WORLD HIJAB DAY 2016 : “BERPAKAIAN MENUTUP
AURAT ADALAH SIFAT AHLI SYURGA”
Hari ini,
tanggal 1 Februari dikenali sebagai ‘World Hijab Day’ atau ‘Hari Hijab Sedunia’
bermula sejak tahun 2013. World Hijab Day ini dimulakan oleh Nazma Khan yang
merupakan seorang muslimah yang berhijab yang menghadapi beberapa ancaman dan
tekanan sebagai seorang muslimah yang berhijab pasca 9/11. Justeru, beliau
memulakan kempen ini, dengan harapan untuk memberitahu dunia tentang hijab dan
mengajak non-muslim dan muslimah yang tidak berhijab untuk cuba memakai hijab
dan merasai sendiri perasaan memakai hijab.
Hijab atau
tudung atau kerudung sememangnya telah menjadi antara agenda kontroversi yang
melibatkan golongan wanita zaman berzaman. Pertelingkahan, perbezaan pendapat
dan pandangan, telah mewarnai dunia hijab melibatkan golongan wanita muslim.
Hijab sebagai
lambang opresi, diskriminasi kepada wanita, bebanan dan tekanan, membantutkan
pergerakan dan penglibatan, menyekat kebebebasan untuk berhias. Ini adalah
antara konotasi-konotasi sebelah pihak tentang pemakaian hijab. Disebelah pihak
lain, hijab adalah lambang ketaatan, lambang ketinggian maruah dan peribadi,
kesungguhan dalam beramal, kesopanan dan kesusilaan dan juga manifestasi
kecintaan.
Syeikh Abdul Halim Abu Syuqqah dalam bukunya ‘Kebebasan
Wanita’ membahaskan dengan panjang lebar tentang makna ‘hijab’ yang sebenar
yang bagi beliau bukanlah merujuk kepada sejenis busana atau pakaian atau kita
di Malaysia menggelarkannya sebagai tudung. Beliau berhujah penggunaan ‘hijab’
sebagai salah satu busana atau pakaian wanita adaah bertentangan dengan makna
sebenar Hijab dalam AlQuran dan As Sunnah. Hijab dalam Al Quran merujuk kepada
sesuatu yang menghalangi antara dua pihak hingga yang satu tidak dapat melihat
yang lain sama sekali.
Namun, dapat kita fahami bahawa pemilihan perkataan
‘hijab’ yang digunakan dalam ‘World Hijab Day’ ini hakikatnya merujuk kepada
pemakaian tudung dikalangan muslimat kemungkinan disebabkan perkataan tudung
yang diterjemahkan sebagai ‘hijab’ dalam Bahasa Inggeris.
Hijab /
Tudung sebagai antara pakaian menutup aurat
Apa yang paling penting yang wajar difahami disebalik
pensyariatan hijab atau tudung dalam ayat 31 Surah An Nur ini adalah hijab
sebagai antara pakaian untuk menutup aurat. Yang dimaksudkan dengan aurat itu
mengikut tafsiran Ibnu Kathir adalah yang mengundang syahwat. Aurat diambil
dari perkataan Arab 'aurah' yang bererti keaiban. Manakala dalam istilah feqah
pula aurat diertikan sebagai bahagian tubuh badan seseorang yang wajib ditutup
atau dilindungi dari pandangan.
Maka, hijab itu adalah sebahagian daripada pakaian yang
menutup aurat. Dalam Surah Al A’raf ayat 26, Allah telah berfirman bahawa Allah
telah menyediakan pakaian untuk menutup aurat dan juga sebagai perhiasan.

Wahai
anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan
untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang
berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari
tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya
mereka mengenangnya (dan bersyukur) (Al-A’raf, 26)
Sesungguhnya
Allah SWT memberikan kenikmatan kepada hamba-hambaNya dengan menyediakan
pakaian dan perhiasan. Pakaian yang disebutkan disini adalah untuk menutup
semua aurat. Disebut aurat kerana ia mengundang syahwat. Sedangkan perhiasan
ialah yang memberi keindahan yang nampak daripada luarannya. Maka, pakaian
adalah keperluan utama, sedangkan “riyasy’ (perhiasan) merupakan penyempurna
dan pelengkap. Demikianlah antara ulasan Ibnu Kathir berkenaan mafhum ayat ini.
Ayat
ini dengan jelas menerangkan kepada kita tentang matlamat utama dalam
berpakaian adalah menutup aurat walaupun pada bahagian penghujung ayat
menyatakan sebaik-baik pakaian adalah pakaian taqwa, tetapi ia sedikitpun tidak
menafikan nilai dan kepentingan berpakaian. Tafsir Jalalain menafsirkan frasa
‘pakaian taqwa’ sebagai amal soleh dan akhlak yang baik. Maka, berpakaian
dengan tujuan menutup aurat juga adalah sebahagian daripada amal soleh yang boleh
dikategorikan sebagai ‘pakaian taqwa’.
Matlamat
sebenar yang menjadi objektif pensyariatan Allah kepada kita untuk berpakaian
ialah untuk menutup aurat. Justeru, matlamat ataupun hadaf ini haruslah
benar-benar dicapai apabila kita memakai pakaian. Tidak seharusnya kita memakai
pakaian untuk tujuan-tujuan lain apatah lagi untuk tujuan menunjuk-nunjuk dan
berbangga-bangga dengan pelbagai jenis fesyen pakaian dan hijab yang kita ada.
Ini menyimpang jauh daripada matlamat asal kita berpakaian. Niat ini juga akan
menentukan perbuatan kita akan menjadi amal soleh atau sebaliknya.
