Malam ini saya kesunyian kerana 'another half of me' berada di Melaka. Hujan renyai-renyai diluar, saya di dalam asyik dengan berita-berita terkini, menjengah ke blog demi blog. Namun sebenarnya, masih belum dapat merawat rawan di hati. Tadi saya kepenatan berjuang di medan 'final exam'. Kembali ke rumah, saya sangat merindui seorang insan bernama 'suami'.
Saya mula mencari penawar untuk hati yang keresahan, motivasi buat diri yang lemah. Saya mula menaip di Google search, "Isteri Seorang Pejuang". Lalu, muncullah beribu-ribu entry dan website yang menanti untuk dibaca. Saya mula memilih-milih. Benarlah, teori yang selalu kita ucapkan tak semudah apa yang perlu kita praktikkan. Sebagai insan yang telah mula mengenal erti hidup berjemaah dan hidup berjuang ini sejak dari sekolah menengah lagi di bumi tarbiah, bumi waqafan tersebut, saya sudah lama menyimpan cita-cita untuk menjadi isteri seorang pejuang. Menjadi isteri solehah, sayap kiri perjuangan si suami adalah impian terindah sejak dulu lagi.
Saya menyimpan hasrat untuk menjadi isteri sesetia Khadijah, sebijak Aisyah, sanggup hidup susah seperi Fatimah, cintakan syahid seperti Sumayyah. Malah semasa di tingkatan 5 lagi saya telah khatam buku " Hari-hari Dalam Hidupku " karangan seorang wanita ikhwan yang menjadi idola saya, Zainab Al-Ghazali Al-Jubaili. Semangat berjuang makin berkobar-kobar, cita-cita untuk menjadi isteri sekuat Zainab Al-Ghazali yang rela diseksa demi dakwah terpasak kuat dalam sanubari. Tatkala itu saya merasakan tak ada masalah langsung untuk melepaskan suami pergi berjuang, berjihad di jalan Allah Taala. Malah saya akan berbangga, pergilah hatta ketika di malam pertama sekalipun sepertimana yang berlaku dalam cerita agung tentang sahabat Rasulullah, Hanzolah yang meninggalkan isteri di malam pertama pergi menyahut seruan jihad dan beroleh syahid. Saya rela menjadi seperti isteri Hanzolah tersebut, rela ditinggalkan bila-bila pun, lama mana sekalipun hatta di malam pertama pun. Malah cita-cita saya juga hingga kini, inginkan semua anak lelaki supaya semuanya boleh dihantar untuk pergi berjihad hingga beroleh
gelaran syahid kesemuanya seperti Khansak.
Namun, itu semua baru retorik dan cita-cita. Angan-angan dan impian. Bila berdepan realiti, suami baru keluar untuk menghadiri program selama 3 hari, jiwa ini telah kacau terasa sunyi. Hidup terbayang-bayang susuk tubuh nan satu itu, hati gelisah menghitung saat bila dia akan kembali. Perasaan resah, macam hilang sesuatu yang cukup berharga. Tempat bergantung, tempat bermanja, tempat bergurau senda, tempat berkongsi masalah, tempat segalanya. Inilah kali pertama kami berpisah agak lama. Saya mula tersentak, mula merasai betapa sebenarnya 'aura' isteri seorang pejuang itu mungkin masih lemah dalam diri saya.
Saat ini saya terkenangkan bagaimana perasaan isteri-isteri yang ditinggalkan suami. Hatta isteri-isteri Rasulullah yang terpaksa bergilir-gilir untuk bersama Rasulullah turut merasa ditinggalkan suami. Isteri para sahabat agung yang ditinggalkan kerana pergi berjihad. Isteri pejuang-pejuang PAS, isteri yang berhormat-yang berhormat yang komited dan amanah dalam berjuang yang semestinya selalu ditinggalkan. Saya tersentuh membaca sajak karangan Ust Nasaruddin Tantawi yang didekasikan khusus buat isteri beliau. Sudah tentu isteri beliau selalu ditinggalkan demi perjuangan yang suci ini. Saya juga terkenangkan isteri-isteri tahanan ISA yang sudah bertahun-tahun terpisah dari suami mereka. Bagaimanalah perasaan mereka. Mesti 1000 kali ganda lebih perit dari apa yang saya rasa kini. Malah kawan-kawan saya ada yang berkahwin tetapi berjauhan dengan suami, mereka juga terus tabah menempuh taqdir hidup yang begitu.
Ada juga isteri-isteri yang terus tabah menempuh hidup setelah terpisah terus dari suami tersayang kerana suami pergi dahulu menyahut seruan Ilahi. Saya cukup mengagumi ibu mertua saya, ummi tersayang yang kematian suami tatkala beliau masih perlu membesarkan 8 orang anak yang masih kecil belaka. Betapa tabahnya hati seorang perempuan yang bernama ibu ini. Ada juga isteri-isteri yang terus hidup dengan bangga setelah kematian suami yang dijemput Ilahi dengan mendapat gelaran syahid. Saya membaca tentang Dr Rayyan, isteri As Syahid Dr Abd Aziz Rantisi. Seorang mujahidah yang telah melalui liku-liku perjuangan sebenar yang sebelum ini menjadi tunjang perjuangan suami beliau As-syahid Dr.Abdul Aziz Rantisi. Beliau yang dikenali juga sebagai Abu Muhammad telah diamanahkan mengambil alih tanggungjawab paling besar selepas syahidnya Syeikh Ahmad Yasin di bumi Al-Aqsa (Palestin) dan Dr Rayyan bersama perjuangan beliau hingga beliau syahid. Semangat dan ketabahannya sungguh luarbiasa. Saya juga membaca
Buat bakal-bakal isteri, bersedialah untuk jadi isteri seorang pejuang. Buatlah persediaan yang rapi kerana teorinya mudah, praktikalnya payah.





