Monday, February 16, 2009

MUSAWAH : SATU LAGI SIRI UJIAN KEINTELEKTUALAN PENCINTA ISLAM


Ma’ruf Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berpandangan program ‘Musawah’ bertemakan Global Movement for Equality and Justice in the Muslim Family anjuran Sisters in Islam (SIS), tidak akan menyelesaikan masalah akar umbi (real problem) kepada ketidakadilan yang menimpa kaum wanita dan keluarga Muslim di Malaysia. Pertikaian terbuka kepada beberapa hukum syariah dan interpretasi hukum-hukum Al-Quran berkaitan wanita dan kekeluargaan yang telah dipersetujui secara sepakat ulamak muktabar tanpa melalui jalan dialog ilmiyyah dengan sarjana-sarjana Islam tidak akan menyelesaikan segala doktrin hak asasi yang mereka perjuangkan.

Adalah satu tindakan terpuji jika kerajaan Malaysia bersedia memperbanyak wacana-wacana pemahaman Islam di Malaysia, namun apabila program seperti Musawah membabitkan kira-kira 200 aktivis liberalis tanpa seorang pun ulama Islam muktabar di Malaysia atau luar negara dijemput menjadi panel atau sekurang-kurangnya sebagai pemerhati adalah satu tindakan yang akan mengundang prejudis menebal di kalangan pemikir-pemikir dan aktivis Islam terhadap motif kerajaan merestui program seperti ini.

Pepatah Arab menyebut bahawa manusia itu sentiasa bermusuh dengan perkara yang mereka jahilkan. Tokoh-tokoh pemikir Islam yang berani berdebat secara terbuka seperti Ahmad Deedat, Malcolm X, Shah Kirit Govindji di Malaysia dan ramai lagi seharusnya mengajar SIS untuk berani bersemuka dengan apa jua jaluran pemikiran yang wujud dari kalangan peserta andaikata mereka meyakini kebenaran di pihak mereka dalam isu yang bersifat‘public interest’ .

Sebagai mahasiswi Islam, saya berpandangan, banyak ketidakadilan, perceraian dan diskriminasi yang berlaku ke atas golongan wanita adalah disebabkan jauhnya manusia dari pedoman dan bimbingan Islam itu sendiri, bukannya kesalahan konsep dan hukum yang telah diberikan Tuhan. Bukan juga kesalahan interpretasi dari hukum-hukum dari Al-Quran mahupun implementasi undang-undang keluarga Islam yang diguna pakai di Malaysia kini. Banyak kajian dan temuramah terhadap mangsa yang dilakukan telah membuktikan hakikat ini. Fakta sejarah Arab sendiri membuktikan layanan sistem Jahiliyah lebih dahsyat terhadap kaum Hawa. Mereka tidak ubah seperti hamba yang mesti sujud pada kaum lelaki. Namun Islam datang memartabatkan wanita, mentamadunkan bangsa Arab yang bengis dan kasar itu. Lihatlah sahaja hikmah bertudung sebagai penampan Tuhan untuk memelihara maruah wanita daripada pandangan mata durjana manusia yang semakin ramai gilakan seks pada saat ini.

Kepada para pimpinan parti politik dan NGO Islam, program seperti Musawah hanyalah satu siri dari siri-siri ujian keintelektualan para pencinta Islam. Sekiranya pendekatan konfrontasi menjadi pilihan utama berbanding kesediaan menganjurkan sendiri dialog-dialog mengenai Syariah Islam, selagi itulah kelompok seperti SIS akan terus melihat kita sebagai entiti yang mesti dimusuhi dan tidak boleh didekati atau diajak berbincang. Para pencinta Islam mestilah pro-aktif, bukannya sekadar responsif mahupun defensif untuk memulakan sebarang perdebatan konstruktif, mengambil ruh al-Quran supaya dapat diresolusikan suatu pandangan yang “ahsan”, yang dapat dilihat dan diadili oleh masyarakat secara intelek. Fakta kenaikan kadar jenayah dan kekerasan terhadap wanita, keampuhan polisi-polisi kerajaan sedia ada dalam melindungi wanita dan kesejahteraan rumahtangga boleh menjadi titik yang mempertemukan antara kedua-dua belah pihak ini. Kita masih ingat suatu debat Gerakan Tajdid yang pernah diadakan membabitkan Astora Jabat dan Dr Asri Zainal Abidin. Sudah terhentikan semangat dialog dan debat seperti itu ?

Kelab Ma’ruf UIAM menyeru seluruh mahasiswa dan mahasiswa Islam terutamanya golongan mahasiswi untuk menjadi barisan hadapan pejuang agama yang berwibawa dalam sudut penentangan ghazwul fikri. Persatuan-persatuan mahasiswa Islam juga perlu bersedia menggalas tugas selaku front liner dalam kampus dengan memperbanyak dialog-dialog bersifat inter-faith dan mengharmonikan pertembungan dua jaluran pemikiran yang berbeza terhadap warga kampus. Kita perlulah mencontohi kewujudan Institute for the Study of Islamic Thought and Civilization (INSISTS) di Jakarta yang sangat digeruni oleh golongan Islam Liberal yang makin bermaharajela di Indonesia.

Peranan mahasiswi Islam dalam berdepan dengan situsi-situasi seperti ini amat perlu diperkasakan. Masyarakat amat menagih golongan mahasiswi yang benar-benar menjiwai setiap hukum-hakam yang telah dikenakan ke atas mereka, mengetahui dalil-dalil aqli dan naqli dari setiap hukum tersebut dan seterusnya mampu berhujah secara intelek dan berhikmah sepentas dengan golongan-golongan seperti ini. Jika kita sendiri tidak mampu untuk menghasilkan tindakan defensif dan ofensif terhadap isu-isu seperti ini, siapa lagi yang boleh kita harapkan untuk manggalas tugas dan amanah dakwah ini.

Aktivis-aktivis mahasiswa Islam juga tidak boleh alpa dari membaca tulisan-tulisan cendikiawan penting yang telah memberikan penjelasan bernas dalam menangani konflik-konflik pertembungan pemikiran seperti Ahmad Deedat, Sheikh Yusuf Qardhawi, Tariq Ramadhan, Syed Mohamad Khatami, John Esposito, John Voll dan lain-lain. Segala konflik pemikiran janganlah diselesaikan dengan hanya mengambil perhitungan politik puak dan perkauman atau sentiman untung rugi pilihan raya semata-mata. Terokailah cara yang lebih bijak dan bertanggungjawab dengan menjuarai gelanggang-gelanggang ilmu dan pentas-pentas diskusi intelektual.

Nurul Syuhada Haji Shuib,
Timbalan Presiden 2,
Kelab Ma’ruf UIAM
(penulis juga adalah mahasiswi Kuliyah Undang-undang Ahmad Ibrahim)

No comments: