Monday, August 3, 2009

Bersama Isteri Dr Burhanuddin al-Helmy


Inilah detik paling bermakna dalam hidup saya apabila berkesempatan mengabadikan kenangan bersama insan paling dekat dengan tokoh pejuang bangsa dan agama paling ulung pernah dilahirkan di Tanah Melayu, inilah isteri Almarhum Dr Burhanuddin al-Helmy yang sudi mengabadikan kenangan bersama kami selepas Seminar Pemikiran Dr Burhanuddin al-Helmy semalam.

Semasa menghadiri Seminar Pemikiran Dr. Burhanuddin Al-Helmy semalam, selain saya dan suami mendapat pendedahan yang 'segar' dan bermakna tentang perjuangan Dr Burhanuddin terutamanya dari aspek perjuangan nasionalisme beliau yang mungkin pernah disalah anggap oleh golongan agamawan, saya juga terkasima apabila dapat bertemu menatap wajah dan bersalam menyentuh tangan dengan isteri Dr. Burhanuddin Al-Helmy yang cukup dikagumi ini. Inilah wanita disebalik kehebatan seorang lelaki.

Apabila terpandang Puan Suri, isteri kepada Dr Burhanuddin, saya terbayangkan bagaimana wanita yang kini sedang meniti usia emas ini telah bersama-sama dengan perjuangan suami beliau suatu ketika dahulu. Sudah pasti ianya bukanlah sesuatu yang semudah yang telah kita rakamkan secara faktanya dalam lipatan sejarah. Suadah pasti ianya melibatkan emosi dan pelbagai tragedi. Bagaimana wanita ini berhadapan dengan pelbagai golongan yang menentang, mengecam dan mengutuk suami beliau, bagaimana beliau dengan tabahnya menjalani kehidupan ketika suaminya di tahan di bawah akta zalim ISA. Semuanya terbayang-bayang di fikiran saya. Mampukah saya sekuat dan setabah beliau andai ditaqdirkan diuji sebegitu rupa? Saya terkasima.

Moga suamiku mampu menjadi klon Dr Burhanuddin al-Helmy mudah-mudahan. Moga saya mampu menjadi isteri cerdik yang solehah.

1 comment: