Saturday, October 31, 2009

Nur Fatimah Pulang Ke Rahmatullah di Pangkuan Ibunya


NUR FATIMAH MILIK ALLAH

“ Tidak ada satu musibah pun yang menimpa di muka bumi dan tidak pula pada dirimu melainkan telah tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sungguh, yang demikian itu sangat mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) agar kamu tidak berdukacita terhadap apa yang luput darimu dan supaya kamu tidak terlalu bergembira terhadap apa yang Dia berikan kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.”

Surah Al-Hadid : 22-23

“ Tidak ada satu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah, dan barangsiapa yang beriman kepada Allah, nescaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.”

Surah at-Taghaabun : 11

“ Tidak ada seorang pun yang ditimpa musibah, lalu ia mengucapkan : Inna lillahi wa inna ilaihi roji’un, Allahumma’jurnii fi mushibatii wa akhliflii khoirom-minha ( Sesungguhnya kita adalah milik Allah dan hanya kepada-Nya kita akan kembali. Ya Allah, berilah pahala atas musibah yang menimpaku ini dan gantilah aku dengan yang lebih baik darinya) kecuali Allah akan memberi pahala atas musibah yang menimpanya dan menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik darinya.”

Muslim 2/233

“ Allah berfirman : “Tidak ada balasan bagi hamba-Ku yang beriman jika Aku mengambil (mewafatkan) orang yang dicintainya di antara penduduk dunia ini, lalu dia mengharap pahala atas musibah ini kecuali syurga”

Al-Bukhari dalam al-Fath : 11/242

“ Rasulullah SAW berkata kepada seseorang yang ditinggal mati anak lelakinya, “ Apa kamu tidak suka bila kamu masuk salah satu pintu syurga sedang engkau mendapati anakmu itu sudah menantimu?”

Ahmad dan an-Nasa’i. Sanad sesuai syarat as-shahih serta ditashihkan oleh al-Hakim dan Ibnu Hibban. Lihat Fathul-Bari : 11/243


Ayat-ayat Al-Qur’an dan Hadith inilah yang sentiasa membantu kami tenang sepanjang tempoh Nur Fatimah di ICU dan melihat sendiri puteri kami berhenti bernafas.. Ibu ayah mana yang tidak sayangkan anaknya dan sedih melihat penderitaan kesakitan anaknya, namun janji-janji Allah yang sentiasa mendamaikan dan membantu kami tabah dan redha.. Syukur pada Allah yang memberikan kami kekuatan, ketabahan dan redha dengan segala yang berlaku..Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang mendoakan kami..


PENGHARGAAN BUAT KELUARGA DAN SAHABAT

Kesempatan ini, saya dan suami ingin mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada kaum keluarga, mak, mama, baba, abang2, kakak2, adik2, sanak saudara dekat dan jauh serta sahabat-sahabat dekat dan jauh atas segala bentuk sokongan, doa dan ziarah dari awal Nur Fatimah dimasukkan ke wad kanak-kanak, ICU dan sepanjang jenazahnya di Masjid UPM dan dikebumikan. Kami amat menghargai segala susah payah mak, mama, baba dan adik-beradik yang bersama-sama menjaga Nur Fatimah, mengalunkan bacaan Al-Quran untuknya, berulang dari Johor dan Pulau Pinang yang bukannya dekat untuk memberi sokongan, menjaga dan mendoakan Nur Fatimah, juga sanak saudara yang tidak putus-putus berziarah, membawa makanan kepada kami, membantu urusan jenazah dan sentiasa memberikan sokongan yang tidak mampu kami balasnya melainkan Allah sebaik2 Pemberi Balasan..

Kami juga sangat terharu dan berterima kasih kepada sahabat-sahabat yang sentiasa mendoakan, datang berziarah, menelefon, SMS, memberi sokongan material dan emosi sehinggalah ke hari ini. Sukar untuk kami menyebutkan satu persatu nama sahabat kerana bimbang ada yang tertinggal, cukuplah nama sahabat2 semua berada dalam hati kami dan Allah akan membalasnya.

