Sunday, November 2, 2008

Aku akan ke sana....


Aku cepat-cepat menempah katil pilihan hatiku.Kalau lambat,nanti tak dapat katil yang aku nak.Lalu aku letak semua barang-barang aku atas katil.

Memang keadaan yang biasa macam ni setiap kali bermula penggal persekolahan yang baru.Selepas selesai sesi pendaftaran asrama,masing-masing akan cepat-cepat naik ke dorm masing-masing untuk memilih katil pilihan.Ada yang mahukan katil atas,ada yang mahukan katil bawah.Siapa cepat,dia dapat.

Aku macam biasa kali ni,dapat dorm yang sama lagi.Dorm E-24 di Blok E Asrama Puteri KISAS.Sedang aku sibuk mengemas barang-barang aku,tiba-tiba datang seseorang menghampiri aku.Susuk tubuh yang amat aku kenali.Raut wajah yang amat aku rindui.


“Hang dah tak ingat kat aku ka?Tak tempah katil untuk aku pun”,katanya dengan nada sedih.Raut wajahnya juga sedih dan sayu..Kemudian,semuanya hilang…


Ya Allah,inilah mimpiku semalam yang hingga kini masih segar dalam ingatanku.Mana mungkin aku dapat melupakannya dengan mudah.Insan yang datang menyapa ku dalam mimpi tersebut adalah Arwah Siti Sopuriah bt Abd Hamid,sahabat baik dunia akhiratku yang telah kembali ke Rahmatullah 4 tahun lalu pada tanggal 04 Febuari 2004.Tarikh yang sama perkenalan kami,2tahun sebelumya,04 Febuari 2002 kami mula berkenalan ketika sama-sama masuk mendaftar di Tingkatan 4 di Kolej Islam Sultan Alam Shah,bumi waqafan tercinta.Beliau meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di kampungnya sejurus selepas seminggu kami balik dari satu program di Kuala Lumpur setelah tamat peperiksaan SPM di KISAS.


Siti,teman yang terlalu baik buatku.Teman yang dua tahun sebilik,sekatil denganku.Yang berkongsi suka duka,segalanya denganku.Malah antara orang penting yang telah memperkenalkan aku dengan perjuangan Islam yang indah ini.Apa lagi yang mampu aku coretkan untuk menggambarkan betapa berharganya dia buatku.Malah,kami juga pernah berniat sama-sama untuk meneruskan perjuangan di Tingkatan 6,STAY di KISAS.


Namun,takdir mengatasi segalanya.Allah lebih menyayangi Siti lebih dari aku menyayanginya.Pemergiannya yang mengejut,amat sangat menyentap hatiku.Malah mudah benar emosiku terganggu bila mengenangkan yang pagi sebelum dia meniggal,dia mengejutku untuk qiam bersama-sama.4 jam kemudian,aku mendapat berita kematiannya.Apalah daya ketahanan emosiku ketika itu untuk menerima semua ini.


Hampir 4 tahun semua itu telah berlalu.Namun hingga saat ini,gambaran tubuhnya dalam kain kafan,wajahnya yang bersih ketika itu masih lagi segar dalam ingatanku.


Mimpiku semalam mengingatku kembali pada Siti.Amat sangat aku merinduinya.Amat sangat aku rindu untuk bercakap,menyentuh dan memeluk Siti.

Mimpiku semalam juga merupakan peringatan buatku yang sering alpa.Yang mungkin sudah lama tidak menyedekahkan Al-Fatihah,bacaan Yaasin buat sahabatku ini.

Mimpiku semalam juga mengingatkan aku yang Siti sudah ke sana,sampai masanya aku juga akan ke sana.Cuma masanya aku tak pasti.Mungkin sudah dekat,Siti datang mengingatkan aku…

Aku sibuk melakukan pelbagai persediaan.Janganlah diri ini lupa untuk melakukan persediaan untuk pergi ke sana.Setiap insan akan merasainya.Setiap insan pasti ke sana..Aku jua akan ke sana...Ya Allah....



Al-Fatihah buat sahabatku,Siti Sopuriah...(kiri sekali..)


Friday, October 31, 2008

"Life Reform...?"

Lama tidak mencoret,kekangan melakukan 3 persediaan dalam satu masa menjadi benteng alasan yang kukuh ; persediaan final exam,persediaan pengukuhan ’future leader’ dan persediaan mental dan teknikal untuk bertukar ‘status’..Maju setapak menaiki anak tangga pembinaan Baitul Muslim,menuruti hiraki pembinaan Daulah Islamiyah yang sudah digariskan oleh As-Syahid Imam Hassan Al-Banna..

Semua memerlukan persediaan yang rapi,teliti..mentally and physically.

Persediaan menjadikan kita lebih yakin berhadapan dengan segala benda.

Persediaan membezakan kita dengan individu yang tidak bersedia.


Ini baru menceritakan persediaan hidup di dunia.Belum lagi cerita persediaan kita untuk hidup di akhirat sana yang segalanya belum pasti buat kita..


SELAMAT BERJUANG DALAM FINAL EXAM buat semua sahabat2 di kampus UIAM dan juga kampus2 lain..Buatlah yang terbaik kerana Allah demi perjuangan Islam!

Moga kita semua dikurniakan nikmat menuntut ilmu yang sebenar..

”No one can produce great things who is not thoroughly sincere in dealing with himself”

Tuesday, October 14, 2008

NOTIS PRK PALSU ??

Baru semalam seronok saya menulis pasal notis pasal PRK kat UIAM yang dah keluar.Disebalik macam-macam teka teki tarikh,ingat ke dah terjawab dengan notis semalam..
Tapi rupanya...

Ada yang mengatakan bahawa notis itu palsu..Memang saya dah sebut sebelum ni,notis tu pelik dan amat meragukan.Just atas kertas putih biasa (tak macam notis PRK yang sebelum ni selalunya berwarna).Then,sizenya pun just size A4 je.Biasanya size A3 kalau notis2 penting dari pihak pentadbiran.Then jugak,banyak kesalahan seperti numbering dan susunan maklumat tue.Beberapa maklumat penting juga 'tiada'.

Seorang kawan saya cuba bertanya terus pada pihak S-DEV (student development) unit pentadbiran UIAM yang bertanggungjawab.Mereka menafikan notis PRK telah dikeluarkan.

Jadi,inilah propaganda yang telah bermula nampaknya.Entahlah dari siapa..
PRK akan lebih 'best' dengan pelbagai propaganda ! :-)

Monday, October 13, 2008

ELECTION FOR IIUM - 17th OCTOBER 2008

Selepas beberapa lama berteka-teki dan menanti-nanti,akhirnya hari ni keluar gak notice pasal PRK di bumi UIA yang bertuah ini..

An election for the srudents' representative council 2008/2009 shall take place on 17th October 2008 as determined by Ministry of Higher Education.

Nomination form could be collected start from 13th October (2.00pm-7.00pm) until 14th October 2008.

Specific time for campaign duration not mentioned in the notice.



Nantikan pelbagai lagi aksi menarik dari pentadbiran UIAM berkaitan PRK ini selepas ini.First notice saja pun dah agak 'pelik' appearancenya...