Berpakaian sebagai sifat
ahli Syurga
Jika
kita meneliti dengan lebih lanjut ayat-ayat sebelum ayat 26 Surah Al-A’raf ini,
kita akan menjumpai asal usul tentang berpakaian ini dan siapakah yang
sebenarnya musuh utama kita dalam melaksanakan perintah Allah untuk berpakaian
untuk menutup aurat ini.

“Setelah
itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua supaya (dapatlah)
ia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup dari
(pandangan) mereka, sambil ia berkata: "Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu
daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana Ia tidak suka) kamu berdua
menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya di
dalam Syurga)". (Al-A’raf, 20)
Dalam
Ayat 20 Surah Al-A’raf ini, disebutkan bahawa tujuan asal Syaitan disebalik
godaannya untuk mereka berdua memakan buah larangan itu ialah untuk
menanggalkan pakaian Nabi Adam dan isterinya Hawa.
“untuk
menampakkan kepada keduanya apa yang tertutup daripada mereka iaitu auratnya”
Sememangnya
tipu daya syaitan sangat licik, dengan mengatakan bahawa Tuhan kamu melarangmu
dari mendekati pohon ini melainkan supaya kamu berdua tidak menjadi malaikat
atau tidak menjadi orang yang kekal di dalam syurga. Dan Syaitan itu siap
bersumpah dan mengatakan yang dia hanyalah orang yang ingin memberikan nasihat!
Sedangkan
apa yang terjadi selepas itu adalah tertanggalnya pakaian Nabi Adam As dan
Hawa’ sehingga menampakkan aurat mereka.
Maka yang dikatakan oleh syaitan itu hanyalah tipu daya semata.
Dan
peristiwa seterusnya diceritakan dalam ayat 22 Surah Al-A’raf tentang bagaimana
akhirnya ternampaklah aurat mereka setelah memakan buah larangan itu. Inilah tipu
daya syaitan yang berjalan dengan mulus dan menghasilkan buah yang pahit untuk
ditelan. Selama zaman berzaman sejak daripada Nabi Adam AS lagi syaitan itu
berusaha sedaya mampunya untuk memastikan umat manusia ini menanggalkan pakaian
mereka.
Seharusnya
juga kita jangan sesekali leka, bahawa yang sentiasa menghasut dan membisikkan
kepada kita untuk menanggalkan pakaian yang menutup aurat kita ini adaah
syaitan. Syaitan ini telah berusaha sekian lama dan tidak pernah berputus asa.
Sehingga kini dia terus menghasut dan membisikkan bisikan jahat kepada anak
cucu Nabi Adam AS. Maka benarlah, syaitan itulah sebenar-benarnya musuh yang
nyata, musuh yang sentiasa mahu kita menanggalkan pakaian kita!
Ayat
118 Surah Taha yang berbunyi :
"Sesungguhnya
telah dikurniakan berbagai nikmat bagimu, bahawa engkau tidak akan lapar dalam
Syurga itu dan tidak akan bertelanjang” ( Taha, ayat 118)
Daripada
ayat ini dapat difahami bahawa Nabi Adam AS bersama isterinya Hawa’ sejak
berada di dalam syurga lagi telah berpakaian. Berpakaian ini sememangnya adalah
ciri-ciri ahli syurga. Sekaligus menafikan segala teori asal usul kejadian
manusia yang kononnya manusia ini berevolusi dan bertelanjang pada mulanya.
Berpakaian
itu hakikatnya adalah sifat ahli syurga.
Pengajaran
yang boleh diambil daripada ayat 22 Surah Al’Araf ini juga adalah tentang sifat
malu. Sifat malu yang hakikatnya telah menjadi fitrah dan naluri yang Allah
campaknya ke daam hati manusia sejak manusia yang pertama lagi. Tatkala
tertanggalnya pakaian Nabi Adam AS dan Hawa’, mereka secara automatik mengutip
daun-daun syurga untuk menutup aurat mereka. Tanpa sebarang suruhan mereka
melakukannya kerana itulah antara naluri dan fitrah manusia iaitu mempunyai
sifat malu. Lalu, manusia kini yang seolah-olah telah hilang malunyabagaikan
telah tercabut daripada diri mereka fitrah dan naluri kemanusiaan yang Allah
SWT anugerahkan.
Pakaian
itu adalah antara anugerah istimewa Allah SWT kepada manusia. Yang tidak
diberikan kepada makhluk yang lain. Dalam ayat 26 Surah Al A’raf Allah menyebut
telah diturunkan kepada kamu pakaian. Kerana hakikatnya pakaian ini bermula
daripada syurga sana lagi. Maka, haruslah kita kembali bermuhasabah atas tujuan
apa kita memakai pakaian dan berhijab. Haruslah kita jelas dari mana datangnya
pakaian untuk menutup aurat ini dan ke mana pakaian ini akan membawa kita.
Moga-moga pakaian yang kita pakai inilah yang akan membawa kita kembali ke
syurga sana. Dan sentiasalah berwaspada dan berjaga-jaga dengan syaitan musuh
utama kita, yang tidak pernah mahu kita berpakaian sempurna!
1 comment:
日本视讯 , 同城交友约炮 , 交友网站约炮容易麽 , 58同城交友约炮 , 交友网站约炮指南 , 58同城交友 , 奇摩女孩真人交友视频网 , 真人免费视讯聊天室 , 台湾视讯聊天室 , 免费视讯聊天室,视讯美女,视讯交友
Post a Comment