Thursday, August 19, 2010

JOM TADARUS AL-QURAN BERSAMA NISA' GOMBAK

TADARUS AL-QURAN BERSAMA NISA' GOMBAK!!!

Tarikh : 21, 22, & 28 Ogos 2010
Hari : Sabtu Dan Ahad
Masa : 9 -11 Pagi
Tempat : Masjid As-Sobirin, Hulu Kelang, Masjid Ar-Rahimah & Masjid Al-Khairiah, Gombak Setia dan Masjid An-Nur Wira Damai, Batu Caves

SASARAN PESERTA: Kanak-Kanak & Remaja

AKTIVITI : Tadarus, Kuiz Meningkatkan Taqwa, Permainan Sehelai Kertas Untuk Semua dan pelbagai aktiviti menarik bersama kakak-kaka fasilitator Nisa' Gombak.

IBUBAPA DIALU-ALUKAN UNTUK MENDAFTARKAN ANAK-ANAK ANDA.
SILA HUBUNGI TINA - 013 212 7185

Anjuran : NISA' GOMBAK

Saturday, July 31, 2010

TALK BICARA SISWI USIM PART 2 & TALK SISWI DI UKM

Saya mohon maaf pada semua pengunjung khususnya pada adik-adik USIM yang mungkin ternanti-nanti sambungan catatan saya tentang talk saya di USIM yang lalu. Saya terpaksa mengambil masa sedikit untuk menulis dalam kekangan kelas dan tuntutan akademik dan juga kekangan program-program yang tak henti.

Alhamdulillah, semalam hari Jumaat 30hb Julai 2010, saya diberikan keizinan oleh Allah S.W.T untuk melangsaikan amanah untuk menyampaikan talk siwi di UKM pula setelah minggu lepas pada hari dan waktu yang sama saya menyampaikan talk di USIM. Tajuk dan objektifnya hampir sama, sasaran pendengar juga hampir sama. Alhamdulillah, saya kongsikan slide presentation yang telah saya siapkan di USIM dahulu dengan beberapa top up tambahan slide-slide dan beberapa info penting untuk adik-adik siswi UKM pula. Itu pesanan suami saya, sentiasa kena ada pembaikan dan ilmu baru setiap kali sampaikan talk dan ceramah. Tajuk talk saya di UKM berbunyi "Siswi Contoh Penggerak Ummah".

Terima kasih diucapkan adik-adik pimpinan ISI UKM, khususnya Maryam Afifah yang sudi menjemput saya. Terima kasih juga kpd adik-adik usrah UZA saya,Nazirah Mukmin dan Busyral Huda Husin yang sudi menemani saya disamping niat saya juga moga mereka inilah yang bakal menjadi pelapis pengganti perjuangan untuk terus gerakkan agenda transformasi mahasiswi muslimat. Saya bakal bersara dan lagipun mereka ini lagi hebat dari saya sebenarnya:-)

Nazirah Mukmin, saya dan Busyral Huda selepas pulang dari 1 demo suatu masa dahulu

Untuk kali ini, saya berniat untuk berkongsi tentang 5 peranan yang perlu mahasiswi muslimat perlu mainkan untuk menyumbang kepada kecemerlangan universiti dan juga menjadi penggerak ummah. Lima langkah yang mahasiswi muslimat perlu ambil untuk terus menjadi entiti yang terus relevan untuk ummah disamping mampu untuk menggerakkan agenda transformasi muslimat.

Tapi sebelum itu, apa sebenarnya masalah gerakan mahasiswi muslimat ini? Bukankah fakta sentiasa menunjukkan bahawa mereka inilah golongan 'majoriti' yang sentiasa mendominasi kampus-kampus universiti. Fakta terbaru untuk kemasukan akademik sesi 2010/2011 untuk ambilan Ijazah Pertama di IPTA menunjukkan mahasiswi mendominasi 64.8% kemasukan kali ini dengan jumlah 40,886 siswi berbanding 20,141 siswa.

Namun, ada yang melabel kelompok mahasiswi ini sebagai "The Silent Majority" disebabkan oleh kelesuan dan ketidakberkesanan golongan ini dalam beberapa aspek. Aspek kecemerlangan CGPA, saya rasa siswi terus menjuarai. Tiada masalahnya disini. Namun dari beberapa sudut yang lain contohnya seperti dari sudut aktivisme untuk ummah,keterampilan dan karismatik figure dan juga aspek keberanian dan kelantangan bersuara, mahasiswi muslimat seolah-olah masih terkebelakang dan tenggelam.

Anda semua boleh bersetuju atau tidak dengan saya dari sudut penilaian kayu ukur KPI yang telah saya sebutkan tadi. Kita semua bebas menilai dan berpandangan. Walaupun saya menyebut apa masalahnya dengan gerakan siswi muslimat tadi, namun saya tidak melihatnya sebagai satu masalah, tetapi sebaliknya inilah 'cabaran' untuk gerakan mahasiswi muslimat.

Saranan saya, dan hanya sekadar saranan, untuk menghadapi 'cabaran' tersebut, siswi muslimat mestilah mengambil langkah-langkah dan peranan ini.


1. Mahasiswi Muslimat, Ubah Cara Anda Melihat Diri Anda !!!

You are what you think! Kita adalah apa yang kita fikirkan. Kita selalu dengar ungkapan ini, mungkin dah lama, sejak di sekolah rendah mahupun menengah, tatkala program-program motivasi dahulu. Tapi kadang-kadang, kita tak tahu ataupun tak mahu terjemahkan dalam kehidupan seharian kita sebagai mahasiswi dan muslimat.

Sejak dari kecil lagi, kita selalu diterapkan untuk punya cita-cita untuk masuk ke universiti. Selalu mak ayah akan pesan, "belajar rajin-rajin, nanti boleh masuk universiti". Kita pun begitu teruja untuk berada di universiti. Dalam program-program motivasi di sekolah dahulu, kita seronok bila dapat berjumpa abang-abang dan kakak-kakak fasilitator dari universiti. Kita rasa kita pun nak masuk ke universiti juga. Kenapa kita nak sangat masuk universiti? Kenapa kita nak sangat dahulunya menjadi mahasiswi?

Kita lupa untuk memikirkan persoalan ini, kita lupa untuk menjawabnya. Kerana bila kita mampu menjawabnya, kita akan tersedar akan erti dan makna kita menjadi mahasiswi. Kita akan tahu peranan yang kita perlu mainkan. Kita sedar, apa kelebihan dan kekuatan yang kita ada dengan title mahasiswi. Saya mudahkan ungkapan mahasiswa/mahasiswi ini dengan dua karekteristik penting iaitu gerakan anak muda dan juga gerakan intelektual. Dua ciri ini merupakan antara ciri utama seorang mahasiswa dan mahasiswi. Dengan ciri ini jugalah, mahasiswa ini mampu menonjolkan 'kuasa' dan 'pengaruh'nya jika benar-benar mereka sedar kekuatan yang mereka ada. Mulakan dulu dengan faham hakikat mahasiswa dan lihatlah diri anda sebagai mahasiswa!

Saya tak mahu terus bercakap tentang beberapa langkah praktikal yang bersifat 'external' selagimana kita tak settle dari sudut dalaman internal yang datang dari framework dan cara berfikir kita sendiri. Kita tak perlu bercakap tentang cabaran dan musuh luaran selagimana kita tak berjaya menang dengan musuh dalam diri kita sendiri.

Cuba anda melihat diri anda di cermin dan apa yang anda nampak dan anda fikirkan? Adakah anda terus sekadar melihat diri fizikal anda sama ada sempurna ataupun tidak? Tudung senget atau tidak, match atau tidak warna baju dan tidak mahupun tengok rata atau tidak bedak yang disapu di muka. Adakah sekadar itu sahaja yang kita nampak? Kadang-kadang, cuba ambil sedikit masa bila melihat cermin, fikirkan betapa hebatnya Allah yang mencipta kita dan apa yang kita akan jadi di masa depan sebenarnya? Apa impian yang ingin kita capai dan gapai? Mampukah kita melihat diri kita di cermin itu tembus ke masa depan apatah lagi jika mampu tembus ke kehidupan kita di akhirat sana nanti?


Di UKM, saya mohon adik-adik siswi yang mengikuti talk saya untuk pejamkan mata, untuk bayangkan diri dia sendiri 10 tahun akan datang dalam masa 3 minit. Dimanakah dia pada masa itu? Telah menjadi apa? Bagaimana dia berpakaian? Bagaimana kehidupan dia? Kita selalu sibuk hidup dengan rutin harian kita sampai kadang-kadang kita lupa untuk pandang ke depan dan letakkan visi dan aim kita sendiri untuk masa depan. Kita terlupa atau kadang-kadang kita tak rasa pun ianya penting. Mungkin kita tak seperti kisah budak kulit hitam berambut kerinting, si Obama ini. Tak salah kalau kita mencontohi budak ini.

Dengan cara melihat kita mempunyai matlamat dan visi yang jelas, atau tidak, automatik akan terserlah bagaimana kita melihat diri kita selama ini. Adakah kita melihat diri kita hanya sekadar mahasiswi biasa yang mengikuti rutin biasa seorang mahasiswa dengan sindrom yang biasa dikenali sebagai sindrom 3K? Pergi ke Kelas, balik singah makan di Kafe dan seterusnya balik bilik tidur di Katil. Dan begitulah sehari-harian hidup mahasiswa. Apatah lagi sekarang ni mahasiswa lebih dikenali dengan "mahasiswa Facebook". Asyik dengan facebook sahaja memanjang.

Jika sekadar itulah kehidupan kita sebagai mahasiswa, dengan tidak mempunyai visi dan misi hidup yang jelas, dengan selalu melihat diri kita sekadarnya tanpa ada peningkatan kepada keyakinan diri masing-masing, tanpa ada kesungguhan untuk berubah ke arah yang lebih baik, maka selama-lamanya lah kita hanya akan begitu.

Selalu kelompok mahasiswi muslimat ini dianggap agak kurang dari sudut kualitatif walaupun mereka menang dari sudut kuantitatif. Ramai siswi yang cemerlang CGPA akademiknya, namun ramai juga yang terlibat dengan pelbagai masalah sosial kronik yang menjadi barah dalam ummah. Justeru, kita perlukan sekelompok mahasiswi muslimat yang mampu melihat dengan jelas potensi yang ada dalam diri masing-masing untuk diterjemahkan menjadi sumbangan berharga untuk masyarakat.

Bagaimana ingin menjadi penggerak ummah andai kita sendiri tidak pernah menanam cita dan tanggungjawab untuk menyumbang pada ummah dan masyarakat suatu hari nanti. Bagaimana ingin menjadi siswi penggerak ummah andai hanya memikirkan tentang kepentingan diri sendiri. Bagaimana mampu untuk menjadi siswi penggerak ummah andai cara melihat diri sendiri pun tidak betul, penuh dengan pelbagai andaian negatif terhadap diri sendiri.

Saya teringat satu kisah yang saya baca dalam buku bertajuk "Kebebasan Wanita" karangan Abdul Halim Abu Syuqqah. Dalam bab kaum wanita menuntut kesempatan belajar, diriwayatkan oleh Abu Sa'id, diceritakan bagaimana telah datang seorang wanita menemui Nabi dan merungut bahawa kaum lelaki dapat mengalahkan kami kaum wanita kerana mereka selalu bersama dengan Rasulullah. Maka beliau meminta satu hari khusus untuk Rasulullah mengajar mereka kaum wanita tentang hal-hal agama dan Rasulullah memperkenankan permintaan mereka. Al-Hafizh Ibnu Hajar berkata kisah tersebut menunjukkan betapa bersemangatnya isteri-isteri para sahabat untuk mempelajari masalah-masalah agama.

Kisah tersebut juga pada pandangan saya menunjukkan karakter isteri-isteri para sahabat yang jelas apa yang mereka inginkan, yang melihat bagaimana diri mereka perlu berfungsi dengan betul. Mereka begitu berani menyuarakan permintaan kerana mereka tahu apa yang mereka inginkan dan mereka yakin dengan diri mereka sendiri.

Justeru siswi, mulakan langkah pertama ini, ubah cara anda melihat diri anda selama ini jika anda melihatnya dengan cerminan yang salah. Mulakan mengubah, mulakan berubah, mulakan dengan mind set yang betul, kemudian baru fikir macamana nak melangkah!

Saya kongsikan lagi 4 peranan yang saya gagaskan di kesempatan yang lain ye. Maaf, kesuntukan waktu.

Jom Kita Ke KARIB 2010

Buat semua pengunjung srikandiharakah, siapa yang free pada hujung minggu ini dan berada berdekatan dengan Gombak mahupun kawasan Selangor, jom kita ke Karnival Belia @ KARIB 2010 pada 30 Julai 2010 hingga 1 Ogos 2010 di Kawasan Lapang Taman Sri Gombak Fasa 3. Macam-macam aktiviti, acara dan pameran berada di sana.




InsyaAllah,saya akan berada di sana pada hari Sabtu malam pada masa konsert percuma dan Ahad pagi untuk Nisa' Games. Jumpa di booth Nisa' Gombak ye ;-)

Saturday, July 24, 2010

TALK BICARA SISWI DI USIM (PART 1)

Alhamdulillah,kepadaMu jua ya Allah aku bersyukur atas segala sesuatu yang telah Engkau kurniakan kepadaku.

Alhamdulillah,petang semalam saya berjaya melangsaikan amanah untuk menyampaikan talk di USIM Nilai setelah menerima jemputan seminggu yang lalu. Saya hanya mampu benar-benar fokus kepada persediaan untuk talk ini sehari sebelum program disebabkan kekangan jadual kelas dan kerja-kerja persatuan yang perlu dilangsaikan.Semester baru saya kali ini sangat berbeza,semangat yang menjelma luarbiasa seolah-olah saya kembali mendapat rentak kerja dan identiti.


Siswi Disebalik Kegemilangan Universiti : Peranan dan Cabaran. Inilah tajuk yang diberikan kepada saya untuk disyarahkan. Mulanya melihat tajuk ini,saya sangat teruja, excited! Kemudian saya termenung panjang. Tajuk macam ni saya nak cakap pasal apa? Nak kena buat kertas kerja ke? Memang soal siswi,wanita ini adalah passion saya, tapi melihatkan tajuk dan outline yang diberi, saya jadi bingung.

Sepetang brainstorm bersama suami, akhirnya dunia saya yang kelam mulai cerah. Saya jadi ghairah! Suami pulak offer diri nak tolong siapkan
slide sebab malam sebelum talk tersebut saya ada 2 meeting dan 1 usrah. Sampai rumah pukul 1.30 pagi slide dah tersiap tinggal nk diedit2 sedikit.Alhamdulillah!

MAHASIWI, KITA ADALAH JUARA!

Saya mulakan talk dengan perkongsian pengertian hakikat kejayaan dan kecemerlangan yang sebenar. Bagaimana seharusnya kita sedar yang kita ini pernah menjadi juara sejak dari asal kejadian kita dalam persaingan bersama berjuta-juta sperma yang lain. Allah pilih dan takdirkan kita. Lahir ke dunia Allah pilih kita lagi untuk menjadi muslim, mendengar antara seruan pertama kita untuk menuju kejayaan dan kecermerlangan dalam laungan iqamah. Bagaimana mufassir kontemporari Mesir, Syeikh Muhammad Mutawalli Sya'rawi menghuraikan tentang penggunaan kata "Al-Falah" dalam ayat Al-Quran. Kata Al-Falah @ Fallahun ini bermaksud selain dari kejayaan adalah bermaksud juga seorang 'petani'. Kenapa Allah gunakan perkataan 'petani' ini? Allah mahu kita ingat dan kita hayati bagaimana sebenarnya 'nature' dan juga gerak kerja seorang petani. Seorang petani yang ingin mendapat hasil dari tanaman yang ditanam perlulah bermula dengan menanam benih-benih,menjaganya,menyiram air dan baja pada tanaman itu. Petani perlu berusaha melakukan beberapa kerja sebelum boleh menikmati hasil tanaman tersebut. Begitu juga kita manusia, perlu berusaha, lakukan sesuatu untuk berjaya. Kejayaan tidak akan datang bergolek-golek, melayang-layang. Kita mestilah memahami sunnatullah petani untuk kita fahami sunnatullah kejayaan yang Allah nak khabarkan kepada kita. Begitulah hebatnya mukjizat Al-Quran, cukup dengan satu perkataan telah membawa maksud yang cukup mendalam.

Justeru, hidup kita dan kejayaan ini tak dapat dipisahkan. Kita dilahirkan untuk menjadi yang terbaik. Itulah 'fitrah' kejadian kita. Tapi pelik bila kita dilahirkan sebagai manusia, kita selalu lari dari fitrah ini. Persoalan kedua yang perlu dijawab, kejayaan apa yang penting bagi kita? Cukupkah hanya dengan kejayaan akademik semata-mata. Ya, sebagai mahasiswi, akademik dan CGPA sangat penting. Tak boleh sesiapun nafi,. Nah katakanlah kalau kena dismiss universiti sebab masalah akademik, siswi lagikah kita? tTapi cukupkah dengan sekadar cemerlang aspek itu? Cukupkah bekalan kecemerlangan akademik itu kita nak bawa sepanjang hidup kita dan yang lebih penting di akhirat nanti bergunakah kecemerlangan itu? Sepanjang hidup ini, kecemerlangan itu tak akan mampu menjamin kita untuk terus berjaya dan berjaya ke peringkat-peringkat yang seterusnya dalam hidup ini. Banyak sangat kes yang berjaya di UPSR, gagal di PMR terlibat dengan masalah sosial dan lain-lain. Berjaya di SPM, belum tentu berjaya di universiti. Cabarannya satu persatu menanti. Semua ini hanya akan mampu kita tangani jika kita ada satu aset yang dinamakan "SIKAP YANG BETUL".

Sikap yang betul akan menentukan kejayan kita dalam hidup ini dan juga di akhirat sana. Sikap kita yang betul terhadap Allah, terhadap agama. terhadap ibu bapa, terhadap segala sesuatu yang berkaitan dengan kita di dunia akan mampu menjadi penjamin ampuh kejayaan kita di dunia dan akhirat.

Justeru siswi, carilah makna sebenar kecemerlangan yang ingin kita capai!



Friday, June 25, 2010

Buatmu Suamiku

Dengan nama Allah saya mula mencoretkan sesuatu. Saya mohon maaf pada sahabat-sahabat dan adik-adik yang menanti-nanti catatan terbaru saya di blog yang usang ini. Saya memang benar-benar kehilangan punca dan minat untuk menulis di sini akhir-akhir ini. Bukan akhir-akhir ini sahaja rasanya,dah lama sangat rasanya. Puas juga suami saya memujuk, tak kurang juga memerli-merli, 'abg rasa,ayang tutup je blog ayang tu', namun saya terus kebal dan bebal dengan perangai tak nak update blog ini. Cuma hari ni bila terbuka blog ni, rasa tersentuh hati dan sedih pulak melihat posting-posting lama yang tak bertambah-tambah. Saya gagahkan mencoret sesuatu. Posting pasal 'KAU' tu dah terlalu lama sangat dah, pengalaman saya jadi MC di malam konsert tersebut bersama Kak Fairuz Hj Nordin pun belum sempat saya kongsikan. Macam-macam terjadi pada saya dan saya begitu segan untuk menulis di sini. Mohon doakan saya diberi kekuatan untuk terus menulis untuk sedikit perkongsian bersama yang lain, sumbangan kerdil untuk perjuangan ini.

Kali ini, saya rasa ingin berkongsi dua tulisan Ustaz Pahrol Mohd Juoi yang cukup menyentuh hati saya. Mungkin masa saya tengah menaip ni saya dilanda emosi 'sentimental' yang tidak keruan. Saya mencari-cari artikel menarik untuk dibaca untuk suburkan iman kembali, disamping ingin terus perkasakan peranan dan hati saya sebagai seorang isteri. Lalu, dua artikel Ustaz Pharol Juoi tentang hakikat cinta ini sangat-sangat menyentuh hati saya.

1) Bebaskan CINTA
2) Maafkan aku wahai suami

Saya tak pernah pandai nak menulis secantik ayat-ayat Ust Pahrol, saya sangat kagum dan tersentuh. Walaupun saya ini 'simple' dan 'bersahaja' orangnya, namun saya sedar hakikat yang hati saya masih hati seorang wanita tulen rupanya. Justeru, saya nak ambil kesempatan ini untuk tujukan sebuah sajak khas untuk suami tercinta, Muhd Syaari Ab Rahman. Saya ambil sajak Ust Pahrol sikit, tapi dengan sedikit edited edition dari saya ;-)

MAAFKANKU WAHAI SUAMI

Kadang-kadang aku rasa
Akulah isteri yang terlalu banyak menerima
Sedangkan engkau tak pernah meminta

Kadang-kadang aku rasa
Akulah isteri yang baru terjaga
Sedangkan engkau tak pernah terlena

Kadang-kadang ku bersuara tanpa berfikir
Semua perkataan ku menjadi salah

Lantaran terlalu cepat aku melatah

Meluah dengan emosi dan rasa tak puas hati

Sedangkan kau tabah menghadapi

Seorang isteri yang banyak mulut begini


Kadang-kadang ku sakiti hati mu
Bila ku tolak sentuhan mu

Bila aku sanggah segala hujah mu

Bila aku engkar perintah mu

Maafkan aku..


Bukan bermaksud aku kurang menyayangi mu…
Namun cabaran terlalu

Aku bukan isteri yang biasa

Aku isteri haraki perkasa

Yang perlu sentiasa dibentuk

Diasuh dengan acuan tarbiah mu


Kadang-kadang berjauhan dengan mu

Membuat aku lemah gelisah

Walau kadang hati keras untuk mengakui

Yang aku terlalu susah untuk berpisah dengan mu

Maafkan aku ..


Diam mu membuat aku gentar

Kerana itulah amaran dalam senyap buat ku

Dirimu terlalu istimewa

Mendidikku dalam pelbagai cara dan hikmah

Namun aku yang selalu goyah

Maafkan aku ..


Kadang-kadang aku berubah pada pandangan mu
Tapi sayang, itu tidak benar
Tiada apa yang paling ku hargai
Daripada kehidupan manis bersama mu


Kadang-kadang ku fikir sejuta tahun
Adalah terlalu singkat
Untuk ku beritahu mu betapa sayangnya aku
Betapa syukurnya aku…

Mendapat suami seperti mu..


Akulah isteri yang terlalu bercita-cita tinggi
Yang mungkin kadang-kadang sukar dimengerti
Namun aku tetap aku yang ini…
Maafkan aku wahai suami!


Monday, April 26, 2010

Jom ke KONSERT AURA UNGU (KAU'2010) Nisa' Malaysia


Jom ke Konsert Aura Ungu (KAU'2010) anjuran Nisa' Malaysia. Pelbagai aktiviti menarik menanti di sana. Untuk pelajar-pelajar UIAM dan yang berdekatan dengan Gombak dan Batu Caves, siapa yang berminat untuk mendapatkan tiket boleh menghubungi saya, Nurul Suhadah Shuib di 013-3005986.

Terima kasih semua.

Regards,
Nurul Syaari
~Kita Hidup Untuk Agenda Allah~

Monday, April 19, 2010

Memperbaharui Momentum Sebuah Perjuangan

Alhamdulillah,syukur kepada Allah yang masih memberi kesempatan pada saya untuk mengambil peduli,membuat sesuatu pada blog yang telah bersawang dan berkusam ini. Satu visi jangka pendek yang telah lama dirancang tetapi baru kini teraplikasi.Justify Full
Semasa saya bersembang-sembang dengan beberapa orang sahabat dan adik-adik usrah saya, ramai yang mengakui dan bersetuju, gelombang facebook yang mengganas di mana-mana sahaja kini antara penyebab ada dikalangan kami yang dulunya blogger yang aktif, kini menjadi begitu pasif, blog terbiar sepi tanpa sebarang update terkini. Facebook sudah menjadi alternatif mudah,ringkas dan efektif untuk meng'update' status diri. Tak perlu bersusah payah memerah idea, menyusun ayat yang rapi untuk membuat sebuah posting di blog, cukup sekadar beberapa ayat ringkas di facebook. Kalau blog,masakan nak posting satu entry hanya sekadar dengan beberapa ayat sahaja.Letih orang buka blog kita semata-mata hanya ingin menatap posting yang berbunyi, "Saya ke Melaka hari ni,doakan perjalanan selamat". Facebook juga membolehkan kita berinteraksi dengan beratus-ratus orang serentak dalam masa yang sama berbincang sesuatu isu atau persoalan tanpa ada batasan jaringan.

Saya mungkin antara golongan yang mula meng'anaktiri'kan blog tatkala begitu asyik dengan facebook. Fitrah manusia,sukakan sesuatu yang baru dan lebih mudah. Hendak membuka blog sendiri rasa susah,sampaikan hampir saja saya terlupa password blog sendiri! Suami saya mencadangkan saya menukar template blog dan masukkan benda-benda baru dalam blog.Baru akan rasa lebih bersemangat katanya. Beliau memang "pendesak tegar" saya untuk meng'update' blog.Saya mencubanya dan hasilnya agak memberansangkan.Saya mula menaip posting ini sejurus sahaja selesai menukar template blog!

Tiba-tiba saya teringatkan peristiwa Hijrah Nabi Muhammad S.A.W dan juga peristiwa perjanjian Hudaibiyah. Dua skrip penting dalam sejarah Islam yang menjadi 'tipping point' dalam perjuangan Rasulullah menyebarkan agama Islam. Dua peristiwa yang mendatangkan impak yang cukup dasyat dalam perjuangan Rasulullan S.A.W. walau hanya sekadar dengan nama sebuah perpindahan dan perjanjian.

Dalam hidup kita yang hanya sekali ini,jangan mudah mengalah melakukan sesuatu yang baik,jangan mudah menyerah dalam perjuangan. Sentiasa mencari jalan dan alternatif untuk sentiasa mampu menyelesaikan sebarang masalah yang kita hadapi dan bersemangat menempuh hidup.Perbaharuilah niat,perbaharuilah momentum sebuah perjuangan walau hanya sekadar dengan menukar template blog!

Saya hanya manusia biasa yang ingin menulis di blog ini,untuk peringatan dan perkongsian bermanfaat buat diri dan sesiapa yang sudi.Hakikatnya,kita hidup untuk agenda Allah!

Blog ini masih under construction,tanpa bantuan suami (sebab dia sangat sibuk) saya memang agak terkial-kial menguruskan blog ini. Namun kerana momentum semangat yang ada kini,saya meredah apa sahaja yang ada walau sangat susah untuk saya memahami html code dan sebagainya. Nampaknya saya perlukan sedikit bantuan muakhah saya jika gagal dalam redahan ;-)

Hari ni ke Sekolah Menengah Seksyen 19 bersama suami dan krew IP MINDA,esok rancangnya ingin berada di Hulu Selangor bersama ibu mertua yang dah seminggu di sana!

Monday, April 5, 2010

Sempena Birthday ke 24 : Terima Kasih Suamiku




Terima kasih suamiku atas bingkisan video yang menyentuh hatiku, andaikata diulangtayang, ia mampu mengukuhkan semarak mawaddah dan rahmah kasih sayang antara kita, menghiburkan hati tatkala kita berseorangan dan berpisahan, dan lebih penting lagi mudah-mudahan membakar semangat zuriat pelapis perjuangan kita nanti, Muhammad Al-Fateh.

Terima kasih atas segalanya yang tak mampu ku ungkapkan dengan lontaran kata mahupun lakaran lukisan. Hanya Allah jua yang lebih tahu betapa bersyukurnya aku Allah pinjamkan dirimu buatku di dunia sementara ini. Moga kita terus kekal bersama di akhirat sana.

Esok ada lagi paper FINAL EXAM. Ok,teruskan FOKUS!

"Kuhadiahkan secebis bingkisan video hasilanku buatmu sayang. Moga lagu Maher Zain ini terus kekal dalam ingatan perjuangan kita."

Tq abg!







Thursday, April 1, 2010

Pertemuan Susulan Dengan Adik-adik Exco BADAR KISAS

Pada hari Sabtu lepas, saya, suami dan adik Izzaz diberikan kesempatan dan kebenaran oleh pihak kolej untuk membuat pertemuan susulan dengan adik-adik kepimpinan BADAR KISAS. Program susulan yang kerap telah menjadi prinsip pengurusan dakwah saya untuk memastikan adanya semakan kepada terjemahan keberkesanan program akademi Kepimpinan BADAR yang dilalui oleh peserta sebelum ini.


Kesempatan yang ada saya manfaatkan untuk berkongsi satu fikrah perjuangan yang diwarisi dari perjuangan Nabi Muhammad S.A.W yang telah dilengkapkan Allah dengan sikap bukan sekadar pakej syariatullah iaitu SIDDIQ dan AMANAH, tetapi pakej sunnatullah iaitu TABLIGH (communication skills) dan FATHANAH (intelegensia).




Saya menunjukkan video kekalahan pemain catur nombor satu dunia Gary Kasparov kepada komputer Deep Blue untuk memudahkan adik-adik faham apakah maksud 'BIJAK' dalam mengurus gerakan dakwah.













Kebijaksanaan bererti kemampuan melihat kepentingan jangka panjang gerakan mengatasi kepentingan jangka pendek. Bagaikan bermain catur, Deep Blue menumpaskan Kasparov pada 1997 kerana kemampuannya membaca ribuan gerakan ke hadapan (forward looking) lebih pantas dari Kasparov. Kasparov pada 2003 berdepan pula dengan Deep Junior yang boleh memproses tiga juta pergerakan catur dalam tempoh satu saat. Kali ini, kemampuan otaknya berjaya mengelakkan kekalahan dengan keputusan seri. Siapa yang mampu melihat jauh ke hadapan, dia akan menguasai pentas perlawanan.



Gabungan keberanian dengan kebijaksanaan itulah yang dimaksudkan sebagai Quwwah dan Amanah sebagai penentu wibawa kepimpinan dan pasukan pemimpin. Sirah tindakan strategik dan 'siasah panjang nafas' Nabi ketika di Makkah (Hijrah) dan Madinah (Hudaibiyyah) serta pengalaman Refah-AKP di Turki antara bahan perbincangan kami.






Kerana mahu menggabungkan antara keberanian dan kebijaksanaan, ketinggian spiritual (SQ) dan intelektual (IQ), penguasaan syariatullah dan sunnatullah, maka tidak perlu pelik hadaf kolej yang digazetkan dari generasi terdahulu bukan sekadar untuk melahirkan pemimpin bertaqwa dalam erti kata maksud taqwa yang hanya sekadar menjaga hukum syariatullah, tetapi lebih dari itu menjaga hukum sunnatullah yang takkan mampu diketahui tanpa kajian dan pengetahuan (muthaqqafieen)




Wednesday, February 24, 2010

Forum Anjuran Gerakan Muslimat Sejagat (GEMS)


Hari ni saya masih bergelumang dengan midterm exam. Esok perlu beraksi di pentas sebagai moderator. Doakan saya dapat mengendalikan forum esok dengan baik. Tengah dalam kekangan masa dan komitmen yang amat sangat.

Jemput semua hadir untuk sama-sama kita menelusuri kuasa media masakini.
Syukran.

~ Kita Hidup Untuk Agenda Allah~

Saturday, February 13, 2010

Saya Dah Ada Peluang Menjadi Isteri Solehah !

Lama rasanya saya tak menulis. Banyak benda yang berlaku. Sama ada secara personal, organisasi mahupun negara. Macam-macam berlaku.

Saya macam dah kurang suka dengan blog sendiri. Entahlah mengapa. Nak membukanya pun malas. Lagi suka layan blog politik yang 'hot-hot' dan 'blog jumping' kemana-mana je yang mouse ni rasa nak klik.

Kebanyakan blog muslimat yang saya buka, wajib ada pasal wanita solehah. Tak kesahlah sajak ke, lirik lagu ke, cerpen ke,syair ke, mesti ada pasal wanita solehah. Wajib pulak disertakan dengan gambar-gambar wanita yang bertudung labuh dan sejuk mata memandang. Tak kurang juga yang berpurdah tertutup rapi. Halusnya jiwa seorang muslimah ni.

Saya dulu bukan jenis macam tu sangat pun. Nak membaca cerpen-cerpen dan novel-novel 'cintun' hatta Cinta Islamik ala Fatima Syarha mahupun Habiburrahman Al-Sherazi tu pun tak terbaca. Apatah lagi nak layan cerpen-cerpen dan sajak wanita solehah. Saya amat mengagumi muslimat yang penuh cita-cita dan visi nak jadi isteri solehah. Saya cukup kagum. InsyaAllah, beruntung lelaki yang beristerikan muslimat seperti ini.

Saya pulak masa bujangnya dulu sampailah kini, lebih suka membaca buku-buku fikrah dan buku-buku 'berisi' yang kandungannya pada pandangan saya lebih bermakna. Tak lupa juga komik-komik Conan yang memang penuh koleksi kat rumah ni. Sampai gi usrah dengan adik-adik UZA pun terbawak buku Conan. Jiwa saya kurang nak melayang sajak-sajak dan puisi-puisi puitis ni. Memang jiwa seni yang kering kontang agaknya.

Bila saya tengok balik semua cerpen, sajak dan segalanya yang pasal isteri solehah tu, saya jadi terkasima. Rasa termuhasah diri ini. Saya ni dah jadi isteri orang. Solehah kah saya? Isteri solehah kah saya ini? Kalau orang lain telah bercita-cita untuk menjadi isteri solehah sejak dari belum berkahwin lagi, macamana pulak saya?

Yang saya ingat, 3 bulan sebelum saya kawin, habis buku-buku pasal perkahwinan saya baca dan saya selidiki. Masih ada koleksinya di rumah ni. Itu untuk persediaan saya nak berkahwin. Kini saya dah pun berkahwin, dah jadi isteri solehahkah saya?

Adik usrah saya, Busra, kata saya ni 'isteri perkasa'. Sebab saya ni jenis yang agak 'independent', suka merempit, tak reti nak duduk diam, dan tak berapa pandai m***k. Isteri perkasa tu solehahkah?

Saya dalam kekusutan sikit hari ni. Gejala gelombang emosi yang agak tak terkawal. Saya balik rumah, saya selongkar rak buku berkaitan Baitul Muslim, saya belek-belek semula. Saya mencari 'sesuatu'. Kemudian saya menghantar sms pada suami tersayang. Ringkas, "Ayg nak jadi isteri solehah abang dunia akhirat".


Saya kini sudah diberi peluang oleh Allah Taala untuk menjadi isteri solehah. Saya amat bersyukur. Saya tak nak sia-siakan masa yang ada ni. Saya nak rebut setiap masa menjadi isteri solehah, dengan harapan saya mampu menggapai cinta dan redho Allah yang mutlak. Moga saya dapat bertemu dan bercinta semula dengan suami saya kini di akhirat sana.

Jangan lupa tanggungjawab kita sebagai anak. Jika kita tidak mampu menjadi anak yang solehah, jangan bermimpi kita mampu menjadi isteri yang solehah.

Saya doakan semua yang membaca, menjadi anak dan isteri yang solehah. Juga suami yang soleh.

Buat insan yang cukup dekat dihati saya walau jauh di jarak mata, saya mendoakan kakak kesayangan saya ini. Saya sentiasa doakan beliau. Moga Allah kuatkan lagi hatinya yang telah kuat, Allah tunjukkan jalan penyelesaian terbaik buat beliau. Saya sangat menyayangi beliau.

Friday, January 15, 2010

.............................

Usai solat Maghrib berjemaah bersama suami sebentar tadi, saya memohon pada suami untuk memberikan saya sedikit tazkirah. Kalau dulu, saya sekadar mampu membaca dalam novel-novel Islamik tentang adegan begini, atau dulu sekadar memasang impian dan angan-angan, namun Alhamdulillah, syukur yang teramat sangat Allah beri saya peluang secara realiti merasainya sejak berkahwin. Dulu saya pesimis, seolah-olah adegan begini hanya sekadar dalam penulisan novel mahupun angan-angan muslimah yang mendapat tarbiah, betul ke ada sesi-sesi tazkirah macam ni antara suami isteri? Macam pelik je. Tapi tak pelik sebenarnya, dan memang boleh sangat jika berkehendak mewujudkan budaya macam ni.

Kebetulan malam ni Alhamdulillah kami berdua ada kelapangan masa, tak perlu nak bekejar-kejar ke program kuliah mahupun ceramah ataupun meeting. Jadi masa bersama yang ada ni terlalu bermakna. Jiwa saya terasa agak kosong minggu ni, macam-macam cuba saya lakukan tetapi selalunya berakhir dengan kekecewaan. Sebagai pelajar final year kuliah undang-undang syariah di UIAM, bebanan kerja tugasan semakin bertambah. Saya makin berserabut dengan assignment, case review, drafting, presentation, investigation paper CPC, dan bermacam-macam lagi. Apatah lagi di musim PRK begini. Terasa diri tunggang langgang. Peruntukan masa untuk diri, akademik, perjuangan, suami bercelaru tak tersusun. Ditambah dengan kehilangan planner kesayangan saya pada hari Khamis yang lalu, saya makin tak keruan.

Masa yang ada bersama suami tadi antara Maghrib dan Isyak saya cuba guna sepenuhnya untuk kumpulkan kembali kekuatan. Apatah lagi aura ketenangan solat berjemaah, berzikir dan berdoa bersama tadi cukup berbekas di hati, Alhamdulillah.

Saya mintak pada suami bagi tazkirah tentang ruhiyyah dan hati pada mulanya. Beliau agak keberatan mulanya, susah nak cakap pasal ruhiyyah ni katanya. Memang benar. Sangat susah. Ruhiyyah ni adalah rahsia kita dengan Allah. Rahsia hati dan detik naluri. Terzahir dengan ibadah kepada Allah. Kemudian saya mohon beliau ceritakan kepada saya tentang kisah Nabi-nabi. Saya sangat suka dengan kisah dan cerita. Terutamanya kisah Nabi-nabi. Manusia-manusia pilihan Allah. Suami menceritakan tentang Nabi Sulaiman. Tapi entah bagaimana akhirnya beliau ter'masuk' cerita tentang konspirasi Yahudi Illuminati dan pelbagai rancangan mereka. Saya hanya tersenyum dan mendengar, saya faham sangat suami saya ni dan 'kegilaan' research beliau kini.

Hakikatnya, kita perlukan Allah sebagai sumber kekuatan kita yang mutlak. Allah segala-galanya. Walau isu tentang kalimah Allah kini hangat terus diperdebatkan dengan pelbagai insiden serangan gereja dan sebagainya, cukuplah buat masa ini kita muhasabah sama ada Allah yang kita pertahankan itu wujud atau tidak dalam diri dan hati kita kini? Kita makin dekat atau makin jauh dengan Allah? Muhasabah buat diri saya yang sering alpa dan leka.

Alhamdulillah, rasa makin tenang setelah usai solat Isya' berjemaah sebentar tadi. Rasa lebih bersemangat meneruskan kehidupan sementara ini.

Ya Allah, mudahkan pengaturan dan pengurusan segala urusan dunia kami, jadikan semuanya saham buat kami di akhirat nanti, bekalan untuk bertemu MU ya Allah..

Thursday, January 14, 2010

Pesta Demokrasi Awal 2010

7 Januari 2010

Parlimen Mahasiswa yang selama ini telah lama wujud di negara-negara maju seperti United Kingdom nampaknya mempunyai sinar untuk diwujudkan di Malaysia, namun saya masih menunggu kesungguhan untuk memberikan 'pressure' dari mahasiswa IPTA lain pula untuk turut agresif mengemukakan cadangan kepada pentadbiran universiti selepas MPP USM merintis usaha ini.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah mencadangkan Parlimen Mahasiswa diwujudkan di seluruh IPTA. Syaratnya, modelnya Parlimen Mahasiswa mestilah menunjukkan keunikannya yang tersendiri bagi menonjolkan kematangan dan identiti mahasiswa di setiap IPT, manakala format serta garis panduannya juga terpulang kepada pihak universiti.

"Ini sebagai latihan kepada mahasiswa dalam memperkasakan kokurikulum iaitu kemahiran insaniah dan teras kokurikulum khususnya dalam pengucapan awam dan kepimpinan," katanya selepas majlis penyerahan kertas cadangan kerangka penubuhan Parlimen Mahasiswa oleh Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM.

11 Januari 2010

Januari 2010 bagaikan pesta demokrasi berlaku di Malaysia, tapi bukannya di pentas politik nasional, saya maksudkan di 'sekolah' dan di kampus.

Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail 1 melakar sejarah luarbiasa yang sewajarnya diteladani oleh seluruh sekolah-sekolah di Malaysia, apatah lagi sekolah menengah. Suatu pukulan memalukan apabila sebuah sekolah rendah mengadakan 'pilihanraya umum' memilih ketua pelajar mereka.

Tidak dapat saya bayangkan kematangan politik baru Malaysia dan suasana 'oksigen' demokrasi yang lebih segar kelak jika gelombang SKTTDI1 ini merebak ke semua sekolah-sekolah rendah di seluruh Malaysia seperti merebaknya H1N1 dan virus 'hedonisme' pada saat ini. Bayangkan apabila anak-anak dan adik-adik kecil kita berusia 12 tahun telah diajar soal kepentingan memilih pemimpin terbaik, kualiti mengatasi parti, dan persaingan kempen yang sihat untuk berkhidmat kepada 'rakyat' di sekolah, ini adalah satu subjek terpenting dalam ruh sistem demokrasi yang sebenar yang selari dengan Islam.

Trbute saya berikan kepada guru besar SKTTD1 dan SPR Wilayah Persekutuan yang telah memberikan kerjasama melakukan ekperimen pertama ini. Saya mengharapkan giliran sekolah menengah pula melakukannya, dan saya cabar adik-adik saya di Kolej Islam Sultan Alam Shah merintis melakukannya :)

15 Januari 2010
Selepas kira-kira tiga dekad diharamkan, akhirnya Sudut Pidato atau Speakers' Corner di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan diwujudkan semula dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini menjadi perintis dalam memperkenalkan sudut itu, semalam. Sudut Pidato UKM itu terletak di kawasan terbuka di Teres Eko Niaga bersebelahan Perpustakaan Tun Sri Lanang yang menjadi tempat pelajar universiti berkenaan berehat dan menjamu selera.


21 Januari 2010
Menanti keputusan mampukah Pro-Mahasiswa UIAM dan UM mengekalkan kemenangan di era 'Satu Malaysia' pemerintahan PM Najib Razak ? Mampukah Pro Mahasiswa UKM, UPM, USM, UTM kembali menggugat ? Semoga Allah menguatkan jentera gerakan mahasiswa Islam di seluruh tanah air.


Sumber utama ulasan 3 isu di atas : Berita Harian

Monday, January 11, 2010

Takziah Buat Tun Fatimah, Negarawan Malaysia


Baru seketika saya berkesempatan bertemu dua mata dengan Tun Tan Sri Dr. Fatimah Hashim, namun rupanya pertemuan kami sangat singkat dan beliau telahpun pulang ke rahmatullah semalam. Walaupun kini beliau sudah tiada di dunia ini, namun auranya sebagai wanita pertama Malaysia dilantik sebagai Menteri Kabinet Malaysia terus kekal membara dalam diri saya.

Semoga Allah mencucuri ruh beliau. Al-Fatihah.