Perang PRK bermula..
JOM BERJIHAD!!!!!!

Saturday, October 11, 2008

SRK ku @ SRK Rosmah..???

SRK ku @ SRK Rosmah….

Lama saya tak sebut SRK ni..kalau dulu masa menengah rendah (ms zaman2 jahiliah..)penuh buku-buku,barang-barang peribadi,segala benda,nickname saya ditulis dengan short form SRK 3:16..Bila terbaca isu semalam teringat balik saya pada segala kenangan-kenangan lama..

SRK tu short form Shah Rukh Khan,hero bollywood ,3:16 plak nombor yang selalu Stone Cold Steve Austin pakai..mcm no bertuah dia.Kenal Stone Cold..?Salah seorang penggusti yang cukup saya minati suatu ketika dulu..sekali lg,zaman jahiliah lebih kurg..
Lepas saya dapat tau yang 3:16 tu adalah verse dalam kitab bible yg jadi pegangan Stone Cold,terus saya tinggalkan..itulah yang dikatakan jahiliah..sekali lagi..

SRK dah dapat Datuk ! Melopong saya baca berita ni.Gembira,suka,kemudian jadi pelik,hairan,kemudian jadi risau,semua ada..Sebagai peminat no 1 dia dulu..(skrg..???)memanglah saya gembira.Kalau dulu,sehari 3x tengok filem Dil To Pagal Hai tu pun tak jemu-jemu langsung.Tapi rasanya Datin Rosmah wife Dato’ Najib mesti lagi gembira dari saya.Dia lagi minat SRK.Pernah saya tgk gambar dia,siap boleh berlaga pipi dengan SRK lagi masa SRK datang Malaysia.Minat sungguh dia.Dia minat bollywood.Kalau Najib jadi PM nanti,kalaulah sempat..mesti dia lagi senang jemput SRK..Skrg pun dah macam ada kempen "Anti Najib" jugak..Datin Rosmah ni banyak bagi 'back fire' pada Najib.Kesian jugak kat Najib..

Ramai yang tak puas hati isu ni.Yelah,siapalah SRK tu untuk Malaysia,apa sumbangan dia yang melayakkan dia dapat gelaran ‘Datuk’.Saya setuju dengan pendapat ni.

Keduanya,punyalah ramai yang dapat gelaran Datuk skrg ni,dah tak terkawal dah.Dah jadi tak berharga dah gelaran Datuk tu kalau dah ramai sangat orangnya,malah tak dinilai betul-betul kelayakan orang itu untuk mendapat Datuk..bersepah-sepah jadinya.Manusia memang macam tu.Suka kejar ‘nama’ dan ‘gelaran’.

Apapun,TAHNIAH lah untuk SRK..Dia bukan salah apa pun.Dia tak mintak pun gelaran tu diberi kepada dia.Dah orang nak bagi..Jadi,sape yang salah sebenarnya..?

SRK tu yang saya nampak,orang yang jenis kerja kuat.Setakat dok mengikuti perkembangan dia dulu,memang sikap dia sangat komited dengan kerja.Komited dengan family.Tak lah ada banyak sangat masalah moral macam Salman Khan ke,macam Sanjay Dutt ke..Tapi sudah tentu dia bukanlah contoh muslim terbaik yang boleh dicontohi..Jap,muslim lg ke..? Tak pasti,dah lama tak ikut perkembangan dia.Masa jahiliah dulu je..sekali lagi.

Ambiklah apa yang sikap yang baik yang ada pada SRK.Kalau kita rajin,komited dengan kerja,sanggup susah payah,mesti kita dapat jadi org hebat dan berjaya.Percayalah.Macam SRK dalam ’dunianya’...

-saja tulis pasal SRK,sbg bekas peminat dia..

Friday, October 10, 2008

..........................................

Selepas menyambut hari lebaran Idulfitri bersama keluarga tercinta,hati ni hilang langsung untuk menulis apa-apa di coretan maya ni.Bukan tidak ada isu yang hendak diulas,.perkembangan politik makin menarik,UMNO dengan PakLah dah nak resign n pemilihan kepimpinan barunya,PAS dengan ‘permukimannya’ di Langkawi untuk kembali duduk sekali satukan fikrah setelah macam-macam pertembungan terbuka para pimpinannya,dengan tafsiran Surah Al-Anfal lagi, krisis ekonomi pulak makin meruncing kejatuhan sikit demi sedikit sistem kapitalis yang diagung-agungkan dulu, gendang PRK pun makin terasa,walau tarikh sebenar terus menjadi rahsia,entah apalah yang perlu sangat dirahsiakan,pelik sungguh..namun..bila hati tak berkehendak,tak tertulis lah ape2 pun…


Idulfitri yang bermakna...

Idulfitri yang sangat bermakna buat diri saya.Yang tak pernah sama dengan Idulfitri sebelum belumnya.Tidak akan pernah sama.Keputusan besar yang dibuat keluarga saya memihak kepada saya..Jutaan syukur sahaja yang mampu dipanjatkan.Walau hati gentar,tapi saya redah je..Terasa benar,betapa pentingnya sebuah keluarga dalam episod perjuangan ini.Terasa amat,tanpa keluarga yang memahami dan menyokong,entah apalah yang akan terjadi pada saya dan entah apalah yang saya akan rasakan..

Setinggi penghargaan yang tak kan mampu membalas segala jasa kalian..


Mak yang teramat disayangi,ayah yg teramat dikasihi..

Abang Pi’e,Kak Nah,Kak Net,Kak La,Kak Bitah..

Kak Mariah,Abg Razak,Abg Latip,Abg Wan,Abg Harrith..

Luqman (anak sedara yg sgt byk membantu) dan semua 17 org anak sedaraku yg lain..


Hari ni 10/10/2008…genap 2 bulan akan datang…

Ya Allah,mudahkan urusan kami.


Hikmah sakit..

Disebalik kegembiraan dan kesyukuran yg saya dapat di kg kat Kedah sana,sampai saja bumi UIAM ni,saya diserang demam,selesema yang sangat teruk.Terasa perit amat sangat dah..padahal demam+selesema je.Bukan terkena penyakit serius yang merbahaya apa lagi pun.Tapi itulah,2 nikmat yang selalu manusia lupa,tak guna betul2 bila ada dengannya.Bila dah takde,baru amat terasa.Nikmat sihat antaranya..Teringat sangat pada orang-orang lain yang ditimpa pelbagai penyakit,malah mungkin ada yang menderita penyakit tersebut seumur hidupnya..Betapa beruntungnya saya,betapa wajib bersyukurnya saya ni..

Tak dilupa,doa yang berpanjangan saya kirimkan buat sahabat seperjuangan sejak dari KISAS lagi,Al-Akh Mohd Faridzul Mohd Nasaruddin yang kini dirawat di PPUM..Sakit yang sebenar belum dapat di ’diagnose’ lagi tapi setakat yang saya dengar,ada kaitan dengan saraf.Dia sms mintak doakan dia..Ukhuwwah dalam persahabatan ni,tak perlu sampai sahabat mintak kita doakan dia,tanggungjawab kita untuk sentiasa doakan sahabat kita..Saya doakan..sentiasa doakan sahabat-sahabat..Sahabat-sahabat KISAS,sangat dekat di hati saya..


