Sunday, February 28, 2016

Trip Musafir Ke Miri, Sarawak ( Hari Kedua )

Hari kedua, 27 Februari 2016

Maka alhamdulillah, menjelmalah jua hari seterusnya di Miri ini. Bangun pagi, Subuh yang sejam lebih awal daripada semenanjung. Siap-siap dah set dalam mental kena bangun lebih awal walaupun semalam dekat pukul 1 pagi juga baru dapat lelapkan mata. Anak-anak aktif ini bila di tempat baru memang makin aktif dan susah nak tido. Melompat-lompat atas katil, explore sana sini. Bilik yang pada awal-awal masuk tadi sangatlah kemas dan tersusun cantik, sudah berubah rupa hanya dalam setengah jam sahajaπŸ˜…. Bertabahlah abi dan umi melayan anak-anak aktif dan bijak ini.

Pagi-pagi lagi sama-sama bersarapan dengan suami di hotel, bergilir-gilirlah sebenarnya sebab dua anak hebat itu sudah pastinya belum bangun tidur lagi. Lepas selesai semua, suami dijemput oleh penganjur ke tempat program. Maka tinggallah saya dan anak-anak untuk explorasi Miri kami hari ini. Sementara anak tidurlah cuba menaip selaju mungkin, mengemas apa yang patut. Mujur baju-baju semua dah siap iron semalam. 

Maka dipendekkan cerita, jam 10.30 pagi, siaplah kami semua sekali dengan suap anak-anak makan nasik goreng yang ditapau pagi tadi. 



Seelah siap kami terpaksa menunggu lama sedikit di lobi, kerana kerenah saya juga yang kononnya tak nak memyusahkan orang lain, nak uruskan sendiri kereta sewa. Alkisahnya, hampir 6,7 nombor kereta sewa yang saya dapat di internet saya hubungi mengatakan yang tiada sewa hari ini, semuanya telah penuh orang tempah. Wah, dasyat juga ya Miri ni. Saya dengan penuh yakin tak settlekan awal pasal ini sebab ingat ada je kereta sewa. Ditambah pula masih berbolak balik dengan tawaran penganjur yang nak uruskan juga kereta untuk kami. 



Akhirnya ada satu kereta yang available, tapi perlukan deposit RM200. Tambah dengan charge RM 100 sehari maka saya perlukan RM 400. Oh tak cukup duit tunai ni, maka kena jalan pulak cari ATM. Tolaklah stroller denga dua anak hebat ini. Dah sampai ATM terdekat, ATM tunai tu pual habis duit. Allah, ujian betul.

Dipendekkan lagi juga cerita, akhirnya minta tolong suami jugalah, dan penganjur uruskan. Maka hampir jam 11 dapatlah kami sebiji kereta putih Myvi! Alhamdulillah!😍😍😍

Tempat pertama yang dituju selepas dapat kereta ialah Tamu Muhibbah dan Tamu Khas. Mula hajat nak tunjukkan Fatihah haiwan-haiwan eksotik (ulat gonggok) dan buah-buahan tempatan yang ada di sana tapi mungkin disebabkan masa tu tengah hari rembang, maka nampak macam banyak gerai tutup. Saya pun tak jadi nak turun dari kereta, sebab panas sangat. Fikirkan anak-anak ni rasa macam susah pula. Jadi kami hanya lalu-lalu di gerai dengan kereta sambil bagitau Fatihah apa tempat ini dan fungsinya.

Lepas itu kami ke Miri Handicraft Centre. Tak jauh mana dan senang sahaja nak jumpa. Memang rasa survival betul drive dengan dua anak tanpa carseat ni! Memang biasa je drive dengan mereka ni, cuma dengan carseatlah. Kali ini dengan jalan yang tak biasa, tempat yang pertama kali datang, tanpa suami disisi, tanpa carseat saya drive juga. Mulut memang terkumat kamit je baca doa dan zikir sepanjang memandu. Tapi alhamdulillah, saya rasa jalan-jalan di bandar Miri ini sangat mudah. Kereta pun tak banyak sangat, mudah. Tempat-tempat yang nak dituju pun dekat-dekat. 