Begitu juga ucapan terima kasih buat pengurusan Hospital Putrajaya, Doktor-Doktor Pakar di Hospital Putrajaya, Hospital Kuala Lumpur, PPUM dan nurse yang sentiasa sabar dan berdedikasi dalam kerjaya dan membantu sepanjang merawat anak kami.


HARI-HARI YANG MENDEBARKAN

Sukar untuk saya mengingat kembali detik-detik penuh cemas dan mendebarkan, kerana pasti saya akan terbayang-bayangkan nya. Setiap kali sahabat dan sanak saudara bertanya tentang punca dan kejadian semasa berlaku dan pertanyaan-pertanya an mengapa, apa dan bagaimana, saya berusaha untuk menjawabnya sebaik mungkin walaupun di hati ini berasa tidak senang dan letih untuk menjawabnya lantaran berulangkali dan menyebabkan teringat perkara-perkara yang menyedihkan. Namun saya faham keprihatinan family dan sahabat-sahabat semua kepada kami.

Bermula dengan menghantar Nur Fatimah ke Nursery dengan gelak tawa yang cukup menghiburkan, mendapat panggilan dari pengasuh bahawa setelah lama menangis, tiba-tiba Nur Fatimah lemah, saya terus ke Nursery dengan linangan air mata dan melihat Nur Fatimah berda dalam dakapan owner Nursery yang sampai dahulu dari saya. Menyangka Nur Fatimah inginkan ibunya, saya terus mendakap dan ingin menyusukannya, namun takut di hati apabila Nur Fatimah tidak membuka matanya dan kejang seperti sawan dan terus menghantarnya ke Hospital An-Nur tempat kelahirannya dan dipindahkan ke wad kanak-kanak di Hospital Putrajaya lebih kurang pukul 3 petang Khamis 9 Oktober 2009. Sepanjang perjalanan ke Hospital An-Nur, saya tidak putus-putus membacakan Fatihah, Ayat Kursi dan ‘Bismillahillazi La Yadurru...’ kepadanya. Beberapa kali Nur Fatimah kekejangan di kereta dan juga di wad kanak-kanak walaupun telah dimasukkan ubat anti sawan. Setelah otak discan dan diambil air tulang belakangnya di wad kanak-kanak, dalam pukul 1pagi Jumaat, saya melihat wajah Nur Fatimah dan ketika itu tiba-tiba matanya terbuka dan kemudian tertutup, seolah-olah malaikat telah menjemputnya pergi, kemudian alat pengukur kandungan oksigen menunjukkan penurunan mendadak oksigen dalam badan namun kemudiannya normal.

Setelah nurse pergi, saya melihat kembali wajah Nur Fatimah, namun terkejut melihat tiada tanda-tanda pernafasan di badannya dan melihat mulutnya seperti menyedut udara. Saya panggil doktor dan doktor sudah ‘standby’ dengan ‘alat renjat’, namun tidak digunakan kerana setelah mengepam bantuan pernafasan, jantung Nur Fatimah kembali berdenyut. Setelah dimasukkan ke ICU, di luar ICU, suami mengangkat tangan berdoa dan saya mengaminkan dengan sedu sedan menangis.. “ Ya Allah, berikanlah yang terbaik untuk Nur Fatimah dunia dan akhiratnya, sekiranya hidup itu lebih baik baginya, Engkau sembuhkanlah Ya Allah, sekiranya kematian itu lebih baik baginya, maka Engkau bantulah kami untuk sabar dan redha” antara doa yang diingati.

“ Kita doa yang terbaik untuknya ya,” dengan mata merah, abang mengingatkan saya.. Benar, kekuatan abang menyebabkan saya berusaha untuk tabah dan redha..

14 HARI DI ICU

Sepanjang tempoh ini, perkara paling menakutkan kami adalah apabila berjumpa dengan doktor. Sejak dari mula lagi doktor telah mengingatkan dan memberikan segala sebab musabbab realiti agar kami bersedia.

” Nur Fatimah mengalami kecederaan otak yang sangat teruk. Dari scan kedua, memang nampak lebih teruk lagi. Mengikut pengalaman kami, dari dua kes terdahulu, memang berakhir dengan kematian. Saya minta maaf sangat, tetapi kami berusaha yang terbaik, memang kita perlu berusaha dan bersangka baik, dengan izin Allah ada miracle, tetapi kita perlu tahu juga realitinya mengikut ilmu perubatan.”

Bertanya kepada Doktor Arini, pakar kanak-kanak Hospital Putrajaya, pelbagai perkara, simptom, punca dan sebagainya, namun hakikatnya, benar semuanya adalah musabbab yang Allah berikan. ” Biasanya terjadi di nursery, mak ayah jangan salahkan diri, saya faham mak ayah risau, lagipun anak pertama, baby nangis banyak takkan terjadi kecederaan sebegini, biasanya terjadi dengan sebab goncangan yang kuat biasanya dengan sebab kemarahan, atau hayunan buaian kuat menyebabkan gegaran di kepala.” Air mata tidak boleh ditahan-tahan lagi untuk keluar kerana memikirkan takut-takut kesalahan saya menyebabkan Nur Fatimah begitu. Berulangkali Doktor menjelaskan kepada kami kerana berulangkali juga kami bertanya sama ada boleh tak terjadi sekiranya kerana berjalan jauh semasa raya, takut nur fatimah penat atau kerana banyak sangat nangis sehingga kata-kata orang menyebabkan kurang oksigen sampai ke kepala.

14 hari di ICU juga tidak putus-putus kami membaca Fatihah, Ayat Kursi dan Yasiin kepada Nur Fatimah dengan niat supaya menjadi penawar, syifa’ kepadanya, sehingga suami sempat bergurau, ”nanti kalau Nur Fatimah sihat, mesti dia dah hafal surah Yasin.” 14 hari di ICU juga, pelbagai masjid menunaikan solat hajat, sanak saudara dan sahabat pula tidak putus-putus berkunjung, terima kasih diucapkan. Setiap kali bertemu Nur Fatimah, hati rasa bersemangat kembali walaupun masih tidur. Ucapan kami tidak putus-putus pada telinga Nur Fatimah, ” Mama Baba sayang sangat pada Nur Fatimah, Mama Baba minta maaf segala salah silap mama baba pada Nur Fatimah ye, Mama Baba doakan yang terbaik untuk Nur Fatimah, Nur Fatimah bukalah mata, baliklah dengan mama baba kat rumah”Juga berusaha pelbagai perkara, selain ubat doktor, ubat-ubat lain yang dibenarkan juga beserta air zam-zam serta air penawar juga diberikan, berusaha sedaya mungkin kerana kita tidak tahu taqdir yang Allah tentukan padanya, harapan kami tentulah puteri Nur Fatimah sihat dan sembuh...

12 Oktober 2009 merupakan genap setahun pernikahan kami, namun Allah menguji kami dengan ujian berat ini, Nur Fatimah masih ’tidur’ di ICU. SMS baba pada kami : ”Abg dan Djah! Setahun berlalu abg dan Djah bergelar suami isteri. Sudah 3bulan menjadi ayah dan ibu kepada puteri Nur Fatimah. Ulangtahun abang dan Djah dikalong ujian dari Allah, putri cucu ba dan ma , ’tidur’ tenang. Luruh segala kudrat, kering air mata, sebak melanda jiwa, cucu ba dalam ujian Ilahi. Yang terdaya cumalah munajat yang sarat dengan hajat, agar Nur segera sihat. Abg n Djah, la tahzan! Ba, Ma dan adik-adik ucapkan ’tahniah’ sempena setahun berijab qabul. Kami terlalu sayang pada abang n kak Khadijah, dan sekuntum melur cantik, Nur Fatimah! Ba sebak dalam tangisan!”


3 Zulkaedah 1430H, 22 Oktober 2009, ALLAH LEBIH SAYANGKAN NUR FATIMAH

Pukul 4.30pagi Khamis, nurse di ICU call minta datang ke ICU, heartbit semakin menurun. Bergegas ke ICU, pukul 4.55 pagi, kami sampai dengan emak yang tidur bersama di rumah. Sesampainya di sana, heartbit dan tekanan darah semakin lemah. Kami berulang kali membaca Yasiin, Surah Al-Ikhlas, Surah Fatihah dan ayat Kursi serta membisikkan syahadah kepada Nur Fatimah. Benar, janji Allah pasti berlaku. Sesudah kami menunaikan solat Subuh, saya mohon pada Doktor untuk memangku dan memeluk Nur Fatimah, doktor izinkan. Dengan masih bantuan pernafasan di mulut, Nur Fatimah berhenti bernafas di pangkuan, sebagaimana kata doktor, lama-lama jantung tidak akan larat juga untuk mengepam walaupun ada bantuan pernafasan. Nur Fatimah ’tidur selama-lamanya’ di pangkuan mama bersama baba dan nenek. Air mata masih lagi laju seperti tidak mahu berhenti, namun mulut masih lagi membisikkan laa Ilahaillallah, Muhammadur Rasulullah kepada Nur Fatimah. ” Tenanglah sayang, Allah lebih sayang pada Nur Fatimah.

” Itu yang terbaik pada Nur Fatimah, abang masih lagi ada Khadijah” kata-kata abang bagai menyimbah air di hati. Benar, apa yang berlaku, itulah yang terbaik untuk Nur Fatimah, dunia dan akhiratnya. Syukur pada Allah yang mencampakkan rasa ketenangan dan redha dalam hati sepanjang hari itu. Hati rasa puas dapat menjaga Nur Fatimah, dapat membaca Al-Quran bersamanya dan dapat mengalirkan susu di dalam badannya walaupun melalui tiub. Ketika mengambilkan wudhu’ ke badan Nur Fatimah selepas memandikannya, membasuh tangan Nur Fatimah sambil berkata dalam hati,” Nur Fatimah, nanti pegang tangan mama baba kuat-kuat ye sayang dalam syurga, tolong mama baba dapat sama-sama di syurga.” Ketika membasuhkan kakinya, ” Nur Fatimah, tunggulah mama baba sama-sama di syurga ya!”

Talkin yang baba baca di perkuburan menyebabkan air mata tumpah lagi, ”pasti cucu baba sedang bermain-main di syurga, jumpa tok ismail, tok piah.” begitulah yang selalu tok wan baba cakap. ”Title datuk dah ditarik balik nampaknya!”wan baba kata pada kawannya. ”Mak, cucu mak dah tinggal 8orang balik, ain je cucu perempuan mak” abang kata pada mak.

JAULAH PUTRAJAYA

Hari sabtu, 2 hari kemudian, kepala semakin lapang dapat berjalan-jalan sambil bergambar di putrajaya bersama baba,mama dan adik-adik. ” Kalau Nur Fatimah ada mesti dia yang jadi subject kita ambil gambar.”

Banyak benar pengajaran dan ingatan Allah kepada hamba-Nya yang sememangnya lemah ini, yang kadangkala melupaiNya. Nyawa kita berada dalam genggaman-Nya. Perlu sentiasa bertaubat lantaran kadang-kadang hati kita mungkin terlupa dengan kekuasaanNya, bangga diri atau takbur dengan pemberianNya, melupai bahawa Allahlah penjaga makhlukNya. Ujian Allah sebenarnya menjinakkan kembali hati dan menguatkan kembali rohani, moga-moga Allah mengampunkan segala dosa-dosa dan memberikan yang lebih baik lagi di kemudian hari..

”Nur Fatimah, mama baba sayang sangat pada Nur Fatimah, tapi Allah lebih sayangkan Nur Fatimah! Nur Fatimah tetap permata hati mama baba, anak sulong mama baba! Doakan mama baba dapat bersama-sama Nur Fatimah di syurga, jangan lupakan mama baba...”


Ya Allah, kami mohon yang lebih baik dari-Mu, Engkau yang Maha Mengetahui yang lebih baik dan terbaik, bantulah kami sentiasa mengingatiMU, mensyukuri nikmatMu dan memperbaiki amalan kami semata-mata keranaMU... Syukur padaMu Ya Allah kerana memberikan kami zuriat selama 108hari, menatap wajahnya, menyusukannya dan menjaganya, Maha Suci Engkau dan Maha Penyayangnya Engkau kepada hamba-hambaMu, pandanglah kami dan janganlah Engkau tinggalkan kami, bantulah kami dalam segala urusan kami, wahai Allah, Tuhan yang Maha Memberi..
Alhamdulillah. ...

Coretan Ukthi Khadijah binti Ismail

No comments: