Thursday, March 26, 2015

Musafir, Jalan Mendekatkan Diri Dengan Tuhan

Musafir, Jalan Mendekatkan Diri Dengan Tuhan

Saya berkahwin ketika berumur 22 tahun. Sebelum berkahwin, saya tak pernah naik kapal terbang pun sepanjang 22 tahun itu. Suami sayalah menjadi orang pertama yang membawa saya menaiki kapal terbang. 

Kami berkahwin pada tahun 2008. Tahun 2011 Fatihah lahir. Sepanjang dua tahun perkahwinan, kami tak berpeluang ke mana-mana negara pun. Hinggalah penghujung tahun 2011, kami bermusafir ke negara pertama iaitu Ireland bersama Fatihah yang ketika itu berusia 7 bulan.

Selepas itu bermulalah pengembaraan kami sekeluarga. Bermusafir ke 8 buah negara. Ireland, Turki, United Kingdom, Mesir, Jordan, Indonesia, Acheh, Singapura. Semuanya bersama Fatihah Wajihah. Dan kini, ketika Fatih berumur 5 bulan, kami berpeluang bermusafir ke Jepun pula. 

Kesusahan dan kesulitan bila bermusafir bersama anak-anak kecil menyebabkan pergantungan kita kepada Allah semakin tinggi. Zikir dan doa kita berpanjangan agar segala urusan dimudahkan Tuhan. Pelbagai persediaan perlu dilakukan 'extra' dari biasa, teknikal perkakas pelbagai, stroller, carrier, bekas air panas, beg-beg dan lain-lain. Rencam dan macam-macam. Emosi anak pula tak boleh diduga. Memilihlah untuk anda yang mempengaruhi emosi anak, bukan anak yang pengaruhi emosi anda. Aspek sunnatullah perlu buat persediaan ilmu dan teknikal, syariatullahnya solat hajat, zikir dan doa. Kemudian tawakkal dan redah.

Musafir sekeluarga amat jauh beza dengan musafir 'bujang' dan 'backpacker'. Tapi falsafahnya sama, musafir ini jika kita melihat dengan mata hati, ibrah sentiasa ada di mana-mana.

Saya bersyukur, walaupun saya kahwin awal, tak sempat nak bermusafir bersama kawan-kawan, tapi Allah hadirkan suami, mahram sah untuk bermusafir. Beliau pula memang jenis 'familyman' yang tak sampai hati nak tinggalkan isteri dan anak lama-lama. Walaupun beliau ada pilihan berbuat demikian. Kami bersyukur, walau dengan anak-anak, Allah izinkan kami terus bermusafir. Malah masa mereka belum ada, tiada rezeki musafir. Inilah yang orang katakan 'menumpang rezeki anak'.

Alhamdulillah, syukur. Musafir itu nilainya tinggi. Untuk yang mahu mencari kebesaran Allah dalam setiap inci ciptaanNya, baik alam mahupun manusia. Makin jauh perjalanan, makin luas pemandangan dan pandangan. Moga makin dekat dengan Tuhan.






Saturday, January 24, 2015

Sujud dan Syukur

Setiap hela nafas yang dikurnia, 
Adalah anugerah yang perlu disyukuri,
Amanah yang wajib diisi,
Kerna kita tak pernah tahu, bila ia akan ditarik pergi.

Sujud yang selalu,
Moga bukan hanya rutin atau disiplin,
Tapi lebih dari itu.

Sujud itu yang merata,
Moga adalah bukti cinta,
Kepada sang Pencinta,
Yang memliki cinta segala cinta.


Saya suka merantau, suka berjalan-jalan, suka bermusafir. Ada banyak sebabnya. Salah satunya adalah nikmat dapat sujud di pelbagai tempat. Walaupun kini dengan dua anak yang hebat, dan saya tidak punya masa bujang yang banyak untuk merantau satu ketika dulu. Saya mahu memanfaatkan setiap masa yang ada ini.

Moga setiap sujud itu nanti menjadi saksi kehambaan kepadaNya, menjauhkan batang tubuh kita dari api neraka.

Thursday, January 22, 2015

Jurnal SYUKUR

JURNAL SYUKUR..

Pagi-pagi begini di saat mungkin ada ibu-ibu lain yang perlu bekerja, terpaksa tinggalkan anak kepada pengasuh atau taska, saya setiap masa 24 jam menjaga anak syurga ini. Nikmat yang wajib disyukuri.

Anak depan mata, pagi-pagi uruskan rumah dulu, lipat baju, masak dan buat apa yang patut. Nanti jam 2 petang lepas selesai semua urusan rumah, baru masuk 'ofis' di rumah ini untuk kerja-kerja research dan parti saya.

Alhamdulillah untuk nikmat masa dan kesihatan, nikmat umur ini. Walaupun memang kadang-kadang hati saya nak sangat bekerja macam orang lain. Namun buat masa ini, ini yang terbaik buat saya insyaAllah. Syukur, gandakan amal soleh untuk bekal ke sana.



Wednesday, January 21, 2015

MasyaAllah, ini blog saya!

Assalamualaikum wbt,

 Kali terakhir membuat posting di blog ini adalah pada 26 Januari 2011, dan hari ini ialah 21 Januari 2015. Hampir 4 tahun saya tak update blog!

Terlalu banyak yang dilalui sepanjang 4 tahun ini. Dan kerana dorongan dari suami dan perasaan dalaman yang membuak-buak, saya kembali berhasrat untuk menghidupkan kembali penulisan di blog ini, insyaAllah. Tak pasti siapa yang masih sudi untuk membaca blog yang begini, tapi insyaAllah saya yakin akan ada manfaatnya buat saya dan moga ada sedikit manfaat juga buat orang lain yang membacanya. Terutama untuk tatapan anak-anak saya bila mereka sudah pandai membaca nanti :)

Kehidupan saya kini didampingi oleh dua orang anak, Fatihah Wajihah Muhamad Syaari (4 tahun pada Mei 2015 ini) dan Aqeel Muhtadi Al Fatih Muhamad Syaari (4 bulan pada 23 Januari ini). Ini gambar terbaru keluarga kami :)