Saturday, October 31, 2009

Nur Fatimah Pulang Ke Rahmatullah di Pangkuan Ibunya


NUR FATIMAH MILIK ALLAH

“ Tidak ada satu musibah pun yang menimpa di muka bumi dan tidak pula pada dirimu melainkan telah tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sungguh, yang demikian itu sangat mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) agar kamu tidak berdukacita terhadap apa yang luput darimu dan supaya kamu tidak terlalu bergembira terhadap apa yang Dia berikan kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.”

Surah Al-Hadid : 22-23

“ Tidak ada satu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah, dan barangsiapa yang beriman kepada Allah, nescaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.”

Surah at-Taghaabun : 11

“ Tidak ada seorang pun yang ditimpa musibah, lalu ia mengucapkan : Inna lillahi wa inna ilaihi roji’un, Allahumma’jurnii fi mushibatii wa akhliflii khoirom-minha ( Sesungguhnya kita adalah milik Allah dan hanya kepada-Nya kita akan kembali. Ya Allah, berilah pahala atas musibah yang menimpaku ini dan gantilah aku dengan yang lebih baik darinya) kecuali Allah akan memberi pahala atas musibah yang menimpanya dan menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik darinya.”

Muslim 2/233

“ Allah berfirman : “Tidak ada balasan bagi hamba-Ku yang beriman jika Aku mengambil (mewafatkan) orang yang dicintainya di antara penduduk dunia ini, lalu dia mengharap pahala atas musibah ini kecuali syurga”

Al-Bukhari dalam al-Fath : 11/242

“ Rasulullah SAW berkata kepada seseorang yang ditinggal mati anak lelakinya, “ Apa kamu tidak suka bila kamu masuk salah satu pintu syurga sedang engkau mendapati anakmu itu sudah menantimu?”

Ahmad dan an-Nasa’i. Sanad sesuai syarat as-shahih serta ditashihkan oleh al-Hakim dan Ibnu Hibban. Lihat Fathul-Bari : 11/243


Ayat-ayat Al-Qur’an dan Hadith inilah yang sentiasa membantu kami tenang sepanjang tempoh Nur Fatimah di ICU dan melihat sendiri puteri kami berhenti bernafas.. Ibu ayah mana yang tidak sayangkan anaknya dan sedih melihat penderitaan kesakitan anaknya, namun janji-janji Allah yang sentiasa mendamaikan dan membantu kami tabah dan redha.. Syukur pada Allah yang memberikan kami kekuatan, ketabahan dan redha dengan segala yang berlaku..Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang mendoakan kami..


PENGHARGAAN BUAT KELUARGA DAN SAHABAT

Kesempatan ini, saya dan suami ingin mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada kaum keluarga, mak, mama, baba, abang2, kakak2, adik2, sanak saudara dekat dan jauh serta sahabat-sahabat dekat dan jauh atas segala bentuk sokongan, doa dan ziarah dari awal Nur Fatimah dimasukkan ke wad kanak-kanak, ICU dan sepanjang jenazahnya di Masjid UPM dan dikebumikan. Kami amat menghargai segala susah payah mak, mama, baba dan adik-beradik yang bersama-sama menjaga Nur Fatimah, mengalunkan bacaan Al-Quran untuknya, berulang dari Johor dan Pulau Pinang yang bukannya dekat untuk memberi sokongan, menjaga dan mendoakan Nur Fatimah, juga sanak saudara yang tidak putus-putus berziarah, membawa makanan kepada kami, membantu urusan jenazah dan sentiasa memberikan sokongan yang tidak mampu kami balasnya melainkan Allah sebaik2 Pemberi Balasan..

Kami juga sangat terharu dan berterima kasih kepada sahabat-sahabat yang sentiasa mendoakan, datang berziarah, menelefon, SMS, memberi sokongan material dan emosi sehinggalah ke hari ini. Sukar untuk kami menyebutkan satu persatu nama sahabat kerana bimbang ada yang tertinggal, cukuplah nama sahabat2 semua berada dalam hati kami dan Allah akan membalasnya.

Begitu juga ucapan terima kasih buat pengurusan Hospital Putrajaya, Doktor-Doktor Pakar di Hospital Putrajaya, Hospital Kuala Lumpur, PPUM dan nurse yang sentiasa sabar dan berdedikasi dalam kerjaya dan membantu sepanjang merawat anak kami.


HARI-HARI YANG MENDEBARKAN

Sukar untuk saya mengingat kembali detik-detik penuh cemas dan mendebarkan, kerana pasti saya akan terbayang-bayangkan nya. Setiap kali sahabat dan sanak saudara bertanya tentang punca dan kejadian semasa berlaku dan pertanyaan-pertanya an mengapa, apa dan bagaimana, saya berusaha untuk menjawabnya sebaik mungkin walaupun di hati ini berasa tidak senang dan letih untuk menjawabnya lantaran berulangkali dan menyebabkan teringat perkara-perkara yang menyedihkan. Namun saya faham keprihatinan family dan sahabat-sahabat semua kepada kami.

Bermula dengan menghantar Nur Fatimah ke Nursery dengan gelak tawa yang cukup menghiburkan, mendapat panggilan dari pengasuh bahawa setelah lama menangis, tiba-tiba Nur Fatimah lemah, saya terus ke Nursery dengan linangan air mata dan melihat Nur Fatimah berda dalam dakapan owner Nursery yang sampai dahulu dari saya. Menyangka Nur Fatimah inginkan ibunya, saya terus mendakap dan ingin menyusukannya, namun takut di hati apabila Nur Fatimah tidak membuka matanya dan kejang seperti sawan dan terus menghantarnya ke Hospital An-Nur tempat kelahirannya dan dipindahkan ke wad kanak-kanak di Hospital Putrajaya lebih kurang pukul 3 petang Khamis 9 Oktober 2009. Sepanjang perjalanan ke Hospital An-Nur, saya tidak putus-putus membacakan Fatihah, Ayat Kursi dan ‘Bismillahillazi La Yadurru...’ kepadanya. Beberapa kali Nur Fatimah kekejangan di kereta dan juga di wad kanak-kanak walaupun telah dimasukkan ubat anti sawan. Setelah otak discan dan diambil air tulang belakangnya di wad kanak-kanak, dalam pukul 1pagi Jumaat, saya melihat wajah Nur Fatimah dan ketika itu tiba-tiba matanya terbuka dan kemudian tertutup, seolah-olah malaikat telah menjemputnya pergi, kemudian alat pengukur kandungan oksigen menunjukkan penurunan mendadak oksigen dalam badan namun kemudiannya normal.

Setelah nurse pergi, saya melihat kembali wajah Nur Fatimah, namun terkejut melihat tiada tanda-tanda pernafasan di badannya dan melihat mulutnya seperti menyedut udara. Saya panggil doktor dan doktor sudah ‘standby’ dengan ‘alat renjat’, namun tidak digunakan kerana setelah mengepam bantuan pernafasan, jantung Nur Fatimah kembali berdenyut. Setelah dimasukkan ke ICU, di luar ICU, suami mengangkat tangan berdoa dan saya mengaminkan dengan sedu sedan menangis.. “ Ya Allah, berikanlah yang terbaik untuk Nur Fatimah dunia dan akhiratnya, sekiranya hidup itu lebih baik baginya, Engkau sembuhkanlah Ya Allah, sekiranya kematian itu lebih baik baginya, maka Engkau bantulah kami untuk sabar dan redha” antara doa yang diingati.

“ Kita doa yang terbaik untuknya ya,” dengan mata merah, abang mengingatkan saya.. Benar, kekuatan abang menyebabkan saya berusaha untuk tabah dan redha..

14 HARI DI ICU

Sepanjang tempoh ini, perkara paling menakutkan kami adalah apabila berjumpa dengan doktor. Sejak dari mula lagi doktor telah mengingatkan dan memberikan segala sebab musabbab realiti agar kami bersedia.

” Nur Fatimah mengalami kecederaan otak yang sangat teruk. Dari scan kedua, memang nampak lebih teruk lagi. Mengikut pengalaman kami, dari dua kes terdahulu, memang berakhir dengan kematian. Saya minta maaf sangat, tetapi kami berusaha yang terbaik, memang kita perlu berusaha dan bersangka baik, dengan izin Allah ada miracle, tetapi kita perlu tahu juga realitinya mengikut ilmu perubatan.”

Bertanya kepada Doktor Arini, pakar kanak-kanak Hospital Putrajaya, pelbagai perkara, simptom, punca dan sebagainya, namun hakikatnya, benar semuanya adalah musabbab yang Allah berikan. ” Biasanya terjadi di nursery, mak ayah jangan salahkan diri, saya faham mak ayah risau, lagipun anak pertama, baby nangis banyak takkan terjadi kecederaan sebegini, biasanya terjadi dengan sebab goncangan yang kuat biasanya dengan sebab kemarahan, atau hayunan buaian kuat menyebabkan gegaran di kepala.” Air mata tidak boleh ditahan-tahan lagi untuk keluar kerana memikirkan takut-takut kesalahan saya menyebabkan Nur Fatimah begitu. Berulangkali Doktor menjelaskan kepada kami kerana berulangkali juga kami bertanya sama ada boleh tak terjadi sekiranya kerana berjalan jauh semasa raya, takut nur fatimah penat atau kerana banyak sangat nangis sehingga kata-kata orang menyebabkan kurang oksigen sampai ke kepala.

14 hari di ICU juga tidak putus-putus kami membaca Fatihah, Ayat Kursi dan Yasiin kepada Nur Fatimah dengan niat supaya menjadi penawar, syifa’ kepadanya, sehingga suami sempat bergurau, ”nanti kalau Nur Fatimah sihat, mesti dia dah hafal surah Yasin.” 14 hari di ICU juga, pelbagai masjid menunaikan solat hajat, sanak saudara dan sahabat pula tidak putus-putus berkunjung, terima kasih diucapkan. Setiap kali bertemu Nur Fatimah, hati rasa bersemangat kembali walaupun masih tidur. Ucapan kami tidak putus-putus pada telinga Nur Fatimah, ” Mama Baba sayang sangat pada Nur Fatimah, Mama Baba minta maaf segala salah silap mama baba pada Nur Fatimah ye, Mama Baba doakan yang terbaik untuk Nur Fatimah, Nur Fatimah bukalah mata, baliklah dengan mama baba kat rumah”Juga berusaha pelbagai perkara, selain ubat doktor, ubat-ubat lain yang dibenarkan juga beserta air zam-zam serta air penawar juga diberikan, berusaha sedaya mungkin kerana kita tidak tahu taqdir yang Allah tentukan padanya, harapan kami tentulah puteri Nur Fatimah sihat dan sembuh...

12 Oktober 2009 merupakan genap setahun pernikahan kami, namun Allah menguji kami dengan ujian berat ini, Nur Fatimah masih ’tidur’ di ICU. SMS baba pada kami : ”Abg dan Djah! Setahun berlalu abg dan Djah bergelar suami isteri. Sudah 3bulan menjadi ayah dan ibu kepada puteri Nur Fatimah. Ulangtahun abang dan Djah dikalong ujian dari Allah, putri cucu ba dan ma , ’tidur’ tenang. Luruh segala kudrat, kering air mata, sebak melanda jiwa, cucu ba dalam ujian Ilahi. Yang terdaya cumalah munajat yang sarat dengan hajat, agar Nur segera sihat. Abg n Djah, la tahzan! Ba, Ma dan adik-adik ucapkan ’tahniah’ sempena setahun berijab qabul. Kami terlalu sayang pada abang n kak Khadijah, dan sekuntum melur cantik, Nur Fatimah! Ba sebak dalam tangisan!”


3 Zulkaedah 1430H, 22 Oktober 2009, ALLAH LEBIH SAYANGKAN NUR FATIMAH

Pukul 4.30pagi Khamis, nurse di ICU call minta datang ke ICU, heartbit semakin menurun. Bergegas ke ICU, pukul 4.55 pagi, kami sampai dengan emak yang tidur bersama di rumah. Sesampainya di sana, heartbit dan tekanan darah semakin lemah. Kami berulang kali membaca Yasiin, Surah Al-Ikhlas, Surah Fatihah dan ayat Kursi serta membisikkan syahadah kepada Nur Fatimah. Benar, janji Allah pasti berlaku. Sesudah kami menunaikan solat Subuh, saya mohon pada Doktor untuk memangku dan memeluk Nur Fatimah, doktor izinkan. Dengan masih bantuan pernafasan di mulut, Nur Fatimah berhenti bernafas di pangkuan, sebagaimana kata doktor, lama-lama jantung tidak akan larat juga untuk mengepam walaupun ada bantuan pernafasan. Nur Fatimah ’tidur selama-lamanya’ di pangkuan mama bersama baba dan nenek. Air mata masih lagi laju seperti tidak mahu berhenti, namun mulut masih lagi membisikkan laa Ilahaillallah, Muhammadur Rasulullah kepada Nur Fatimah. ” Tenanglah sayang, Allah lebih sayang pada Nur Fatimah.

” Itu yang terbaik pada Nur Fatimah, abang masih lagi ada Khadijah” kata-kata abang bagai menyimbah air di hati. Benar, apa yang berlaku, itulah yang terbaik untuk Nur Fatimah, dunia dan akhiratnya. Syukur pada Allah yang mencampakkan rasa ketenangan dan redha dalam hati sepanjang hari itu. Hati rasa puas dapat menjaga Nur Fatimah, dapat membaca Al-Quran bersamanya dan dapat mengalirkan susu di dalam badannya walaupun melalui tiub. Ketika mengambilkan wudhu’ ke badan Nur Fatimah selepas memandikannya, membasuh tangan Nur Fatimah sambil berkata dalam hati,” Nur Fatimah, nanti pegang tangan mama baba kuat-kuat ye sayang dalam syurga, tolong mama baba dapat sama-sama di syurga.” Ketika membasuhkan kakinya, ” Nur Fatimah, tunggulah mama baba sama-sama di syurga ya!”

Talkin yang baba baca di perkuburan menyebabkan air mata tumpah lagi, ”pasti cucu baba sedang bermain-main di syurga, jumpa tok ismail, tok piah.” begitulah yang selalu tok wan baba cakap. ”Title datuk dah ditarik balik nampaknya!”wan baba kata pada kawannya. ”Mak, cucu mak dah tinggal 8orang balik, ain je cucu perempuan mak” abang kata pada mak.

JAULAH PUTRAJAYA

Hari sabtu, 2 hari kemudian, kepala semakin lapang dapat berjalan-jalan sambil bergambar di putrajaya bersama baba,mama dan adik-adik. ” Kalau Nur Fatimah ada mesti dia yang jadi subject kita ambil gambar.”

Banyak benar pengajaran dan ingatan Allah kepada hamba-Nya yang sememangnya lemah ini, yang kadangkala melupaiNya. Nyawa kita berada dalam genggaman-Nya. Perlu sentiasa bertaubat lantaran kadang-kadang hati kita mungkin terlupa dengan kekuasaanNya, bangga diri atau takbur dengan pemberianNya, melupai bahawa Allahlah penjaga makhlukNya. Ujian Allah sebenarnya menjinakkan kembali hati dan menguatkan kembali rohani, moga-moga Allah mengampunkan segala dosa-dosa dan memberikan yang lebih baik lagi di kemudian hari..

”Nur Fatimah, mama baba sayang sangat pada Nur Fatimah, tapi Allah lebih sayangkan Nur Fatimah! Nur Fatimah tetap permata hati mama baba, anak sulong mama baba! Doakan mama baba dapat bersama-sama Nur Fatimah di syurga, jangan lupakan mama baba...”


Ya Allah, kami mohon yang lebih baik dari-Mu, Engkau yang Maha Mengetahui yang lebih baik dan terbaik, bantulah kami sentiasa mengingatiMU, mensyukuri nikmatMu dan memperbaiki amalan kami semata-mata keranaMU... Syukur padaMu Ya Allah kerana memberikan kami zuriat selama 108hari, menatap wajahnya, menyusukannya dan menjaganya, Maha Suci Engkau dan Maha Penyayangnya Engkau kepada hamba-hambaMu, pandanglah kami dan janganlah Engkau tinggalkan kami, bantulah kami dalam segala urusan kami, wahai Allah, Tuhan yang Maha Memberi..
Alhamdulillah. ...

Coretan Ukthi Khadijah binti Ismail

Monday, October 26, 2009

Tarbiah Berorganisasi (Laws Of Leadership) Dalam Maruf Club

Sebak juga hati saya tatkala Presiden Maruf Club (ketika itu), Faridzul mengumumkan secara rasmi 'dissolution of office bearers Maruf Club session 2008/2009' pada malam AGM Maruf Club Jumaat lepas. Saya tidak menyangkakan saya akan rasa sesebak itu. Rasa asakan di dada. Terasa macam tak percaya yang dah habis masa satu tenure kepimpinan MC. Terasa terlalu banyak lagi benda yang tak selesai, amanah yang tak tertunai, cita-cita yang tak kesampaian. Saat itu juga lah saya terkenangkan keadaan kita di akhirat nanti tatkala akan menyesal kerana tidak benar-benar beramal di dunia ini. Seperti firman Allah Taala dalam Surah Sajdah,ayat 12 :

"Dan, jika sekiranya kamu melihat mereka ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, (mereka berkata): "Ya Tuhan kami, kami Telah melihat dan mendengar, Maka kembalikanlah kami (ke dunia), kami akan mengerjakan amal saleh, Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin."

Apapun, setinggi kesyukuran saya panjatkan ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan keizinanNYA dapat jua saya dan sahabat seperjuangan yang lain menggalas amanah kepimpinan ini hingga ke akhirnya. Terlalu banyak pelajaran dan pengajaran yang telah saya perolehi.

Dahulunya Maruf Club bukanlah antara sasaran organisasi yang saya berminat untuk bergelumang di dalamnya. Tidak pernah berimpian untuk menjadi pimpinan Maruf Club apatah lagi untuk menjadi Vice President II, jawatan no.1 untuk bahagian muslimat@sister ini. Saya jauh lebih berminat dan cenderung untuk menimba pengalaman di Law Students’ Society (LAWSOC). Namun, ternyata percaturan Allah Taala dan keputusan syura itu jauh lebih baik dan berkat dari keinginan dan ‘projection’ saya sendiri.

Tarbiah berorganisasi ( Laws Of Leadership ) yang saya dapat sepanjang memimpin Maruf Club sesi kali ini cukup bermakna dan berbekas di hati saya. Semuanya menjadi pengalaman berharga, memori yang boleh dijadikan rujukan pada masa depan. Mungkin ini jugalah pengalaman terakhir yang mampu saya kutip dalam memimpin organisasi di alam mahasiswa ini. Antara ‘mutiara-mutiara’ berharga yang telah saya perolehi,

1. Pentingnya setiap pemimpin organisasi memahami grand design dan hala tuju organisasi yang dipacu
"Anyone can steer the ship, but it takes a leader to chart the course"- The Law Of Navigation
(The 21 Irrefutable Laws Of Leadership)

Sejak di awal tenure kepimpinan, kami bersama-sama meletakkan batu asas kepada gerakan Maruf Club. Kami mengimpikan agar Maruf Club mampu memainkan peranan seperti sebuah “Persatuan Mahasiswa Islam” yang komprehensif membawa ketiga-tiga elemen penting gerakan dari sudut tarbiah, dakwah dan siasah. Grand design tersebut kami mulakan dengan usaha untuk menaikkan nama Maruf Club di mata mahasiswa UIAM agar mereka ‘kenal’ siapa Maruf Club. Tekad kami agar mereka ‘kenal’ dan ada ‘persepsi’ yang baik terhadap Maruf Club. Sesudah mereka kenal, barulah mereka berhak untuk membuat keputusan samaada mahu menyokong atau menyanggah Maruf Club. Jika selama ini persepsi negatif yang membelengu mereka, maka wajarlah jika judgement mereka juga cenderung menjadi negatif. Betapa pentingnya untuk kita benar-benar ‘mengurus persepsi’.

Kami mungkin telah berjaya merintis sedikit ‘jalan’ kearah mencapai dream ini, namun kami tak berjaya untuk benar-benar melengkapkan aspirasi ini. Kami tinggalkan kepada kepimpinan baru untuk menganalis, seterusnya melengkapkan agenda ini andai dipersetujui.

Aspirasi dan dream ini perlulah dijiwai oleh setiap pimpinan untuk memastikan momentum kerja ke arahnya laju dan tangkas. Tetapi jika hanya dijiwai dan dirasai oleh 3,4 orang, agak lambat agenda ini mampu dijayakan.

President dan Vice President I MC sedang merenung 'dream' MC


2. Perlunya kepada kemahiran ‘public relation’ dan etika kerja professional yang amat baik
"People naturally follow leaders stronger than themselves" - Law of Respect

Menjadi pemimpin sebuah organisasi yang membawa agenda dakwah,amar makruf nahi mungkar seperti ini bukanlah mudah. Betapa setiap inci perkataan dan perlakuan kadang-kadang menjadi perhatian.Keperluan untuk menguasai kemahiran public relation dengan baik amatlah mendesak. Disinilah training ground yang cukup baik untuk menjadi future leader, negarawan yang boleh diterima oleh kawan dan lawan.

Dalam Maruf Club ini saya belajar untuk deal dan engage dengan pihak pentadbir UIAM terutama bahagian S-DEV (Student Development). Jika dulu saya bergelumang dengan kerja belakang tabir dan kerja pakai ‘jalan belakang’, kini saya ditarbiah untuk menjadi seorang professional dan perlu mengikut procedure dan formality tertentu. Kadang-kadang ‘rimas’ dan ‘letih’ juga. Tapi inilah antara mutiara berharga yang saya dapat. Bukan mudah untuk berurusan dengan pihak atasan, bukan mudah nak dapat kelulusan sesuatu program. Tidak semudah yang kita lihat dari jauh sebelum ini. Sebab itulah cukup penting untuk seorang mahasiswa yang bercita-cita untuk menjadi negarawan mendapat training ini agar mahasiswa yang dilahirkan bukanlah sekadar ‘jaguh kampung’ yang hanya mampu berpencak sesama sendiri di halaman kampung sendiri sahaja

Kenangan bersama seorang sahabat foreigner di booth MC

3. Kepentingan ‘brainstorming’ untuk kekalkan momentum
" Momentum is a leader's best friend"- The Law of The Big Mo

Saya merasakan sepanjang menjadi VP II Maruf Club ini, kami dikalangan mainboard MC lebih banyak mengadakan sesi brainstorming berbanding dengan formal meeting. Disinilah idea-idea dicambahkan, idea-idea yang tak relevan kedengaran, malah disini jualah tempat mendapat semangat kembali. Brainstorming ini menyebabkan program yang sebenarnya biasa menjadi luar biasa, pendekatan,approach yang baru dan fresh dilahirkan. Ada 2,3 program biasa Maruf yang kami re-branding contohnya seperti MC Open Day, MC Sport Day. Selalunya Faridzul lah initiator nya, selalu tempat pilihannya ialah di library UIAM :-)

Kenangan di MC's Open Day


4. Pentingnya ada golongan yang ‘idealis’ dan ‘realis’ dalam satu team kepimpinan
"Leaders find a way for the team to win" - The Law Of Victory

Saya secara peribadi merasakan bahawa ‘synergi’ yang saling melengkapi sangat penting. Dalam team mainboard kali ini, saya sebenarnya sangat bergantung kepada Huda, Asisstant Secretary Maruf Club yang juga merupakan teman rapat dan teman gaduh saya. Ini kerana bagi saya Huda merupakan ‘resource person’ yang sangat penting kepada saya dan juga kami di mainboard. Huda yang sudah cukup ‘menguasai’ susuk tubuh MC, menguasai segala jenis peraturan dan procedure dalam pengurusan MC cukup membantu kami. Beliau juga cukup ‘realistik’ dan praktikal. Beliau tak kesah walau terpaksa banyak melakukan kerja-kerja teknikal yang kadang-kadang tak semua orang sanggup buat. Selalunya beliaulah yang akan me’neutral’kan idea Farid dan saya yang kadang-kadang terlalu idealis. Seolah-olah ada banyak aliran pemikiran dalam team mainborad kami. Ini menjadikan ‘synergi’ yang agak baik. Terima kasih yang tidak terhingga buat Huda. Beliau yang paling banyak bertungkus lumus untuk MC kali ini.

Bersama Huda,Qayah dan Sulia di studio selepas penggambaran Exco MC


5. Persepsi yang orang dah kahwin tak mampu jadi pemimpin organisasi
"Leadership develops daily, not in a day"- The Law Of Process

Saya tidaklah mengatakan yang saya telah berjaya menunaikan amanah kepimpinan ini dengan baik dengan status dan kapasiti saya yang telah bergelar seorang isteri. Namun, saya berpuas hati yang saya telah cuba buat yang termampu. Mungkin ada juga yang tidak berpuas hati dengan komitmen saya, saya terimanya sebagai teguran membina. Ini merupakan satu percubaan saya, merintis jalan untuk membuktikan bahawa walaupun sudah berkahwin, saya masih boleh terus aktif berorganisasi. Kerana hakikatnya di luar nanti, itulah yang akan terjadi. Semua ada impian dan cita-cita untuk berkahwin, dan diluar sana nanti juga sudah pasti ada tanggungjwab dan peranan yang perlu disumbangkan kepada organisasi mahupun parti. Jika beralasan sudah berkahwin tidak boleh terlibat aktif, maka bagaimana di luar nanti? Adakah kita hanya ingin berjuang di alam kampus sahaja? Alhamdulillah, Allah beri saya kesempatan ini untuk melatih diri berdepan dunia realityi di luar kampus nanti. Terima kasih buat suami yang cukup memahami. Disinilah pentingnya pasangan yang memahami dan menjiwai.



Jika ingin dinukilkan, masih terlalu banyak pelajaran dan pengajaran yang saya dapat. Jika ingin dicoret kelemahan dan rasa tidak puas hati juga terlalu banyak sepanjang saya memegang jawatan dalam MC ini. Sebab itu rasa sebak dan sedih, rasa terlalu banyak kelemahan diri ini yang menyumbang kepada kelemahan dalam MC. Terutamanya bila 2 projek terakhir MC tak mampu dilaksanakan. Hanya Allah yang tahu betapa kecewanya diri ini.

Namun segalanya telah berakhir. Saya pasrah dan redho apa yang terjadi. Saya ambil kesempatan ini untuk menghargai semua insan yang telah bersama-sama saya memacu MC. Mereka juga telah banyak menagajar saya. Terima kasih buat Mr. Presiden yang dihormati, merangkap sahabat seperjuangan sejak di KISAS lagi, Faridzul. Ana doakan anta menjadi ‘negarawan sejati’ di masa depan nanti.Buat Huda yang terlalu amat banyak membantu,terima kasih sangat. Maaf banyak menyusahkan anti. Buat Zaki,Amin dan Suffian yang menjadi pelengkap team mainboard MC kali ini.Kalianlah agen ‘check n balance’ yang cukup significant dan efisyen. Tanpa kalian, tempang pengurusan MC.Tak dilupa untuk semua secretariat MC yang meng’hidup’kan MC kali ni. Fakhrul Zaki dan Ruqayyah, adik muakhahku Shahidat dan Ridhuan,Hafriz dan Kak Ida, Mun’em dan Sulia, Cikgu Helmi dan Suraya, Rauf dan Paji. Juga jutaan terima kasih dinukilkan buat semua orang kuat belakang tabir MC, Izzatie, Hafiz Basri, Nabilah, Ust Syuhadak, Tamim, Radziah, G.ah, Buyo, Hakimi, Fazilah, Busra, Huzaifah dan Maziyah.Semuanya komited melaksanakan jobscope masing-masing. Terima kasih atas segala kerjasama dan maaf atas segala khilaf. Juga tak dilupakan terima kasih yang tak terhingga kepada semua members MC yang menyokong MC selama ini yang tak mampu disebut nama kesemuanya disini. Moga semua memperoleh 'saham' masing-masing di akhirat nanti atas usaha dakwah yang telah dijayakan.

