Showing posts with label GAMIS. Show all posts
Showing posts with label GAMIS. Show all posts

Sunday, June 14, 2009

SIGMA Wajar Menokohi Aina Bajuri dan Senator Mumtaz

Beberapa hari terpaksa saya tangguhkan keinginan hati untuk meng'update' blog kerana tuntutan alwajibat lain yang lebih awla untuk diutama dan didahulukan. Apatah lagi timbul beberapa isu terkini berkenaan dengan muslimat, 'Dewan Muslimat Kangkung Layu', isu SIS dan sebagainya. Hingga isu ini turut disambut mendapat perhatian muslimin seperti suami saya yang telah menulis satu posting khusus berkaitan muslimat. Tahniah dan tercabar saya dibuatnya !

Namun, saya tidak mahu cepat melatah, apatah lagi menyalah dan menuding jari pada sesiapa. Dalam isu Dewan Muslimat khususnya, saya tidak mahu terus melihat kelemahan kelompangan dewan tersebut secara simplistik tanpa analisis fakta yang lebih konkrit dan juga tanpa ada usaha di pihak kita sendiri untuk buat sesuatu. Agenda pemerkasaan generasi muslimat pelapis kepimpinan perlu diteruskan, praktikalnya perlu dibumi dan diaplikasikan.

Kali ini, ada dua tokoh yang mahu saya ketengahkan kepada muslimat. Saya mahu highlightkan kedua-dua tokoh ini supaya SIGMA tidak perlu blur dan mencapah dalam mencari-cari tokoh-tokoh yang releven dengan idealisme SIGMA. Saya tidak mahu SIGMA terlalu ideal dan romantis dengan hanya mampu mengungkap kehebatan tokoh-tokoh muslimat silam dalam lembaran sejarah perjuangan Islam sahaja, sedangkan kita gagal membaca pemikiran tokoh-tokoh tersebut secara berkesan, tidak mampu dijejakkan ke bumi dan diterjemahkan dalam lagak aksi perjuangan SIGMA dan Helwani PMI di kampus.

1. Aainaa Bajuri (Tokoh Muslimat Yang Hujahnya "Mikroskop")


Saya tidak berkesempatan lama bersama kepimpinan Kak Aainaa, namun saya banyak mengenalinya dari suami saya yang bersama beliau memimpin Wufi di UIAM dan GAMIS.

Sukar saya menemui pimpinan mahasiswa muslimat, termasuk juga muslimin, yang bukan sekadar berani mencabar idea-idea muslimin khususnya idea "konservatif" dan "fundamentalis", namun itulah karakter pemikiran Kak Aina.

Apa yang lebih memberikan added value kepada beliau adalah penguasaannya dalam bahasa Inggeris dan bahasa Arab. Bukan sekadar kekuatan yang tampak hilang dari majoriti aktivis pimpinan gerakan mahasiswa Islam, bahkan beliau adalah seorang yang sentiasa "menghitamputihkan" pandangan yakni sangat teliti dan "mikroskop" apabila bercakap. Tanpa research dan fakta, beliaulah orang pertama akan bangkit mempertikai sesuatu pandangan dari sesiapa sekalipun, setinggi mana sekalipun jawatan. Masakan tidak, beliau telah berkecimpung hampir 2 tahun dalam dunia R & D Ma'ruf Club UIAM.

"Mikroskop" juga adalah istilah yang sering dileterkan oleh Ustaz Ramadhan Fitri dalam pidato-pidatonya kepada mahasiswa sekiranya dikaji dengan mendalam. Itulah budaya berhujah dan bercakap yang kontang pada pimpinan kampus hari ini. Kita lebih gemar bersikap retorik dan sloganik, tetapi bila ditanya inti dan huraian konkrit setiap kenyataan, pada masa itu terzahir ketidakjelasan dan penyakit "goreng".

Sesungguhnya, wibawa seorang pimpinan gerakan Islam khususnya muslimat pada saat ini bukan lagi pada kepetahan pidato menerangkan Islam itu pada sudut "what" sahaja (makroskop), tetapi juga sudut "why", "when", "how", "who" yang lebih merujuk kepada aspek mikroskop.


2. Senator Mumtaz (Tokoh Muslimat Terbukti dan Teruji Berjiwa Besar)


Inilah satu-satunya pimpinan Dewan Muslimat yang baru yang satu-satunya berada di Dewan Negara. Saya secara peribadi mengharapkan satu ketika nanti Dewan Muslimat PAS Pusat akan dipimpinan oleh Kak Mumtaz.

Kahwin dan mendapat anak di masa belajar di AIKOL UIAM, namun tetap menjadi figura Anugerah Dekan di pentas akademik dan figura politikus menggugat ketika bersama memimpin MPP UIAM sehingga mampu berbahas dengan Allahyarham Tan Sri Ahmad Ibrahim. Suami saya pernah berpengalaman membuat brainstorm lebih dua jam dengan beliau (lihat "Hari Ini Mindaku Diasak Senator Mumtaz"), yang pernah mencatat rekod membahas lebih 60 rang undang-undang dari pelbagai sudut di Dewan Negara. Ruh Ustaz Fadzil Nor yang disegani kawan dan lawan dari BN semacam wujud dengan jelas dalam diri Kak Mumtaz.

“kita ada 28 kementerian. Sekurang-kurangnya 82 soalan perlu dihasilkan dengan 4 senator dari Pas yang ada sekarang ini. 1 kementerian kamu kena fikirkan 3 soalan.” Itulah ‘muqaddimah’ Senator Mumtaz yang sempat suami saya ceritakan pengalamannya dengan beliau pada tarikh kemenangan Muhammad al-Fateh di Konstantinople iaitu pada 29 Mei 2008 tahun lepas.

Insya-Allah, saya mahu menjadi seperti beliau. Bahkan saya telah menyatakan dengan sarahah dalam majalah Muslimah bulan ini.


Bahkan saya mahu adik-adik usrah UZA saya mengambil Kak Mumtaz dan Kak Aina sebagai mentor dan sasaran seterusnya siri-siri usrah pro aktif kami. Saya juga mengharapkan SIGMA dan gerakan muslimat PMI berkesempatan melakukan brainstorming sekurang-kurangnya 2 jam dengan mereka, justeru baru kita akan rasai tahap keupayaan pemikiran dan daya pembacaan luas mereka menumpaskan muslimat dan mungkin juga muslimin.

Saya menyebut dua tokoh ini bukan untuk berbangga dengan mereka tanpa objektif dan asas, bahkan saya bukan mahu membanding atau meremehkan kepimpinan SIGMA yang ada pada hari ini. Terus terang saya nyatakan bahawa 2 figura penting saya kagumi pada kepimpinan SIGMA hari ini adalah Kak Pidah dan Kak Munawirah.

Kak Pidah qudwah kepada saya bagaimana pidatonya mampu mempengaruhi, menceria dan menarik crowd termasuk muslimin, ia suatu kekuatan yang jarang saya lihat pada pimpinan muslimat kampus pada saat ini. Hebat pemikiran dan penulisan belum tentu berpengaruh pidato dan cara menterjemahkan idea di fikiran dalam bentuk lisan dan pengucapan awam. Kak Munawirah pula kini membuktikan kuasa muslimat memimpin projek mega sebesar Kongres Pendidikan, itu belum lagi mendalami pemikirannya yang sarat dengan idea-idea besar dan pemikiran-pemikiran baru.

Menyinggung seketika penulisan terbaru suami saya mengenai SIGMA, saya telah memberikan pandangan saya kepada beliau bahawa apa yang beliau nyatakan masalah kepada SIGMA hakikatnya sedang berlaku juga kepada "gerakan muslimin". Saya telah mencadangkan kepada suami saya supaya segera memikirkan masa depan "gerakan muslimin", bukan lagi muslimat. Jika muslimat berdepan dengan masalah kualitatif yang boleh dibaiki, muslimin sedang berhadapan dengan masalah kuantitatif dan kualitatif sekaligus berdasarkan beberapa sampel kampus yang saya temui yang tak perlu saya jelaskan di sini. Suami saya tampak sedang serius memikirkan gagasan saya ini. Moga gerakan muslimin tidak terus leka dibuai keselesaan dan keegoan mereka yang tersendiri.

Monday, April 27, 2009

Gerakan Feminisme Islamik ?

