Monday, May 4, 2009

Himpitan Emosi

Saya benar-benar dihimpit emosi yang pelbagai. Tiga hari bercuti di kampung tercinta, nun jauh di Kedah sana, sekali lagi terpaksa berjauhan dengan suami tercinta dek kerana tuntutan perjuangan yang menuntut beliau kekal di sini. Saya redho, kuatkan hati melangkah pulang berseorangan ke kampung. Namun, saya menikmati saat-saat yang paling indah bersama mak ayah tercinta di kampung sana.

Saya bukan saja-saja hendak pulang ke kampung, sejak bergelar pelajar asrama semenjak dari tingkatan 1 hingga ke tingkatan 6 saya memang jarang-jarang pulang ke kampung. Apatah lagi sejak menuntut dan berjuang di bumi tarbiah waqafan, KISAS. Masuk ke 'Garden of Knowledge and Virtue' ni pun saya jarang pulang ke kampung. Setelah berkahwin ni pun, jarang-jarang jugak pulang. Sibuk berjuang mungkin.

Sejak dari 2,3 minggu yang lalu hati saya memang asyik meronta-ronta untuk pulang. Berita demi berita yang saya terima dari abang dan kakak-kakak saya tentang tahap kesihatan mak dan ayah saya terutama sekali ayah saya amat tidak menenangkan hati saya. Cukup untuk membuatkan saya tak keruan dan meniti, menghitung hari hendak pulang menjenguk dua insan yang terlalu amat berjasa dalam hidup ini. Dua tiga kali saya menangis disisi suami kerana risaukan mak dan ayah yang hanya tinggal berdua di kampung. Apakan daya lagi yang mampu saya lakukan.

Mak dan ayah tiga tahun yang lalu

Di kampung, sepenuh masa saya maknakan untuk bersama mereka. Saya urut jari-jemari ayah yang kesakitan. Urat-urat tua cukup jelas kelihatan. Sesekali beliau mengerang kesakitan. Tangan itu yang dulunya gagah memulas stereng teksi mencari nafkah untuk kami berenam nampak makin uzur dan lemah. Namun, tangan itu yang dulunya selalu membelai rambut saya dengan kasih sayang, hingga kini masih lagi penuh dengan kasih sayang. Tubuh ayah makin kurus, mungkin kerana penyakit kencing manis yang dideritainya selama beberapa tahun kebelakangan ini. Menitis airmata ini pertama kali menatap tubuh ayah yang makin kurus. Tetapi susuk tubuh itu, senyuman di wajahnya masih sama macam dulu, penuh kasih sayang. Usia yang kini mencecah 73 tahun, tidak memungkinkan saya untuk mengharapkan ayah yang sekuat dan segagah dulu. Yang mampu melakukan hampir semua kerja dengan tangannya sendiri. Ayah kini makin tua dan uzur, makin lemah. Hakikat yang saya perlu terima.

Emak pula hampir mencecah 67 tahun. Rambut beliau sudah tidak ada yang hitam, sudah putih kesemuanya. Mak masih lagi sakit di bahagian pinggang, sama macam dulu. Malah saya yang muda ini juga turut mewarisi sakit bahagian pinggang ini. Malah kadang-kadang, mak mengalami sakit kepala yang menyebabkan tidak boleh tidur malam langsung. Mak tak pernah berubah, sama macam dulu. Melayan saya sama macam saya masih lagi kanak-kanak, anak bongsu yang sangat disayanginya. Saya masih macam anak dara, anak bongsu mak dan ayah. Mak juga makin dimamah usia. Tak mampu lagi nak melakukan kerja-kerja berat seperti dahulu. Tapi mak juga penuh dengan kasih sayang yang melimpah-limpah. Saat tidur di tepi mak, tubuh mak yang maik tua itu saya peluk, pipinya saya cium berkali-kali. Saya renung muka mak yang menyimpan seribu satu erti. Ibu inilah yang telah membesarkan kami adik beradik dengan penuh susah payah. Beliau sangat tekun dan tabah. Sabar dengan apa saja yang menimpa.

Ayah dan mak dalam usia 'emas' mereka ini, saya perhatikan amalan ibadah mereka makin hebat. Sejak dulu lagi hampir 5 waktu mereka mesti berjemaah. Setiap kali lepas solat, mesti membaca Al-Quran. Setiap kali lepas Subuh, bacaan Yaasin akan dilaungkan setiap hari. Amalan tahajud dan dhuha tetap mereka amalkan sama macam dulu walau dalam keuzuran. Kuliah-kuliah dan forum-forum dan perbincangan agama dalam TV atau radio menjadi tentatif harian yang mesti mereka ikuti. Betapa hebatnya mak dan ayah. Mungkin inilah rahsia kejayaan mereka, membina rumahtangga yang cukup bahagia yang mampu bertahan hingga kini. Dalam usia 23 tahun saya ini, saya tak pernah melihat mak dan ayah bergaduh ataupun bertengkar. Nak melihat mereka berpisah berjauhan 3 hari sekalipun tak pernah. Mereka tak berpendidikan tinggi, namun anak-anak mereka dididik untuk mementingkan pendidikan dan pelajaran. Hasilnya saya kira cukup membanggakan. Mereka sangat hebat mendidik anak-anak mereka kerana mereka sangat dekat dengan Tuhan.

"Anak-anak ni amanah Allah, kena jaga elok-elok. Bukan sebab nak harap anak balas jasa kita, tapi sebab Allah yang suruh didik anak. Kena buatlah"

Jawapan mak tatkala saya mengucapkan terima kasih atas segala jasa beliau pada saya mendidik dan membesarkan saya. Saya juga mohon maaf pada mak kerana takut saya tak sempat balas jasa mak dan ayah.

Saya memang sangat takut kalau saya tak sempat membalas jasa mak dan ayah. Andainya mereka pergi dahulu ataupun saya yang mendahului mereka. Dulu, sebelum saya berkahwin pun, persoalan ini jugaklah yang selalu mengganggu saya. Orang kata, nak balas jasa mak ayah ni kena belajar sampai habis, kerja tinggi-tinggi, kemudian boleh bagi duit banyak-banyak kat mak ayah. Sebelum kahwin boleh la berbakti banyak-banyak kat mak ayah. Saya ni belum habis belajar lagi dah kahwin. Apatah lagi nak kerja lagi nanti, belum pasti lagi nasib saya macam mana. Bila nak balas jasa mak ayah?

Saya pasakkan niat, nak berbakti pada mak ayah sejak dari sekarang. Doakan mak dan ayah setiap kali lepas solat adalah wajib. Dengan berkahwin, sekurang-kurangnya saya dah terhindar dari dosa 'bercouple' dan sebagainya, yang mana dosa ini akan turut ditanggung oleh mak ayah. Saya dapat berikan seorang lagi 'anak' untuk mak ayah saya iaitu suami saya. Bertambah orang yang akan mendoakan mereka. Suami saya juga selalu ingatkan saya, perkahwinan kita ini akan memberikan manfaat yang besar buat mak ayah juga. Kami akan laksanakan sedayanya insyaAllah. Keutuhan rumahtangga, prinsip hidup suami isteri yang cukup harmoni antara mak dan ayah akan kami jadikan panduan. Merekalah pasangan terbaik untuk ikutan kami melayari bahtera rumahtangga ini.



Terima kasih yang tak terhingga buat mak dan ayah. Tiada kata lain yang mampu diungkapkan. Maafkan segala kesalahan dan kesilapan anakmu yang sorang ini.

Berbaktilah kepada ibu dan ayah kita sejak dari sekarang. Hargailah mereka tatkala mereka masih ada. Jangan jadikan perjuangan sebagai alasan mengabaikan tanggungjawab kita sebagai anak. Bijaklah melihat dan menilai keperluan.

Terima kasih juga buat suami tersayang atas posting terbaru beliau. Saya di Kedah hanya dimaklumkan beliau ada 'sesuatu istimewa' di blognya. Saya tidak mengagak apa-apa, ingatkan dia buat layout baru, ada video Al-Fateh yang baru atau lain-lain. Bila ada sahabat yang memberitahu, barulah saya tahu hal sebenar. Saya sangat takut sebenarnya. Kami masih di permulaan. Amat sangat baru bermula. Alhamdulillah ramai yang mendoakan agar kami istiqamah. Teruskan berdoa.

Semuanya menghimpit emosi saya. Mak ayah, suami, penghantaran memorandum bantahan isu agama asal anak ke YAB Najib TunRazak dan Ketua Hakim Negara, peristiwa ditipu di Puduraya, kembali bekerja di RAKL ini, semuanya menyebabkan saya bermain dengan emosi hari ini. Himpitan emosi.

6 comments:

Ustaz Nazmi said...

Salam...
Moga segala komitmen yang ducurahkan, bakal di nilai oleh Allah swt sebagai satu amal kebajikan..

AsRaRuLQalBi said...

salam Ziarah kak.. sedih dan terharu baca post terbaru kakak.. rindu nak balik kmpung semakin kuat.. ana juga seperti kakak sedang dihimpit emosi.. dengan exam yang semakin hampir, MQA untuk degree BPG yang tak settle2 lg, dengan tekanan dari persekitaran.. huhu, hanya Allah tempat mengadu.. mudah2an Allah permudahkan segala urusan kita..

Muhammad Hafizan bin Abd Hamid said...

salam juang..
smg Allah kuatkan kaki kita semua di jalan Nya..amin

BAYT AMZAR said...

salam perjuangan ukhti..

terharu baca cerita ni..
teringat dan semakin rindu pada mak abah di Malaysia.. risau juga bila dikhabarkan mak selalu sakit2.. hanya doa yang berpanjangan dapat dipohonkan dari krjauhan.. :(

ukhti, teruskan berjihad! InsyaAllah moga dipermudahkan segala urusan..amiin

mjhidayah said...

akak...
nangis saye bace post akak ni
saya pun terlalu menyayangi mereka berdua
terlalu besar korban mereka utk anak2.boleh tak nak mail akak?

saye jr akak ki dulu
hidayahjaini

Anonymous said...

Assalamualaikum sahabat..
salam dr uncle hussein...
Kuatkan Iman dengan byk ingat Allah dan mati.. mana tahu Allah Ambil nyawa kita dulu sblm kedua org tua kita..dan berbakti kpd org tua bkn hanya waktu mrk hidup..ttp jg selepas mrk tiada..Pahala yang brtrsn akan sampai kpd si mati dan antaranya doa dr anak yg solehah.. Jd lah anak yang solehah..taat kpd suami juga adalah hadiah pahala kpd ibu bapa kita..maka jdlah isteri yg solehah yg taat pd suami pd spnjg umur bersama..mnjg hak2 suami dan maruahnya..smg Allah memberkati hidup sahabat..amin..