Friday, January 15, 2010

.............................

Usai solat Maghrib berjemaah bersama suami sebentar tadi, saya memohon pada suami untuk memberikan saya sedikit tazkirah. Kalau dulu, saya sekadar mampu membaca dalam novel-novel Islamik tentang adegan begini, atau dulu sekadar memasang impian dan angan-angan, namun Alhamdulillah, syukur yang teramat sangat Allah beri saya peluang secara realiti merasainya sejak berkahwin. Dulu saya pesimis, seolah-olah adegan begini hanya sekadar dalam penulisan novel mahupun angan-angan muslimah yang mendapat tarbiah, betul ke ada sesi-sesi tazkirah macam ni antara suami isteri? Macam pelik je. Tapi tak pelik sebenarnya, dan memang boleh sangat jika berkehendak mewujudkan budaya macam ni.

Kebetulan malam ni Alhamdulillah kami berdua ada kelapangan masa, tak perlu nak bekejar-kejar ke program kuliah mahupun ceramah ataupun meeting. Jadi masa bersama yang ada ni terlalu bermakna. Jiwa saya terasa agak kosong minggu ni, macam-macam cuba saya lakukan tetapi selalunya berakhir dengan kekecewaan. Sebagai pelajar final year kuliah undang-undang syariah di UIAM, bebanan kerja tugasan semakin bertambah. Saya makin berserabut dengan assignment, case review, drafting, presentation, investigation paper CPC, dan bermacam-macam lagi. Apatah lagi di musim PRK begini. Terasa diri tunggang langgang. Peruntukan masa untuk diri, akademik, perjuangan, suami bercelaru tak tersusun. Ditambah dengan kehilangan planner kesayangan saya pada hari Khamis yang lalu, saya makin tak keruan.

Masa yang ada bersama suami tadi antara Maghrib dan Isyak saya cuba guna sepenuhnya untuk kumpulkan kembali kekuatan. Apatah lagi aura ketenangan solat berjemaah, berzikir dan berdoa bersama tadi cukup berbekas di hati, Alhamdulillah.

Saya mintak pada suami bagi tazkirah tentang ruhiyyah dan hati pada mulanya. Beliau agak keberatan mulanya, susah nak cakap pasal ruhiyyah ni katanya. Memang benar. Sangat susah. Ruhiyyah ni adalah rahsia kita dengan Allah. Rahsia hati dan detik naluri. Terzahir dengan ibadah kepada Allah. Kemudian saya mohon beliau ceritakan kepada saya tentang kisah Nabi-nabi. Saya sangat suka dengan kisah dan cerita. Terutamanya kisah Nabi-nabi. Manusia-manusia pilihan Allah. Suami menceritakan tentang Nabi Sulaiman. Tapi entah bagaimana akhirnya beliau ter'masuk' cerita tentang konspirasi Yahudi Illuminati dan pelbagai rancangan mereka. Saya hanya tersenyum dan mendengar, saya faham sangat suami saya ni dan 'kegilaan' research beliau kini.

Hakikatnya, kita perlukan Allah sebagai sumber kekuatan kita yang mutlak. Allah segala-galanya. Walau isu tentang kalimah Allah kini hangat terus diperdebatkan dengan pelbagai insiden serangan gereja dan sebagainya, cukuplah buat masa ini kita muhasabah sama ada Allah yang kita pertahankan itu wujud atau tidak dalam diri dan hati kita kini? Kita makin dekat atau makin jauh dengan Allah? Muhasabah buat diri saya yang sering alpa dan leka.

Alhamdulillah, rasa makin tenang setelah usai solat Isya' berjemaah sebentar tadi. Rasa lebih bersemangat meneruskan kehidupan sementara ini.

Ya Allah, mudahkan pengaturan dan pengurusan segala urusan dunia kami, jadikan semuanya saham buat kami di akhirat nanti, bekalan untuk bertemu MU ya Allah..

Thursday, January 14, 2010

Pesta Demokrasi Awal 2010

7 Januari 2010

Parlimen Mahasiswa yang selama ini telah lama wujud di negara-negara maju seperti United Kingdom nampaknya mempunyai sinar untuk diwujudkan di Malaysia, namun saya masih menunggu kesungguhan untuk memberikan 'pressure' dari mahasiswa IPTA lain pula untuk turut agresif mengemukakan cadangan kepada pentadbiran universiti selepas MPP USM merintis usaha ini.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah mencadangkan Parlimen Mahasiswa diwujudkan di seluruh IPTA. Syaratnya, modelnya Parlimen Mahasiswa mestilah menunjukkan keunikannya yang tersendiri bagi menonjolkan kematangan dan identiti mahasiswa di setiap IPT, manakala format serta garis panduannya juga terpulang kepada pihak universiti.

"Ini sebagai latihan kepada mahasiswa dalam memperkasakan kokurikulum iaitu kemahiran insaniah dan teras kokurikulum khususnya dalam pengucapan awam dan kepimpinan," katanya selepas majlis penyerahan kertas cadangan kerangka penubuhan Parlimen Mahasiswa oleh Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM.

11 Januari 2010

Januari 2010 bagaikan pesta demokrasi berlaku di Malaysia, tapi bukannya di pentas politik nasional, saya maksudkan di 'sekolah' dan di kampus.

Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail 1 melakar sejarah luarbiasa yang sewajarnya diteladani oleh seluruh sekolah-sekolah di Malaysia, apatah lagi sekolah menengah. Suatu pukulan memalukan apabila sebuah sekolah rendah mengadakan 'pilihanraya umum' memilih ketua pelajar mereka.

Tidak dapat saya bayangkan kematangan politik baru Malaysia dan suasana 'oksigen' demokrasi yang lebih segar kelak jika gelombang SKTTDI1 ini merebak ke semua sekolah-sekolah rendah di seluruh Malaysia seperti merebaknya H1N1 dan virus 'hedonisme' pada saat ini. Bayangkan apabila anak-anak dan adik-adik kecil kita berusia 12 tahun telah diajar soal kepentingan memilih pemimpin terbaik, kualiti mengatasi parti, dan persaingan kempen yang sihat untuk berkhidmat kepada 'rakyat' di sekolah, ini adalah satu subjek terpenting dalam ruh sistem demokrasi yang sebenar yang selari dengan Islam.

Trbute saya berikan kepada guru besar SKTTD1 dan SPR Wilayah Persekutuan yang telah memberikan kerjasama melakukan ekperimen pertama ini. Saya mengharapkan giliran sekolah menengah pula melakukannya, dan saya cabar adik-adik saya di Kolej Islam Sultan Alam Shah merintis melakukannya :)

15 Januari 2010
Selepas kira-kira tiga dekad diharamkan, akhirnya Sudut Pidato atau Speakers' Corner di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan diwujudkan semula dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini menjadi perintis dalam memperkenalkan sudut itu, semalam. Sudut Pidato UKM itu terletak di kawasan terbuka di Teres Eko Niaga bersebelahan Perpustakaan Tun Sri Lanang yang menjadi tempat pelajar universiti berkenaan berehat dan menjamu selera.


21 Januari 2010
Menanti keputusan mampukah Pro-Mahasiswa UIAM dan UM mengekalkan kemenangan di era 'Satu Malaysia' pemerintahan PM Najib Razak ? Mampukah Pro Mahasiswa UKM, UPM, USM, UTM kembali menggugat ? Semoga Allah menguatkan jentera gerakan mahasiswa Islam di seluruh tanah air.


Sumber utama ulasan 3 isu di atas : Berita Harian

Monday, January 11, 2010

Takziah Buat Tun Fatimah, Negarawan Malaysia


Baru seketika saya berkesempatan bertemu dua mata dengan Tun Tan Sri Dr. Fatimah Hashim, namun rupanya pertemuan kami sangat singkat dan beliau telahpun pulang ke rahmatullah semalam. Walaupun kini beliau sudah tiada di dunia ini, namun auranya sebagai wanita pertama Malaysia dilantik sebagai Menteri Kabinet Malaysia terus kekal membara dalam diri saya.

Semoga Allah mencucuri ruh beliau. Al-Fatihah.