Lama tak menulis disini. Lepas berperang dalam final exam, kembali ke kampung suami bersama keluarga mertua selama beberapa hari. Belum sempat bermalam dirumah, saya berangkat pergi, berjuang di satu program tarbiah yang agak panjang.

Bila saya buka blog saya yang tak seberapa ni, saya sendiri tidak menyangka, entry saya sebelum ini "Catatan Seorang Isteri", agak mendapat perhatian. Tulisan saya yang kesepian saat itu, lebih merupakan perkongsian peribadi, alhamdulillah jika ada manfaatnya pada yang lain. Terima kasih pada yang memberi komen, kata-kata semangat dan sebagainya.

Kali ini, saya pula yang meninggalkan suami. Saya pula yang keluar berjuang tinggalkan Darul Syuhada no.36. Tapi, cik abang sorang ni tak tegar tinggal di rumah berseorangan rupanya. Saya mengemas beg untuk ke program, beliau juga sibuk mengemas barang-barangnya untuk kembali menumpang tidur di rumah bujang PERAKAN yang pernah beliau diami sebelum berkahwin dahulu. Tak tahan menatap memori di rumah tanpa saya katanya. Hebat jugak penangan cinta kami. Mujur tak sampai menghalang kami untuk berjuang. Malah saya diberi tasji', dorongan, pertolongan dan motivasi khusus untuk ke program tersebut.

Hati melojak-lonjak untuk menulis. Setelah beberapa hari bermukim di Kelantan, kemudiannya hadirkan diri ke program, banyak isu yang saya tertinggal. Banyak benda yang perlu di'update'. Beberapa laman blog favourite mula saya terjah satu persatu tatkala broadband telah dapat diakses. Antaranya blog Ust Hasrizal, blog MSO, blog Ust Dzulkhairi, Presiden GAMIS dengan pemikiran-pemikiran dan idea baru beliau. Saya tertarik beberapa perkara tentang tarbiah.

Dalam program tarbiah yang saya ikuti tersebut, antara persoalan dan elemen yang pernah dibincangkan adalah berkaitan dengan isu 'gerakan muslimat'. Dalam satu sesi brainstorming saya mencadangkan untuk menerapkan elemen 'feminisme' dalam satu slot yang melibatkan muslimat sahaja. Feminisme bukan dalam ertikata feminisme yang sebenar-benarnya tersebut, tetapi, 'real intention' saya ketika itu adalah untuk menerapkan semangat gerakan muslimat, agar mereka merasai istimewanya menjadi seorang muslimah dan juga tahu dimana posisi muslimat boleh berperanan sewajarnya dengan menigkatkan aspek kepimpinan dalam diri.

Mungkin kerana 'wording' 'feminisme' yang saya gunakan tatkala melontarkan idea tersebut menyebabkan saya mendapat respon mengejut dari beberapa orang muslimin dalam nada dan riak muka yang penuh kerisauan. Saya dah mengagak sebenarnya. Tetapi menarik situasi ini.

Ada yang mengingatkan supaya saya tidak menerapkan elemen feminisme ini kerana isme feminisme ini sendiri adalah antara ideologi yang ditentang. Ada yang mencadangkan agar elemen feminisme ini saya terapkan dalam elemen leadership muslimat yang juga menjadi fokus yang hendak disentuh pada slot tersebut. Tak kurang ada yang mengatakan, elemen feminisme ini perlu diterapkan sekadar sesuai dengan setakat mana muslimat boleh berperanan. Lalu kisah-kisah sirah bagaimana muslimat berperanan sebagai jururawat tatkala peperangan berlaku dizaman Rasulullah dahulu dikisahkan semula sebagai peringatan. Muslimat lebih banyak yang jadi jururawat berbanding yang mengangkat pedang berperang sesama muslimin. Hujah diteruskan lagi. Begitu risau dan nampak 'tak harap' muslimin-muslimin tersebut pada saya.

Saya tersenyum, mula menerangkan dan memberi penjelasan apa yang sebenarnya saya maksudkan.

Saya mengharapkan muslimat boleh pergi jauh dari sekadar yang ada muslimat dalam gerakan kini. Fokus saya adalah kepada muslimat muda, srikandi gerakan. Masalah kelesuan muslimat bukanlah masalah baru yang tiba-tiba muncul, tapi sebenarnya masalah yang telah lama berakar umbi dalam gerakan kita. Hinggakan beberapa sesi kepimpinan pernah meletakkan tunggak 'kebangkitan muslimat' sebagai salah satu fokus dalam ucapan dasar. Muslimat sentiasa istimewa, sentiasa unik dan berharga. Justeru, treatment rawatan yang diterima juga perlu sentiasa istimewa.


Menyelusuri Sejarah Gerakan Feminisme



Feminisme ialah himpunan teori sosial, gerakan politik, dan falsafah moral yang sebahagian besarnya didorong oleh atau berkenaan dengan pembebasan perempuan daripada penindasan oleh kaum lelaki. Dalam istilah yang mudah, feminisme merupakan kepercayaan kepada kesamaan sosial, politik, dan ekonomi antara kedua-dua jantina, serta kepada sebuah gerakan yang dikendalikan berdasarkan keyakinan bahawa jantina harus tidak merupakan faktor penentu yang membentuk identiti sosial atau hak-hak sosiopolitik dan ekonomi seseorang.

Sejarah gerakan feminisme ini bermula pada abad ke-18 akibat kemelut yang dialami dan dirasakan oleh golongan wanita. Perjuangan kaum wanita dalam memperoleh hak-haknya pun berlangsung cukup lama. Ini disebabkan beberapa diskriminasi yang kerap terjadi dalam kehidupan seharian mereka, diantaranya, sekatan terhadap kebebasan wanita dalam segala bidang, baik sosial, pendidikan, ekonomi, politik, budaya, sains, pekerjaan dan banyak hal lainnya. Bahkan laki-laki ketika itu menjadi sangat dominan dan superior dibandingkan wanita, sehingga mereka selalu diletakkan di bawah lelaki.

Wanita ketika itu bukan hanya tidak mendapat tempat dalam masyarakat, apatah lagi mereka dipergunakan segala macam cara, perbuatan-perbuatan tersebut tidak mencontohkan bahawa golongan ini dilayan dengan peri kemanusiaan. Dalam tamadun china, golongan wanita ini kebanyakannya ditangkap atas arahan maharaja untuk dijadikan gundik mereka. Dipisahkan dengan keluarga dan apatah lagi dipaksa menjadi gundik diraja. Dalam tamadun india pula golongan wanita yang ingin berkahwin pula yang dipaksa membayar mahar atau dowry kepada bakal suami mereka. Dan selepas mereka berkahwin, keluarga mertua boleh melakukan apa-apa saja terhadap si isteri. Tamadun arab pula merendahkan wanita serendahnya. Mereka adalah semata-mata simbol seks dan dianggap hina dalam masyarakat. Anak perempuan yang dilahirkan ditanam hidup-hidup ataupun disembunyikan seumur hidup bagi mengelakkan malu. Menjadi budaya mereka isteri ditukar-tukar sesuka hati dan ada pula yang mempunyai sehingga puluhan isteri. Kebajikan mereka tidak pernah diambil berat dan mereka dipergunakan sesuka hati.



Gerakan wanita yang dikenal dengan gerakan feminisme dipelopori oleh Lady Mary Wortley Montagu dan Marquis de Condorcet bertepatan dengan kelahiran era Pencerahan di Barat. Kata feminisme diciptakan pertama kali oleh aktivis sosialis utopis, Charles Fourier pada tahun 1837. Menjelang abad ke 19 feminisme lahir menjadi gerakan yang cukup mendapatkan perhatian di Eropah. Perempuan di negara-negara penjajah Eropah memperjuangkan apa yang mereka sebut sebagai universal sisterhood.

Pergerakan center Eropah ini berpindah ke Amerika dan berkembang pesat sejak penerbitan buku John Stuart Mill, the Subjection of Women (1869). Perjuangan mereka melahirkan feminisme gelombang pertama.


Gerakan Feminisme atau Gerakan Muslimat ?

Gerakan Muslimat UIAM

Apabila ditelusuri sejarah gerakan feminisme ini, sebab dan punca kewujudannya, gerakan seperti ini di zaman kini seolah-olah sudah tidak releven lagi untuk diperjuangkan. Kerana sebab, punca kewujudannya juga telah hilang seperti mana kaedah fiqh yg ada menyatakan Gugur sesuatu hukum, disebabkan gugurnya sebab kewujudan hukum tersebut ”

Dengan kedatangan Islam, wanita dibela habis-habisan, seolah-olah diangkat dari kubangan lumpur yang sangat dalam. Bukan hanya di kalangan wanita pada umumnya, lebih khusus lagi Islam juga melakukan pembelaan kepada mereka yang lemah dan tertindas, seperti anak-anak perempuan yatim, ataupun kanak-kanak.Wanita diberikan hak yang sepatutnya mereka miliki, sesuai dengan fitrah kejadian seorang wanita yang mana Al-Khaliq Allah Taala jua yang lebih mengetahui.

Wanita diangkat martabatnya sebagai golongan yang mulia. Status seorang ibu hinggakan menjadi kunci syurga buat anak-anaknya. Dalam hal-hal ketaqwaan dan keimanan, langsung tidak Allah bezakan antara lelaki dan wanita. Malah kini, wanita terus melangkah dengan lebih jauh, turut mengambil peluang dalam aspek kepimpinan dan pentadbiran negara. Dewasa ini, bukan sahaja wanita memiliki kuantiti yang ramai, malah turut mampu melahirkan individu-individu yang berkualiti.

Di sebalik pelbagai kemelut yang dihadapi wanita kini, seperti isu-isu penindasan hak, penderaan dalam rumahtangga, kes-kes rogol dan ragut yang selalu wanita menjadi mangsa, gerakan feminisme yang berteraskan kepada konsep perjuangan persamaan hak antara lelaki dan perempuan demi sebuah cogankata ‘keadilan sejagat’ bukanlah penyelesai terbaik untuk menyelesaikan isu-isu yang telah disebutkan sebentar tadi.

Isu persamaan antara lelaki dan wanita bukanlah isu sebenar yang perlu diperjuangkan. Ianyan hanyalah sekadar satu tempelan atau alasan golongan-golongan tertentu yang berselindung disebalik hakikat bahawa mereka tidak faham dan tidak mahu menggunakan Islam dan syariat Allah sebagai penyelesai kepada segala masalah. Justeru, wanita kini tidak memerlukan gerakan feminisme seperti ini, tetapi apa yang diperlukan adalah sebuah gerakan muslimat @ wanita yang mampu berperanan sepertimana yang Islam telah gariskan. Kita juga tidak perlu lagi kepada Gerakan Feminisme Islamik kerana jika kita letakkan dasar perjuangan feminisme sepertimana yang termaktub dalam definisi sebenar feminisme itu sendiri, mustahil ianya boleh jadi Islamik.

Tapi, andai kita ingin mendefinisikan semula gerakan feminisme ini dengan dasar dan corak bentuk seperti yang Islam gariskan, mengapa tidak kita berintima’ dengan gerakan yang seperti ini? Mungkin SIGMA ( Srikandi Gerakan Muslimat Muda ) sayap kiri GAMIS adalah jawapannya.
Bersama srikandi gerakan muslimat dari UTHM
semasa lawatan mereka ke UIAM berjumpa
Maaruf Club

Tuesday, March 3, 2009

Secebis Catatan kenangan Kem Al-Fateh GAMIS

Alhamdulillah,setinggi syukur saya rafa'kan kepada Ar-Rahim yang telah mengizinkan saya dan suami mengecap nikmat dan rahmat terus berada dalam jalan perjuangan yang amat manis, demi memikul amanah dan taklifan sebagai khalifah Allah di muka bumi fana ini. Kalau dulu saya sering mengimpikan dikurniakan teman seperjuangan sehidup semati yang lebih mencintai Allah dan Rasul dan jalan perjuangan ini dari diri saya sendiri, nah kini Allah telah kurniakannya kepada saya. Mungkin sebagai satu rahmat dan mungkin juga sebagai satu ujian. Sama ada saya pandai untuk bersyukur atau leka dengan nikmat ini, dan sama ada saya pandai untuk menggunakannya seoptimum mungkin atau hanya sekadar menjadi alasan untuk pasif dalam gerakan seperti mana yang mungkin telah berlaku pada pasangan baitul muslim yang lain (Nauzubillah..)
Dalam kesibukan saya terpaksa berkejar ke UIAM untuk menghadiri satu meeting penting dalam merencana acuan ahli gerakan yang ingin dilahirkan pada hari Sabtu yang lalu,suami terus bersabar menghantar saya dan seterusnya menjemput kembali untuk bersama-sama beliau ke Kem Al-Fateh anjuran GAMIS di Sg Congkak. Saya sentiasa dalam kekalutan, tetapi ada suami yang sentiasa menenangkan. Tanggungjawab taklifan pimpinan yang ditanggung, bukan kerja mudah yang boleh dilunas begitu sahaja tanpa sifat amanah. Tanggungjawab sebagai isteri juga tidak kurang hebatnya, kerana saya punya visi untuk menjadi isteri solehah yang luar biasa, yang benar-benar merealisasikan slogan menjadi sayap kiri pada perjuangan si suami. Kalau boleh, bukan sekadar sayap kiri, saya ingin menjadi sayap kanan, sayap depan dan belakang suami tersayang. Malah,saya juga ada tanggungjawab perjuangan, tanggungjawab kepada mak ayah dan keluarga,yang perlu dilaksanakan. Tanpa kekuatan dari Yang Maha Esa, saya akan tersungkur dalam jalan penuh tanggungjawab ini. Dengan kekuatanNya juga, saya akan terus melangkah. Juateru,pergantungan padaNya lah yang paling utama dan mutlak!

Di kem Al-Fateh,seribu satu perkara menarik dapat saya perolehi walaupun persinggahan sebentar cuma. Bagi komiti dan peserta kem Al-Fateh ini sendiri,mesti lebih menarik pengalamannya. Saya hanya boleh berkongsi apa yang dirasai. Antaranya seperti biasa,nikmat brainstorming bersama suami tercinta. Disinilah medan terbaik saya boleh berkongsi maklumat,berhujah,memberi idea,malah boleh juga nak menyanggah dan radd kembali hujah si suami. Tatkala masa yang lain,sudah tentu ketaatan kepada sang suami menjadi sempadan saya. Tetapi,memiliki suami yang open-minded,mudah diajak berbincang,pandai meraikan pandangan (walaupun sebenarnya dia tak setuju,tapi saya takkan terluka) memang amat menyenangkan saya yang memang "kaki hujah". Kalau suami saya jenis autokratik lagi kuku besi,sudah tentu makan hati berulam jantunglah saya ini.Perjalanan pergi dan balik kami ke Sg Congkak terasa sekejap kerana sesi brainstorming yang mengasyikkan. Sesi analisis video perang dapat dikendalikan oleh suami saya dengan baik. Saya semakin perasan yang saya kini semakin meminati sesi-sesi kuliah dan slot yang dikendalikan oleh Ustaz Syaari. Moga sayalah peminat nombor satu beliau:-)Terima kasih buat suami yang terlalu amat dihormati, dialah idola yang sangat dekat di hati ini.

Sekalung TAHNIAH dan penghargaan yang tidak terhingga buat komiti yang menjayakan kem Al-Fateh ini.Kem unik yang menarik. Kegigihan Ust Dzul,dapat saya lihat dari raut wajahnya dan juga segala jerih perihnya merintis pelaksanaan kem ini. Dan yang paling saya kagumi,kehebatan GERAKAN MUSLIMAT yang diketuai oleh Kak Rafidah "TERBAIK" n the geng,Kak Muna,Kak Zafirah,Aini dan lain-lain.Memang sangat mengujakan melihat Kak Rafidah mengendalikan peserta-peserta kem ini. Keberanian,kewibawaan,ketokohan,karismatik bukan lagi slogan retorik yang selalu dilaungkan untuk gerakan muslimat.Tetapi team muslimat GAMIS telah merealisasikannya,menjadi contoh terbaik untuk muslimat-muslimat lain pencinta agama dan perjuangan ini untuk teladani. Moga kita semua bertemu dan berpisah hanya keranaNYA dalam jalan perjuangan ini.

Sekadar sebuah perkongsian..