Kesibukan yang biasa melanda..

Rasa macam minggu ni saya sangat tak terurus dan sangat sibuk.Bila fikir balik,bila yang saya tak sibuk..selalu je sibuk..Cuma kadang2 sibuk yang terurus dan adakalanya tidak..

Banyak test minggu ni,dengan banyak subjek yang perlu di’cover’ untuk final.Makin tak menang tangan,tapi saya nak menang dalam akademik..

AGM Maaruf Club yang akan berlangsung 13hb Oktober 2008 ni terus dalam progress.Bukan mudah jugak mengurus suatu AGM.Mg semuanya berjalan lancar dalam redho Allah..

Kerja-kerja Majlis Tarbiah dan Kepimpinan Nasional (MTKN) GAMIS jugak perlu diteruskan.Kesian kat pengerusi MTKN yang selalu followup saya dan ’ketua’ saya yang memang jugak dikalangan orang-orang yang maha sibuk.Tapi,bila ada keikhlasan,rasa seronok nak bekerja,jadi mudah je,InsyaAllah...

Final Public Speaking and Contemporary Issues class hari Sabtu ni.Banyak lagi yang nak kena buat research untuk buat text speech..Minggu ni saya bagi speech tajuk "PAKLAH SHOULD STEP DOWN NOW".Esok tu terus Pak Lah wat pengumuman.Macam dia dengar-dengar je speech saya..


Entah kenapa pagi ni banyak sangat coretan peribadi..Saya tak berapa suka sebenarnya blog saya banyak catatan peribadi.Tapi adakalanya,inilah tempat untuk ’melepaskan’ apa yang tersemat di ’dalam ini’..


YA ALLAH..

Aku merancang,Engkau juga merancang,tapi perancanganMu adalah yang terbaik..

Ya Allah,kurniakan semngat JIHAD yang tinggi buatku..


-srikandiharakah@F3.3,Asiah-

Friday, September 26, 2008

SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDULFITRI..

Lagi 4 hari nak raya..
Ramadhan semakin pergi meninggalkan kita..
Mungkinkah sempat bertemu Ramadhan akan datang..??

SELAMAT MENYAMBUT AIDILFITRI
MAAF ZAHIR BATIN

Mg Idulfitri kali ini penuh makna..

-srikandiharakah-

Tuesday, September 23, 2008

PAS yang UNIK,PELIK,AJAIB..

PAS yang UNIK,PELIK,AJAIB..


Pertembungan demi pertembungan pendapat dan pandangan dikalangan pimpinan-pimpinan PAS mutakhir ini menjadikan saya rasa semakin ‘kenal’ PAS.PAS semakin menjadi sebuah ‘parti politik’ (political party) yang seharusnya bergerak dengan ‘cara’ dan ‘kaedah’ parti politik bukan sehanya-hanya bergerak sekadar Jemaah Islam.

Beza antara sebuah Jemaah Islam yang terjun ke dunia politik sangat berbeza dengan Jemaah Islam yang hanya berlegar di ruang tarbiah,dakwah tanpa ada satu usaha besar dan bersungguh-sungguh untuk terjun ke medan politik siasah.

PAS merupakan satu-satunya sebuah Jemaah Islam di Malaysia ini yang terjun ke dunia merebut kuasa politik secara ’directly’ dengan bertanding dalam pilihanraya.Sebab itu,PAS ini sebenarnya sangat ‘unik’,’pelik’,’ajaib’ dan seolah-olah banyak masalahnya bilamana PAS mula bergabung dalam keluarga besar Pakatan Rakyat kini.Ini kerana PAS pada asalnya dan selamanya adalah Jemaah Islam sedangkan parti-parti yang lain tidak seperti PAS.Mungkinkah PKR boleh dikatakan Jemaah Islam?DAP dah tentu ‘out of service’ dah..jd,mmg PAS sangat ‘unik’ dan hanya ‘satu’ parti yang mcm PAS ni di Malaysia.

Justeru,bila bergerak sebagai Jemaah Islam dan juga dalam masa yang sama merupakan sebuah parti politik,sudah tentu memerlukan kepada satu ‘keupayaan’ yang luar biasa dikalangan penggerak-penggerak parti,dikalangan pendokong-pendokongnya dan juga penyokong-penyokong akar umbinya.Perlu ada satu ‘kesediaan’ minda untuk bergerak sebagai Jemaah Islam dalam kerangka sebuah parti politik.Bergerak dalam ‘nature’ sebenar parti politik yang sudah tentu memerlukan kepada pelbagai strategi,idea-idea bernas,penggerak2 yang berkaliber,mendapatkan sokongan majority rakyat,menawarkan service yang terbaik dalam usaha untuk mendapatkan kuasa untuk melaksanakan agenda.

Dalam segenap aspek,untuk menggerakkan PAS sebagai sebuah parti politik ini,sudah tentu adatnya akan berlaku pelbagai pandangan dan percambahan pendapat.Even dalam hal kecil sekalipun,biasa berlaku khilaf sebegini.Inilah yang nampaknya sedang berlaku kini apatah lagi dalam soal melakukan ijtihad besar dalam usaha untuk mengambil alih kuasa pentadbiran negara Malaysia yang tercinta ini.Justeru,perbezaan pandangan yang mungkin kita lihat berlaku dikalangan pimpinan PAS mutakhir ini seperti Dato’ Mustapha Ali,TG Nik Aziz,YB Khalid Samad, adalah perkara biasa yang wajar berlaku dalam sebuah parti politik.Cumanya,ianya seolah-olah mendapat publisiti yang meluas,dicanang-canang,dibesar-besarkan dan digembar-gemburkan pula.Seolah-olah ada pihak yang tengah berseronok melihat ini semua berlaku.Padahal,semua memberi pandangan atas ‘stand’ peribadi sendiri tidak kisah lah apa saja jawatan mereka dalam parti tetapi selagimana mereka tidak mengeluarkan kenyataan bahawa mereka mewakili parti atau mana-mana bahagian atau jabatan dalam parti maka seharusnya dianggap sebagai satu pandangan peribadi.Dalam negara demokrasi(walaupun tak la subur sgt) seperti di Malaysia ini,apa salahnya memberikan pandangan peribadi?Even mereka berasal dari satu parti yang sama,tetapi selagimana pandangan itu bukanlah bercanggah dengan keputusan dasar parti yang telah diputuskan,maka kita seharusnya melihat ianya sebagai satu benda yang positif yang sihat yang tengah berlaku.

Tetapi mungkin ramai yang akan mengatakan bahawa perkara yang menjadi percanggahan kini telah melibatkan perkara dasar parti.Mungkin dalam soal ’hubungan dengan Pakatan Rakyat’ atau pun sebenarnya cuma taktikal tarikh 16 September?Perlu diteliti dan dikaji serta diamati subjek matter yang menjadi pertelingkahan itu sebenarnya sebelum dengan cepatnya membuat judgment.Kita seharusnya tidak boleh dan tidak perlu cepat melatah,melihat percanggahan ini sebagai satu perpecahan besar yang akan berlaku,justeru mula melabel-label erbakan,erdorgan dan sebagainya di dalam PAS ini.Apa yang berlaku adalah pertembungan cara berfikir dan mentafsir,bukan pertembungan antara dua kumpulan.Jangan kita membentuk-bentukkan kumpulan itu,setelah pastinya memang akan ada golongan-golongan yang berniat jahat untuk melaga-lagakan pimpinan-pimpinan PAS maka kita secara tak langsungnya mengiktiraf kumpulan-kumpulan ini dan kemudiannya menyokong usaha jahat ini.

PAS akan sentiasa di landasan yang betul dan benar selagimana dasarnya dan identitinya sebagai sebuah Jemaah Islam tidak berubah.Ini keyakinan berdasarkan jaminan Allah Taala.PAS terus bertahan sebagai sebuah parti politik setelah mengalami proses turun naik yang sudah berkali-kali namun masih kekal tidak seperti parti-parti lain seperti Semangat 46 dan lain-lain bukan kerana ianya sebuah parti politik tetapi kerana PAS merupakan sebuah Jemaah Islam.Dalam usrah semenjak di sekolah lagi,saya selalu di ingatkan agar jangan melihat PAS sekadar sebuah parti politik tapi lihatlah PAS sebagai sebuah Jemaah Islam.kerana itulah sebenarnya PAS.Justeru,walaubagaimana berlaku percanggahan pendapat dan pertelingkahan pandangan dalam PAS ianya boleh disatukan dengan metodologi Jemaah Islam.Cuma PAS perlukan semua pandangan dan pendapat ini untuk bergerak dengan lebih progresif dan dinamik sebagai sebuah parti politik.Jangan disekat peranan yang perlu dimainkan ini sewenang-wenangnya dengan alasan Jemaah Islam yang perlu wala’,taat dan sebagainya.Sebaliknya,berhati-hati lah dan berteliti lah.

Apa yang wajar dilakukan,semua ahli PAS yang faham PAS sebagai Jemaah Islam,seharusnya faham apa yang perlu dibuat.Ahli PAS yang hanya kenal PAS sebagai parti politik juga boleh terus menyokong PAS sebagai parti dan janga
n berbelah bahagi.Yakinlah dengan PAS keranadasar Islam nya.Wallhu'alam..sekadar pandangan peribadi saya..

Monday, September 22, 2008

.................................


Ramadhan semakin berlalu pergi…

Ya Allah,makin cepat masa berlalu

Sedetik masa berlalu,selangkah menuju maut..


Dah agak lama tak update blog ni,masalah wireless yang terganggu menyebabkan saya juga terganggu..tp mungkin juga sekadar alasan kerana memang hati ini kadang-kadang takde hati nak update blog..semua manusia normal yg ada blog merasainya..saya rasa..


Ramadhan makin berlalu pergi.10 malam terakhir,PELEPASAN DARI API NERAKA..Betapa agungnya Allah Taala yang tak habis2 cuba memberi peluang dan ruang kepada hamba-hambaNya untuk terus mendapat kasih sayangNYA..Dalam Ramadhan yang teramat mulia ini,Allah bagi kita RAHMAT di awalnya..siapa yang terlepas rahmat Allah ini,boleh mohon PENGAMPUNAN,MAGHFIRAH di pertengahannya..namun pada siapa2 yang jugak terlepas kedua-dua fasa ini,ada lagi fasa terakhir,yang Allah janjikan dengan PELEPASAN DARI API NERAKA..Kita banyak dosa,kita kurang amal,kalau beramal pun belum tentu diterima kerana banyak cacat cela,tak ikhlas dan sebagainya.Apa lagi yang diharap melainkan Allah bagi pelepasan kita dari api neraka..tempat pengembalian yang terburuk yang amat ngeri dan menakutkan..Allah bagi ‘bonus’ lagi di saat2 akhir ini dengan Lailatul Qadar..Betapa Ar-Rahim nya Allah Taala..


Marilah sama-sama kita merebut peluang ini,yang mungkin tak semua orang dapat kali ini,yang juga belum tentu kita dapat yang akan datang…

Ramadhan Kareem…

Saturday, September 13, 2008

ISA MENGGILA...

Ramai antara kita yang mungkin ‘familiar’ dengan ISA ini.Apatah lagi dengan ‘iklim politik’ terkini Malaysia yang menyaksikan 3 mangsa terbarunya telah ditangkap (mungkin akan ada lagi).Saya disini sekadar ingin membantu,sesiapa yang mungkin masih belum benar-benar mengenali siapa ISA ini,tapi agak malas untuk mencari maklumat-maklumatnya,bolehlah membaca fakta-fakta penting ini untuk ‘berkenalan’ dengan ISA yang tengah menggila sekarang ni dengan lebih mendalam.Penting untuk kita memiliki 'ilmu' sebelum 'serang semberono' saja terhadap ISA ini.Macam orang selalu kata,'serang tak pakai helmet' ;-)



Nama diberi Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 atau sangat glamour dengan Internal Security Act (ISA)

Sedikit sejarah ISA…
Satu akta yang pada awalnya telah dirangka oleh R.H Hickling yang merupakan bekas Pesuruhjaya Penggubal Undang-Undang Malaya yang telah menolong mendrafkan Perlembagaan Malaya, Deklarasi Merdeka dan Kod Tanah Kebangsaan.Kemudian akta ini secara rasminya dijadikan sebagai undang-undang pada tahun 1960.

ISA ini pada masa mula diperkenalkan,terdapat peruntukan yang membenarkan kajian semula dilakukan.Hasilnya,sejak digunakan,hampir 20 kali
telah dipinda dan akhirnya peruntukan untuk kebenaran kajian ini telah dikeluarkan. Kuasa mutlak telah diberikan kepada Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri (Dato’ Seri Syed Hamid Albar skrg) membolehkan beliau menangkap sesiapa pun, tanpa merujuk kepada mahkamah.

Tempat tahanan..
Tahanan ISA ini biasanya diletakkan di bawah tahanan di Pusat Tahanan Kamunting

Penahanan....
Sesiapa pun boleh ditahan oleh polis selama 60 hari berturut-turut tanpa perbicaraan untuk tindak-tanduk yang dijangkakan mengancam keselamatan negara atau mana-mana bahagian daripadanya. Selepas 60 hari, seseorang tahanan itu boleh ditahan lagi selama te
mpoh dua tahun jika diluluskan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, dan sekaligus membolehkan penahanan terus tanpa perbicaraan. Pada tahun 1989, kebolehan mahkamah untuk menyiasat kuasa Menteri di bawah peruntukan ini telah dihapuskan dengan beberapa pindaan kepada Akta ini. Pada masa kini, mahkamah boleh melihat semula hanya perkara-perkara teknikal sahaja berkenaan sebarang penahanan di bawah ISA.

Penyeksaan....
Penyeksaan dilaporkan menjadi sebahagian daripada kehidupan harian tahanan ISA. Mereka yang pernah ditahan menyatakan bahawa mereka telah didera secara fizikal dan mental yang termasuk salah satu daripada senarai ini: pukulan, penanggalan pakaian, soal siasat 24 jam, ketidakbenaran tidur, ancaman bunuh, ancaman deraan fizikal pada ahli keluarga termasuk ancaman rogol kepada anak mereka. Juga, tahanan diletakkan secara individu dalam sel penjara kecil tanpa cahaya dan udara, dalam yang dipercayai menjadi sel tahanan rahsia. Teknik dan aksi penyeksaan ini direka untuk memaluka
n dan menakutkan tahanan supaya mendedahkan kekurangan dan memecahkan pertahanan mereka

Pembebasan..
Kerajaan boleh membebaskan tahana
n tanpa bersyarat, dalam sesetengah kes, ia telah menuntut mereka yang dibebaskan untuk membuat "pengakuan" umum di televisyen dan radio.

Section ’hot’ (relevant section)....
Sect 8-Power to order detention or restriction of persons.
"(i) If the Minister is satisfied that the detention of any person is necessary with a view to preventing him from acting in any manner prejudicial to the security of Malaysia or any part thereof or to the maintenance of essential services therein or the econom
ic life thereof, he may make an order (hereinafter referred to as a detention order) directing that that person be detained for any period not exceeding two years."
Section 73(1) Internal Security Act 1960
"Any police officer may without warrant arrest and detain pendi
ng enquiries any person in respect of whom he has reason to believe that there are grounds which would justify his detention under section 8; and that he has acted or is about to act or is likely to act in any manner prejudicial to the security of Malaysia or any part thereof or to maintenance of essential services therein or to the economic life thereof."

Kritikan terhadap ISA (ulasan dari press statement Presiden Bar Council yang terkini) :
1) ISA is a draconion and undemocratic
2) Pdetention laws should not be invoked under any circumstances
3) Violate fundamental rights
4) Unconstitutional and oppressive

5) Not upholds ‘rule of law’

Kes terbaru…
Dalam kes penahanan Raja Petra Kamarudin,Tan Hoon Cheng (wartawa
n Sin Chew Daily) dan Teresa Kok,mereka bertiga ini semuanya ditahan bawah section 73(1) yang telah saya sebutkan diatas tadi dan atas alasan menimbulkan ketegangan kaum untuk Tan Hoon Cheng dan Teresa Kok,manakala atas alasan menghina Islam untuk Raja Petra Kamarudin.


Yang pelik...

1) Datuk Ahmad yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman,di’lawan’ pulak oleh Tan Sri Khoo Tsu Koon,tapi akhirnya,yang tukang report berita pasal tu,wartawan Sin Chew Daily Tan Hoon Cheng yang kena tahan ISA.Kalau mereka tak keluarkan kenyataan,takkan si wartawan ni nak buat laporan?

2) Baru-baru ni je,Menteri Datuk Rais Yatim ada komen yang dia tak setuju kalau Datuk Ahmad dikenakan ISA sebab dia kata akan bagi kesan yang besar kepada ‘rule of law’ dan sepatutnya melalui proses undang-undang yang macam biasa...
Tapi,akhirnya tiga mangsa ’pembangkang’ ini yang kena ISA.Adakah penahanan mereka ini tidak memberi kesan kepada ’rule of law’?Adakah mereka ini tidak berhak untuk menjalani proses undang-undang seperti biasa?Datuk Ahmad tak kena ISA pun..


Friday, September 12, 2008

BIASA-BIASA kepada LUAR BIASA

Biasa-biasa kepada Luar Biasa.


Dalam hidup kita ni,kena selalu ada niat dan kesedaran serta ’passion’ yang maha hebat untuk sentiasa berubah menjadi lebih baik.


Saya sendiri sejak mula menulis blog ni,rasa sangat rendah diri dengan semua blogger2 lain yang ada.

Siapalah saya nie..orang dah bertahun-tahun ada blog saya baru nak buat blog.Lepas tu masa buat tu pulak atas dasar ’paksaan’ secara tak langsung.Akhirnya saya tercari-cari sendiri makna saya ada blog ni.Saya memaknakan (re-define) blog pada hemat saya sendiri.Antaranya hasil pandangan salah seorang kawan saya yang mengatakan kepada saya bahawa kita menulis bukan nak tunjuk hebat pada orang lain,kita menulis apa saja yang kita suka untuk kepuasan kita.Andai ada orang lain baca,dapat sedikit manfaat,Alhamdulillah,kita bersyukur.Kita buat semua kerana Allah..LILLAHITAALA..


Pagi td dalam kelas Criminal Law,Deputy Dean AIKOL,Dr Iqbal membebel-bebel pada kami kerana jawapan kami yang teruk pada test yang lepas.Dia mengatakan yang kami seolah-olah tidak berfikir semasa menulis...

”When you start writing,you start to think”..katanya berulang kali.

Jadi,untuk menulis kena berfikir.Nak berfikir kena ada ‘bahan’ untuk difikir.Banyak langkah perlu diambil.Jadi kita akan berusaha meningkatkan ‘kualiti diri’ kita.


Alhamdulillah..saya makin dapat memaknakan erti penulisan dan blog ini.Banyak manfaatnya untuk dikutip.Medan yang telah tersedia.Manfaatkan sebaiknya.Mungkin bermula dengan biasa-biasa saja,tapi tak mustahil menjadi luarbiasa suatu hari nanti.Sebab sepatutnya,kalau kita claim nak buat yang segalanya hanya kerana ALLAH TAALA,kita PASTI,WAJIB buat YANG TERBAIK YANG TERMAMPU.Sebab kita buat tu bukan kerana orang biasa-biasa,kita buat kerana Pencipta kita,yang memiliki segala kekuasaan,yang memiliki alam ni,yang mengetahui segala yang ghaib yang segala-galanya.Logiknya,memang kena buat yang terbaik!

Begitu juga dalam kehidupan ini.Jangan target sekadar hendak menjadi yang biasa-biasa saja.Biarlah kita jadi ‘luar biasa’ dengan cara kita sendiri.Paling penting,’luar biasa’ disisi Allah Taala.Moga Allah pandang kita dengan kasih sayangNya yang Maha Agung kerana kita luar biasa dikalangan hamba-hambaNya yang tak terkira banyaknya.


Cipta sejarah anda sendiri setiap hari.Lakarkan sesuatu yang baru dan penting dalam hidup anda.Sentiasa improve diri.Bagi penghargaan (self-appreciation) pada diri.Ini antara

ilmu yang saya dapat dari seorang senior yang banyak membantu saya dalam mengurus kehidupan,membentuk peribadi,menyediakan diri untuk ke arah orang yang luar biasa...

Saya punya cita-cita besar untuk Islam.

Saya sedang mengorak langkah.Doakan moga setiap langkah saya dalam redhoNya..


Whiteboard,( antara P.A saya),membantu saya menguruskan masa dan kehidupan dengan lebih baik.



Selepas tamat membaca buku ini,terasa benar ‘aura’ Anwar Ibrahim ini.Terasa makin kenal siapa Anwar Ibrahim.Antara manusia ‘luarbiasa’ di dunia ini..

Wednesday, September 10, 2008

SEMARAK MANSUHKAN AUKU

Tak puas dengar "Forum On AUKU Amendments" di UIA beberapa minggu yang lepas.Bukan tak puas sebab 'best',tp tak puas sebab semua ahli panel bagi pandangan lebih kurang je.AUKU perlu dimansuhkan.Rasional disebalik penggubalan AUKU yang sebenar tak berjaya dikupas.Susah nak menilai.Namun,Tun Dr Mahathir Muhammad ada respon pasal AUKU ni di www.chedet.com(kena baca rasional Tun,baru faham respon saya ni)

Ini pulak respon saya kepada respon Tun :

Dalam penggubalan sesuatu undang-undang,antara faktor terpenting yang dilihat adalah 'intention' atau tujuan asal undang-undang itu digubal@kenapa perlu kepada undang-undang itu.Ada 2 pandangan dalam interpretation kpd intention disebalik AUKU ini.
1)"Good Intention" (Macam yang Tun sebut kat atas)
2)'Bad intention'- mengekang kegiatan politik dikalangan mahasiswa (politik yang merugikan pihak kerajaan pada masa itu)

Pandangan saya,apa yang Tun cuba rasionalkan mmg ada kebenarannya.Namun,AUKU bukanlah jalan penyelesaian terbaik.AUKU bukanlah penawar@rawatan kepada 'core problem' yang dihadapi mahasiswa.AUKU hanya serpihan yang tak menjadi penyelesai pun kepada masalah-masalah yang disebutkan.

1) Andaikata bilamana mahasiswa terlibat dengan kegiatan politik ini,mengancam dari sudut survival akademik mereka atau menghancurkan harapan negara untuk lihat golongan pakar dan intelektual lahir dari mahasiswa,dari sudut realitinya,di Malaysia kini,di universiti-universiti tempatan kita kini,berapa ramai sangat golongan mahasiswa yang 'celik politik' yang cakna pada isu-isu negara ini?Berapa ramai sangat yang aktif 'bergerak'?Mungkin tidak sampai separuh pun dari mereka ini sedar politik.Tapi,masalah kualiti graduan universiti kita tetap di takuk lama,tidak ada satu perubahan besar pun berlaku.Jadi,ini bukti,AUKU tidak menyelesaikan pun masalah mahasiswa tidak tumpu pada pelajaran mereka ketika belajar,banyak habiskan masa dengan politik seperti didakwa.

2) Kena define semula apa masalah sebenar punca kualiti graduan kita tidak sehebat yang diharapkan.Budaya 'exam oriented' semata-mata tanpa menghayati nilai ilmu itu sendiri seperti yang disebut Prof Khoo Kay Kim mungkin puncanya.Budaya hedonisme yang melampau di kampus-kampus kini mungkin juga penyumbang.

3) Mutu dan kualiti pendidikan institusi pengajian tinggi kita perlu dengan seriusnya di tingkatkan.Budaya ilmu dan akademik perlu jadi keutamaan.Jangan biar elemen-elemen politik kotor menular.Isu pelantikan Naib Chanselor,pensyarah-pensyarah yang 'dipilih' berdasar 'fikrah perjuangan' mereka,bukan nilai akademik mereka perlu diteliti dan diatasi.

Ini realiti sebenar.Saya rasa orang sebijak Tun sudah tahu semua apa yang saya sebutkan ni,tapi Tun nak juga gubal AUKU.Sebab apa ye?

Last sekali,bak kata Tun,jika penuntut sekarang sudah dewasa dan bertanggungjawab,mansuhkan saja AUKU.Ya,kami kini sudah semakin dewasa dan bertanggungjawab.Mansuhkan saja AUKU,lihatlah nanti kebangkitan mahasiswa dari sudut akademik dan politik!

Tuesday, September 9, 2008

MARAK API PERKAUMAN

Saya menulis isu ini kerana saya bimbang..

Bimbang kepada krisis perkauman yang sedang berlaku dalam negara ini.


Datuk Ahmad Ismail vs Tan Sri Dr Koh Tsu Koon

Krisis yang berlaku antara UMNO dan GERAKAN antara contoh terbaik masalah hubungan antara kaum di negara kita ini.Ketua UMNO Bukit Bendera,Datuk Ahmad Ismail yang enggan memohon maaf kepada kaum Cina atas kenyataannya dalam salah satu ceramah dalam kempen Permatang Pauh baru-baru ini bahawa orang Cina ini ’menumpang’ memberikan kesan tersendiri.Terbaru,beliau juga mendesak agar parti GERAKAN keluar dari Barisan Nasional.Semakin menjadi-jadi Datuk Ahmad ini.Sejak dari awal-awal lagi,Datuk Najib seolah-olah ’play safe’ dengan cepat-cepat mohon maaf bagi pihak Datuk Ahmad.Tapi,Datuk Ahmad tak setuju Dato Najib mohon maaf.Ada yang menjangka Datuk Ahmad akan ’diam’ setelah Pak Lah turun Pulau Pinang namun meleset kenyataan ini.Datuk Ahmad tetap tegar hingga saat ini dengan alasan mempertahankan maruah Melayu dan Islam.

Dr Khoo Tsu Koon plak mewakili GERAKAN dalam reaksi balasnya sudah tentu amat tidak puas hati dengan Datuk Ahmad ini.Terbaru,GERAKAN Pulau Pinang putus hubungan denganUMNO Pulau Pinang.Wanita GERAKAN pulak menggesa Datuk Ahmad ini dikenakan ISA.


Isu ini yang sebenarnya mungkin hanya bermula dengan ’sedikit kesilapan individu’ ataupun mungkin juga ’sedikit salah faham’ berkaitan seorang individu tetapi menjadi konflik dan krisis antara parti-parti dan paling ditakuti krisis perkauman yang amat serius yang akan terus melunar.

Mungkin ada yang gembira melihat apa yang berlaku kepada parti-parti komponen BN ini,mungkin juga ada yang bersorak riang kerana ’perancangan halus’ mereka mungkin sudah menampakkan hasil.Tak mustahil,GERAKAN akan keluar dari BN dalam masa terdekat ini.

Ini kerana masalah dalam BN sendiri yang sememangnya mengamalkan politik perkauman dalam parti-parti komponennya.Perikatan ini tidak akan tahan lama,sepertimana kata Pengerusi MCA Petaling Jaya Utara,Dr Wong Sai Hou:

”Jika BN terus mengamalkan politik perkauman,dalam masa lima tahun lagi BN akan jadi oposisi”.


Melayu vs Cina..?

Disebalik semua ini,isu perkauman antara MELAYU dan CINA tidak boleh dipandang remeh.Sejarah negara telah mencatatkan peristiwa ’ngeri’ 13 Mei 1969 akibat dari sentimen kaum yang gagal dibendung dengan baik.Membaca peristiwa sejarah 13 Mei ini telah cukup menyebabkan bulu roma saya tegak berdiri.Jauhkan Malaysia dari mengulangi 13 Mei ini.