Oh ya berbalik kepada cerita tadi, di Miri Handicraft Centre. Tak banyak sangat kedai, tapi barang-barangnya menariklah juga. Tetapi ternyata saya bukan kaki shopping sangat, tak tahu nak beli apa. Cendermata ke cenderahati ke tak terasa sangat nak beli. Kecuali fridgemagnet. Untuk Fatihah belilah juga satu gelang tangan manik buat kenangan, dan untuk Fatih sebiji bola takraw rotan yang kecil dan comel je. 

Selepas itu saya makin keliru nak ke mana. Nak ke taman-taman cuaca masih agak panas. Tengok di peta bandar Miri yang saya ambil di hotel, ada lokasi Taman Bunga Miri. Tapi malangnya lepas GPS ke sana, bukanlah sangat macam taman bunga yang saya bayangkan. Hanya ada beberapa pokok-pokok bunga yang ditanam dalam pasu yang diletak selonggok. Nampak terbiar dan tak terurus dahπŸ˜…

Maka lepas tengok GPS, ternyata Canada Hill, tempat terletaknya The Grand Old Lady dah tak jauh pun. Masih sekitar situ. Mula-mula saya ingat tempat ni terletak di pinggir bandar. Jadi, terus saja saya ke sana. Ramai yang cakap tempat ini paling best pergi boleh tengok sunset dan suasana petang. Ataupun malam. Tapi saya tengok Muzium Petroleam yang juga ada di sana tutup jam 4 petang. Maka saya lebih rela terlepas sunset daripada terlepas nak masuk muzium. Lagipun tanpa suami takkan Maghrib2 nak bawa anak-anak ke sana kan. Jadi saya pun terus memandu ke arah Canada Hill.

Sampai di sana cuaca masih agak panas. Masuk muzium dulu yang beraircond. Muzium ini walaupun tak besar mana sangat, tapi nampak macam agak usang dan terbiar. Sampaikan Fatihah asyik dok sebut takut, takut. Siap kata 'its so scary'! Mungkin juga sebab pada masa tu kami sahaja yang ada dalam muzium tu, tiada pengunjung lain. Saya tengok tadi ada je yang dok bergambar di luar, tapi mungkin mereka tak masuk dalam. Saya memang suka muzium-muzium sejarah macam ni. Jadi tak kesahlah ada orang ke tak, saya mesti masuk.




Tempat ini, di sinilah telaga mintak pertama yang dijumpai dan digali di Malaysia ini. Sejak tahun 1910, bermula dengan penduduk menggali dengan tangan hinggalah dimajukan sebagaimana yang kita tengok apa yang dibuat oleh Petronas sekarang. Telaga (Well No.1) terletak disini. Banyak juga fakta-fakta menarik tentang petroleum, tapi saya tak dapat nak berlama-lama dan nak explore, sebab Fatihah asyik nak nangis. Sabar jelah. Fatih je sporting, lari sana sini explore merata.


Selesai explore muzium kami pun bergambar sikit di luar. Sebab kami 3 beranak je, bergilir-gilirlah ambil gambar. Mujur sekarang Fatihah dah juga boleh diharap untuk amikkan gambar. Walau kadang-kadang ada sedikit masalah dengan kualiti gambarπŸ˜‚






Selepas selesai di Canada Hill, jam dah hampir 4 petang. Maka saya bercadang untuk terus ke SMK Agaam Miri, tempat suami berprogram untuk jemput beliau. Tapi rupanya sekolah tu sudah dekat dengan Luak Esplanade yang juga ada dalam list untuk saya jejaki. Maka sekaliharung terus. 

Malangnya sampai di Luak Esplanade, tepi pantai, anak-anak dah terbungkam tidur dalam kereta keletihan. Maka tidak dapatlah saya keluar berjalan-jalan di pantai. Hanya menikmati pemandangan dari dalam kereta di samping tengok pemandangan anak-anak tidur. Saya yakin dan percaya, yang bergelar ibu bapa, perasaan melihat anak yang sihat sedang tidur nyenyak memang antara nikmat dunia yang wajib disyukuri. 




Malamnya pula kami tak kemana dah, ikut suami yang berkuliah Maghrib di Masjid Al Istiqamah dan kemudiannya makan malam. Malam ni pekena laksa sarawak yang memang menjadi kegemaran saya. Sebenarnya saya suka semua jenis laksa asalkan namanya laksa! 😁 Tapi sudah pasti laksa Kedah atau laksa Penanglah yang paling digemari.

Berakhirlah hari kedua kami di bandar Miri ini. Bandar yang bersih dan menenangkan. 

Antara pengajaran penting yang saya dapat hari ini, besarnya cabaran ibu tunggal yang membesarkan anak-anak sendirian. Haruslah kita memberi sokongan dan membantu mereka ini. Saya yang merasa seharian pun dah rasa letih amat. Justeru, betulkan cara pandang kita kepada ibu-ibu tunggal ini. Mereka perlukan sokongan. Dan hargailah pasangan kita selagi mereka sentiasa disisi😊

Saturday, February 27, 2016

Trip Musafir ke Miri, Sarawak!

Part 1

26 Februari 2016

Alhamdulillah, syukur atas keizinan Allah dengan rahmat dan jagaan kasih sayang Allah kami sekeluarga selamat sampai di Miri, Sarawak. Satu musafir last minit dan yang tak dijangka-jangka. Semuanya bermula kerana pada minggu lepas suami dijadualkan banyak outstation. Bermula hari Selasa hingga Khamis beliau perlu ke Senai Johor, berprogram bersama Kementerian Belia dan Sukan. Maka dalam jadual hujung minggu ini pula beliau perlu ke Miri, Sarawak.
     
Saya pada mulanya hanya redho sajalah dengan jadual beliau yang begitu. Iya, kadang-kadang memang jadualnya begitu. Itulah rutin bekerja sendiri, dan bekerja pula dalam bidang training dan motivasi, dalam bidang penyampaian ibrah Al Quran ini. Memang logiknya beliau perlu travel agak jauh kadang-kadang.

Namun, ternyata suami amat mengenali isterinya ini, yang mana dominan love language isterinya ini ialah 'quality time'. Maka suami membuat tawaran, "Ayang dan anak-anak nak ikut abang ke trip yang mana? Ke Johor atau ke Miri, Sarawak? Pilih salah satu sajalah ya". Tawaran  bersahaja yang menerima lonjakan gembira daripada isteri yang memang sudah mula pasrah awalnya.

Maka mulanya si isteri membuat perkiraan. Walaupun dalam hati sememangnya telah terasa ingin jejak ke Miri, Sarawak. Tempat yang belum pernah dijejak. Tapi disebabkan saya bukanlah jenis yang  'intuitive' mengikut jejak hati semata-mata, maka siaplah dengan jadual lagi dibuat, perkiraan pro dan contra antara kedua-dua trip ini. Ya, based kepada facts dan beberapa faktor penting. Itulah yang selalu saya lakukan. Sekeping kertas dan sehelai pen adalah alat wajib untuk saya membuat keputusan selain internet yang mesti laju untuk google mengoogle dan calculator untuk kira bajet;)



Akhirnya, saya membuat keputusan untuk ke Miri, Sarawak! Ya, suami selalu memberi saya peluang untuk membuat keputusan. Dalam banyak hal, dia selalu beri ruang. Itulah yang menyebabkan saya sangat alergik dengan suami-suami yang autokratiknya masyaAllah! Sabar jelah. Sekali sekala bagilah ruang kepada isteri membuat keputusan hatta yang kecil mahupun besar. Selepas berbincang pastinya, kemudian bagilah ruang si isteri menjadi kata pemutus. Tak salah sekali sekala, tak hilang hormat isteri kepada suami yang begini :)

Maka, jam 5:05 petang semalam, daripada KLIA maka kami berempat pun bertolaklah ke Miri dengan MAS Airlines. Airlines yang kini dikatakan sangat bermasalah, yang sedang membuang pekerja-pekerjanya. Airlines yang terkenal di dunia dengan MH 370 dan MH 17 ya, yang kini sangat misteri dan tragis.  Kali terakhir kami menaiki MAS ialah semasa trip ke London, tahun 2013 yang lalu. Ya, hampir 3 tahun dah tak naik MAS. Tapi yang pastinya, walaupun saya mengalami sedikit masalah dengan urusan pembayaran secara online dengan Maybank2u iaitu maybank dah deduct tetapi MAS kata tak terima pada awalnya, tetapi satu benda yang masih sama dan tetap saya akui adalah kebaikan pramugara dan pramugari MAS. Mereka sangat baik dan sentiasa friendly melayan kami dan anak-anak kami atas flight. Ada pramugara siap main kejar-kejar dengan Fatih atas flight. Ramah mesranya mereka menyebabkan rasa bangga jadi rakyat Malaysia. Rasa bangga dengan MAS walau apa pun yang terjadi di sebalik airlines ini. Moga ada sinar bahagia dan jalan keluar untuk segala kemelut MAS kini. Jangan pandang ringan kepada perkhidmatan penerbangan yang membawa nama dan imej negara. Ia adalah faktor penting orang luar menilai negara kita.



Perjalanan daripada rumah ke airport, di airport dan dalam flight alhamdulillah berjalan lancar. Walaupun memang bersilat dengan keaktifan Fatihah & Fatih, tetapi saya dan suami telah biasa. Itulah seronoknya musafir dengan anak-anak. Bermula daripada sesi packing barang, yang bila saya masuk dalam beg, Fatih keluarkan, hinggalah ke adegan Fatih tumpahkan mee goreng dalam flight, semuanya mengukir memori indah kami anak beranak.

Sampai di Miri, kami dijemput 3 orang Ustaz daripada Lembaga Kemajuan Melayu Miri, penganjur program yang menjemput suami saya ke sini. Sekali lagi saya terpana, dengan kebaikan hati dan akhlak mereka. Saya ada menyebut kepada suami semasa telah selamat sampai di hotel selepas makan, "Baiknyalah orang-orang Sarawak ni kan. Masa kita ke Kuching dulu pun baik sangat-sangat depa semua dengan kita".

"Ya, setakat ini track record program-program di Sarawak memang amat baik layanan dan common sense mereka". Jawab suami mengiyakan.

Miri adalah salah satu daerah di utara Sarawak, salah satu parlimen dalam Malaysia. Mengikut ustaz yang menjemput kami di airport Miri, di Miri ini sekitar 60-70% populasi penduduknya tidak beragama Islam. Kebanyakkannya beragama Kristian. Malah, Miri ini jugalah antara tempat yang populasi penduduknya diwakili oleh pelbagai etnik yang ada di Sarawak daripada Iban, Melanau, Bidayuh, hinggalah ke Orang Ulu dan lain-lain. Kalau di Kuching sendiri katanya, tak semua etnik yang ada di Sarawak ada di sana.

Saya berbunga-bunga bila mendapat input yang macam ini. Seronok sebab dapat tahu lebih lanjut tentang Miri selain apa yang telah saya google sebelum datang ke sini.

Sampai di hotel sudah hampir jam 9 malam, maka kami berehat sahaja. Tidak berniat untuk ke mana-mana kerana suami pun perlu bersiap sedia untuk program esok. Dan saya dan anak-anak pula esok akan explore Miri! Lain sikit backpacker saya nih, orang lain bawak begpack saya bawak anak-anak!

