
Pagi ini saya hampir menitiskan airmata tatkala melihat salah seorang daripada 7 mangsa kes 7 mahasiswa yang ditangkap pada 08 Jun 2001 yang lalu atau lebih dikenali sebagai kes "ISA 7 "di Mahkamah Majistret Jenayah 4 di Kompleks Mahkamah Jalan Duta. Setelah disabitkan bersalah oleh mahkamah majistret tersebut, dan setelah hukuman dijatuhkan beliau mula menelefon saudara mara dan sahabat-sahabat memohon bantuan kewangan untuk membayar denda RM 3900 yang telah dikenakan kepada beliau dan rakan-rakan yang lain. Hanya seorang iaitu Saudara Helman Sanuddin yang disabitkan tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut. Kemudian beliau mengeluarkan semua kad ATM yang ada dalam dompet beliau, memberikannya kepada rakan beliau mohon dikeluarkan semua duit yang ada dalam kad-kad ATM tersebut. Melihatkan kepada gaya pemakaian, dengan t-shirt yang agak lusuh, jenis hset yang saya rasa antara yang termurah di pasaran, saya dapat mengagak yang beliau tidak berkemampuan untuk membayar RM 3900 sekaligus pada waktu tersebut. Hukuman yang dikenakan adalah denda RM 3900 atau penjara selama 3 bulan.
Hati saya tersentak dan tersentuh melihat situasi sebegini. Inilah antara secebis ujian yang perlu mereka hadapi. Harga sebuah perjuangan aktivis mahasiswa yang perlu dibayar oleh mereka.
Kes ISA 7 ini bukanlah kes baru tetapi kes yang sudah hampir 8 tahun dahulu berlaku yang pernah ditangguhkan perbicaraannya hampir 2 tahun. Kes ISA 7 ini melibatkan penangkapan terhadap 7 orang mahasiswa yang menghadiri Perhimpunan Aman Mansuhkan ISA di hadapan Masjid Negara. Ketujuh-tujuh mahasiswa itu terdiri daripada 2 orang penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) serta seorang penuntut daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Mereka telah ditangkap di parkarangan Masjid Negara pada 8 Jun 2001 yang saban tahun dijadikan tarikh ini sebagai Hari Hak Asasi Mahasiswa Malaysia.
Akibat daripada penangkapan dan pendakwaan ini, mereka telah digantung pengajian dari universiti masing-masing sehingga kini walaupun ada salah seorang daripada mereka yang dapat meneruskan pengajian. Ada di antara mereka yang telah pun berada di tahun akhir pengajian dan hanya perlu menghabiskan baki lagi satu semester sahaja pada ketika itu. Namun hak mereka telah dinafikan tanpa belas ehsan dari pihak universiti sendiri dengan alasan mereka telah melanggar AUKU. Bayangkan bagaimana perasaan mereka, ibu bapa dan keluarga mereka pada saat 'hukuman' gantung dari universiti yang telah dijatuhkan tersebut sebelum mereka disabitkan bersalah di mahkamah. Sebagai mahasiswa, saya yakin kita dapat menyelami perasaan bagaimana andainya kita tidak dapat meneruskan pengajian dalam bidang masing-masing di universiti, pada saat itu sudah tentu rasa seolah-olah telah gelap masa depan kita, hancur hati, putus asa dengan hidup mungkin.
Namun alhamdulillah, mendengar hujahan justifikasi yang disampaikan oleh para peguam pembela sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman, rata-rata dikalangan mereka kini sudah mempunyai pekerjaan sendiri dan telah berkeluarga. Walau berpendapatan sederhana dan ada yang sekadar bergaji bawah RM 1 ribu sebulan, namun mereka terus gagah meneruskan hidup masing-masing. Benarlah, rezeki ini di tangan Allah, bumi Allah ini luas. Yang penting ikhlaskan hati berjuang. Namun, keadilan dan hak mereka untuk meneruskan pengajian dalam tempoh hampir 6 tahun bukanlah satu perkara yang remeh yang boleh diketepikan dan dipandang enteng. Andai hak mereka untuk meneruskan pengajian tidak dinafikan, tidak mustahil mereka kini mempunyai prospek kerjaya yang lebih baik dari apa yang mereka miliki kini.
Seperti yang dihujahkan oleh peguam pembela, Amir Hamzah dan Latheefa Koya, kesalahan yang mereka lakukan bukanlah kesalahan jenayah yang melibatkan mangsa atau 'against personal body'. Mereka hanya menghadiri satu perhimpunan aman membantah ISA 8 tahun yang lalu. Pada ketika itu, mereka masih bergelar mahasiswa. Perhimpunan ini jugak tidak melibatkan sebarang insiden yang membahayakan atau mengancam keamanan masyarakat. Walau pihak pendakwa cuba berhujah dengan hujah 'public interest', namun pandangan saya secara peribaadi pihak peguam bela telah menghujah balas dengan baik. Malah Latheefa Koya membidas pendakwa raya yang acap kali menggunakan perkataan 'mereka telah melakukan jenayah' sedangkan mereka didakwa bawah seksyen 27 Akta Polis 1967 bukanlah Akta Kanun Keseksaan dan perkataan 'jenayah' bukanlah perkataan sesuai yang boleh digunakan.
Mahasiswi sedang mengumpul sumbangan duit

Ustaz Idris Ahmad, Ketua Penerangan PAS turut hadir, sedang berikhtiar mencukupkan duit untuk membayar hukuman denda
Kes ISA 7 ini menjadi antara chapter penting dalam episod perjuangan aktivisme mahasiswa.Kes ini tak mungkin dapat dilupakan, dapat menjadi pembakar semangat mahasiswa untuk terus berjuang, malah boleh juga menjadi sebaliknya. Isu tentang AUKU dan ISA ini merupakan isu yang releven untuk terus diperjuangkan. Disebalik isu-isu politik yang terlalu kuat mendominasi minda kita kini, moga mahasiswa tidak terus alpa dan leka tentang perjuangan bersifat jangka panjang yang amat penting, isu AUKU dan ISA.



3 comments:
Ana selalu mengingatkan diri ana.. Jika takutkan pada cabaran.. Hanya sukakan gerak kerja yang penuh kesenangan.. Tinggalkan medan dakwah dan aktivis ini..pilihlah medan berfoya-foya.. Bila melihat pengorbanan mereka..rupanya gerak kerja ana masih sekelumit cuma...
Tersentuh hati ana baca post nie..setakat dugaan yang ana hadapi dalam hidup rasanya x sehebat dugaan yg dihadapi mereka..
ana terharu melihat semua orang menyumbang untuk membantu..betapa indahnya ukhuwwah untuk membantu saudara seagama..
Tahniah...post ini berjaya mengalirkan air mata ana..huhu
begitu tingginya nilai ukhuwwah dan tadhiyah dlm perjuangan!
terharu ana membacanya!
apapun, kak nurul bab2 law ni mmg power! huhu
Post a Comment