Saya melihat,semua ini berlaku akibat lebih mengutamakan bangsa Melayu lebih dari Islam itu sendiri.Lebih bangsa dari agama.Cuba lihat kelakuan salah seorang pemimpin tertinggi UMNO Bukit Bendera ini.Adakah ini melambangkan ’ajaran’ Islam?Dr Khoo Tsu Koon dan konco2 GERAKAN pun tak buat aksi melampau seperti ini.


Islam mengajar kita tidak membeza-bezakan antara bangsa dan qabilah.Yang paling penting adalah Islam memandangkan pada pegangan agama dan ketaqwaan.Islam juga mengajar kita untuk saling menghormati antara agama,tidak kira bangsa apa pun mereka,tak kira macam mana rupa paras mereka.


”Untukmu agamamu,dan untukku agamaku” (6,Al-Kafirun)


”Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa paras kamu, tetapi All

ah melihat kepada hati kamu dan amalan kamu”(Hadis Riwayat Muslim)


”Bukan dilkalangan kami orang yang berjuang kerana asobiyah..bukan dikalangan kami orang yang berperang kerana asobiyah..”

Seorang sahabat Nabi bertanya : Apakah maksud asobiyah ?

Nabi menjawab : “ Kamu menolong kaum kamu atas dasar kezaliman”


Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah contoh terbaik dikalangan pemimpin negara kita kini yang begitu kuat menterjemahkan maksud ayat dan hadis-hadis ini dalam gerak kerja dan pentadbiran negeri Kelantan.Beliau telah berjaya memerintah Kelantan yang juga berbilang kaum tetapi berjaya disatukan dengan dasar Islam yang dipraktikkan kerajaan Kelantan yang Islamik.Di Kelantan,lebih aman dan harmoni,warganya pelbagai kaum,agama dan budaya mendapat hak yang sama rata.Pelbagai perubahan dilakukan pentadbiran Kelantan dalam usaha memastikan hubungan antara kaum terjalin erat di Kelantan,antaranya dengan penubuhan Pegawai Hubungan Antara Kaum,pembinaan rumah berhala dan kuil yang tak diganggu dll.Ini kerana,Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat lebih mengutamkan Islam dari Melayu,lebih mengutamakan agama dari bangsa.


Di bumi UIAM ini,saya melihat sendiri kepelbagaian kaum,bangsa,budaya penuntut-penuntut di sini yang datang dari pelbagai negara.Cara hidup yang berbeza,warna kulit yang tak sama,pelbagai bahasa digunakan,pemakaian yang beraneka,malah kadang-kadang naik pening dengan macam-macam perangai ’foreigner’ yang sudah tentu berbeza dengan kita di Malaysia ini.Namun hati saya seringkali tersentuh bilamana solat di Masjid Sultan Ahmad Shah,UIAM ini.Tatkala sujud,semuanya sujud pada Yang Satu,tiada lagi sebarang perbezaan.Semuanya menyembah Dia Yang Satu.Inilah izzahnya Islam,penyelesai kepada segala pertelingkahan!

Thursday, September 4, 2008

HADIAH RAMADHAN...

Tazkirah ringkas oleh Asst Prof Dr Halima Boukerroucha,lecturerku dari Algeria selama 10 minit sebelum memulakan pelajaran dalam kelas Usul Fiqh II pagi tadi mengisi sedikit kekosongan yang bertamu di hatiku tatkala melalui hari keempat Ramadhan pada hari ini.Pagi yang agak kalut dengan kurangnya persiapan untuk ke kelas pagi ini,semangat yang kurang,badan yang masih letih setelah empat hari berprogram seolah-olah terubat mendengar tazkirah dari Dr Halima yang amatku hormati kerana peribadi dan prinsipnya dalam agama.Benarlah firman Allah Taala:

“Berilah peringatan,kerana peringtan itu bermanfaat" (Surah Al-A'la,9
)


Beliau bercerita tentang Ramadhan.Betapa Ramadhan ini merupakan ’hadiah yang tidak ternilai’ yang Allah kurniakan kepada hamba-hambaNya.Mengapa Ramadhan ini ’unik’ dan merupakan ’hadiah’ dari Allah Taala,antaranya :

1) Bulan Ramadhan merupakan bulan ’bonus’ yang Allah berikan kepada manusia.Amalan yang dilakukan pada bulan ini akan berlipat kali ganda diberikan pahala dari Allah Taala.Tidak sama dengan bulan-bulan yang lain.Amalan fardhu yang dilakukan,digandakan hingga 70 kali ganda,amalan sunat pula diberi pahala seolah-olah amalan fardhu.Allah beri ’bonus’ ini kepada semua hambaNya yang beramal.Syaratnya cuma perlu membuat amal.


2) Allah kurniakan ”Malam Lailatul Qadar” yang lebih baik dari seribu bulan.Satu malam yang andaikata kita beramal pada malam itu,akan diganjarkan seolah-olah beramal seribu bulan.Satu malam yang singkat yang dapat ’cover’ amalan seribu bulan.Mudah kan,tapi susah nak dapat..

”Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan (Lailatul Qadar) itu?
Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan” ( Al-Qdr,2,3)

3) Allah bantu kita untuk ber’mujahadah’ dengan menarik gangguan si syaitan yang selama ini membelengu dan mengganggu kehidupan kita setiap saat.Allah nak mudahkan urusan kita untuk beramal,untuk meningkatkan iman dan taqwa.Allah bantu kita ’cater’ musuh kita yang satu ini dan selama-lamanya musuh kita.

4) Doa akan dimaqbulkan..Apalah lagi yang kita mampu lakukan sebagai orang mukmin melainkan mohon doa dalam setiap urusan kita.Apa-apa pun kita kena berdoa,mintak pada Allah.Segala-galanya,tidak terkecuali walau satu pun.Tapi,doa kita selalu tak sempurna,selalu main-main tak bersungguh,selalu sekadar mambaca doa,bukan benar-benar mohon doa pada Allah.Jadi,Allah kasihan pada kita,Allah janji akan kabulkan doa orang yang berpuasa di bulan Ramadhan ini.Allah bagi keistimewaan ini pada bulan Ramadhan.

Amat banyak lagi kelebihan-kelebihan bulan Ramadhan yang tak terungkap disini.Cumanya,adakah kita menghargai atau tak ‘hadiah’ yang Allah bagi ini?Kalau kita dapat hadiah dari sesiapa,dari ibu ayah mungkin,apatah lagi dari seseorang yang mungkin istimewa dihati kita,kita dah rasa amat-amat gembira.Rasa bahagia..Inikan pula ’hadiah’ dari Yang Maha Agung yang mencipta kita,yang menjaga kita,yang sentiasa tolong kita.Adakah patut kita tak menghargainya?Apatah lagi,semuanya untuk kebaikan kita,bukan untuk kebaikan Dia pun.

Allah juga sangat kasihani hamba-hambaNYA,sangat-sangat sayangkan semua hambaNya.Dia tolong hambaNya yang mungkin sebenarnya dah layak dicampakkan ke neraka untuk merebut kembali segala amalan untuk membolehkannya dimasukkan ke syurga.Allah tolong hambaNya yang mungkin sudah ’fail’ dengan ujian-ujianNya untuk ’lulus’ jugak dengan bulan ’bonus’ ini.Betapa Allah sangat-sangat bersifat ’Ar-Rahim’.Tiada tandingan..

