Showing posts with label Baitul Muslim. Show all posts
Showing posts with label Baitul Muslim. Show all posts

Saturday, February 13, 2010

Saya Dah Ada Peluang Menjadi Isteri Solehah !

Lama rasanya saya tak menulis. Banyak benda yang berlaku. Sama ada secara personal, organisasi mahupun negara. Macam-macam berlaku.

Saya macam dah kurang suka dengan blog sendiri. Entahlah mengapa. Nak membukanya pun malas. Lagi suka layan blog politik yang 'hot-hot' dan 'blog jumping' kemana-mana je yang mouse ni rasa nak klik.

Kebanyakan blog muslimat yang saya buka, wajib ada pasal wanita solehah. Tak kesahlah sajak ke, lirik lagu ke, cerpen ke,syair ke, mesti ada pasal wanita solehah. Wajib pulak disertakan dengan gambar-gambar wanita yang bertudung labuh dan sejuk mata memandang. Tak kurang juga yang berpurdah tertutup rapi. Halusnya jiwa seorang muslimah ni.

Saya dulu bukan jenis macam tu sangat pun. Nak membaca cerpen-cerpen dan novel-novel 'cintun' hatta Cinta Islamik ala Fatima Syarha mahupun Habiburrahman Al-Sherazi tu pun tak terbaca. Apatah lagi nak layan cerpen-cerpen dan sajak wanita solehah. Saya amat mengagumi muslimat yang penuh cita-cita dan visi nak jadi isteri solehah. Saya cukup kagum. InsyaAllah, beruntung lelaki yang beristerikan muslimat seperti ini.

Saya pulak masa bujangnya dulu sampailah kini, lebih suka membaca buku-buku fikrah dan buku-buku 'berisi' yang kandungannya pada pandangan saya lebih bermakna. Tak lupa juga komik-komik Conan yang memang penuh koleksi kat rumah ni. Sampai gi usrah dengan adik-adik UZA pun terbawak buku Conan. Jiwa saya kurang nak melayang sajak-sajak dan puisi-puisi puitis ni. Memang jiwa seni yang kering kontang agaknya.

Bila saya tengok balik semua cerpen, sajak dan segalanya yang pasal isteri solehah tu, saya jadi terkasima. Rasa termuhasah diri ini. Saya ni dah jadi isteri orang. Solehah kah saya? Isteri solehah kah saya ini? Kalau orang lain telah bercita-cita untuk menjadi isteri solehah sejak dari belum berkahwin lagi, macamana pulak saya?

Yang saya ingat, 3 bulan sebelum saya kawin, habis buku-buku pasal perkahwinan saya baca dan saya selidiki. Masih ada koleksinya di rumah ni. Itu untuk persediaan saya nak berkahwin. Kini saya dah pun berkahwin, dah jadi isteri solehahkah saya?

Adik usrah saya, Busra, kata saya ni 'isteri perkasa'. Sebab saya ni jenis yang agak 'independent', suka merempit, tak reti nak duduk diam, dan tak berapa pandai m***k. Isteri perkasa tu solehahkah?

Saya dalam kekusutan sikit hari ni. Gejala gelombang emosi yang agak tak terkawal. Saya balik rumah, saya selongkar rak buku berkaitan Baitul Muslim, saya belek-belek semula. Saya mencari 'sesuatu'. Kemudian saya menghantar sms pada suami tersayang. Ringkas, "Ayg nak jadi isteri solehah abang dunia akhirat".


Saya kini sudah diberi peluang oleh Allah Taala untuk menjadi isteri solehah. Saya amat bersyukur. Saya tak nak sia-siakan masa yang ada ni. Saya nak rebut setiap masa menjadi isteri solehah, dengan harapan saya mampu menggapai cinta dan redho Allah yang mutlak. Moga saya dapat bertemu dan bercinta semula dengan suami saya kini di akhirat sana.

Jangan lupa tanggungjawab kita sebagai anak. Jika kita tidak mampu menjadi anak yang solehah, jangan bermimpi kita mampu menjadi isteri yang solehah.

Saya doakan semua yang membaca, menjadi anak dan isteri yang solehah. Juga suami yang soleh.

Buat insan yang cukup dekat dihati saya walau jauh di jarak mata, saya mendoakan kakak kesayangan saya ini. Saya sentiasa doakan beliau. Moga Allah kuatkan lagi hatinya yang telah kuat, Allah tunjukkan jalan penyelesaian terbaik buat beliau. Saya sangat menyayangi beliau.

Friday, December 11, 2009

Catatan Lama, Kenangan EidulAdha

Kenangan pagi raya di Kedah

Saya rasa kita semua biasa menonton drama melayu di kaca TV yang memaparkan tentang konflik dan perselisihan yang berlaku antara suami dan isteri tatkala berdepan dengan Hari Raya. Puncanya mudah sahaja iaitu hendak beraya di kampung mana pada raya kali ini. Sama ada di kampung si suami atau si isteri. Kalau yang sudah tidak ada kampung kerana sudah kehilangan mak dan ayah ataupun kampung kedua-duanya memang di tempat yang sama, mudah kerjanya. Tak perlu berfikir panjang atau bergaduh bertengkar berjam-jam.

Saya dulunya selalu meremehkan aspek ini. Pada pemikiran saya suatu ketika dulu, kenapalah sampai nak gaduh-gaduh dengan hanya hal sekecil ini sekadar kes hendak beraya di kampung mana dulu. Bukanlah isu besar sangat pun, bukanlah beza sangat pun raya di mana-mana pun. Bincanglah elok-elok suami isteri. Nama pun suami isteri, takkan lah sampai tak boleh berbincang.

Suami dikerumuni anak-anak saudara. Ni baru suku dari jumlah keseluruhan anak saudara saya.Semuanya menyukai 'pakcik' mereka ini.

Tapi, bila terkena kat atas batang hidung sendiri, barulah saya tersentak, tersedar langit tu tinggi ke rendah. Benarlah fitrah manusia ni susah nak terasa melainkan bila dah terkena atas batang hidung sendiri. Macam dalam kes gejala sosial remaja kita yang tak pernah sudah, mahupun kes penderaan kanak-kanak dan wanita yang makin bertambah-tambah, susah kita nak merasa ‘keperitan’ nya. Kes kemiskinan tegar di Negara 1 Malaysia ini juga masih di tahap yang sama. Kita buat tak endah kerana bukannya kita yang merasa. Bukannya suami,isteri dan anak-anak kita. Bukannya adik beradik dan saudara mara kita. Kita bersaudara sesama Islam hanya teori bukan praktikal lagi.

Raya Haji yang lalu sekali lagi saya merasakan asakan perasaan bila berdepan dengan saat-saat perlu membuat keputusan hendak beraya di mana. Saya tidak ada masalah dengan keluarga mertua, malah saya sangat-sangat sukakan Kelantan. Saya rasa tenang berada di Kelantan. Namun, sebagai anak bongsu dalam keluarga saya, apatah lagi Raya Haji kali ni semua kakak-kakak dan abang akan beraya di Kedah kecuali kakak saya yang berada di Australia, hati saya meruntun-runtun nak beraya di Kedah juga. Kebetulan, di Kelantan juga ada majlis Kurban & Aqiqah akan diadakan pada hari raya pertama malamnya. Saya makin tak keruan.

Kenduri Korban & Aqiqah di Tumpat, Kelantan

Bukan mudah rupanya nak terima hakikat tidak dapat beraya di rumah dan kampung sendiri. Setelah hampir 23 tahun hidup, susah jugak rupanya nak beraya bukan di rumah sendiri, walaupun di rumah suami sendiri, rumah mertua. Saya pula ada sentimen 'kemanjaan' dengan keluarga sendiri yang agak lebih terutamanya mak ayah, makin sukar saya rasakan nak raya di tempat lain.

Perbincangan demi perbincangan bersama suami dilakukan. Dari Plan A sampai ke Plan D kami lakarkan. Namun, pada mulanya kedua-dua masih belum berpuas hati kerana masing-masing nak raya di kampung sendiri dengan alasan tersendiri!

Inilah sekelumit pengalaman realiti di alam perkahwinan yang saya hadapi. Walau berstatus Baitul Muslim, jangan impikan semuanya senang dan mudah seperti kisah-kisah dalam cerpen dan novel. Ada realiti tersendiri yang perlu kita hadapi.

Kenangan bermain bowling dengan semua ketujuh2 adik beradik suami saya. Seronok kami berentap sesama sendiri.

Akhirnya, setelah solat hajat & istikhorah dilakukan, kami mencapai keputusan sepakat untuk beraya di Kedah pada hari pertama raya dan pada tengahari tersebut bertolak ke Kelantan untuk menghadiri majlis di sana pada malamnya. Alhamdulillah, kami berpuas hati dan rumahtangga setahun jagung kami ini berjaya mengharungi konflik ini dengan sedikit ilmu pengurusan konflik dan bantuan serta petunjuk dari Allah S.W.T..

Sekadar sebuah catatan ringkas perjalanan realiti dalam rumahtangga. Siapa yang tak suka dengan tulisan genre sebegini, usahlah memaksa diri membaca. Saya menulis buat mereka yang mahu dan sudi sahaja.

Kenangan di Pantai Sri Tujuh, Tumpat

Saturday, October 31, 2009

Nur Fatimah Pulang Ke Rahmatullah di Pangkuan Ibunya


NUR FATIMAH MILIK ALLAH

“ Tidak ada satu musibah pun yang menimpa di muka bumi dan tidak pula pada dirimu melainkan telah tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sungguh, yang demikian itu sangat mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) agar kamu tidak berdukacita terhadap apa yang luput darimu dan supaya kamu tidak terlalu bergembira terhadap apa yang Dia berikan kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.”

Surah Al-Hadid : 22-23

“ Tidak ada satu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah, dan barangsiapa yang beriman kepada Allah, nescaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.”

Surah at-Taghaabun : 11

“ Tidak ada seorang pun yang ditimpa musibah, lalu ia mengucapkan : Inna lillahi wa inna ilaihi roji’un, Allahumma’jurnii fi mushibatii wa akhliflii khoirom-minha ( Sesungguhnya kita adalah milik Allah dan hanya kepada-Nya kita akan kembali. Ya Allah, berilah pahala atas musibah yang menimpaku ini dan gantilah aku dengan yang lebih baik darinya) kecuali Allah akan memberi pahala atas musibah yang menimpanya dan menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik darinya.”

Muslim 2/233

“ Allah berfirman : “Tidak ada balasan bagi hamba-Ku yang beriman jika Aku mengambil (mewafatkan) orang yang dicintainya di antara penduduk dunia ini, lalu dia mengharap pahala atas musibah ini kecuali syurga”

Al-Bukhari dalam al-Fath : 11/242

“ Rasulullah SAW berkata kepada seseorang yang ditinggal mati anak lelakinya, “ Apa kamu tidak suka bila kamu masuk salah satu pintu syurga sedang engkau mendapati anakmu itu sudah menantimu?”

Ahmad dan an-Nasa’i. Sanad sesuai syarat as-shahih serta ditashihkan oleh al-Hakim dan Ibnu Hibban. Lihat Fathul-Bari : 11/243


Ayat-ayat Al-Qur’an dan Hadith inilah yang sentiasa membantu kami tenang sepanjang tempoh Nur Fatimah di ICU dan melihat sendiri puteri kami berhenti bernafas.. Ibu ayah mana yang tidak sayangkan anaknya dan sedih melihat penderitaan kesakitan anaknya, namun janji-janji Allah yang sentiasa mendamaikan dan membantu kami tabah dan redha.. Syukur pada Allah yang memberikan kami kekuatan, ketabahan dan redha dengan segala yang berlaku..Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang mendoakan kami..


PENGHARGAAN BUAT KELUARGA DAN SAHABAT

Kesempatan ini, saya dan suami ingin mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada kaum keluarga, mak, mama, baba, abang2, kakak2, adik2, sanak saudara dekat dan jauh serta sahabat-sahabat dekat dan jauh atas segala bentuk sokongan, doa dan ziarah dari awal Nur Fatimah dimasukkan ke wad kanak-kanak, ICU dan sepanjang jenazahnya di Masjid UPM dan dikebumikan. Kami amat menghargai segala susah payah mak, mama, baba dan adik-beradik yang bersama-sama menjaga Nur Fatimah, mengalunkan bacaan Al-Quran untuknya, berulang dari Johor dan Pulau Pinang yang bukannya dekat untuk memberi sokongan, menjaga dan mendoakan Nur Fatimah, juga sanak saudara yang tidak putus-putus berziarah, membawa makanan kepada kami, membantu urusan jenazah dan sentiasa memberikan sokongan yang tidak mampu kami balasnya melainkan Allah sebaik2 Pemberi Balasan..

Kami juga sangat terharu dan berterima kasih kepada sahabat-sahabat yang sentiasa mendoakan, datang berziarah, menelefon, SMS, memberi sokongan material dan emosi sehinggalah ke hari ini. Sukar untuk kami menyebutkan satu persatu nama sahabat kerana bimbang ada yang tertinggal, cukuplah nama sahabat2 semua berada dalam hati kami dan Allah akan membalasnya.

Begitu juga ucapan terima kasih buat pengurusan Hospital Putrajaya, Doktor-Doktor Pakar di Hospital Putrajaya, Hospital Kuala Lumpur, PPUM dan nurse yang sentiasa sabar dan berdedikasi dalam kerjaya dan membantu sepanjang merawat anak kami.


HARI-HARI YANG MENDEBARKAN

Sukar untuk saya mengingat kembali detik-detik penuh cemas dan mendebarkan, kerana pasti saya akan terbayang-bayangkan nya. Setiap kali sahabat dan sanak saudara bertanya tentang punca dan kejadian semasa berlaku dan pertanyaan-pertanya an mengapa, apa dan bagaimana, saya berusaha untuk menjawabnya sebaik mungkin walaupun di hati ini berasa tidak senang dan letih untuk menjawabnya lantaran berulangkali dan menyebabkan teringat perkara-perkara yang menyedihkan. Namun saya faham keprihatinan family dan sahabat-sahabat semua kepada kami.

Bermula dengan menghantar Nur Fatimah ke Nursery dengan gelak tawa yang cukup menghiburkan, mendapat panggilan dari pengasuh bahawa setelah lama menangis, tiba-tiba Nur Fatimah lemah, saya terus ke Nursery dengan linangan air mata dan melihat Nur Fatimah berda dalam dakapan owner Nursery yang sampai dahulu dari saya. Menyangka Nur Fatimah inginkan ibunya, saya terus mendakap dan ingin menyusukannya, namun takut di hati apabila Nur Fatimah tidak membuka matanya dan kejang seperti sawan dan terus menghantarnya ke Hospital An-Nur tempat kelahirannya dan dipindahkan ke wad kanak-kanak di Hospital Putrajaya lebih kurang pukul 3 petang Khamis 9 Oktober 2009. Sepanjang perjalanan ke Hospital An-Nur, saya tidak putus-putus membacakan Fatihah, Ayat Kursi dan ‘Bismillahillazi La Yadurru...’ kepadanya. Beberapa kali Nur Fatimah kekejangan di kereta dan juga di wad kanak-kanak walaupun telah dimasukkan ubat anti sawan. Setelah otak discan dan diambil air tulang belakangnya di wad kanak-kanak, dalam pukul 1pagi Jumaat, saya melihat wajah Nur Fatimah dan ketika itu tiba-tiba matanya terbuka dan kemudian tertutup, seolah-olah malaikat telah menjemputnya pergi, kemudian alat pengukur kandungan oksigen menunjukkan penurunan mendadak oksigen dalam badan namun kemudiannya normal.

Setelah nurse pergi, saya melihat kembali wajah Nur Fatimah, namun terkejut melihat tiada tanda-tanda pernafasan di badannya dan melihat mulutnya seperti menyedut udara. Saya panggil doktor dan doktor sudah ‘standby’ dengan ‘alat renjat’, namun tidak digunakan kerana setelah mengepam bantuan pernafasan, jantung Nur Fatimah kembali berdenyut. Setelah dimasukkan ke ICU, di luar ICU, suami mengangkat tangan berdoa dan saya mengaminkan dengan sedu sedan menangis.. “ Ya Allah, berikanlah yang terbaik untuk Nur Fatimah dunia dan akhiratnya, sekiranya hidup itu lebih baik baginya, Engkau sembuhkanlah Ya Allah, sekiranya kematian itu lebih baik baginya, maka Engkau bantulah kami untuk sabar dan redha” antara doa yang diingati.

“ Kita doa yang terbaik untuknya ya,” dengan mata merah, abang mengingatkan saya.. Benar, kekuatan abang menyebabkan saya berusaha untuk tabah dan redha..

14 HARI DI ICU

Sepanjang tempoh ini, perkara paling menakutkan kami adalah apabila berjumpa dengan doktor. Sejak dari mula lagi doktor telah mengingatkan dan memberikan segala sebab musabbab realiti agar kami bersedia.

” Nur Fatimah mengalami kecederaan otak yang sangat teruk. Dari scan kedua, memang nampak lebih teruk lagi. Mengikut pengalaman kami, dari dua kes terdahulu, memang berakhir dengan kematian. Saya minta maaf sangat, tetapi kami berusaha yang terbaik, memang kita perlu berusaha dan bersangka baik, dengan izin Allah ada miracle, tetapi kita perlu tahu juga realitinya mengikut ilmu perubatan.”

Bertanya kepada Doktor Arini, pakar kanak-kanak Hospital Putrajaya, pelbagai perkara, simptom, punca dan sebagainya, namun hakikatnya, benar semuanya adalah musabbab yang Allah berikan. ” Biasanya terjadi di nursery, mak ayah jangan salahkan diri, saya faham mak ayah risau, lagipun anak pertama, baby nangis banyak takkan terjadi kecederaan sebegini, biasanya terjadi dengan sebab goncangan yang kuat biasanya dengan sebab kemarahan, atau hayunan buaian kuat menyebabkan gegaran di kepala.” Air mata tidak boleh ditahan-tahan lagi untuk keluar kerana memikirkan takut-takut kesalahan saya menyebabkan Nur Fatimah begitu. Berulangkali Doktor menjelaskan kepada kami kerana berulangkali juga kami bertanya sama ada boleh tak terjadi sekiranya kerana berjalan jauh semasa raya, takut nur fatimah penat atau kerana banyak sangat nangis sehingga kata-kata orang menyebabkan kurang oksigen sampai ke kepala.

14 hari di ICU juga tidak putus-putus kami membaca Fatihah, Ayat Kursi dan Yasiin kepada Nur Fatimah dengan niat supaya menjadi penawar, syifa’ kepadanya, sehingga suami sempat bergurau, ”nanti kalau Nur Fatimah sihat, mesti dia dah hafal surah Yasin.” 14 hari di ICU juga, pelbagai masjid menunaikan solat hajat, sanak saudara dan sahabat pula tidak putus-putus berkunjung, terima kasih diucapkan. Setiap kali bertemu Nur Fatimah, hati rasa bersemangat kembali walaupun masih tidur. Ucapan kami tidak putus-putus pada telinga Nur Fatimah, ” Mama Baba sayang sangat pada Nur Fatimah, Mama Baba minta maaf segala salah silap mama baba pada Nur Fatimah ye, Mama Baba doakan yang terbaik untuk Nur Fatimah, Nur Fatimah bukalah mata, baliklah dengan mama baba kat rumah”Juga berusaha pelbagai perkara, selain ubat doktor, ubat-ubat lain yang dibenarkan juga beserta air zam-zam serta air penawar juga diberikan, berusaha sedaya mungkin kerana kita tidak tahu taqdir yang Allah tentukan padanya, harapan kami tentulah puteri Nur Fatimah sihat dan sembuh...

12 Oktober 2009 merupakan genap setahun pernikahan kami, namun Allah menguji kami dengan ujian berat ini, Nur Fatimah masih ’tidur’ di ICU. SMS baba pada kami : ”Abg dan Djah! Setahun berlalu abg dan Djah bergelar suami isteri. Sudah 3bulan menjadi ayah dan ibu kepada puteri Nur Fatimah. Ulangtahun abang dan Djah dikalong ujian dari Allah, putri cucu ba dan ma , ’tidur’ tenang. Luruh segala kudrat, kering air mata, sebak melanda jiwa, cucu ba dalam ujian Ilahi. Yang terdaya cumalah munajat yang sarat dengan hajat, agar Nur segera sihat. Abg n Djah, la tahzan! Ba, Ma dan adik-adik ucapkan ’tahniah’ sempena setahun berijab qabul. Kami terlalu sayang pada abang n kak Khadijah, dan sekuntum melur cantik, Nur Fatimah! Ba sebak dalam tangisan!”


3 Zulkaedah 1430H, 22 Oktober 2009, ALLAH LEBIH SAYANGKAN NUR FATIMAH

Pukul 4.30pagi Khamis, nurse di ICU call minta datang ke ICU, heartbit semakin menurun. Bergegas ke ICU, pukul 4.55 pagi, kami sampai dengan emak yang tidur bersama di rumah. Sesampainya di sana, heartbit dan tekanan darah semakin lemah. Kami berulang kali membaca Yasiin, Surah Al-Ikhlas, Surah Fatihah dan ayat Kursi serta membisikkan syahadah kepada Nur Fatimah. Benar, janji Allah pasti berlaku. Sesudah kami menunaikan solat Subuh, saya mohon pada Doktor untuk memangku dan memeluk Nur Fatimah, doktor izinkan. Dengan masih bantuan pernafasan di mulut, Nur Fatimah berhenti bernafas di pangkuan, sebagaimana kata doktor, lama-lama jantung tidak akan larat juga untuk mengepam walaupun ada bantuan pernafasan. Nur Fatimah ’tidur selama-lamanya’ di pangkuan mama bersama baba dan nenek. Air mata masih lagi laju seperti tidak mahu berhenti, namun mulut masih lagi membisikkan laa Ilahaillallah, Muhammadur Rasulullah kepada Nur Fatimah. ” Tenanglah sayang, Allah lebih sayang pada Nur Fatimah.

” Itu yang terbaik pada Nur Fatimah, abang masih lagi ada Khadijah” kata-kata abang bagai menyimbah air di hati. Benar, apa yang berlaku, itulah yang terbaik untuk Nur Fatimah, dunia dan akhiratnya. Syukur pada Allah yang mencampakkan rasa ketenangan dan redha dalam hati sepanjang hari itu. Hati rasa puas dapat menjaga Nur Fatimah, dapat membaca Al-Quran bersamanya dan dapat mengalirkan susu di dalam badannya walaupun melalui tiub. Ketika mengambilkan wudhu’ ke badan Nur Fatimah selepas memandikannya, membasuh tangan Nur Fatimah sambil berkata dalam hati,” Nur Fatimah, nanti pegang tangan mama baba kuat-kuat ye sayang dalam syurga, tolong mama baba dapat sama-sama di syurga.” Ketika membasuhkan kakinya, ” Nur Fatimah, tunggulah mama baba sama-sama di syurga ya!”

Talkin yang baba baca di perkuburan menyebabkan air mata tumpah lagi, ”pasti cucu baba sedang bermain-main di syurga, jumpa tok ismail, tok piah.” begitulah yang selalu tok wan baba cakap. ”Title datuk dah ditarik balik nampaknya!”wan baba kata pada kawannya. ”Mak, cucu mak dah tinggal 8orang balik, ain je cucu perempuan mak” abang kata pada mak.

JAULAH PUTRAJAYA

Hari sabtu, 2 hari kemudian, kepala semakin lapang dapat berjalan-jalan sambil bergambar di putrajaya bersama baba,mama dan adik-adik. ” Kalau Nur Fatimah ada mesti dia yang jadi subject kita ambil gambar.”

Banyak benar pengajaran dan ingatan Allah kepada hamba-Nya yang sememangnya lemah ini, yang kadangkala melupaiNya. Nyawa kita berada dalam genggaman-Nya. Perlu sentiasa bertaubat lantaran kadang-kadang hati kita mungkin terlupa dengan kekuasaanNya, bangga diri atau takbur dengan pemberianNya, melupai bahawa Allahlah penjaga makhlukNya. Ujian Allah sebenarnya menjinakkan kembali hati dan menguatkan kembali rohani, moga-moga Allah mengampunkan segala dosa-dosa dan memberikan yang lebih baik lagi di kemudian hari..

”Nur Fatimah, mama baba sayang sangat pada Nur Fatimah, tapi Allah lebih sayangkan Nur Fatimah! Nur Fatimah tetap permata hati mama baba, anak sulong mama baba! Doakan mama baba dapat bersama-sama Nur Fatimah di syurga, jangan lupakan mama baba...”


Ya Allah, kami mohon yang lebih baik dari-Mu, Engkau yang Maha Mengetahui yang lebih baik dan terbaik, bantulah kami sentiasa mengingatiMU, mensyukuri nikmatMu dan memperbaiki amalan kami semata-mata keranaMU... Syukur padaMu Ya Allah kerana memberikan kami zuriat selama 108hari, menatap wajahnya, menyusukannya dan menjaganya, Maha Suci Engkau dan Maha Penyayangnya Engkau kepada hamba-hambaMu, pandanglah kami dan janganlah Engkau tinggalkan kami, bantulah kami dalam segala urusan kami, wahai Allah, Tuhan yang Maha Memberi..
Alhamdulillah. ...

Coretan Ukthi Khadijah binti Ismail

Wednesday, October 14, 2009

Kuatkan Semangatmu Kak Khadijah, Ustaz Ramadhan...(edited version)


Tidak semua Baitmuslim dilalui dengan penuh kenangan manis. Kekadang ujian Allah datang dengan tidak diduga, penuh hikmah petanda Allah mahu melihat ketabahan hamba-Nya yang telah terbukti sebelum ini thabat dalam perjuangan gerakan Islam.

Idola saya dan suami, Ustaz Ramadhan Fitri bersama isteri beliau sedang melalui ujian Tuhan yang sangat mencabar. Ujian Baitmuslim seperti ini jarang kedengaran berlaku pada mantan ketua aktivis mahasiswa Islam yang "always walk the talk" dengan qudwah bukan sekadar di pentas aktivisme PMIUM-GAMIS-SMM, bahkan di pentas akademik pengajian Islam dan kerjaya perbankan.

Semoga Allah memberikan kesejahteraan kepada Nur Fatimah, cahaya mata kesayangan mereka yang baru berusia 3 bulan namun kini sedang koma ICU, Hospital Putrajaya sejak Jumaat lepas dan pernah berhenti bernafas seketika. Maklumat yang diperolehi Nur Fatimah mengalami pendarahan di otak akibat gegaran ketika dalam buaian di nursery An-Nur, Bangi.


15 Oktober 2009

Alhamdulillah, setelah 2,3 hari merancang, akhirnya pada petang tadi saya dan suami beserta sahabat-sahabat pimpinan UIAM sempat untuk bertandang ke Hospital Putrajaya untuk menziarahi sendiri anak Ust Ramadhan dan Kak Khadijah, Nur Fatimah.

Setelah suami saya mendapat sms dari Ust Ramadhan sendiri pada tengahari tersebut yang mengatakan anak beliau makin kritikal dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Putrajaya, kami terus bergegas ke sana. Alhamdulillah, perjalanan dimudahkan dan kami selamat sampai.

Di depan pintu ICU tersebut, Ust Ramadhan sedang berdiri melayani beberapa orang tetamu lagi yang juga datang untuk menziarahi anak beliau. Kak Khadijah pula sudah kelihatan agak letih dan penat, sedang duduk di bilik menunggu. Beliau kesejukan setelah beberapa hari berada di hospital tersebut.

Saya betulkan kenyataan yang saya buat sebelum ini yang saya mendapat maklumat bahawa Nur Fatimah mengalami pendarahan di otak akibat gegaran ketika dalam buaian di nursery An-Nur, Bangi. Bila ditanya sendiri pada Ust Ramadhan, sebenarnya doktor sendiri hingga ke saat ini masih tidak dapat mengenal pasti apakah 'punca' sebenar Fatimah yang sihat dan ceria pada pagi Khamis yang lepas ketika dihantar ke nurseri tersebut pada waktu pagi, tiba-tiba boleh mengalami kekejangan dan kemudian terus tidak sedarkan diri pada tengahari hari yang sama. Dalam masa 3 jam sahaja, Fatimah berubah keadaannya. Beberapa siri ujian yang dilakukan oleh doktor setakat ini, masih belum dapat mengesan punca sebenar apa yang terjadi kepada Nur Fatimah.


Cuma, setakat yang doktor suspek, Fatimah mungkin ada mengalami gegaran di otak sama ada akibat hentakan buaian yang kuat, atau goncangan yang kuat ketika didukung dan sebagainya ataupun kerana tersedak susu. Inilah antara maklumat yang kami perolehi ketika bersembang-sembang dengan ibu Ust Ramadhan sendiri merangkap isteri Ust Ellias Zakaria yang cukup kami kagumi.



Sama-samalah kita mendoakan agar Nur Fatimah selamat dan tabah menghadapi ujian sakit ini. Tubuh beliau terlalu kecil untuk menanggung kesakitan yang seperti ini. Pedih dan pilu hati ini melihat si kecil tersebut terlantar sakit, berwayar-wayar dicucuk ke sana sini di tubuh kecil beliau.

Moga Ust Ramadhan, Kak Khadijah, Ustazah Fauziah sekeluarga terus tabah menghadapi ujian ini. Saya secara peribadi amat kagum dengan kekuatan yang dimiliki oleh Kak Khadijah. Beliau nampak tenang dan kuat menghadapi semua ini. Teladan yang cukup baik telah beliau tunjukkan, mungkin inilah hasil tarbiah yang cukup kuat mengcengkam hati srikandi yang berjaya menawan hati Ust Ramadhan ini.

Saya dan suami cukup tersentuh dengan ziarah kami kali ini. Hanya Allah sahajalah sebaik-baik tempat pergantungan...



Saturday, August 22, 2009

Kami Berbeza Tapi Bersama

Suami saya dua tiga kali merungut pada saya,menyuruh saya meng'update' blog yg dah agak lama tidak di'update'. Beliau pun mulalah menukilkan kata-kata yang dah 3,4 kali saya mendengarnya.

" Kalau ayg tak update blog, ayg akan 'membunuh' peminat blog ayg "

Saya sekadar mendengarnya, mengangguk-angguk dua tiga kali. Kemudian hilanglah pesanan tersebut dari minda ini. Saya bukannya orang yang jenis suka buat sesuatu benda kerana paksaan atau kerana suatu rutin atau undang-undang. Walaupun saya pelajar undang-undang, tetapi undang-undang manusia yang tak kena dan tak 'masuk' dalam hati saya, saya tak akan mengikutnya.

Dua tiga hari ni ni dan semenjak dua menjak ini memang malas sangat nak menulis. Hatta pernah dalam satu brainstorming gerakan muslimat UIAM saya mencadangkan agar skill penulisan dalam gagasan MP3 untuk muslimat tak perlulah diberi perhatian sangat. Sebab pada ketika itu saya memang malas menulis. ;-)

Lagipun, blog saya ni bukannya ada peminat sangat pun. Lain lah blog rijal82.blogspot.com yang ada peminat berduyun-duyun dan terus menerus pemilik blog tersebut menjaga prestasi dan kualiti blognya :-) . Saya ada terjumpa dengan 3,4 orang adik-adik dari universiti lain di muktamar GAMIS yang lalu yang menyuruh saya update blog. Ada juga orang yang minat blog saya rupanya. Saya mohon maaf kepada semua. Saya menulis bila saya rasa perlu dan mahu. Saya dulunya cukup kurang berkenan blog-blog muslimat yang suka tulis perkara-perkara peribadi, jadi kadang-kadang bila saya terasa mahu menulis tentang peribadi, saya terfikir pulak mesti ramai juga yang tak suka posting peribadi sebegini apatah lagi muslimin. Kadang-kadang ini menyebabkan terbatal niat nak posting. Tapi selalunya suami saya akan bagi galakan. Blog kita, ikutlah kita nak tulis apapun selagi tak timbulkan kemudaratan.

