Friday, March 20, 2009

Tarbiah Qiadah di Bumi Waqafan


Kesempatan hampir 3 jam lebih bersama dengan adik-adik pimpinan BADAR dan Lembaga Ketua Pelajar sesi 2009 Kolej Islam Sultan Alam Shah baru-baru ini bagaikan mimpi indah yang tak pernah diimpi hatta dimimpikan pun. Apatah lagi kami bersua muka dalam satu program rasmi anjuran pihak kolej sendiri dengan kehadiran ustazah-ustazah dan ustaz-ustaz yang begitu komited dengan perjalanan tarbiah di bumi waqafan tercinta. Program@Kem Kepimpinan BADAR dan LKP kali ini cukup menarik kerana akhirnya berjaya dibuat di luar dari kolej hasil usaha kuat Ketua Guru Penasihat BADAR sendiri, Ustazah Nik Hazifah yang dikasihi.

Saya dan suami, merasakan peluang 100 tahun sekali ni seperti ini, merupakan satu jemputan yang berstatus 'wajib' untuk kami penuhi. Walau dalam kekangan masa yang ada, apatah lagi kekalutan kami hendak pulang ke kampung di Kedah kerana suami terlibat dengan program konsultan beliau, tak terasa menjadi halangan langsung. Akhirnya Allah izinkan saya dan suami bersama adik-adik kepimpinan KISAS dalam satu slot lebih kurang 2 jam berbincang tentang aspek "Kepimipinan ".

Suami saya hampir tidak tidur semalaman kerana begitu teruja membuat segala persiapan, membuat slide dan tayangan multimedia khusus untuk adik-adik pimpinan. Saya makin mengenali 'sahabat baik,sehidup semati' saya ini. Dalam melakukan sesuatu kerja, beliau begitu ghairah untuk membuat yang terbaik dan mengejar kesempurnaan. Syabas buat suamiku, pembentangan yang dibuat untuk adik-adik KISAS ini saya rasakan antara yang terbaik pernah dilakukan.

'Litakhrij Al-Qadah Al-Muttaqin Wal Muthaqafin' (Melahirkan pemimpin yang bertaqwa dan berilmu) adalah matlamat penubuhan Kolej Islam Sultan Alam Shah yang dulunya dikenali dengan Kolej Islam Kelang dan awal penubuhannya ditubuhkan sebagai Kolej Islam Malaya. Di luar dewan besar KISAS, tertera kalimah ini dengan megahnya,menjadi tatapan semua penghuni bumi waqafan yang pernah bermukim disitu. Matlamat yang sangat jelas, untuk melahirkan 'pemimpin'. Bukan sekadar ingin lahirkan orang-orang yang cemerlang akademiknya, bukan sekadar ingin lahirkan insan-insan yang baik akhlak dan sahsiahnya, bukan juga yang ingin dilahirkan sekadar seorang 'pengurus' tetapi yang menjadi sasaran output produk kolej islam yang sebenarnya adalah "PEMIMPIN".

PEMIMPIN vs PENGURUS

Ramai dikalangan kita kini apabila diberi sesuatu jawatan atau taklifan kita mampu untuk melaksanakan amanah yang diberi tersebut dengan baik. Kita mampu untuk meneruskan tradisi apa yang telah dibuat oleh generasi terdahulu sebelumnya,kita mampu untuk memastikan semua program berjalan dengan baik mengikut sepertimana yang telah ditetapkan oleh taqwim, kita selalu rasa selesa apabila organisasi yang dipimpin berjalan begitu tenang tanpa sebarang masalah. Justeru,kita mendabik dada,berpuas hati kerana kita kononnya telah mampu menjadi pemimpin yang baik lagi hebat.Namun hakikatnya,secara tidak sedar,kita tak sedar diri yang sebenarnya kita hanya mampu menjadi 'pengurus' yang baik,bukan pemimpin yang baik.

Kesempatan bersama adik-adik KISAS yang dirindui,saya dan suami mengambil kesempatan ini berkongsi sedikit sebanyak pengalaman kami sepanjang berada dalam organisasi BADAR dan LKP di KISAS. Saya sendiri sejak dari tingkatan 5 telah diberikan amanah oleh pihak kolej untuk menjadi Timb Ketua Pelajar II (TKU II) ,menjadi pembantu kepada TKU I pada masa itu Kak Sarah Lutfi (Tingkatan 6 Atas) . Semasa menjadi TKU II, saya dapat rasakan yang saya hanya mampu menjadi seorang pengurus yang baik kepada LKP bukan lagi menjadi pemimpin kepada oraganisasi disiplin kolej tersebut. Saya hanya memastikan semua aktiviti-aktiviti dan tindakan yang dilakukan oleh zaman terdahulu diteruskan dengan baik. Memastikan semua pelajar meninggalkan asrama pada waktu yang telah ditetapkan dengan method membuat pengumuman dan mengambil nama pelajar yang lewat. Langsung tidak merubah apa-apa, tidak ada sebarang reformasi yang dilakukan walaupun pada hakikatnya pelajar-pelajar kolej pada ketika itu makin berubah, tidak mudah untuk menerima sesuatu peraturan tanpa rasional yang kukuh.


Setahun pengalaman dalam LKP mengajar saya yang saya perlu lebih kreatif dan berani berfikir dan membuat perubahan dalam memimpin LKP. Justeru,sekali lagi peluang datang kepada saya apabila ditaklifkan sekali lagi sebagai TKU semasa di Tingkatan 6. Saya mula belajar untuk menjadi pemimpin. Saya mulakan diawal tenure pemerintahan dengan bertegas dengan masa dan disiplin ketua-ketua pelajar sendiri. Saya mula merubah LKP dengan menyentuh 'human resource' dalam LKP itu sendiri. Seterusnya saya melangkah dengan merubah sedikit sistem 'Inspection' (check kebersihan dan keceriaan dorm2 di asrama) yang diamalkan zaman berzaman, saya ubah menjadi sedikit longgar dan KP perlu bagi tazkirah dalam dorm-dorm tersebut. Saya juga merubah sedikit 'structure' dalam organisasi LKP dengan menambah 'Unit Keceriaan' dalam LKP bersesuaian dengan masalah semasa pada ketika itu yang mana guru-guru dan pengetua sendiri amat mementingkan aspek keceriaan. Inilah secebis perkongsian beberapa perubahan yang mampu saya lakukan ketika itu dengan kedangkalan ilmu yang ada.

Inilah antara teori 3S (sistem, structure, source) yang saya sentuh sedikit untuk membuat perubahan dalam LKP semasa menjadi TKU di tingkatan 6. Apabila ingin membuat sesuatu perubahan yang memberikan impak yang lebih besar, kita perlu menyentuh atau mereview kembali 3S ini terlebih dahulu kerana ini menjadi antara asas dalam sesebuah organisasi.


Dalam sesi yang tak disangka-sangka ini jugak, saya dapat rasakan kembali 'ukhuwwah istimewa' bersama guru yang banyak mentarbiah saya ketika di KISAS dulu, Ummi Zaidah tersayang. Saya sangkakan saya mungkin telah kehilangan ukhuwwah ini, namun Alhamdulillah, bak kata ummi, "Allah merancang lebih baik dari kita".


Buat adik-adik pimpinanKISAS yang disayangi, teruskan perjuangan memimpin di bumi tarbiah, jangan cepat putus asa dan rasa lelah. Jadikan mardhatillah matlamat yang tertinggi, kalian akan mendapat 'mutiara-mutiara' yang sering diwar-warkan generasi terdahulu. Setiap saat yang berlalu adalah tarbiah dan pengalaman yang cukup berharga buat kalian sepanjang menjadi pemimpin di sana. Siiru Ala Barokatillah..

3 comments:

Ukhti Nazihah Idris said...

Subhanallah, kisah ukhti mengingatkan ana tentang KISAS yang dirindui, bumi tarbiyah yang berhasil menjadikan diriku mampu ke hadapan, belajar menjadi pemimpin yang terpimpin. Produk "KiSAS" memang dinanti2. teruskan berjihad untuk UMMAH

bio_addict said...

nurul..rindu tmpt bernama KISAS.

baihaqi hassan said...

kak nurul, terbaca cerita akak,memang betul2 ingatkan saya pd kisas..

ni ada permintaan,
blh tak kalau kak jelaskan lebih detail konsep 3S tu?

kalau malas nak citer, nyatakan laman web atau e-book yg blh sy donload dari tenet, sebab duk mesir ni susah nak cari bk2 melayu.. buku arab banyak laa..