Hotel kami menginap ini namanya Hotel Nur. Setakat ini sangat recommended. Baru, cantik dan selesa. Katanya antara hotel yang islamik lah di Miri ini. Ini penting, jangan hanya nama sahaja Islamik, tetapi nilai-nilai islamik itu haruslah lagi penting untuk diterapkan :)

Semasa di airport Miri, saya seperti biasa sangat tak boleh dengan kedai-kedai stationery dan buku. Maka sementara menunggu kami dijemput, saya jenguk-jenguk kedai dan jumpa buku menarik ini untuk Fatihah, "The Children's Book Of MANNERS". Saya rasa buku ini sangta menarik yang menerangkan tentang manners dan adab-adab asas untuk kanak-kanak. Siap ada Reward Chart dan stickers. Saya sangat suka dan terus beli dan hadiahkan kepada Fatihah. Walaupun harganya agak mahal sedikit untuk saya, RM21.90. Tapi saya sangat jatuh hati dengan konsep buku ini dan harapnya dapatlah Fatihah belajar dan habiskan membaca buku ini sepanjang trip kami ini :)







Sekian, moga berjumpa lagi di catatan seterusnya nanti :)




Monday, February 1, 2016

WORLD HIJAB DAY 2016 : “BERPAKAIAN MENUTUP AURAT ADALAH SIFAT AHLI SYURGA”

WORLD HIJAB DAY 2016 : “BERPAKAIAN MENUTUP AURAT ADALAH SIFAT AHLI SYURGA”

Hari ini, tanggal 1 Februari dikenali sebagai ‘World Hijab Day’ atau ‘Hari Hijab Sedunia’ bermula sejak tahun 2013. World Hijab Day ini dimulakan oleh Nazma Khan yang merupakan seorang muslimah yang berhijab yang menghadapi beberapa ancaman dan tekanan sebagai seorang muslimah yang berhijab pasca 9/11. Justeru, beliau memulakan kempen ini, dengan harapan untuk memberitahu dunia tentang hijab dan mengajak non-muslim dan muslimah yang tidak berhijab untuk cuba memakai hijab dan merasai sendiri perasaan memakai hijab.

Hijab atau tudung atau kerudung sememangnya telah menjadi antara agenda kontroversi yang melibatkan golongan wanita zaman berzaman. Pertelingkahan, perbezaan pendapat dan pandangan, telah mewarnai dunia hijab melibatkan golongan wanita muslim.

Hijab sebagai lambang opresi, diskriminasi kepada wanita, bebanan dan tekanan, membantutkan pergerakan dan penglibatan, menyekat kebebebasan untuk berhias. Ini adalah antara konotasi-konotasi sebelah pihak tentang pemakaian hijab. Disebelah pihak lain, hijab adalah lambang ketaatan, lambang ketinggian maruah dan peribadi, kesungguhan dalam beramal, kesopanan dan kesusilaan dan juga manifestasi kecintaan.

Syeikh Abdul Halim Abu Syuqqah dalam bukunya ‘Kebebasan Wanita’ membahaskan dengan panjang lebar tentang makna ‘hijab’ yang sebenar yang bagi beliau bukanlah merujuk kepada sejenis busana atau pakaian atau kita di Malaysia menggelarkannya sebagai tudung. Beliau berhujah penggunaan ‘hijab’ sebagai salah satu busana atau pakaian wanita adaah bertentangan dengan makna sebenar Hijab dalam AlQuran dan As Sunnah. Hijab dalam Al Quran merujuk kepada sesuatu yang menghalangi antara dua pihak hingga yang satu tidak dapat melihat yang lain sama sekali.

Namun, dapat kita fahami bahawa pemilihan perkataan ‘hijab’ yang digunakan dalam ‘World Hijab Day’ ini hakikatnya merujuk kepada pemakaian tudung dikalangan muslimat kemungkinan disebabkan perkataan tudung yang diterjemahkan sebagai ‘hijab’ dalam Bahasa Inggeris.


Hijab / Tudung sebagai antara pakaian menutup aurat

Apa yang paling penting yang wajar difahami disebalik pensyariatan hijab atau tudung dalam ayat 31 Surah An Nur ini adalah hijab sebagai antara pakaian untuk menutup aurat. Yang dimaksudkan dengan aurat itu mengikut tafsiran Ibnu Kathir adalah yang mengundang syahwat. Aurat diambil dari perkataan Arab 'aurah' yang bererti keaiban. Manakala dalam istilah feqah pula aurat diertikan sebagai bahagian tubuh badan seseorang yang wajib ditutup atau dilindungi dari pandangan.

Maka, hijab itu adalah sebahagian daripada pakaian yang menutup aurat. Dalam Surah Al A’raf ayat 26, Allah telah berfirman bahawa Allah telah menyediakan pakaian untuk menutup aurat dan juga sebagai perhiasan.


Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur) (Al-A’raf, 26)

Sesungguhnya Allah SWT memberikan kenikmatan kepada hamba-hambaNya dengan menyediakan pakaian dan perhiasan. Pakaian yang disebutkan disini adalah untuk menutup semua aurat. Disebut aurat kerana ia mengundang syahwat. Sedangkan perhiasan ialah yang memberi keindahan yang nampak daripada luarannya. Maka, pakaian adalah keperluan utama, sedangkan “riyasy’ (perhiasan) merupakan penyempurna dan pelengkap. Demikianlah antara ulasan Ibnu Kathir berkenaan mafhum ayat ini.

Ayat ini dengan jelas menerangkan kepada kita tentang matlamat utama dalam berpakaian adalah menutup aurat walaupun pada bahagian penghujung ayat menyatakan sebaik-baik pakaian adalah pakaian taqwa, tetapi ia sedikitpun tidak menafikan nilai dan kepentingan berpakaian. Tafsir Jalalain menafsirkan frasa ‘pakaian taqwa’ sebagai amal soleh dan akhlak yang baik. Maka, berpakaian dengan tujuan menutup aurat juga adalah sebahagian daripada amal soleh yang boleh dikategorikan sebagai ‘pakaian taqwa’.

Matlamat sebenar yang menjadi objektif pensyariatan Allah kepada kita untuk berpakaian ialah untuk menutup aurat. Justeru, matlamat ataupun hadaf ini haruslah benar-benar dicapai apabila kita memakai pakaian. Tidak seharusnya kita memakai pakaian untuk tujuan-tujuan lain apatah lagi untuk tujuan menunjuk-nunjuk dan berbangga-bangga dengan pelbagai jenis fesyen pakaian dan hijab yang kita ada. Ini menyimpang jauh daripada matlamat asal kita berpakaian. Niat ini juga akan menentukan perbuatan kita akan menjadi amal soleh atau sebaliknya.

Berpakaian sebagai sifat ahli Syurga

Jika kita meneliti dengan lebih lanjut ayat-ayat sebelum ayat 26 Surah Al-A’raf ini, kita akan menjumpai asal usul tentang berpakaian ini dan siapakah yang sebenarnya musuh utama kita dalam melaksanakan perintah Allah untuk berpakaian untuk menutup aurat ini.


“Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua supaya (dapatlah) ia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, sambil ia berkata: "Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana Ia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam Syurga)". (Al-A’raf, 20)


Dalam Ayat 20 Surah Al-A’raf ini, disebutkan bahawa tujuan asal Syaitan disebalik godaannya untuk mereka berdua memakan buah larangan itu ialah untuk menanggalkan pakaian Nabi Adam dan isterinya Hawa.

“untuk menampakkan kepada keduanya apa yang tertutup daripada mereka iaitu auratnya”

Sememangnya tipu daya syaitan sangat licik, dengan mengatakan bahawa Tuhan kamu melarangmu dari mendekati pohon ini melainkan supaya kamu berdua tidak menjadi malaikat atau tidak menjadi orang yang kekal di dalam syurga. Dan Syaitan itu siap bersumpah dan mengatakan yang dia hanyalah orang yang ingin memberikan nasihat!

Sedangkan apa yang terjadi selepas itu adalah tertanggalnya pakaian Nabi Adam As dan Hawa’ sehingga menampakkan aurat  mereka. Maka yang dikatakan oleh syaitan itu hanyalah tipu daya semata.

Dan peristiwa seterusnya diceritakan dalam ayat 22 Surah Al-A’raf tentang bagaimana akhirnya ternampaklah aurat mereka setelah memakan buah larangan itu. Inilah tipu daya syaitan yang berjalan dengan mulus dan menghasilkan buah yang pahit untuk ditelan. Selama zaman berzaman sejak daripada Nabi Adam AS lagi syaitan itu berusaha sedaya mampunya untuk memastikan umat manusia ini menanggalkan pakaian mereka.

Seharusnya juga kita jangan sesekali leka, bahawa yang sentiasa menghasut dan membisikkan kepada kita untuk menanggalkan pakaian yang menutup aurat kita ini adaah syaitan. Syaitan ini telah berusaha sekian lama dan tidak pernah berputus asa. Sehingga kini dia terus menghasut dan membisikkan bisikan jahat kepada anak cucu Nabi Adam AS. Maka benarlah, syaitan itulah sebenar-benarnya musuh yang nyata, musuh yang sentiasa mahu kita menanggalkan pakaian kita!

Ayat 118 Surah Taha yang berbunyi :

"Sesungguhnya telah dikurniakan berbagai nikmat bagimu, bahawa engkau tidak akan lapar dalam Syurga itu dan tidak akan bertelanjang” ( Taha, ayat 118)

Daripada ayat ini dapat difahami bahawa Nabi Adam AS bersama isterinya Hawa’ sejak berada di dalam syurga lagi telah berpakaian. Berpakaian ini sememangnya adalah ciri-ciri ahli syurga. Sekaligus menafikan segala teori asal usul kejadian manusia yang kononnya manusia ini berevolusi dan bertelanjang pada mulanya.
Berpakaian itu hakikatnya adalah sifat ahli syurga.

Pengajaran yang boleh diambil daripada ayat 22 Surah Al’Araf ini juga adalah tentang sifat malu. Sifat malu yang hakikatnya telah menjadi fitrah dan naluri yang Allah campaknya ke daam hati manusia sejak manusia yang pertama lagi. Tatkala tertanggalnya pakaian Nabi Adam AS dan Hawa’, mereka secara automatik mengutip daun-daun syurga untuk menutup aurat mereka. Tanpa sebarang suruhan mereka melakukannya kerana itulah antara naluri dan fitrah manusia iaitu mempunyai sifat malu. Lalu, manusia kini yang seolah-olah telah hilang malunyabagaikan telah tercabut daripada diri mereka fitrah dan naluri kemanusiaan yang Allah SWT anugerahkan.

Pakaian itu adalah antara anugerah istimewa Allah SWT kepada manusia. Yang tidak diberikan kepada makhluk yang lain. Dalam ayat 26 Surah Al A’raf Allah menyebut telah diturunkan kepada kamu pakaian. Kerana hakikatnya pakaian ini bermula daripada syurga sana lagi. Maka, haruslah kita kembali bermuhasabah atas tujuan apa kita memakai pakaian dan berhijab. Haruslah kita jelas dari mana datangnya pakaian untuk menutup aurat ini dan ke mana pakaian ini akan membawa kita. Moga-moga pakaian yang kita pakai inilah yang akan membawa kita kembali ke syurga sana. Dan sentiasalah berwaspada dan berjaga-jaga dengan syaitan musuh utama kita, yang tidak pernah mahu kita berpakaian sempurna!