Rebutlah peluang madrasah Ramadhan ini.Sudah beberapa berita kematian sampai ke telingaku tatkala baru mencecah 4 Ramadhan ini.Bila-bila saja masa ’bonus’ ini akan tamat.
Mungkinkah kita sempat lagi mengecap segala nikmat dan hadiah Ramadhan ini.
Ya Allah..bantulah kami..


Thursday, August 21, 2008

TERIMA KASIH UIAM

Suasana yang dirindui kembali dapat kurasai.laungan ”Student Power” yang sudah agak lama tidak ku dengari di taman ilmu dan budi tiba-tiba bergema di perkarangan Masjid Sultan Haji Ahmad Shah UIAM semalam.Perhimpunan aman menyatakan bantahan terhadap penukaran pakaian rasmi konvokesyen UIAM yang melibatkan penukaran robe lama kepada robe baru (warna dan design baru),dari songkok untuk siswa kepada mortar board,begitu juga untuk siswi yang dulunya memakai tudung dengan list khas dengan lambang UIAM kini hanya diwajibkan untuk memakai mortar board dan ’cream scarf’ tanpa list tersebut lg yg begitu unik menghiasi tudung para siswi,ditambah lg dengan aksesori seperti ’hood’ mengikut warna kuliah dll.Inilah antara perubahan-perubahan ’hebat’ yang berjaya dibawa UIA tahun ini.

Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) atau dikenali sebagai Student Representative Council (SRC) di UIAM ini telah memainkan peranan mereka sebagai wakil mahasiswa yang mendengar dan membawa suara mahasiswa dalam isu ini.Mereka bertindak m
emungut petisyen tandatangan daripada para mahasiswa dan hasilnya

1) 3158 orang atau 82.97% responden membantah
2) 648 orang atau 17.02% menyokong tindakan UIAM ini


Antara asas penting yang menyebabkan ramai mahasiwa tidak bersetuju dengan tindakan UIAM ini adalah kerana :
1) Perubahan besar yang melibatkan kesan secara ‘direct’ kepada pelajar-pelajar ini tidak langsung dibawa berbincang dengan wakil-wakil pimpinan pelajar samada SRC sendiri ataupun pimpinan-pimpinan pelajar di kuliyyah-kuliyyah yang mewakili golongan mahasiwan UIAM.SRC sendiri hanya tahu ttg hal ini setelah keluar berita di surat khabar perdana.Perubahan ini melibatkan golongan mahasiswa,kenapa pandangan kami tidak ditanya,sedangkan kami adalah golongan intelektual yang boleh berfikir secara rasional.Mahasiswa bukannya golongan ‘budak sekolah’.


2) Perbelanjaan sebanyak RM 2.1 juta untuk penukaran jubah ini dianggap satu kos yang besar tatkala tidak ada satu testemoni yang kuat yang menunjukkan jubah yang sedia ada sebelum ini ‘bermasalah’ dan sebagainya.Keadaan society-society pelajar dalam UIAM yang kebanyakkannya tidak mendapat peruntukan kewangan yang cukup untuk menjalankan aktiviti-aktiviti kerana alas an pihak pentadbir tidak punya banyak wang telah membantutkan gerakan mahasiswa,program-program dakwah dan kepimpinan tak dapat dijalankan,memusnahkan medan training ground yg baik kpd mahasiswa untuk melatih skill kepimpinan dan komunikasi dalam society-society.Malah,aspek kebajikan mahasiswa yang kini dihimpit dengan kenaikan harga barang makanan di café-café,harga barang-barang yang naik,tandas yang tak dibaiki,tidak pula benar-benar di amik cakna oleh UIAM.Sebaliknya duit RM 2.1 juta digunakan untuk membuat sesuatu yang sebenarnya tidak perlu pada masa ini.

3) UIAM bakal hilang identitinya yang tersendiri.Walau ramai yang membidas,tanpa songkok,tak semestinya menunjukkan kita tidak Islamik.Bukan soal Islamik atau tidak,tp ini soal ‘identiti unik dan tersendiri’ yang dimiliki UIA selama ini yang akan hilang dengan penukaran jubah ini kerana alas an inginkan penyeragaman dengan semua universiti.Adakah ada keperluan ini tatkala bila ditanya apa akan dibuat dengan songkok dan jubah yg lama,jwpn yg diberi akan dijual kepada universiti-universiti atau kolej-kolej lain yang nak beli,bukankah akan jadi tak seragam jugak kalau ada pulak universiti lain yang pakai songkok UIA?Pelik tapi benar..

Tahniah buat SRC yang memperjuangkan isu ini.TAHNIAH buat mahasiswa yang berani menyatakan pendirian dan pandangan.TAHNIAH buat mahasiswa yang berani menzahirkan pendirian dalam perhimpunan semalam.TAHNIAH BUAT SEMUA !

TERIMA KASIH UIAM…

Disebalik kekusustan yang dimainkan oleh pihak pentadbiran UIAM dalam isu ini,saya berasa seronok kerana isu ini telah berjaya sedikit sebanyak ‘membuka mata’ mahasiswa UIAM yang selama ini mungkin terlena tertutup mata,atau hanya mengadap buku-buku dan notes semata atau mungkin hanya melayari web-web yang tak berfaedah hasil wireless skrg ni tanpa ada sikit pun kesedaran apa yang tengah berlaku dunia sekeliling mereka kini.

At least,petisyen yang dibuat,himpunan yang dibuat,membuatkan UIAM sedikit ‘hidup’ dengan isu,membuatkan saya rasa makin seronok hidup di UIAM dengan adanya golongan yang benar-benar hidup dengan idealis mahasiswa iniMereka sedar apa yang berlaku,apa yang sedang diperlakukan


Event2 seperti ini juga meyebabkan saya begitu seronok apabila melihat pimpinan-pimpinan mahasiswa dari kelab-kelab seperti Maaruf Club,pimpinan-pimpinan dari setiap kuliyyah bangun bercakap menyatakan pendirian di depan public.Mereka ini mungkin telah biasa memberi ucapan dalam majlis-majlis formal program-program persatuan mereka sendiri,namun medan seperti ini ada 'kelainan' nya yang tersendiri.Mereka bercakap di depan mahasiswa-mahasiswa yang mereka perjuangkan hak mereka.They become a 'real leader'.Bukan leader yang berada di post jawatan semata-mata.

"If you see a disparity between who's leading the meeting and who's leading the people,then the person running the meeting is not the real leader"

"It's not the position that makes leader,it's the leader that makes the position"

Justeru,moga jatidiri sebagai mahasiswa yang sebenar akan terus mekar dalam diri-diri mahasiswa di universiti-universiti khususnya di taman ilmu dan budi UIAM ini..Mg pihak pentadbiran UIAM juga tidak serik untuk terus membuat aksi-aksi yang menarik untuk di’sambut’ oleh mahasiswa..Dengan adanya suasana begini,maka mungkin akan kedengaran lagi laungan ‘Student Power’ di UIAM ini..(^_^)





“..The tougher the challenge,the greater the connection..”