Tuesday, May 12, 2009

Drama Perak dan "My Dream"

Cepat sungguh masa berlalu, pelbagai keputusan dan keadaan boleh berubah dengan sekelip mata. Tak sempat rasanya ramai blogger yang menganalisis politik menulis dan mengulas tentang isu keputusan mahkamah yang mengisytihar Ir Nizar sebagai Menteri Perak yang sah, keputusan itu kini ditangguhkan pula hasil rayuan Datuk Seri Zambry Abd Kadir kepada mahkamah Rayuan. Penangguhan keputusan mahkamah itu diberikan sementara menunggu selesai rayuan yang dikemukakan oleh Zambry berhubung perkara tersebut. Keputusan 'stay of execution' daripada mahkamah rayuan pagi ini bermakna keputusan mahkamah tinggi semalam akan tergantung sehingga keputusan rayuan diumumkan.

Drama politik Malaysia makin dasyat. Kadang-kadang rasa muak dan jelek dengan apa yang berlaku. Tetapi inilah politik. Disebalik kemuakkan dan kejelekan itu, disitulah terletaknya satu kuasa untuk memerintah yang menjadi tuntutan buat kita untuk merebutnya kerana tuntutan syariat untuk menegakkan syariatullah dan kalimah Allah di muka bumi ini.

Saya yakin, Datuk Seri Ir Nizar sendiri, isteri beliau, Datin Seri Fatimah dan keluarga beliau sendiri sudah tentu sudah amat letih berdepan dengan pelbagai ujian dan sandiwara dalam lingkaran politik Perak yang masih tak berkesudahan ini. Kita yang tidak ada kaitan secara langsung inipun terasa 'berat' dan 'letih' melihat sandiwara perebutan ini, apatah lagi yang melalui, yang menanggungya. "Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul".


Tetapi, seperti yang telah diulas oleh suami saya dalam blognya, Datuk Seri Ir Nizar bukanlah sebarangan orang. Walau ramai yang melihat 'figure' ini tiba-tiba muncul dalam kemelut politik Perak, namun kewibawaan, kekuatan, ketabahan beliau mentadbir Perak sebelum ini dan rentak dan aksi beliau dalam melalui ujian rampasan kuasa ini adalah satu testimoni yang jelas untuk menjadi bukti bahawa insan ini bukanlah 'accidentally figure' yang muncul kerana tekanan dan terdesak. Kita perlu melahirkan lebih ramai Ir Nizar dalam PAS dan Pakatan Rakyat.

Saya dan suami sejak dari membaca keputusan mahkamah semalam asyik bercakap tentang isu ini, membuat andaian, 'prediction' terhadap apa yang terjadi dan apa yang bakal terjadi seterusnya. Mungkinkah semua ini sudah dalam perancangan pihak-pihak tertentu ataupun ianya terjadi kerana 'out of control' sesetengah pihak yang terbabit. Ataupun mungkinkah benar institusi kehakiman yang agak diragui sebelum ini telah dapat 'dijernihkan' kembali? Ataupun inipun sekadar tempelan kosmetik terhadap perancangan grand design yang lebih dasyat yang ingin dilaksanakan? Manusia hanya mampu membuat andaian dan jangkaan, tetapi suratan Allah telah tetap tersusun kemas menanti masa untuk dipersembahkan kepada hamba-hambaNya yang lemah.

Iktibar buat saya juga, betapa pentingnya saya benar-benar menguasai displin ilmu yang sedang saya ceburi kini iaitu bidang Undang-undang. Kadang-kadang tak dapat dinafikan, rasa begitu lelah menelaah matapelajaran demi matapelajaran yang terpaksa saya hadapi dalam setiap semester. Keputusan peperiksaan, CGPA pun nampaknya kini makin tidak memuaskan, menghadapi masalah fokus tumpuan yang agak mencapah menyebabkan ada aspek yang terlepas pandang gagal diambil kisah dengan baik. Semuanya ini terjadi bila semangat mulai luntur, matlamat mula jadi kabur. Maka proses re-energizing perlu dilakukan segera.

Dalam krisis Perak yang sebegini, institusi kehakiman, mahkamah dan perundangan terus hangat diperkatakan. Malah dalam banyak hal, apa-apa hal sekalipun, isu perundangan ini terus relevan kerana bidang inilah bidang yang dapat membuat final judgement di atas dunia yang fana ini. Saya kadang-kadang terkial-kial jugak menjawab persoalan demi persoalan yang dilontarkan rakan-rakan yang mahu mengetahui lanjut dari aspek perundangan mengenai sesuatu isu. Mungkin kerana penguasaan saya terhadap bidang yang saya ceburi ini belum begitu baik. Justeru, seruan buat saya dan semua terutamanya golongan mahasiswa, kuasai dan jadilah pakar dalam bidang disiplin ilmu yang telah kita ceburi. Kerana disinilah kunci penting kita mampu berperanan dan memberi sumbangan yang optimum kepada gerakan dan perjuangan Islam yang kita intima'. Jangan sekadar menjadi orang 'biasa-biasa' sahaja dalam bidang kita sendiri. Dah rumah kita, kita lah kena jadi tuan rumah.

Saya melihat bagaimana beberapa tokoh penting dalam bidang perundangan seperti Prof Aziz Bari, Sulaiman Abdullah, Hanipa Miaden, Zulkifli Nordin dan lain-lain terus diperlukan dalam perjuangan ini dek kerana kekuatan dan kepakaran dalam bidang perundangan yang mereka ada. Generasi muda kini seharusnya bersiap sedia untuk menggantikan generasi mereka ini yang pastinya akan pergi suatu hari nanti. Kita kena letakkan matlamat yang jelas, kemana haluan perjuangan kita selepas ini. Kena juga sentiasa 'check' matlamat ni dan 'up to date'.

Masa saya ditemuramah oleh Kak Hidayah a.k.a Ustazah Engineer tentang aspek kepimpinan muslimat muda yang tak sempat lagi saya nak kongsikan sepenuhnya disini, saya diasak oleh beliau untuk benar-benar spesifik dan measureable dalam mengatakan sesuatu. Saya ingat selama ni memang suami saya dah selalu 'train' saya bercakap spesifik dan jelas tentang sesuatu. Rupanya tak cukup lagi, dan terima kasih sangat pada Kak Dayah yang telah mengajar saya sesuatu yang berharga. Pernah suami saya kata, dia cukup tak berkenan dengan muslimat yang bila bercakap suka bercakap atas angin, tak mampu bagi huraian jelas dan contoh spesifik tentang sesuatu. Paling beliau pantang, suka sangat sebut 'dan lain-lain','dan sebagainya' dan yang seangkatan dengannya. Jadi, bila saya berhujah dan berbahas dengan suami tentang sesuatu isu, saya selalu diingatkan beliau tentang aspek ini.

Saya sahut seruan Kak Dayah untuk letakkan matlamat yang spesifik untuk 'self projection' saya masa akan datang. Saya benar-benar ingin menjadi seorang pakar dalam bidang perundangan spesifiknya undang-undang perlembagaan. Sebelum umur saya mencecah 40 tahun, saya meletakkan target, saya dah boleh jadi macam salah seorang idola dan pensyarah saya yang cukup terkenal dalam imu perlembagaan ini, iaitu Prof Aziz Bari. Saya sudah mampu menjadi rujukan dalam negara ini dalam ilmu perlembagaan sebelum umur saya 40 tahun, insyaAllah.


Tuliskan matlamat dan 'dream' kita, bukan untuk riak, tetapi sebagai satu cetusan semangat buat kita. Bila kita baca, kita akan ingat kembali. Saya takut juga nak tulis pasal dream ni mulanya. Yelah, kalau tak jadi, malulah saya. Tapi ketepikan semua tu dulu. Berfikiran positif. Redah je..

Catatan muhasabah ringkas buat diri ini..

5 comments:

Atriza said...

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Salam Perjuangan Ukht.

Kagum ana membaca coretan ukht kali ini (bukan bermakna yang sebelum ini tidak kagum, tetapi ini paling kagum)

Tahniah ana ucapkan pada ukht dengan catatan yang berkesan dan bermanfaat buat diri.

Moga enti diberikan ketabahan juga kekuatan untuk terus berjuang mencapai impian yang didambakan itu, Bi iznillah.

Mengenai rentasi atau politik Perak, hinggakan membuat diri berseloroh dengan seorang kawan (Wartawan Harakah) "Kenapalah Kerajaan tak terus hapuskan Perak dari Malaysia ni? Jadi berkuranganlah Negeri di Malaysia ni." maka dia pon ketawa.

Bukanlah apa ana seloroh sedemikian, sekadar memperli nyata pada pihak yang cakap tak serupa kata (Kerajaan)

Moga dengan kehadapannya orang seperti ukht suatu ketika untuk perjuangan impian itu, ukht mampu memberikan memorabilia yang sangat berharga pada Malaysia khususnya dan negara umumnya.

Mabruk Ya Ukht.

Ukhwah fie sabilillah..fie amanillah.

USTAZAH-ENGINEER said...

Huhu..

rasa terharu pulak ada nama kita dalam entri die..

Haa..camtula, bagus3..

InsyaAllah, konteks BERJAYA itu ialah USAHA. USAHA ialah BERANI MENCUBA.

Walaupun, kdg2 kita tidak dapat apa yg kita inginkan, tetapi dengan BERANI MENCUBA itu menjadi ukuran bahawa kita ttp tergolong di kalangan org berjaya.

Berjaya kerana kita BERANI MENCUBA. BERANI itu adalah berjaya. MENCUBA itu juga adalah berjaya.

KelawarHijau said...

K.Dayah tu bos saya di UTHM dulu. Merupakan Timb Pres. Jawatankuasa Pusat Islam. Hebatnya dia, hinggakan pihak admin tak mahu benarkan dia konvo. Haha!

Sememangnya K.Dayah sangat hebat dlm bidang pengurusan, tak lupa, perjuangan. Tapi tak seperti pejuang kampus yang lain, dibenci oleh admin, K.Dayah menjadi 'anak emas' pada universiti.

Dan tidak pula saya sangka K.Dayah berbakat JUGA dalam penulisan! Tabik spring my bos!

Cadangan saya pada GAMIS, jgn lepaskan orang sebegini! K.Dayah muslimat yg penuh strategi emas! Harap K.Nurul usulkan nama dia ke GAMIS. Paling kurang untuk merangka modul-modul akademi kepimpinan GAMIS. K.Dayah power dalam buat modul.

Hehe.. For my beloved K.Dayah, bukan bermaksud menambah beban terhadap badan akak yg kurus tu. Pilihan di tangan akak..

For K.Nurul, jgn persiakan cadangan saya.

USTAZAH-ENGINEER said...

ledflagl

Kelawar hijau a.k.a Syie.

Amboi, jauhnya syi mengomen. Dari jordan ke blog akk, pastu landing sini pulak ye...

Haha..bila syi cakap camtu teringin pulak nak menulis entri 'Aku & politik kampus'. Menarik gak berkongsi pengalaman.

Sesungguhnya, segala pujian itu dikembalikan semula kpd Allah...

Erm, GAMIS? Dulu ada gak orang pelawa...

Faridzul Nasaruddin said...

Ukht Nurul wrote:
"saya dah boleh jadi macam salah seorang idola dan pensyarah saya yang cukup terkenal dalam imu perlembagaan ini, iaitu Prof Aziz Bari"

Ustazah, jangan sekadar jadi MACAM dia. Nti ada potensi untuk jadi lebih hebat dr Prof Aziz. :)