Wednesday, March 25, 2009

Uzlah Mahabbah Qiyadah dan Al-Ghazaliku...


Alhamdulillah,pertemuan dalam Uzlah Mahabbah Qiyadah antara GAMIS-PKPIM-KARISMA dan TERAS malam semalam menjadi antara salah satu pengalaman berharga yang saya dan suami diberi peluang oleh Allah merasainya tatkala mungkin tidak Allah beri pada insan-insan lain. Dalam keghairahan kami membudayakan dalam diri masing-masing budaya intelektual, budaya ilmu, setiap peluang dalam talk-talk, forum intellectual, usrah-usrah yang 'high level' sedaya upaya kami tidak akan lepaskannya, akan kami gagahi untuk turut serta. Bilik kami kini juga selain dipenuhi buku-buku akademik saya, juga dipenuhi dengan buku-buku yang pelbagai jenis background, dari buku fikrah tarbiah hingga ke buku-buku siasah dan kenegaraan, buku-buku tokoh dan pemikiran hingga ke buku-buku sejarah dan ketamadunan. Ada yang telah habis dibaca, ada yang sedang dibaca dan tak kurang juga yang sedang menuggu giliran untuk dibaca. Sampai kadang-kadang saya bermonolog sendirian, ni bilik orang yang dah kawin ke bilik perpustakaan ni..? Saja kami letak di bilik tidur semua buku-buku tu, supaya mudah untuk dicapai dan ditelaah. Kerana kami sedar, ilmu masih terlalu dangkal, masih terlalu banyak masa yang perlu diperuntukkan untuk pembacaan demi melengkapkan diri kerana ilmu inilah asas kuat sebuah perjuangan. Sepertimana petikan YB Salahuddin dalam ucapan Muktamar Dewan Pemuda yang lepas,

" Kita tertunggu-tunggu pimpinan baru yang berupaya mencetuskan wawasan besar, berfikiran matang dan menjangkau jauh ke hadapan. Kegagalan kita melahirkan pemimpin-pemimpin (qiyadah-mufakkir) telah mengakibatkan kelesuan perjuangan kita "

Mana mungkin Qiyadah Mufakkir dapat dilahirkan tanpa ilmu,daya intektual yang tinggi yang cara paling mudahnya adalah dapat dijana melalui pembacaan.


Suamiku, Al-Ghazaliku..

Suami masa zaman kanak-kanak beliau..

Saya semalam hampir tidak pergi ke Usrah Inter Jemaah tersebut kerana merasakan himpitan akademik, pasca peperiksaan yang semakin hampir yang sangat menekan dan menghimpit. Hilang semangat sebentar kerana keserabutan berdepan dengan pelbagai assignment dan topik-topik yang perlu ditelaah menjelang peperiksaan. Badan pun dah jadi letih kerana teruk digunakan. Menjelang petang, rasa macam dah nak 'collapse' dah.

Namun, ternyata suami yang cukup memahami, bijak memotivasikan diri ini. Almaklumlah, suami saya kan kerja dengan Konsultan Motivasi skrg, hebat pakej-pakej motivasi yang telah saya lalui secara 'personal' (^_^) . Kerana dorongan beliau, saya menghadirkan diri. Bukan dalam hal ini sahaja, dalam banyak hal, beliaulah yang selalu menjadi pendorong, penyokong, 'tukang sorak' saya. Beliaulah sumber inspirasi saya. Malah, tak segan saya nak beri kredit pada suami saya disini, bahawa beliau jugaklah selama ini insan penting yang telah 'membentuk', mendidik dan mentarbiah saya sejak dari KISAS lagi. Hingga kini, beliau terus memberi galakan, tunjuk ajar, sokongan padu terhadap apa yang saya lakukan malah turut menghulurkan tangan membantu. Beliau juga telah 'membuka minda' saya, melakukan 'pencerahan' hingga kini saya rasa begitu ghairah untuk membaca demi memastikan ilmu yang hakiki menjadi teras perjuangan. Beliau juga sentiasa optimis, memberi saya peluang untuk terus bergerak aktif, tidak langsung mengongkong dan menyekat pergerakan saya hatta saya kini adalah isterinya yang sah. Saya terus boleh memegang jawatan, terus memberikan komitmen kepada segala meeting-meeting, program-program luar dan dalam kampus UIAM, walau kadang-kadang hingga jam 1,2 pagi baru mampu pulang ke rumah. Beliau cukup memahami. Kata-kata beliau yang cukup menyentuh hati saya, pernah beliau tuturkan bilamana saya bertanya ,
"xpe ke abang nurul gi meeting n program balik lewat2 ni?"
"xpe, abg suka tgk nurul berjuang macam ni, abg rasa seronok, moga dapat jugak sedikit pahala untuk abg..."

Dalam perjalanan balik dari Uzlah Mahabbah Qiayadah semalam, kami terus berbincang-bincang dalam kereta tentang topik yang dibentangkan Dr Farid Shahran, Timb Pres ABIM bagaimana buku "Kebangkitan Generasi Salahuddin dan Kembalinya Al-Aqsa ke Pangkuan Islam " membuktikan kajian bahawa tokoh besar seperti Salahuddin Al-Ayubi tersebut lahir hasil dari tarbiah dan pemikiran Imam Al-Ghazali yang jarak antara keduanya lebih kurang 100 thn tetapi dapat sampai pemikiran tersebut kepada Salahuddin melalui medium madrasah-madrasah pemikiran yang wujud dalam masa tersebut. Inilah yang dikatakan pembinaan generasi. Ternyata disebalik kehebatan Salahuddin Al-Ayubi tersebut wujud tokoh penting yang sangat hebat yang tak luput dek zaman namanya kerana kehebatan 'pemikiran' beliau dibelakang Salahuddin sendiri.


Ketika suami mengucapkan tahniah kepada saya atas 2 soalan yang telah saya tanyakan kepada Dr Farid yang bagi beliau amat baik, saya tersenyum lantas menjawab dengan sungguh-sungguh." Mungkin nurul boleh jadi orang hebat macam Salahuddin Ayub versi muslimat dan abang lah Al-Ghazali untuk nurul.."



Saja saya tidak mengulas panjang dan lanjut tentang pengisian usrah kerana telah banyak diulas oleh sahabat-sahabat PKPIM, blog GAMIS dan blog suami saya sendiri. Jadi saya mengambil 'approach' yang lain sedikit sesuai dengan status saya dan asal usul saya yang datang dari 'Venus". Hakikatnya, saya semakin sedar dan yakin betapa penting dan praktikalnya gagasan pembentukan Daulah Islamiyah berperingkat yang digagaskan Imam Hassan Al-Banna, bermula dengan Fardhul Muslim, Baitul Muslim, Mujtama' Muslim, Daulah Islamiyah dan seterusnya Khilafah Islamiyah. Saya merasai betapa pentingnya baitul muslim ini dalam perjuangan Islam. Moga Allah terus pelihara dan berkati Baitul Muslim yang kami bina ini..


1 comment:

mahasiswi uk said...

salam, salam ukhwah..semangat ana membaca kisah-kisah ukht, kat malaysia ,gamis-pkpim-karisma boleh berusrah dan berprogram bersama-sama? sejuk dengar. bila la 'persatuan2' kat UK Ireland ni nak berprogram sama jgak..huhu