Kali ini saya sekadar ingin mencoret serba sedikit tentang pengalaman kami sepanjang mendirikan Baitul Muslim Haraki ini sejak bulan 12 tahun lepas. Moga ada manfaatnya untuk pejuang-pejuang Islam yang bercita-cita untuk membina Baitul Muslim impian juga nanti. Kami bukan yang terbaik, sekadar ambillah apa yang baik.

Sebelum berkahwin, saya sedaya upaya cuba menghabiskan beberapa buku penting tentang alam perkhawinan. Kebanyakan buku tersebut ada dalam rak khusus ruangan Baitul Muslim di Perpustakaan Syaari Nurul di Darul Syuhada no.36. Selepas perkahwinan, ada lagi 2,3 orang sahabat yang turut menghadiahkan buku-buku ber'genre' perkahwinan. Menambahkan lagi koleksi buku kami dalam genre Baitul Muslim.

Antara buku menarik yang saya baca setelah mendapat rekomen dari Ustaz Hasrizal sendiri adalah buku "Men Are From Mars And Women From Venus". Buku yang ditulis oleh John Gray ini mungkin tidak terdapat dalam list buku bacaan pejuang-pejuang haraki. Buku yang mendedahkan tentang beberapa perbezaan antara lelaki dan perempuan dan cara untuk 'cope' dengan situasi tersebut berdasarkan kajian-kajian yang telah dilakukan sebenarnya cukup bermanfaat untuk dibaca. Apatah lagi sebagai persediaan untuk menuju ke gerbang Baitul Muslim. Hatta dalam gerak kerja organisasi seharian antara lelaki dan perempuan juga buku ini cukup berguna dijadikan rujukan. Kadang-kadang selalu timbul masalah gerak kerja dalam lajnah mahupun secretariat antara rais, raisah lajnah mahupun antara AJK yang berlainan jantina yang disebabkan oleh masalah komunikasi yang remeh sahaja sebenarnya. Akibatnya kadang-kadang gerak kerja terbengkalai, perjuangan Islam juga yang rugi. Kadang-kadang, masalah seperti ini boleh dielakkan dengan bahan bacaan seperti ini.


Lelaki dan perempuan sememangnya diciptakan tidak sama untuk berbeza. Untuk saling melengkapi antara satu sama lain, untuk saling bekerjasama, bertoleransi untuk menghasilkan impak yang minima. Begitu juga dalam Baitul Muslim. Perbezaan antara suami dan isteri satu kelebihan yang perlu sentiasa dimanfaatkan. Syaratnya kena jelas titik persamaan dan ultimate goal dalam kehidupan.

Contoh yang paling saya rasai adalah antara saya dan suami yang sebenarnya berbeza. Kadang-kadang mungkin ada yang nampak kami macam banyak persamaan dari segi luarannya, tetapi dalam kehidupan seharian kami berbeza sebenarnya. Ini dibuktikan dengan ujian yang telah kami lakukan baru-baru ini. Suami saya dah lama buat ujian ni, kemudian beliau mencadangkan saya pula. Walaupun mungkin ini hanya sekadar ujian personaliti yang biasa yang sememangnya dah terlalu banyak dalam dunia ni, tetapi penemuan ini agak menarik untuk kami benar-benar lebih mengenali diri sendiri dan pasangan yang akan sehidup semati bersama.

Click to view my Personality Profile pageClick to view my Personality Profile page

Saya selama ini memang jenis orang yang tak boleh duduk sorang-sorang kat rumah. Saya suka berjalan-jalan, bergerak ke sana sini. Bertemu dengan orang ramai, 'crowd' yang ramai adalah satu kebahagiaan buat saya. Apatah lagi kalau dapat bersembang-sembang bersama-sama. Memang seharian saya boleh hidup macam tu. Sebab tu sepanjang kami kahwin ni, sayalah yang akan sentiasa meng'usul'kan kami pergi berjalan-jalan. Kawasan Kuala Lumpur,Masjid Jamek, Jalan Masjid India, shopping-shopping complex adalah antara tempat yang saya suka pergi walaupun bukan untuk membeli barang-barang. Berada bersama orang ramai adalah satu kepuasan buat saya.

Suami @ Ustaz Syaari ni pulak sebenarnya bukanlah orang yang suka ke tempat-tempat awam yang ramai orang. Puas saya memujuk dan merengek, baru beliau akan bersetuju untuk keluar. Apatah lagi kalau sesaja nak bertegur sapa dengan orang lain yang baru berjumpa. Walau nampak beliau macam boleh 'bersosial', tetapi sikap sebenar dan dalaman beliau adalah seorang yang suka bersendiri, suka diam jika tak memerlukan beliau bercakap, malah sangat suka duduk kat rumah ataupun pejabat beliau yang dah jadi rumah ke-2 beliau dari keluar berjalan-jalan di luar rumah dan bercampur dengan orang ramai.

Hasil ujian ini membuktikan perbezaan ketara kami ini. Saya adalah seorang yang intraverted manakala beliau seorang yang introverted.

Dalam melakukan kerja pula, saya jenis yang memang susah nak fokus dan duduk diam dalam masa yang lama. Paling kuat pun 5,10 minit saya boleh duduk statik dan buat kerja. Lepas tu, saya memang akan mula bergerak-gerak dan buat hal lain. Saya memang jenis yang suka main dan suka alat-alatan ni. Kalau dalam kelas, saya akan sentiasa ada benda di tangan saya untuk main. Jika tak, saya akan tidur dalam kelas.

Suami saya pula orang yang cukup fokus dan gigih dalam buat kerja. Percaya atau tidak, beliau boleh duduk diam atas kerusi selama berjam-jam dan seharian walaupun tanpa makan. Selalunya kalau beliau dah mula 'gila' buat kerja, terutamanya kalau buat multimedia, beliau akan kekal berada di kerusi dan mengadap laptop selama berjam-jam dan hanya berhenti untuk sembahyang sahaja. Sebarang gangguan yang mendatang, beliau akan ketepikan. Malah, kehadiran saya juga akan tidak dirasainya tatkala beliau 'gila kerja'.

Saya pula hanya boleh kekal atas kerusi study selama lebih kurang 10 minit, kemudiannya pelbagai aksi lain akan saya buat kerana saya cepat boring dan tak boleh duduk diam. Saya sangat suka sukan, suka bersukan, tak kisahlah sukan apa sekalipun. Tetapi suami pula lebih suka main game FIFA@PES 2009 di laptop beliau dari turun ke padang bermain bola yang betul. Sangat susah dan beliau sangat 'liat' bila diajak bersukan.

Buktinya, rupanya saya memang jenis yang kinesthetic tetapi suami saya sangat rendah % kinesthetic beliau. Beliau dalam bekerja juga adalah jenis yang intrapersonal, yang lebih suka kerja sendirian dari berkumpulan.

Subhanallah, betapa cantiknya perancangan Allah Taala menemukan kami berdua dan saya teramat sangat bersyukur. Disebalik perbezaan tersebut, kami memang juga ada persamaan yang kami jadikan sebagai titik pertemuan asas segala kerjasama dan kekuatan. Gabungan kami adalah satu 'synergi' untuk gerakan Islam. Itulah harapan dan impian kami. Doakan kami.


Buat semua pejuang-pejuang Islam di luar sana, manfaatkan segala kelebihan dan kekuatan yang ada pada diri masing-masing. Kelemahan yang ada, tukarkan agar menjadi kekuatan untuk perjuangan Islam. Dan jangan lupa mencari 'pasangan' synergi untuk menguatkan lagi gerakan Islam :-) . Takbir !




Monday, July 20, 2009

Selamat Hari Lahir Suamiku..


Selama beberapa minggu ni, saya sendiri 'takut' untuk membuka blog saya sendiri. Dek kerana penuh bersawang, tidak dikemaskini, tidak di'update'. Ada yang menghantar mesej, tinggalkan pesanan di shoutbox supaya saya update blog srikandi ini, namun, hanya inilah yang termampu saat ini.

Banyak alasan kekalutan boleh diguna pakai, masalah 'broadband' kami yang makin tidak 'ok' line nya di rumah, dengan masalah laptop saya @ 'kak ngah' yang rosak agak parah, terpaksa saya menumpang abg long (laptop my hubby) untuk melakukan kerja-kerja saya memungkinkan saya yang agak kurang semangat nak menulis akhir-akhir ini terus tak tertulis apa-apa pun.

Cuma hari ni hari yang cukup istimewa untuk saya. Hari ni hari lahir suami tersayang. Tanggal 20 Julai, tanggal yang cukup istimewa buat saya. Kalau dulu saya sendiri antara orang yang agak 'tidak suka', rasa rimas membaca posting-posting peribadi wish Hari Lahir yang macam ni dekat blog-blog khususnya blog mahasiswi @ muslimat. Apatah lagi wish seorang isteri kepada suami. Rasa geli geleman pun ada masa tu. Maklumlah, masa tu hati sekeras batu, susah nak romantika tak tentu pasal ni. Namun, bila bergelar 'isteri' secara realitinya, saya merasai sendiri, dan saya makin memahami. Benarlah kata seorang pakar motivasi, hanya elemen 'rasa' yang mampu mencetus kesedaran sebenar.

Buat suamiku, mujahidku, jantung hatiku, kunci syurgaku..

Selamat hari lahir yang ke- 27 . .


Pertamanya, didoakan moga dirimu terus dalam jagaan rapi dan pemerhatian istimewa Allah Taala. Moga iman dan taqwamu terus meningkat seiring peningkatan usia yang makin bertambah, makin menghampiri 30-an, makin menghampiri Allah hendaknya.

Keduanya, didoakan moga dirimu terus tsabat dalam alam perjuangan dakwah tarbiah dan harakah ini. Kerana inilah kekuatanmu yang telah menyebabkan diri yang lemah ini terasa teringin menjadi teman perjuangan sehidup sematimu, ingin jadikan dirimu tempat berpaut.

Seterusnya, moga segala impian, angan-angan, cita-citamu semuanya menjadi kenyataan, dimudahkan Allah Taala segala urusanmu. Hargailah seorang insan istimewa luar biasa yang telah mendidik dan membesarkanmu, Ummi, yang tiada galang gantinya. Malah diri ini rasa terlalu kerdil berbanding dengan ummi yang sememangnya layak dan berautoriti terhadap kasih sayangmu.

Moga Baitul Muslim kita terus gagah menempuh segala dugaan dan cabaran, terus kukuh dalam arena perjuangan, terus mendapat kasih sayang dari Ar- Rahim. Kita bukan berkahwin seperti orang lain, kita pasangan yang luar biasa yang memestikan cinta kepada tarbiah, dakwah dan perjuangan ini melebihi cinta antara kita.

Terima kasih yang tidak terhingga atas segala-galanya. Hampir 7 bulan, 1 minggu, 4 hari bahtera baitul muslim kita belayar, tidak pernah sesaat pun diri ini merasa menyesal kerana telah berkahwin dengan insan yang bernama Muhd Syaari Ab Rahman ini. Terlalu banyak tunjuk ajar, pengorbanan, kasih cinta yang telah dikau curahkan. Terima kasih kerana terus sudi melayani karenah isterimu yang masih mentah kebudak-budakan, yang terlalu banyak salah silap ini. Mohan maaf dan mohon dihalalkan segala-galanya..

Maaf juga atas kejutan @ 'prank' yang telah dijayakan semalam. Sekadar ingin lebih memaknakan hari lahirmu :-) Terima kasih kepada Huda, Izzatie, muakhahku Shahidat, adik2 usrahku dan semua pimpinan yang lain yang telah memberikan kerjasama yang agak baik menjayakan misi ini.

SELAMAT HARI LAHIR SUAMIKU..
Dirimulah Al-Fateh buatku..

DI JALAN DAKWAH INI KITA MENIKAH...



Monday, June 29, 2009

Perkongsian Pengisian

Saya telah membuang posting saya sebelum ini yang sekadar mempunyai gambar-gambar muslimat yang memprotes pilihanraya Iran. Ada beberapa orang yang menegur, Alhamdulillah. Gambar tanpa sebarang penjelasan lanjut memang boleh menimbulkan 1001 tanggapan dan interpretasi. Saya memandangnya mengikut persepsi lain namun ada yang memandangnya dari sisi lain. Saya tidak ego untuk memohon maaf pada yang telah ter'konfius', tersalah tafsir dan sebagainya. Untuk tidak keruhkan lagi keadaan, saya menarik balik posting tersebut. Saya tak rugi apa-apa pun. Saya rasa muslimat lebih mudah ditegur dan kurang sikit egonya berbanding muslimin dalam hal-hal tidak sependapat dan tidak sehaluan ini. Alasan pertahankan prinsip, tidak berada di pihak yang salah, selalu jadi alasan mereka. Tapi, itulah antara keunikan penciptaan lelaki dengan sifat yang sebegitu untuk jadi pemimpin tertinggi dan komuniti yang besar. Mungkin hikmah penciptaan muslimat, menyeimbangkan keadaan.

Justeru, saya publish posting yang lebih bermanfaat insyaAllah. Saya publishkan posting saya yang telah saya taip pada hari Sabtu, 27 Jun yang lalu. Sekadar perkongsian sebuah pengisian.


PERKONGSIAN PENGISIAN


Lama tidak 'merempit'. Tiba-tiba hari ni terasa macam kembali ke masa lalu. Sejak bergelar 'isteri', dan setelah kehadiran Fateh (kereta VIVA hitam milik kami,dah tentu suami saya yang menamakannya sempena nama tokoh Sultan Muhamad Al-Fateh yang menjadi kegilaan beliau), saya jarang-jarang sekali menaiki motor. Paling jauh pun ke kampus UIAM untuk urusan kelas mahupun meeting. Berbeza dengan sebelum kahwin. Bermula dengan motor NAR hinggakan KBW, merekalah teman setia saya dalam perjuangan. Mereka juga seolah-olah telah 'berbaiah' untuk perjuangan ini. Ke mana sahaja saya akan menaiki motor, jauh mana sekalipun sebolehnya nak menaiki motor. Lebih mudah dan cepat. Setakat ke Banting, Bangi, Kuala Selangor dengan motor, memang dah pernah rasai. Tak kesah waktunya siang, malam, pagi, petang memang redah je. Saya rasa ramai muslimat haraki yang ada kebolehan ni. Berani bergerak.

Namun, sejak bergelar seorang 'isteri', entah ke mana perginya semangat yang seperti itu. Keberanian yang dulunya tidak kenal erti takut macam makin terhakis. Lain rasanya bila dah bergelar isteri orang ni rupanya. Kalau dulu, semangat jihad membara-bara, tawakkal pada Allah juga tinggi. Apa jua cabaran dan halangan, berani ditempuhi. Terasa manisnya perjuangan ini kerana Allah semata. Dalam fikiran bila naik motor jauh-jauh ni, hanya ingat Allah, jihad dalam perjuangan dan mak ayah. Tapi kini makin bertambah rasanya orang yang menyayangi dan penting untuk diri ini. Rasa diri ini dimiliki juga oleh seseorang yang bergelar 'suami'. Dah agak takut nak naik motor sorang-sorang, jauh-jauh, malam-malam sekarang ni. Kadang-kadang nak ke tempat-tempat awam berseorangan pun terasa sedikit gentar. Rasa diri ni makin 'lembik' pula. Mungkin ini juga sedikit ciri-ciri 'kematangan' mungkin. Bila dah melangkah ke alam rumahtangga ni, tanggungjawab dan bebanan, hati dan perasaan, pergerakan dan rentak perjuangan terasa lain sedikit. Moga Allah terus kukuhkan kaki saya di alam perjuangan Islam yang indah ini, apatah lagi dalam alam fatrah kemahasiswaan yang cukup menarik untuk meraih pengalaman, belajar buat kesilapan, asah bakat untuk perjuangan Islam.

Bergambar kenangan bersama suami setelah selesai mengendalikan bengkel Public Speaking untuk adik-adik UIAM Gombak

Saya hari ni sekadar 'merempit' ke Matrikulasi UIAM Petaling Jaya, memberi sedikit pengisian kepada adik-adik alumni sekolah berasrama penuh (SBP). Tak pasal-pasal saya syarah bab 'rempit' plak kat atas tu sedangkan tujuan utama nak cerita pasal ni. Moga syarahan spontan saya ada jua sedikit manfaat.

Atas kapasiti seorang alumni KISAS, saya gagahkan diri hadir ke sana walau tanpa suami dan sesiapa pun menemani. Alhamdulillah, selamat sampai ke destinasi tanpa sebarang kecelakaan menimpa diri. Saya sekadar ingin berkongsi, walau diri ini cukup kerdil dalam ilmu dan darjat disisi Tuhan.

Saya letakkan 3 perkara besar yang saya ingin capai pada slot yang diberi kepada saya hampir 2 jam tersebut. Yang pertama sekadar ingin menjalin ukhuwah sesama mereka, wujudkan 'engagement' jangka panjang atas dasar ukhuwah Islamiyah. Lalu, taaruf ringkas saya jalankan diawalnya. Yang kedua saya bercakap tentang aspek kepimpinan dalam diri dan organisasi. Seterusnya yang ketiga, saya syarahkan sedikit kepada mereka 'bedahan' buku@ introductory kepada buku yang tengah saya baca sekarang iaitu buku "Generasi Ulul Al-Bab, Segunung Harapan, Seteguh Impian".


Kepimpinan ; Antara Integriti dan Kompetensi

Saya mulakan dengan kewajipan untuk menerapkan dua elemen penting pemimpin ini dalam diri sendiri terlebih dahulu. Integriti kita dengan amanah dan syariat Allah, setakat mana kita 'menjaga' hubungan dengan Allah sedangkan Allah menjaga kita rapi setiap saat, makan pakai rezki kejayaan kehidupan kita ini Allah jaga serapinya. Tapi kita yang sekadar berstatus hamba Allah ini tidak mampu menjaga hak-hak Allah terhadapNya sebaiknya. Inilah rahsia kejayaan terbesar seorang pemimpin. Takde rahsia lain yang lebih utama untuk terus kekal menjadi hambaNya yang sebenar dalam jalan perjuangan ini melainkan menjaga hubungan dengan Allah. Menjaga hubungan yang baik sesama manusia juga sangat perlu dan termasuk juga dalam elemen ini. Masakan mampu terlunas hubungan kita dengan Allah andai tersangkut hubungan kita dengan manusia. Hubungan sesama manusia lebih parah dan susah untuk dijaga sebenarnya. Realitinya kita boleh lihat secara 'live' dalam sosial masyarakat kita kini. Hinggakan anak sendiri sudah gagal menjaga hubungan yang sepatutnya dengan ibu ayahnya sendiri. Kebrobokan sosial yang maha dasyat.

Aspek kompetensi saya tidak syarahkan yang sudah termaklum yang terlalu factual dan fundamental. Cukup saya menekankan pada diri saya dan adik-adik tersebut, pentingnya 'memanfaatkan' masa sebagai mahasiswa ini untuk meningkatkan potensi dalam diri. Meningkatkan kemampuan dari aspek intelektual dan kemahiran dalam diri. Hinggakan 'kelayakan' kita sebagai seorang pemimpin tidak akan mampu dipertikaikan kewajarannya. Aspek intelektual ini, kita perlukan individu-individu yang memiliki 2M. "Master your field dan Multi-Field". Kita perlukan individu-individu yang bukan sekadar datang dari pelbagai bidang dari aliran hard science hinggalah ke soft science, tapi kita perlukan orang-orang yang pakar dalam bidang tersebut. Pakar yang benar-benar pakar yang cukup berautoriti dan kompeten dalam bidangnya sendiri. Selain itu, pakej yang kita perlukan adalah juga insan-insan yang juga mempunyai pengetahuan yang sepatutnya dalam bidang-bidang lain juga(Multi-Field). Maksudnya, kita mampu bercakap dan mengulas bidang-bidang luar dari bidang pengajian atau pengkhususan kita. Terutamanya bidang fundamental agama dan akan berlakulah islamisasi ilmu disini. Maka kelak, takkan timbul lagi isu ulamak vs profesional yang saban tahun hangat dibahaskan. Era sekarang, kita tak mampu memimpin dengan hanya menguasai dan pakar dalam bidang kita sahaja tanpa ada ilmu dalam bidang-bidang lain juga.

Muslimat ; Antara Integriti dan Kompetensi

Subtopik ini saya tidak sebut secara spesifik dalam slot pengisian saya tersebut kerana bukan adik-adik muslimat sahaja yang hadir, ada juga adik-adik muslimin. Saya sekadar selitkan pandangan peribadi saya tentang isu ini.

Pada saya, generasi kepimpinan muslimat kini cukup hebat dari aspek 'integriti', namun mungkin agak kurang sedikit dari sudut 'kompetensi'. Kita selalu dengar betapa berbezanya karektor muslimin dan muslimat hingga ada yang mencadangkan agar tamrin muslimin dan muslimat diasingkan. Saya agak bersetuju. Kerana muslimat memang terkenal cukup kuat menjaga 'ruhiyyah', menjaga aspek-aspek mikro dan dalaman, hati dan perasaan. Jadi mungkin muslimat agak terlepas membina diri sebagai pemimpin yang kompeten sesuai dengan amanah yang perlu dipikulnya. Hatta untuk memimpin diri sendiri, muslimat perlu bangkit mengasah bakat dan kemahiran dalam pelbagai bidang. Pelbagai gagasan, MP3, MP4 di peringkat SIGMA, Tipple M (Membaca,Multi-Skill,Memimpin) di UIAM dan pernah gagasan 3B (Berani,Bijak,Bedikari) digunakan untuk muslimat di UM untuk membantu muslimat meningkatkan kompetensi dalam diri. Moga gagasan-gagasan seperti ini dapat terus membantu muslimat upgrade kualiti diri untuk memacu gerakan.

Malah mungkin pernah timbul isu Dewan Muslimat Kangkung Layu dan sebagainya dulu kerana muslimat masih kurang dari aspek kompetensi ini. Tidak perlu tuding jari pada sesiapa, tuding pada diri untuk ubah diri.

Saya tidak katakan aspek integriti tidak penting malah terpenting. Muslimat perlu terus kekalkan,maintain bertahan dengan kekuatan yang hebat ini. Cuma perlu di 'top up' dengan aspek tingkatkan kemampuan dan keberdayaan dalam diri masing-masing.

Generasi kepimpinan muslimat akan datang, InsyaAllah


Sekadar mencatat berkongsi sebuah pengisian. Dalam posting seterusnya jika berkesempatan saya akan syarahkan tentang Generasi Ulul Albab yang saya bentangkan dalam slot tersebut. Tak sempat kali ini, hari sudah pagi.

Saya bukan orang hebat, sekadar mahu tingkatkan kemampuan diri agar mampu berdiri selesa menghadap Tuhan di sana nanti. Mardhatillah matlamat abadi.


Sunday, May 10, 2009

Catatan Baitul Muslim MSNS


Hampir dua minggu bergelumang dengan 'alam pekerjaan' (praktikal di firma guaman) membuatkan saya kini makin terdedah dengan realiti kehidupan perjuangan masa akan datang. Alam pekerjaan sebegini akan hadir dalam hidup kita, sama ada kita bersedia atau tidak. Tuntutan globalisasi dan kedudukan ekonomi negara kita yang meruncing menyebabkan tempiasnya terkena pada kita sebagai rakyat, tiada ruang melarikan diri. Suami isteri bekerja sudah menjadi fenomena biasa dek kerana tuntutan kewangan menyara sebuah keluarga yang melibatkan kos yang agak besar, tidak cukup untuk mengharapakan duit gaji suami semata-mata. Kos hidup di Lembah Klang ini, andainya gaji hanya sekadar RM 1500 ke bawah, telah termasuk bawah paras kemiskinan. Apatah lagi, golongan wanita masakini bukan lagi seperti zaman dahulu kala yang tidak berpendidikan tinggi, tidak bekerja. Wanita kini mahu berdiri atas kaki sendiri, menempuh cabaran di alam pekerjaan setelah berpenat lelah mendapatkan segulung ijazah. Wanita bekerjaya ini ada 'pro' dan 'contra' nya, berbeza-beza bergantung rapat kepada fakta kes masing-masing.

Apa yang ingin saya nyatakan disini, bukanlah berkisar tentang wanita bekerjaya yang saya rasa telah banyak dikupas sebelum ini, tetapi betapa pentingnya memilih pasangan hidup yang ada fikrah 'perjuangan' sebagai salah satu jaminan istiqamah di medan dakwah ini. Saya tidak mengatakan Baitul Muslim ini adalah segala-galanya, namun mungkin segala-galanya boleh bermula dengan Baitul Muslim.

Saya dan suami kini bekerja bermula dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang setiap hari bermula dari hari Isnin hinggalah Jumaat. Akibat cabaran kesesakan jalan raya dan juga tuntutan kerja yang kadang-kadang tak mampu disiapkan tatkala jam 5.30 petang menjengah, hampir waktu Maghrib baru kami mampu bersama-sama berada di Darul Syuhada, no.36 ini. Seharian membanting tulang di tempat kerja, walau bekerja dalam kondisi berhawa dingin, bukannya berpeluh di sawah atau ladang, kepenatannya hanya yang merasai akan mengetahui. Dulu saya sendiri pun pernah terfikir, kerja kat pejabat dengan ada 'air-cond', kerusi empuk, ada kawan-kawan sekerja bersama-sama, ada kemudahan internet untu di'akses', takkan lah penat sangat, mesti relax je. Bila dah mula praktikal ni, baru saya sedar diri, hakikat sebanar yang dilalui hampir majoriti ahli masyarakat kita kini.

Hampir setiap malam kepenatan, mampukah lagi untuk sahut seruan perjuangan seperti mesyuarat, brainstorming, usrah dan sebagainya tatkala ada seruan sebegini datang? Ini belum lagi bincang soal 'anak-anak dan masalah-masalah mereka' andainya telah mempunyai anak untuk diuruskan. Mesti tambah berkaliganda lagi kepenatan tersebut. Hujung minggu yang ada pula adalah antara kesempatan 'emas' untuk beristirehat dan melakukan kerja-kerja rumah. Andai ada seruan tamrin atau program, mampukah untuk kita melangkah pergi tatkala tentatif hidup seharian sudah padat, tinggal hujung minggu saja masa yang ada untuk diri dan keluarga?

Inilah antara dilema dan sekelumit cabaran yang perlu dihadapi bila berdepan dengan alam rumahtangga dan kerjaya. Sangat berbeza dengan perjuangan 'single' di kampus. Sangat berbeza. Di kampus, bila kita mungkina agak terleka dengan perjuangan dek kerana tuntutan akademik yang mengganas, atau kerana masalah-masalah diri yang dihadapi, kita masih ada sahabat-sahabat untuk mengingatkan, untuk 'tarik' kita kembali ke medan perjuangan. Sahabat-sahabat sangat dekat di hati mahupun fizikal kita tatkala di kampus. Tapi, dalam realiti hidup berumahtangga dan bekerjaya, pasangan hiduplah faktor yang terpenting. Dialah insan yang paling rapat, dekat dengan hati mahupun jasad kita ini.

Kalau tidak, masakan Imam Hassan Al-Banna menggagaskan hierarki kedua ke arah pembentukan daulah islamiyah ini adalah pembinaan "Baitul Muslim". Penting untuk mempunyai pasangan yang faham fikrah perjuangan Islam ini, ketepikan dulu perjuangan dengan manhaj yang bagaimana, asalkan mahu dan sedia berjuang untuk Islam. Pasangan yang sama-sama saling memahami tugas dan taklifan memperjuangkan fikrah suci Islam ini akan lebih mudah berdepan dengan pelbagai cabaran dan halangan di alam rumahtangga nanti.


Bila berdepan dengan kekangan masa bersama antara suami isteri yang terlalu minimum kerana ada sebahagian masa yang terpaksa diinfaqkan ke jalan perjuangan, kita mampu untuk berlapang dada malah berasa bangga dengan apa yang telah dicurahkan seterusnya sama-sama mencari alternatif lain untuk terus memastikan kemesraan hubungan cinta akan terus berkekalan dalam tempoh masa sedikit yang kita ada. Bila kita kesempitan duit kerana jalan perjuangan ini sentiasa menuntut pengorbanan, kita tidak akan cepat mengeluh dan putus asa, malah syukur denan nikmat ujian kesusahan yang Allah beri ini. Dikala hati rasa malas dan culas untuk berjuang lagi, ada orang yang sangat kita sayang dan dekat dihati kita yang akan mengingatkan, memberi dorongan semangat, yang mampu membangkitkan aura berjuang kita. Tatkala kita perlukan bantuan yang amat sangat dalam kerja-kerja yang kita lakukan, pasangan yang 'memahami' sudah tentu tak kekok untuk menghulurkan bantuan, malah dia juga akan sanggup berkorban bersama-sama kita. Dan yang paling penting, akan ada insan yang boleh mengingatkan kita bahawa kita tidak hanya ingin bercinta dan berkasih sayang di dunia ini sahaja, kerana kita akan mati dan terpisah. Yang paling utama, adalah untuk 'bersama selama-lamanya di akhirat sana. Hidup dengan penuh cinta dan kasih sayang tanpa terpisah di akhirat sana. Justeru, bekalan untuk ke sana perlu mantap, di dunia sinilah bersama pasangan yang seiring kita mengutip dan menyiapkan bekalan ke sana.

Saya amat bersukur kerana Allah izinkan saya dan suami merasai nikmat berjuang dalam suasana Baitul Muslim yang telah kami dirikan. Walau tempoh masanya terlalu amat sangat masih singkat untuk dijadikan kayu ukur keistiqamahan kami, saya optimis momentum ini insyaAllah akan boleh dikekalkan berkat doa dan ilmu yang diamalkan yang perlu seiring berjalan. Kami tak mahu menambah lagi bilangan kes Baitul Muslim yang 'hampeh', 'pancit' di tengah jalan, tunduk pada tekanan dan cabaran. Cukuplah dengan yang dah ada.

Cita-cita saya untuk berkahwin dengan seorang pejuang telah Allah maqbulkan. Walau dulu masa saya masih di menengah rendah, saya pernah bercita-cita untuk berkahwin dengan bekas penagih dadah atau bekas banduan dek kerana saya ini seorang yang agak agresif yang sukalan cabaran dan sukakan penjara, namun Allah lebih mengetahui yang terbaik buat saya. Ramai juga yang menanyakan perihal baitul muslim ini pada saya, saya cuba menjawab apa yang termampu kerana jelasnya saya bukanlah yang terbaik.

Saya dan suami sudah kenal agak lama. Semasa saya di tingkatan 5 di Kolej Islam Sultan Alam Shah lagi. Namun, hubungan kami tatkala itu hanya sekadar hubungan ukhwah dalam gerak kerja demi menggerakkan tarbiah di bumi waqafan tercinta. Ikatan kami menjadi lebih serius setelah satu surat 'lamaran' hadir ke rumah saya setelah saya tamat tingkatan 6 Rendah di Kolej Islam Sultan Alam Shah. Surat yang amat-amat sangat mengganggu gerak kerja dan emosi saya ketika itu. Surat yang tak pernah saya harapkan, surat 'gangguan' yang cukup saya benci. Namun akhirnya, apabila hampir tamat tingkatan 6, setelah puas istikhorah dan risikan demi risikan telah saya lakukan, setelah mak ayah juga perkenankan, insan itu hadir dalam hidup saya sebagai insan istimewa yang bakal bergelar 'suami' saya. Seribu satu cabaran kami tempuh sebenarnya sebelum aqad nikah dapat dilangsungkan. Biarlah ianya menjadi memori antara kami berdua dan rahsia antara kami dan Allah Taala. Sejak dari tarikh saya menerima insan itu, sejak itu lagi telah tercatat tarikh aqad nikah yang telah kami persetujui. Ini antara penekanan yang ingin saya kongsikan, betapa pentingnya suatu 'perancangan' yang khusus dan spesifik dalam perangkaan baitul muslim ini. Jangan sesekali bermain-main dengan aspek ini. Perancangan menjadikan kita bersedia. Persediaan menjadikan kita yakin. Keyakinan insyaAllah dapat memudahkan perancangan yang telah dirancangkan. Doa yang tidak henti, tidak putus, sememangnya satu kewajipan yang tak boleh ditinggalkan dalam fatrah ini. Cukuplah sedikit perkongsian memori kami menuju baitul muslim ini.


Buku ini hadiah dari suami semasa kami pulang bercuti di kampung di Kelantan. Buku ringkas yang bermakna, tercoret catatan seorang isteri kepada Ulama tersohor di negara ini. Inspirasi penting buat saya untuk terus memacu perjuangan ini sebagai seorang isteri. Alhamdulillah, mampu saya tamatkan bacaan buku ini dengan cepat dan pedoman penting telah saya catat. Walau selepas membaca buku ini, timbul juga beberapa konflik dalam diri saya kerana buku ini menceritakan perihal seorang isteri yang setia berjuang di rumah mengurus rumah, mendidik, mentarbiah anak-anak tatkala suaminya keluar berjuang. Isteri yang begitu suci terjaga dari hiruk pikuk suasana politik yang dilalui oleh suaminya sendiri. Tapi saya ni, jarang lekat di rumah walau telah berkahwin, macam mana nak jadi macam Datin Tuan Sabariah? Apatah lagi saya juga punya cita-cita yang sama dengan suami untuk terjun secara 'direct' dalam dunia politik. Kalau beliau di dewan rakyat, saya akan berjuang di dewan negara sebagai senator. Justeru, bagaimana pula orientasi gerakan baitul muslim kami selepas ini? Bolehkah kami jadi seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datin Tuan Sabariah? Mungkin akan masuk dalam agenda brainstorming kami malam ini :)


Suami saya pula masih asyik membaca buku ini. Cinta di Rumah As-Syahid Imam Hassan Al-Banna. Memang menarik. Suami saya bercita-cita untuk menjadi ketua keluarga yang sehebat Imam Hassan Al-Banna. Saya turut tertarik dengan isi kandungan buku ini. Bagus untuk persiapan membina baitul muslim yang hebat.

Moga Allah terus pelihara ruh perjuangan dan keberkatan baitul muslim yang kami bina. Moga pejuang-pejuang yang lain juga akan menemui baitul muslim impian masing-masing. Saya mendoakan kemudahan buat semua.


Sunday, April 12, 2009

Catatan Seorang Isteri

Malam ini saya keseorangan di teratak indah no.36 yang kami namakan Darul Syuhada. Tempat kami beristirehat setelah penat berjuang, tempat kami menyemai kasih, melayari bahtera perjuangan baitul muslim yang baru 4 purnama cuma. Moga rumah ini yang masih kosong dari segala jenis perabot dan peralatan, akan sentiasa penuh dengan rahmah dan mawaddah dari Allah Taala. Moga barokahNya tumpah disini.

Malam ini saya kesunyian kerana 'another half of me' berada di Melaka. Hujan renyai-renyai diluar, saya di dalam asyik dengan berita-berita terkini, menjengah ke blog demi blog. Namun sebenarnya, masih belum dapat merawat rawan di hati. Tadi saya kepenatan berjuang di medan 'final exam'. Kembali ke rumah, saya sangat merindui seorang insan bernama 'suami'.

Suami di zaman 'kekurusan'

Saya mula mencari penawar untuk hati yang keresahan, motivasi buat diri yang lemah. Saya mula menaip di Google search, "Isteri Seorang Pejuang". Lalu, muncullah beribu-ribu entry dan website yang menanti untuk dibaca. Saya mula memilih-milih. Benarlah, teori yang selalu kita ucapkan tak semudah apa yang perlu kita praktikkan. Sebagai insan yang telah mula mengenal erti hidup berjemaah dan hidup berjuang ini sejak dari sekolah menengah lagi di bumi tarbiah, bumi waqafan tersebut, saya sudah lama menyimpan cita-cita untuk menjadi isteri seorang pejuang. Menjadi isteri solehah, sayap kiri perjuangan si suami adalah impian terindah sejak dulu lagi.

Saya menyimpan hasrat untuk menjadi isteri sesetia Khadijah, sebijak Aisyah, sanggup hidup susah seperi Fatimah, cintakan syahid seperti Sumayyah. Malah semasa di tingkatan 5 lagi saya telah khatam buku " Hari-hari Dalam Hidupku " karangan seorang wanita ikhwan yang menjadi idola saya, Zainab Al-Ghazali Al-Jubaili. Semangat berjuang makin berkobar-kobar, cita-cita untuk menjadi isteri sekuat Zainab Al-Ghazali yang rela diseksa demi dakwah terpasak kuat dalam sanubari. Tatkala itu saya merasakan tak ada masalah langsung untuk melepaskan suami pergi berjuang, berjihad di jalan Allah Taala. Malah saya akan berbangga, pergilah hatta ketika di malam pertama sekalipun sepertimana yang berlaku dalam cerita agung tentang sahabat Rasulullah, Hanzolah yang meninggalkan isteri di malam pertama pergi menyahut seruan jihad dan beroleh syahid. Saya rela menjadi seperti isteri Hanzolah tersebut, rela ditinggalkan bila-bila pun, lama mana sekalipun hatta di malam pertama pun. Malah cita-cita saya juga hingga kini, inginkan semua anak lelaki supaya semuanya boleh dihantar untuk pergi berjihad hingga beroleh
gelaran syahid kesemuanya seperti Khansak.
Beliau merupakan ibu yang telah menyuntik semangat jihad kepada kesemua putera beliau untuk terjun ke medan perang. Akhirnya,kesemua putera beliau mendapat syahid di sisi Allah. Begitulah 'dream' saya dengan penuh semangat hasil dari tarbiah dalam jalan perjuangan ini.

Namun, itu semua baru retorik dan cita-cita. Angan-angan dan impian. Bila berdepan realiti, suami baru keluar untuk menghadiri program selama 3 hari, jiwa ini telah kacau terasa sunyi. Hidup terbayang-bayang susuk tubuh nan satu itu, hati gelisah menghitung saat bila dia akan kembali. Perasaan resah, macam hilang sesuatu yang cukup berharga. Tempat bergantung, tempat bermanja, tempat bergurau senda, tempat berkongsi masalah, tempat segalanya. Inilah kali pertama kami berpisah agak lama. Saya mula tersentak, mula merasai betapa sebenarnya 'aura' isteri seorang pejuang itu mungkin masih lemah dalam diri saya.

Saat ini saya terkenangkan bagaimana perasaan isteri-isteri yang ditinggalkan suami. Hatta isteri-isteri Rasulullah yang terpaksa bergilir-gilir untuk bersama Rasulullah turut merasa ditinggalkan suami. Isteri para sahabat agung yang ditinggalkan kerana pergi berjihad. Isteri pejuang-pejuang PAS, isteri yang berhormat-yang berhormat yang komited dan amanah dalam berjuang yang semestinya selalu ditinggalkan. Saya tersentuh membaca sajak karangan Ust Nasaruddin Tantawi yang didekasikan khusus buat isteri beliau. Sudah tentu isteri beliau selalu ditinggalkan demi perjuangan yang suci ini. Saya juga terkenangkan isteri-isteri tahanan ISA yang sudah bertahun-tahun terpisah dari suami mereka. Bagaimanalah perasaan mereka. Mesti 1000 kali ganda lebih perit dari apa yang saya rasa kini. Malah kawan-kawan saya ada yang berkahwin tetapi berjauhan dengan suami, mereka juga terus tabah menempuh taqdir hidup yang begitu.

Ada juga isteri-isteri yang terus tabah menempuh hidup setelah terpisah terus dari suami tersayang kerana suami pergi dahulu menyahut seruan Ilahi. Saya cukup mengagumi ibu mertua saya, ummi tersayang yang kematian suami tatkala beliau masih perlu membesarkan 8 orang anak yang masih kecil belaka. Betapa tabahnya hati seorang perempuan yang bernama ibu ini. Ada juga isteri-isteri yang terus hidup dengan bangga setelah kematian suami yang dijemput Ilahi dengan mendapat gelaran syahid. Saya membaca tentang Dr Rayyan, isteri As Syahid Dr Abd Aziz Rantisi. Seorang mujahidah yang telah melalui liku-liku perjuangan sebenar yang sebelum ini menjadi tunjang perjuangan suami beliau As-syahid Dr.Abdul Aziz Rantisi. Beliau yang dikenali juga sebagai Abu Muhammad telah diamanahkan mengambil alih tanggungjawab paling besar selepas syahidnya Syeikh Ahmad Yasin di bumi Al-Aqsa (Palestin) dan Dr Rayyan bersama perjuangan beliau hingga beliau syahid. Semangat dan ketabahannya sungguh luarbiasa. Saya juga membaca temuramah dengan isteri As Syahid Ismail Abu Syanab, seorang pemimpin Hamas yang terbunuh diserang helikopter Israel. Beliau juga amat mengagumkan.

Dr Rayyan di tengah-tengah

Saya jadi semakin bersemangat semula untuk benar-benar menjadi isteri seorang pejuang. Saya mula membuka buku, bersiap sedia untuk menelaah pelajaran untuk exam yang seterusnya. Ingatan kepada suami, saya letakkan ke tepi, buang agak jauh. Saya ingin hidup sebagai seorang isteri pejuang, yang berbangga dengan perjuangan suami. Malah saya juga ingin jadi seperti Dr Rayyan, isteri As-Syahid Abd Aziz Rantisi dan saya juga ingin jadi lebih hebat dari beliau. Saya mendambakan bukan sekadar menjadi seorang isteri kepada As-Syahid, tetapi juga mendambakan gelaran syahid itu untuk diri saya sendiri.


Buat bakal-bakal isteri, bersedialah untuk jadi isteri seorang pejuang. Buatlah persediaan yang rapi kerana teorinya mudah, praktikalnya payah.

Sunday, April 5, 2009

Sentuhan Seorang Isteri Bernama Rosmah

Dua tiga kali saya membaca entry terbaru suami tercinta, Hari Ini Aku Melihat Tuhan Dimana-mana ( Sebuah Catatan Matahati ), saya sangat suka kerana saya sangat tersentuh. Pelbagai episod perjuangan yang telah kami lalui bersama selepas perkahwinan ini, dan semalam merakamkan lagi salah satu episod indah dalam bahtera perjuangan kami.


Insan bersama 'suami' ini sebenarnya, cukup lemah bila berhadapan dengan seorang perempuan bergelar 'isteri'. Seorang perempuan yang telah 'halal' baginya, yang dikahwini dengan lafaz aqad yang mulia, yang menjadi tanggungjawab dan amanah dari Allah buatnya, dan apatah lagi jika isteri tersebut memang insan yang sangat dicintai dan disayanginya. Dalam perkahwinan itu ada rahmah, pada seorang isteri itu ada mawaddah. Malah ada satu 'kuasa ajaib' yang mampu menundukkan seorang suami. Jika seorang perempuan biasa pun dapat menundukkan seorang lelaki, apatah lagi seorang isteri.

Hatta Rasulullah sendiri pernah 'tunduk' kepada isteri-isteri baginda sehingga ditegur oleh Allah. Tercatat dalam sejarah Islam, bahawa ayat 1-2 Surah at-Tahrim turun disebabkan angkara isteri-isteri baginda. Ketika baginda habis meminum madu di rumah isteri baginda Saudah, dia berkata bahawa ada bau yang busuk. Begitu juga ketika baginda selesai meminum madu di rumah Aisyah, dia diberitahu bahawa ada bau yang busuk. Lalu Rasulullah saw kerana untuk menjaga hati isterinya telah berjanji untuk tidak meminum madu lagi. Allah lalu menurunkan firman Nya :

"Hai Nabi, mengapa kamu mengharamkan apa yang Allah halalkan bagimu, kamu mencari kesenangan hati isteri-isteri kamu?" (at-Tahrim :1)


Semua perasaan condong padanya, perbuatan harampun terjadi karenanya. Mengundang terjadinya pembunuhan, permusuhan pun disebabkan karenanya. Sekurang-kurangnya ia sebagai insan yang disukai di dunia. Kerosakan mana yang lebih besar daripada ini?

Begitulah Al Imam Al Mubarokfuri rahimahullah menjelaskan tentang bentuk bahaya fitnah wanita dalam Al Tuhfah Al Ahwadzi 8/53.

Rasulullah memberikan peringatan dari fitnahnya sebagaimana yang diriwayatkan dalam Shahih Muslim dari sahabat Abu Said Al Khudri, beliau bersabda:

“Hati-hatilah terhadap dunia dan hati-hatilah terhadap wanita, karena sesungguhnya fitnah yang pertama kali menimpa Bani Israil adalah wanita”


Melihat perkembangan politik semasa, dengan kini Datuk Seri Najib Tun Razak rasmi menjadi Perdana Menteri kita yang ke-6, peranan seorang 'isteri' disebalik Datuk Seri Najib itu tidak boleh diremehkan. Datin Seri Rosmah Mansor, isteri kedua Najib yang sebelum ini pernah berkahwin dengan Tengku Puteri Zainah Tengku Eskandar, bukanlah calang-calang orang. Beliau bukan seperti Tun Jeane yang suka berkebun, first lady sebelum ini. Bukan juga seperti Tun Hasmah yang bertaraf 'doktor' itu. Beliau lain dari yang lain.

Kisah tentang pembunuhan Al-Tantuya yang cukup menggegarkan Malaysia, turut dikaitkan dengan Datin Rosmah ini, bukan hanya Najib semata-mata. Tujuh akhbar negara asing turut melaporkan berita tentang penglibatan Najib dan Rosmah dalam pembunuhan tersebut tanpa ada satu tindakan saman pun dari Najib sendiri. Beliau terus berdiam diri dengan sekadar berbentengkan sebuah penafian yang pernah dibuat dahulu kala. Walaupun kini isu tersebut hangat dimainkan dalam kempen-kempen pilihanraya di 3 Bukit yang bakal berlangsung 7 April ini, Najib dan Rosmah terus diam, mungkin sedang bergembira dan berbahagia setelah berjaya menjadi Perdana Menteri dan 'First Lady' Malaysia. Bayangkan jika benar seorang wanita seperti Rosmah tersebut sememangnya terlibat dengan pembunuhan kejam yang turut membunuh seorang wanita, bagaimanakah 'perasaan' dan 'peribadi' first lady Malaysia yang seperti ini? Tergamakkah seorang wanita muslim melakukan perbuatan kejam seperti itu terhadap wanita yang lain? Yang bernama wanita diluar sana saya yakin dapat menyelami perasaan ini lebih mendalam kerana kita merasai betapa 'halusnya' perasaan seorang wanita itu sepatutnya.
Rosmah juga dalam banyak laporan dalam internet terkenal dengan perangainya yang memang suka bermewah-mewah, bermegah-megah dengan segala kemewahan dan kekayaan. Tempat shopping wanita ini adalah di luar negara dengan barangan-barangan yang dibeli hampir mencecah ratusan ribu ringgit. Malah dalam satu laporan, ada yang menggelarkan beliau sebagai 'Imelda Marcos Malaysia' kerana tabiat suka membeli-belah yang membazir.

April tahun lalu ketika mengikuti Najib ke pameran Biotech di Boston, Rosmah singgah ke Los Angeles untuk membeli belah pakaian, kasut dan alat2 mekapnya.

"Amat memeranjatkan menurut pegawai2 Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar yang terlibat dalam rombongan tersebut memaklumkan sebanyak lapan buah kereta diperlukan untuk mengangkut 74 beg barang yang dibeli oleh Rosmah," kata Saifuddin Nasution, Pengarah Strategik PKR dalam satu laporan.

"Di Boston pula setelah meninjau toko2 kelas atasan, Rosmah memaklumkan kepada pegawai terbabit, beliau memerlukan 15 buah kereta untuk membawa beg2 barangan yang dibelinya," katanya.

Saifuddin turut mendedahkan sewaktu misi kerajaan ke Jepun, Rosmah tinggal bersama Najib di President Suite, Hotel Imperial Tokyo dengan keluasan bilik tersebut ialah 3,000 kaki persegi. tetapi keesokan hari Rosmah mendakwa tidak dapat tidur kerana mendapat tahu ada bilik yang lebih luas iaitu 4,000 persegi daripada bilik yang diduduki bersama suaminya itu.


Sebelum ini, Rosmah juga pernah mengundang kontroversi dengan aksi manjanya dengan pelakon Bollywood yang mendapat kritikan dan teguran pelbagai lapisan masyarakat yang kecewa dengan sikap isteri pemimpin nombor dua negara ketika itu yang tidak menjaga batas2 agama dan memalukan imej seorang wanita muslim.Sewaktu Anugerah Filem India Global (GIFA) 2006 pada 9 Disember tahun lalu yang diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil menyaksikan Rosmah selaku penaung festival berlaga pipi dengan aktor kacak Bollywood, Salman Khan.

Inilah antara cebisan beberapa perkara menarik berkenaan Datin Seri Rosmah Mansor, 'first lady' kita sekarang. Perkara-perkara yang disebut di atas, bukan menjadi rahsia lagi. Bukan saya mahu mengungkit kisah-kisah lama, sekadar satu paparan, gambaran yang agak negatif tentang Rosmah. Saya tidak nafikan, mungkin ada banyak lagi jasa-jasa positif, peranan dan sikap baik Rosmah yang tidak saya paparkan.

Rosmah, sebagai seorang isteri kepada Perdana Menteri kita sekarang sebenarnya banyak mempengaruhi Najib dalam membuat keputusan. Jika kita terus mencari maklumat-maklumat dalaman berkenaan kes Al-Tantuya tersebut, kita akan dapat lihat dengan jelas peranan Rosmah kepada Najib. Beliau sebenarnya boleh terus menerus 'mempengaruhi' Najib dalam membuat keputusan-keputusan besar untuk negara. Malah tak mustahil, dalam kabinet Najib yang bakal diumumkan tidak lama lagi juga mungkin boleh turut menerima 'sentuhan', seorang isteri bernama Rosmah.

Disebalik pelbagai laporan dan persepsi negatif terhadap Najib dan Rosmah ini, saya masih meletakkan harapan agar kedua-dua insan penting yang sedang memacu pemerintahan dalam negara kita kini mampu berubah, terutamanya Rosmah. Kerana tak mustahil, dengan kuasa seorang 'isteri' tersebut, beliau mampu untuk merubah Najib.

Najib mula melakukan 'perubahan' setelah bergelar Perdana Menteri dengan membebaskan 13 orang tahanan ISA dan menarik semula penggantungan akhbar Harakah dan Suara Keadilan. Walau banyak pihak yang mengatakan ini sekadar satu 'gimik' memancing undi dan sokongan untuk 3 pilihanraya kecil yang bakal diadakan, saya masih boleh melihat positif dari sudut impak kepada tahanan-tahanan ISA yang telah dibebaskan tersebut dan juga manfaat dari akhbar Harakah dan Suara Keadilan yang sudah tidak digantung. Saya masih menunggu, adakah ramalan yang dibuat oleh suami saya bakal berlaku atau tidak. Adakah Najib akan juga turut menghapuskan PPSMI? Pelbagai desakan, tekanan, memorandum, demonstrasi telah dilakukan untuk PPSMI ini. Namun, masih belum ada tindakan. Adakah Tun Lah dan Najib menunggu hingga Najib menjadi Perdana Menteri untuk memansuhkan PPSMI ini demi menarik kembali sokongan rakyat dan juga bukti 'perubahan' yang dibawa bawah pemerintahan Najib kini? Sama-sama kita nantikan.


Buat Datin Seri Rosmah, mainkan lah peranan sebgai seorang isteri yang baik dengan baik. Suamimu kini sedang berada di puncak, mainkan perananmu sebagai sayap kiri perjuangan suamimu, juga sebagai ibu, 'first lady' kepada semua rakyat Malaysia. Buat teman-teman pembaca wanita yang lain, yang sudah menjadi isteri, mari kita mainkan peranan sebagai seorang isteri, srikandi perjuangan suami. Yang bakal bergelar isteri, bersedialah dengan bekalan-bekalan untuk menjadi isteri, kerana dalam satu hadis Rasullullah, baginda menyebut :

" Tiap perempuan yang menolong suaminya dalam urusan agama, maka Allah s.w.t. memasukkan dia ke dalam syurga lebih dahulu daripada suaminya (10,000 tahun). "