masing.

Generasi kepimpinan muslimat akan datang, InsyaAllah


Sekadar mencatat berkongsi sebuah pengisian. Dalam posting seterusnya jika berkesempatan saya akan syarahkan tentang Generasi Ulul Albab yang saya bentangkan dalam slot tersebut. Tak sempat kali ini, hari sudah pagi.

Saya bukan orang hebat, sekadar mahu tingkatkan kemampuan diri agar mampu berdiri selesa menghadap Tuhan di sana nanti. Mardhatillah matlamat abadi.


Tuesday, May 12, 2009

Drama Perak dan "My Dream"

Cepat sungguh masa berlalu, pelbagai keputusan dan keadaan boleh berubah dengan sekelip mata. Tak sempat rasanya ramai blogger yang menganalisis politik menulis dan mengulas tentang isu keputusan mahkamah yang mengisytihar Ir Nizar sebagai Menteri Perak yang sah, keputusan itu kini ditangguhkan pula hasil rayuan Datuk Seri Zambry Abd Kadir kepada mahkamah Rayuan. Penangguhan keputusan mahkamah itu diberikan sementara menunggu selesai rayuan yang dikemukakan oleh Zambry berhubung perkara tersebut. Keputusan 'stay of execution' daripada mahkamah rayuan pagi ini bermakna keputusan mahkamah tinggi semalam akan tergantung sehingga keputusan rayuan diumumkan.

Drama politik Malaysia makin dasyat. Kadang-kadang rasa muak dan jelek dengan apa yang berlaku. Tetapi inilah politik. Disebalik kemuakkan dan kejelekan itu, disitulah terletaknya satu kuasa untuk memerintah yang menjadi tuntutan buat kita untuk merebutnya kerana tuntutan syariat untuk menegakkan syariatullah dan kalimah Allah di muka bumi ini.

Saya yakin, Datuk Seri Ir Nizar sendiri, isteri beliau, Datin Seri Fatimah dan keluarga beliau sendiri sudah tentu sudah amat letih berdepan dengan pelbagai ujian dan sandiwara dalam lingkaran politik Perak yang masih tak berkesudahan ini. Kita yang tidak ada kaitan secara langsung inipun terasa 'berat' dan 'letih' melihat sandiwara perebutan ini, apatah lagi yang melalui, yang menanggungya. "Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul".


Tetapi, seperti yang telah diulas oleh suami saya dalam blognya, Datuk Seri Ir Nizar bukanlah sebarangan orang. Walau ramai yang melihat 'figure' ini tiba-tiba muncul dalam kemelut politik Perak, namun kewibawaan, kekuatan, ketabahan beliau mentadbir Perak sebelum ini dan rentak dan aksi beliau dalam melalui ujian rampasan kuasa ini adalah satu testimoni yang jelas untuk menjadi bukti bahawa insan ini bukanlah 'accidentally figure' yang muncul kerana tekanan dan terdesak. Kita perlu melahirkan lebih ramai Ir Nizar dalam PAS dan Pakatan Rakyat.

Saya dan suami sejak dari membaca keputusan mahkamah semalam asyik bercakap tentang isu ini, membuat andaian, 'prediction' terhadap apa yang terjadi dan apa yang bakal terjadi seterusnya. Mungkinkah semua ini sudah dalam perancangan pihak-pihak tertentu ataupun ianya terjadi kerana 'out of control' sesetengah pihak yang terbabit. Ataupun mungkinkah benar institusi kehakiman yang agak diragui sebelum ini telah dapat 'dijernihkan' kembali? Ataupun inipun sekadar tempelan kosmetik terhadap perancangan grand design yang lebih dasyat yang ingin dilaksanakan? Manusia hanya mampu membuat andaian dan jangkaan, tetapi suratan Allah telah tetap tersusun kemas menanti masa untuk dipersembahkan kepada hamba-hambaNya yang lemah.

Iktibar buat saya juga, betapa pentingnya saya benar-benar menguasai displin ilmu yang sedang saya ceburi kini iaitu bidang Undang-undang. Kadang-kadang tak dapat dinafikan, rasa begitu lelah menelaah matapelajaran demi matapelajaran yang terpaksa saya hadapi dalam setiap semester. Keputusan peperiksaan, CGPA pun nampaknya kini makin tidak memuaskan, menghadapi masalah fokus tumpuan yang agak mencapah menyebabkan ada aspek yang terlepas pandang gagal diambil kisah dengan baik. Semuanya ini terjadi bila semangat mulai luntur, matlamat mula jadi kabur. Maka proses re-energizing perlu dilakukan segera.

Dalam krisis Perak yang sebegini, institusi kehakiman, mahkamah dan perundangan terus hangat diperkatakan. Malah dalam banyak hal, apa-apa hal sekalipun, isu perundangan ini terus relevan kerana bidang inilah bidang yang dapat membuat final judgement di atas dunia yang fana ini. Saya kadang-kadang terkial-kial jugak menjawab persoalan demi persoalan yang dilontarkan rakan-rakan yang mahu mengetahui lanjut dari aspek perundangan mengenai sesuatu isu. Mungkin kerana penguasaan saya terhadap bidang yang saya ceburi ini belum begitu baik. Justeru, seruan buat saya dan semua terutamanya golongan mahasiswa, kuasai dan jadilah pakar dalam bidang disiplin ilmu yang telah kita ceburi. Kerana disinilah kunci penting kita mampu berperanan dan memberi sumbangan yang optimum kepada gerakan dan perjuangan Islam yang kita intima'. Jangan sekadar menjadi orang 'biasa-biasa' sahaja dalam bidang kita sendiri. Dah rumah kita, kita lah kena jadi tuan rumah.

Saya melihat bagaimana beberapa tokoh penting dalam bidang perundangan seperti Prof Aziz Bari, Sulaiman Abdullah, Hanipa Miaden, Zulkifli Nordin dan lain-lain terus diperlukan dalam perjuangan ini dek kerana kekuatan dan kepakaran dalam bidang perundangan yang mereka ada. Generasi muda kini seharusnya bersiap sedia untuk menggantikan generasi mereka ini yang pastinya akan pergi suatu hari nanti. Kita kena letakkan matlamat yang jelas, kemana haluan perjuangan kita selepas ini. Kena juga sentiasa 'check' matlamat ni dan 'up to date'.

Masa saya ditemuramah oleh Kak Hidayah a.k.a Ustazah Engineer tentang aspek kepimpinan muslimat muda yang tak sempat lagi saya nak kongsikan sepenuhnya disini, saya diasak oleh beliau untuk benar-benar spesifik dan measureable dalam mengatakan sesuatu. Saya ingat selama ni memang suami saya dah selalu 'train' saya bercakap spesifik dan jelas tentang sesuatu. Rupanya tak cukup lagi, dan terima kasih sangat pada Kak Dayah yang telah mengajar saya sesuatu yang berharga. Pernah suami saya kata, dia cukup tak berkenan dengan muslimat yang bila bercakap suka bercakap atas angin, tak mampu bagi huraian jelas dan contoh spesifik tentang sesuatu. Paling beliau pantang, suka sangat sebut 'dan lain-lain','dan sebagainya' dan yang seangkatan dengannya. Jadi, bila saya berhujah dan berbahas dengan suami tentang sesuatu isu, saya selalu diingatkan beliau tentang aspek ini.

Saya sahut seruan Kak Dayah untuk letakkan matlamat yang spesifik untuk 'self projection' saya masa akan datang. Saya benar-benar ingin menjadi seorang pakar dalam bidang perundangan spesifiknya undang-undang perlembagaan. Sebelum umur saya mencecah 40 tahun, saya meletakkan target, saya dah boleh jadi macam salah seorang idola dan pensyarah saya yang cukup terkenal dalam imu perlembagaan ini, iaitu Prof Aziz Bari. Saya sudah mampu menjadi rujukan dalam negara ini dalam ilmu perlembagaan sebelum umur saya 40 tahun, insyaAllah.


Tuliskan matlamat dan 'dream' kita, bukan untuk riak, tetapi sebagai satu cetusan semangat buat kita. Bila kita baca, kita akan ingat kembali. Saya takut juga nak tulis pasal dream ni mulanya. Yelah, kalau tak jadi, malulah saya. Tapi ketepikan semua tu dulu. Berfikiran positif. Redah je..

Catatan muhasabah ringkas buat diri ini..

Sunday, May 10, 2009

Catatan Baitul Muslim MSNS


Hampir dua minggu bergelumang dengan 'alam pekerjaan' (praktikal di firma guaman) membuatkan saya kini makin terdedah dengan realiti kehidupan perjuangan masa akan datang. Alam pekerjaan sebegini akan hadir dalam hidup kita, sama ada kita bersedia atau tidak. Tuntutan globalisasi dan kedudukan ekonomi negara kita yang meruncing menyebabkan tempiasnya terkena pada kita sebagai rakyat, tiada ruang melarikan diri. Suami isteri bekerja sudah menjadi fenomena biasa dek kerana tuntutan kewangan menyara sebuah keluarga yang melibatkan kos yang agak besar, tidak cukup untuk mengharapakan duit gaji suami semata-mata. Kos hidup di Lembah Klang ini, andainya gaji hanya sekadar RM 1500 ke bawah, telah termasuk bawah paras kemiskinan. Apatah lagi, golongan wanita masakini bukan lagi seperti zaman dahulu kala yang tidak berpendidikan tinggi, tidak bekerja. Wanita kini mahu berdiri atas kaki sendiri, menempuh cabaran di alam pekerjaan setelah berpenat lelah mendapatkan segulung ijazah. Wanita bekerjaya ini ada 'pro' dan 'contra' nya, berbeza-beza bergantung rapat kepada fakta kes masing-masing.

Apa yang ingin saya nyatakan disini, bukanlah berkisar tentang wanita bekerjaya yang saya rasa telah banyak dikupas sebelum ini, tetapi betapa pentingnya memilih pasangan hidup yang ada fikrah 'perjuangan' sebagai salah satu jaminan istiqamah di medan dakwah ini. Saya tidak mengatakan Baitul Muslim ini adalah segala-galanya, namun mungkin segala-galanya boleh bermula dengan Baitul Muslim.

Saya dan suami kini bekerja bermula dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang setiap hari bermula dari hari Isnin hinggalah Jumaat. Akibat cabaran kesesakan jalan raya dan juga tuntutan kerja yang kadang-kadang tak mampu disiapkan tatkala jam 5.30 petang menjengah, hampir waktu Maghrib baru kami mampu bersama-sama berada di Darul Syuhada, no.36 ini. Seharian membanting tulang di tempat kerja, walau bekerja dalam kondisi berhawa dingin, bukannya berpeluh di sawah atau ladang, kepenatannya hanya yang merasai akan mengetahui. Dulu saya sendiri pun pernah terfikir, kerja kat pejabat dengan ada 'air-cond', kerusi empuk, ada kawan-kawan sekerja bersama-sama, ada kemudahan internet untu di'akses', takkan lah penat sangat, mesti relax je. Bila dah mula praktikal ni, baru saya sedar diri, hakikat sebanar yang dilalui hampir majoriti ahli masyarakat kita kini.

Hampir setiap malam kepenatan, mampukah lagi untuk sahut seruan perjuangan seperti mesyuarat, brainstorming, usrah dan sebagainya tatkala ada seruan sebegini datang? Ini belum lagi bincang soal 'anak-anak dan masalah-masalah mereka' andainya telah mempunyai anak untuk diuruskan. Mesti tambah berkaliganda lagi kepenatan tersebut. Hujung minggu yang ada pula adalah antara kesempatan 'emas' untuk beristirehat dan melakukan kerja-kerja rumah. Andai ada seruan tamrin atau program, mampukah untuk kita melangkah pergi tatkala tentatif hidup seharian sudah padat, tinggal hujung minggu saja masa yang ada untuk diri dan keluarga?

Inilah antara dilema dan sekelumit cabaran yang perlu dihadapi bila berdepan dengan alam rumahtangga dan kerjaya. Sangat berbeza dengan perjuangan 'single' di kampus. Sangat berbeza. Di kampus, bila kita mungkina agak terleka dengan perjuangan dek kerana tuntutan akademik yang mengganas, atau kerana masalah-masalah diri yang dihadapi, kita masih ada sahabat-sahabat untuk mengingatkan, untuk 'tarik' kita kembali ke medan perjuangan. Sahabat-sahabat sangat dekat di hati mahupun fizikal kita tatkala di kampus. Tapi, dalam realiti hidup berumahtangga dan bekerjaya, pasangan hiduplah faktor yang terpenting. Dialah insan yang paling rapat, dekat dengan hati mahupun jasad kita ini.

Kalau tidak, masakan Imam Hassan Al-Banna menggagaskan hierarki kedua ke arah pembentukan daulah islamiyah ini adalah pembinaan "Baitul Muslim". Penting untuk mempunyai pasangan yang faham fikrah perjuangan Islam ini, ketepikan dulu perjuangan dengan manhaj yang bagaimana, asalkan mahu dan sedia berjuang untuk Islam. Pasangan yang sama-sama saling memahami tugas dan taklifan memperjuangkan fikrah suci Islam ini akan lebih mudah berdepan dengan pelbagai cabaran dan halangan di alam rumahtangga nanti.


Bila berdepan dengan kekangan masa bersama antara suami isteri yang terlalu minimum kerana ada sebahagian masa yang terpaksa diinfaqkan ke jalan perjuangan, kita mampu untuk berlapang dada malah berasa bangga dengan apa yang telah dicurahkan seterusnya sama-sama mencari alternatif lain untuk terus memastikan kemesraan hubungan cinta akan terus berkekalan dalam tempoh masa sedikit yang kita ada. Bila kita kesempitan duit kerana jalan perjuangan ini sentiasa menuntut pengorbanan, kita tidak akan cepat mengeluh dan putus asa, malah syukur denan nikmat ujian kesusahan yang Allah beri ini. Dikala hati rasa malas dan culas untuk berjuang lagi, ada orang yang sangat kita sayang dan dekat dihati kita yang akan mengingatkan, memberi dorongan semangat, yang mampu membangkitkan aura berjuang kita. Tatkala kita perlukan bantuan yang amat sangat dalam kerja-kerja yang kita lakukan, pasangan yang 'memahami' sudah tentu tak kekok untuk menghulurkan bantuan, malah dia juga akan sanggup berkorban bersama-sama kita. Dan yang paling penting, akan ada insan yang boleh mengingatkan kita bahawa kita tidak hanya ingin bercinta dan berkasih sayang di dunia ini sahaja, kerana kita akan mati dan terpisah. Yang paling utama, adalah untuk 'bersama selama-lamanya di akhirat sana. Hidup dengan penuh cinta dan kasih sayang tanpa terpisah di akhirat sana. Justeru, bekalan untuk ke sana perlu mantap, di dunia sinilah bersama pasangan yang seiring kita mengutip dan menyiapkan bekalan ke sana.

Saya amat bersukur kerana Allah izinkan saya dan suami merasai nikmat berjuang dalam suasana Baitul Muslim yang telah kami dirikan. Walau tempoh masanya terlalu amat sangat masih singkat untuk dijadikan kayu ukur keistiqamahan kami, saya optimis momentum ini insyaAllah akan boleh dikekalkan berkat doa dan ilmu yang diamalkan yang perlu seiring berjalan. Kami tak mahu menambah lagi bilangan kes Baitul Muslim yang 'hampeh', 'pancit' di tengah jalan, tunduk pada tekanan dan cabaran. Cukuplah dengan yang dah ada.

Cita-cita saya untuk berkahwin dengan seorang pejuang telah Allah maqbulkan. Walau dulu masa saya masih di menengah rendah, saya pernah bercita-cita untuk berkahwin dengan bekas penagih dadah atau bekas banduan dek kerana saya ini seorang yang agak agresif yang sukalan cabaran dan sukakan penjara, namun Allah lebih mengetahui yang terbaik buat saya. Ramai juga yang menanyakan perihal baitul muslim ini pada saya, saya cuba menjawab apa yang termampu kerana jelasnya saya bukanlah yang terbaik.

Saya dan suami sudah kenal agak lama. Semasa saya di tingkatan 5 di Kolej Islam Sultan Alam Shah lagi. Namun, hubungan kami tatkala itu hanya sekadar hubungan ukhwah dalam gerak kerja demi menggerakkan tarbiah di bumi waqafan tercinta. Ikatan kami menjadi lebih serius setelah satu surat 'lamaran' hadir ke rumah saya setelah saya tamat tingkatan 6 Rendah di Kolej Islam Sultan Alam Shah. Surat yang amat-amat sangat mengganggu gerak kerja dan emosi saya ketika itu. Surat yang tak pernah saya harapkan, surat 'gangguan' yang cukup saya benci. Namun akhirnya, apabila hampir tamat tingkatan 6, setelah puas istikhorah dan risikan demi risikan telah saya lakukan, setelah mak ayah juga perkenankan, insan itu hadir dalam hidup saya sebagai insan istimewa yang bakal bergelar 'suami' saya. Seribu satu cabaran kami tempuh sebenarnya sebelum aqad nikah dapat dilangsungkan. Biarlah ianya menjadi memori antara kami berdua dan rahsia antara kami dan Allah Taala. Sejak dari tarikh saya menerima insan itu, sejak itu lagi telah tercatat tarikh aqad nikah yang telah kami persetujui. Ini antara penekanan yang ingin saya kongsikan, betapa pentingnya suatu 'perancangan' yang khusus dan spesifik dalam perangkaan baitul muslim ini. Jangan sesekali bermain-main dengan aspek ini. Perancangan menjadikan kita bersedia. Persediaan menjadikan kita yakin. Keyakinan insyaAllah dapat memudahkan perancangan yang telah dirancangkan. Doa yang tidak henti, tidak putus, sememangnya satu kewajipan yang tak boleh ditinggalkan dalam fatrah ini. Cukuplah sedikit perkongsian memori kami menuju baitul muslim ini.


Buku ini hadiah dari suami semasa kami pulang bercuti di kampung di Kelantan. Buku ringkas yang bermakna, tercoret catatan seorang isteri kepada Ulama tersohor di negara ini. Inspirasi penting buat saya untuk terus memacu perjuangan ini sebagai seorang isteri. Alhamdulillah, mampu saya tamatkan bacaan buku ini dengan cepat dan pedoman penting telah saya catat. Walau selepas membaca buku ini, timbul juga beberapa konflik dalam diri saya kerana buku ini menceritakan perihal seorang isteri yang setia berjuang di rumah mengurus rumah, mendidik, mentarbiah anak-anak tatkala suaminya keluar berjuang. Isteri yang begitu suci terjaga dari hiruk pikuk suasana politik yang dilalui oleh suaminya sendiri. Tapi saya ni, jarang lekat di rumah walau telah berkahwin, macam mana nak jadi macam Datin Tuan Sabariah? Apatah lagi saya juga punya cita-cita yang sama dengan suami untuk terjun secara 'direct' dalam dunia politik. Kalau beliau di dewan rakyat, saya akan berjuang di dewan negara sebagai senator. Justeru, bagaimana pula orientasi gerakan baitul muslim kami selepas ini? Bolehkah kami jadi seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datin Tuan Sabariah? Mungkin akan masuk dalam agenda brainstorming kami malam ini :)


Suami saya pula masih asyik membaca buku ini. Cinta di Rumah As-Syahid Imam Hassan Al-Banna. Memang menarik. Suami saya bercita-cita untuk menjadi ketua keluarga yang sehebat Imam Hassan Al-Banna. Saya turut tertarik dengan isi kandungan buku ini. Bagus untuk persiapan membina baitul muslim yang hebat.

Moga Allah terus pelihara ruh perjuangan dan keberkatan baitul muslim yang kami bina. Moga pejuang-pejuang yang lain juga akan menemui baitul muslim impian masing-masing. Saya mendoakan kemudahan buat semua.


Saturday, May 9, 2009

Sekitar Kenangan Penghantaran Memorandum Maaruf Club

Saya tidak pernah terlibat secara langsung dalam agenda penhantaran memorandum peringkat nasional seperti ini. Kalau ada pun, hanya sekadar jadi penyokong meramaikan audiens. Bila kali ini, dalam isu sensitif berkenaan dengan status agama anak bagi pasangan non-muslim yang menjadi muslim ini, saya diberikan tugas yang agak berat buat saya, membuat research dan draf memorandum ini berseorangan. Memang sangat bermakna pengalaman ini walau telah agak berlalu agak lama, baru berkesempatan untuk update. Saya bersyukur, saya puas. Apa implikasinya, saya terima dengan reda.

Alhamdulillah juga, hasil desakan dari pelbagai pihak, termasuk mungkin desakan memorandum yang kami hantarkan ini, walau mungkin hanya picisan di mata pentadbir, akhirnya keputusan kabinet itu ditarik balik untuk diadakan penelitian semula tentang isu ini dengan lebih mendalam. Alhamdulillah. Inilah yang dikatakan 'tipping point'. Sedikit sahaja yang perlu dilakukan, tetapi hasilnya besar.


Gerakan Srikandi Muslimat Muda ( SIGMA )



Monday, May 4, 2009

Himpitan Emosi

Saya benar-benar dihimpit emosi yang pelbagai. Tiga hari bercuti di kampung tercinta, nun jauh di Kedah sana, sekali lagi terpaksa berjauhan dengan suami tercinta dek kerana tuntutan perjuangan yang menuntut beliau kekal di sini. Saya redho, kuatkan hati melangkah pulang berseorangan ke kampung. Namun, saya menikmati saat-saat yang paling indah bersama mak ayah tercinta di kampung sana.

Saya bukan saja-saja hendak pulang ke kampung, sejak bergelar pelajar asrama semenjak dari tingkatan 1 hingga ke tingkatan 6 saya memang jarang-jarang pulang ke kampung. Apatah lagi sejak menuntut dan berjuang di bumi tarbiah waqafan, KISAS. Masuk ke 'Garden of Knowledge and Virtue' ni pun saya jarang pulang ke kampung. Setelah berkahwin ni pun, jarang-jarang jugak pulang. Sibuk berjuang mungkin.

Sejak dari 2,3 minggu yang lalu hati saya memang asyik meronta-ronta untuk pulang. Berita demi berita yang saya terima dari abang dan kakak-kakak saya tentang tahap kesihatan mak dan ayah saya terutama sekali ayah saya amat tidak menenangkan hati saya. Cukup untuk membuatkan saya tak keruan dan meniti, menghitung hari hendak pulang menjenguk dua insan yang terlalu amat berjasa dalam hidup ini. Dua tiga kali saya menangis disisi suami kerana risaukan mak dan ayah yang hanya tinggal berdua di kampung. Apakan daya lagi yang mampu saya lakukan.

Mak dan ayah tiga tahun yang lalu

Di kampung, sepenuh masa saya maknakan untuk bersama mereka. Saya urut jari-jemari ayah yang kesakitan. Urat-urat tua cukup jelas kelihatan. Sesekali beliau mengerang kesakitan. Tangan itu yang dulunya gagah memulas stereng teksi mencari nafkah untuk kami berenam nampak makin uzur dan lemah. Namun, tangan itu yang dulunya selalu membelai rambut saya dengan kasih sayang, hingga kini masih lagi penuh dengan kasih sayang. Tubuh ayah makin kurus, mungkin kerana penyakit kencing manis yang dideritainya selama beberapa tahun kebelakangan ini. Menitis airmata ini pertama kali menatap tubuh ayah yang makin kurus. Tetapi susuk tubuh itu, senyuman di wajahnya masih sama macam dulu, penuh kasih sayang. Usia yang kini mencecah 73 tahun, tidak memungkinkan saya untuk mengharapkan ayah yang sekuat dan segagah dulu. Yang mampu melakukan hampir semua kerja dengan tangannya sendiri. Ayah kini makin tua dan uzur, makin lemah. Hakikat yang saya perlu terima.

Emak pula hampir mencecah 67 tahun. Rambut beliau sudah tidak ada yang hitam, sudah putih kesemuanya. Mak masih lagi sakit di bahagian pinggang, sama macam dulu. Malah saya yang muda ini juga turut mewarisi sakit bahagian pinggang ini. Malah kadang-kadang, mak mengalami sakit kepala yang menyebabkan tidak boleh tidur malam langsung. Mak tak pernah berubah, sama macam dulu. Melayan saya sama macam saya masih lagi kanak-kanak, anak bongsu yang sangat disayanginya. Saya masih macam anak dara, anak bongsu mak dan ayah. Mak juga makin dimamah usia. Tak mampu lagi nak melakukan kerja-kerja berat seperti dahulu. Tapi mak juga penuh dengan kasih sayang yang melimpah-limpah. Saat tidur di tepi mak, tubuh mak yang maik tua itu saya peluk, pipinya saya cium berkali-kali. Saya renung muka mak yang menyimpan seribu satu erti. Ibu inilah yang telah membesarkan kami adik beradik dengan penuh susah payah. Beliau sangat tekun dan tabah. Sabar dengan apa saja yang menimpa.

Ayah dan mak dalam usia 'emas' mereka ini, saya perhatikan amalan ibadah mereka makin hebat. Sejak dulu lagi hampir 5 waktu mereka mesti berjemaah. Setiap kali lepas solat, mesti membaca Al-Quran. Setiap kali lepas Subuh, bacaan Yaasin akan dilaungkan setiap hari. Amalan tahajud dan dhuha tetap mereka amalkan sama macam dulu walau dalam keuzuran. Kuliah-kuliah dan forum-forum dan perbincangan agama dalam TV atau radio menjadi tentatif harian yang mesti mereka ikuti. Betapa hebatnya mak dan ayah. Mungkin inilah rahsia kejayaan mereka, membina rumahtangga yang cukup bahagia yang mampu bertahan hingga kini. Dalam usia 23 tahun saya ini, saya tak pernah melihat mak dan ayah bergaduh ataupun bertengkar. Nak melihat mereka berpisah berjauhan 3 hari sekalipun tak pernah. Mereka tak berpendidikan tinggi, namun anak-anak mereka dididik untuk mementingkan pendidikan dan pelajaran. Hasilnya saya kira cukup membanggakan. Mereka sangat hebat mendidik anak-anak mereka kerana mereka sangat dekat dengan Tuhan.

"Anak-anak ni amanah Allah, kena jaga elok-elok. Bukan sebab nak harap anak balas jasa kita, tapi sebab Allah yang suruh didik anak. Kena buatlah"

Jawapan mak tatkala saya mengucapkan terima kasih atas segala jasa beliau pada saya mendidik dan membesarkan saya. Saya juga mohon maaf pada mak kerana takut saya tak sempat balas jasa mak dan ayah.

Saya memang sangat takut kalau saya tak sempat membalas jasa mak dan ayah. Andainya mereka pergi dahulu ataupun saya yang mendahului mereka. Dulu, sebelum saya berkahwin pun, persoalan ini jugaklah yang selalu mengganggu saya. Orang kata, nak balas jasa mak ayah ni kena belajar sampai habis, kerja tinggi-tinggi, kemudian boleh bagi duit banyak-banyak kat mak ayah. Sebelum kahwin boleh la berbakti banyak-banyak kat mak ayah. Saya ni belum habis belajar lagi dah kahwin. Apatah lagi nak kerja lagi nanti, belum pasti lagi nasib saya macam mana. Bila nak balas jasa mak ayah?

Saya pasakkan niat, nak berbakti pada mak ayah sejak dari sekarang. Doakan mak dan ayah setiap kali lepas solat adalah wajib. Dengan berkahwin, sekurang-kurangnya saya dah terhindar dari dosa 'bercouple' dan sebagainya, yang mana dosa ini akan turut ditanggung oleh mak ayah. Saya dapat berikan seorang lagi 'anak' untuk mak ayah saya iaitu suami saya. Bertambah orang yang akan mendoakan mereka. Suami saya juga selalu ingatkan saya, perkahwinan kita ini akan memberikan manfaat yang besar buat mak ayah juga. Kami akan laksanakan sedayanya insyaAllah. Keutuhan rumahtangga, prinsip hidup suami isteri yang cukup harmoni antara mak dan ayah akan kami jadikan panduan. Merekalah pasangan terbaik untuk ikutan kami melayari bahtera rumahtangga ini.



Terima kasih yang tak terhingga buat mak dan ayah. Tiada kata lain yang mampu diungkapkan. Maafkan segala kesalahan dan kesilapan anakmu yang sorang ini.

Berbaktilah kepada ibu dan ayah kita sejak dari sekarang. Hargailah mereka tatkala mereka masih ada. Jangan jadikan perjuangan sebagai alasan mengabaikan tanggungjawab kita sebagai anak. Bijaklah melihat dan menilai keperluan.

Terima kasih juga buat suami tersayang atas posting terbaru beliau. Saya di Kedah hanya dimaklumkan beliau ada 'sesuatu istimewa' di blognya. Saya tidak mengagak apa-apa, ingatkan dia buat layout baru, ada video Al-Fateh yang baru atau lain-lain. Bila ada sahabat yang memberitahu, barulah saya tahu hal sebenar. Saya sangat takut sebenarnya. Kami masih di permulaan. Amat sangat baru bermula. Alhamdulillah ramai yang mendoakan agar kami istiqamah. Teruskan berdoa.

Semuanya menghimpit emosi saya. Mak ayah, suami, penghantaran memorandum bantahan isu agama asal anak ke YAB Najib TunRazak dan Ketua Hakim Negara, peristiwa ditipu di Puduraya, kembali bekerja di RAKL ini, semuanya menyebabkan saya bermain dengan emosi hari ini. Himpitan emosi.

Friday, April 3, 2009

Sekitar kenangan di Zoo Negara

Lama sangat-sangat dah saya nak ke Zoo Negara. Akhirnya suami menunaikan impian saya ini. Thanks sgt2 mera baya ;-) Alhamdulillah..Hebat sungguh ciptaan ALLAH pada binatang-binatang, haiwan-haiwan ini. Cukup menginsafkan...



HAIWAN-HAIWAN KESAYANGAN..

1) Bermula dengan ikan-ikan..


2) Group monyet, beruk, mawas dan yang seangkatan dengannya. Saya paling suka haiwan-haiwan bahagian ni. Aktif dan agresif.


3 ) Tiba di bahagian haiwan-haiwan yang besar, tinggi dan ganas-ganas..





Fakta menarik tentang Singa. 90 % kehidupannya akan dihabiskan dengan berehat dan tidur. Muhasabah buat kita. Adakah kita ingin jadi seperti singa ini? 2,3 kali kami round area situ, dia masih tertidur dengan nyenyak, tak bangun-bangun..

Cheetah vs Harimau Kumbang
Buaya yang sedang berehat-rehat

4) Bahagian haiwan yang jinak, baik dan selalu jadi pemangsa..

Kanggaroo yang bawak anak kat perut..
Kura-kura Gergasi

5) Alhamdulillah, sempat jugak kami menonton pertunjukkan singa laut yang cerdik secara percuma..

6 ) Tanpa disangka-sangka, kami juga terserempak dengan rombongan dari Kelab Bomba KISAS yang tengah membuat khidmat masyarakat di Zoo ini. Memang menarik. Aura KISAS dimana-mana..

Bersama Cikgu Norisah dan Miss Rajesh tersayang...


Adik-adik KISAS..