Thursday, March 26, 2015

Musafir, Jalan Mendekatkan Diri Dengan Tuhan

Musafir, Jalan Mendekatkan Diri Dengan Tuhan

Saya berkahwin ketika berumur 22 tahun. Sebelum berkahwin, saya tak pernah naik kapal terbang pun sepanjang 22 tahun itu. Suami sayalah menjadi orang pertama yang membawa saya menaiki kapal terbang. 

Kami berkahwin pada tahun 2008. Tahun 2011 Fatihah lahir. Sepanjang dua tahun perkahwinan, kami tak berpeluang ke mana-mana negara pun. Hinggalah penghujung tahun 2011, kami bermusafir ke negara pertama iaitu Ireland bersama Fatihah yang ketika itu berusia 7 bulan.

Selepas itu bermulalah pengembaraan kami sekeluarga. Bermusafir ke 8 buah negara. Ireland, Turki, United Kingdom, Mesir, Jordan, Indonesia, Acheh, Singapura. Semuanya bersama Fatihah Wajihah. Dan kini, ketika Fatih berumur 5 bulan, kami berpeluang bermusafir ke Jepun pula. 

Kesusahan dan kesulitan bila bermusafir bersama anak-anak kecil menyebabkan pergantungan kita kepada Allah semakin tinggi. Zikir dan doa kita berpanjangan agar segala urusan dimudahkan Tuhan. Pelbagai persediaan perlu dilakukan 'extra' dari biasa, teknikal perkakas pelbagai, stroller, carrier, bekas air panas, beg-beg dan lain-lain. Rencam dan macam-macam. Emosi anak pula tak boleh diduga. Memilihlah untuk anda yang mempengaruhi emosi anak, bukan anak yang pengaruhi emosi anda. Aspek sunnatullah perlu buat persediaan ilmu dan teknikal, syariatullahnya solat hajat, zikir dan doa. Kemudian tawakkal dan redah.

Musafir sekeluarga amat jauh beza dengan musafir 'bujang' dan 'backpacker'. Tapi falsafahnya sama, musafir ini jika kita melihat dengan mata hati, ibrah sentiasa ada di mana-mana.

Saya bersyukur, walaupun saya kahwin awal, tak sempat nak bermusafir bersama kawan-kawan, tapi Allah hadirkan suami, mahram sah untuk bermusafir. Beliau pula memang jenis 'familyman' yang tak sampai hati nak tinggalkan isteri dan anak lama-lama. Walaupun beliau ada pilihan berbuat demikian. Kami bersyukur, walau dengan anak-anak, Allah izinkan kami terus bermusafir. Malah masa mereka belum ada, tiada rezeki musafir. Inilah yang orang katakan 'menumpang rezeki anak'.

Alhamdulillah, syukur. Musafir itu nilainya tinggi. Untuk yang mahu mencari kebesaran Allah dalam setiap inci ciptaanNya, baik alam mahupun manusia. Makin jauh perjalanan, makin luas pemandangan dan pandangan. Moga makin dekat dengan Tuhan.