Bergambar kenangan terakhir di malam AGM MC

Akhirnya, salam perjuangan buat bakal pimpinan Maruf Club yang akan datang.Memetik kata-kata mantan Presiden MC, "Perjuangan wajib diperkemas".

"It takes a leader to raise up a leader" - The Law Of Reproduction
"A leader's lasting value is measured by succession"- The Law Of Legacy

Monday, October 19, 2009

Kisah Forum FEMINA 2009


Akhirnya saya kalah. Kalah pada suami saya sendiri. Walau penuh tekad dan azam saya bersemangat pada awalnya, namun patah semangat di penghujungnya. Jika tidak kerana suami saya, semangat saya untuk update blog akan terus berkubur kerana himpitan assignment dan exam. Bukanlah saya mahu katakan suami saya segala-galanya. Tapi, beliau berperanan cukup penting dalam hidup saya.

Sebenarnya, saya kalah dengan beliau dari sudut 'kecepatan' untuk hasilkan posting terbaru dalam blog berkaitan dengan aktiviti yang kami lalui pada hari Sabtu yang lepas. Kami terpisah berasingan tapi bersama di hati. Beliau mencabar saya, jom berlumba siapa paling cepat akan update blog. Saya semangat sangat pada mulanya, walau pada hari Sabtu tersebut saya tidak membawa digicam bersama kerana suami saya terlebih dahulu 'menyambarnya', saya mohon pertolongan adik Liyana dari UM untuk segera menghantar gambar-gambar saya melalui emel. Beliau menghantarnya segera. Terima kasih sangat dik. Tapi akak kalah ni. Huhu.

Sebenarnya, hari Sabtu yang lepas, saya dijemput untuk menjadi Moderator kepada salah satu forum yang dianjurkan dalam Festival Mahasiswi Universiti Malaya 2009 ( FEMINA 2009 ). Forum yang bertajuk "Wanita dan Realiti Di Malaysia" tersebut sepatutnya dikendalikan oleh seorang penceramah dan penulis buku motivasi terkenal, Saudara Ahmad Fadzly Yusof. Namun di saat-saat akhir beliau tidak dapat hadir. Setelah mencuba beberapa orang yang lain, akhirnya saya dijemput untuk menjadi moderator. Mulanya saya agak ragu-ragu nak terima, tapi setelah dipujuk dan disokong oleh suami, saya terima. Kira macam bidang terjun jugaklah saya ni. Sebab itulah lain macam sikit 'terjunan' nya.

Pada saya, saya sedikit kecewa dengan persembahan saya dalam mengendalikan forum pada pagi tersebut. Saya rasa saya boleh buat lebih baik dari itu sebenarnya. Walau saya tidak ada pengalaman sebagai moderator, tapi saya pernah menjadi ahli panel forum dan debator di sekolah dulu. Tapi, yang terjadi di forum tersebut tak menggambarkan yang sepatutnya,pada pandangan sayalah. Ada banyak faktor yang mempengaruhi semua itu terjadi. Antaranya mungkin kerana saya sebenarnya tidak pernah ada pengalaman menjadi moderator dalam forum seperti itu, apatah lagi dibarisi dengan panelis hebat seperti Profesor Madya Dr. Mariani Binti Md Nor (Pensyarah Fakulti Pendidikan UM) , Encik Kamal Affendi Hashim (Penganalisis Jenayah) dan Puan Norlina Alwi, (YDP Yayasan Darul Iman Malaysia). Saya jadi gugup.

Apatah lagi, semalaman tersebut saya tak berkesempatan untuk tidur kerana pada malam sebelumnya saya terpaksa menghadiri mesyuarat penting membincangkan bakal line-up kepimpinan Maruf Club yang akan datang yang mesyuaratnya hanya tamat jam 5 pagi. Sudah la saya kurang bersedia, saya pula tidak tidur pada malamnya. Sepanjang memandu ke UM pada pagi tersebut, rasa macam terawang-awang tidak jejak ke bumi. Saya bukan tak cukup tidur, tapi saya tak tidur langsung malam tersebut.

Hendak dijadikan cerita juga, saya mendapat emel dari pihak komiti program bahawa forum tersebut bermula pada jam 9.30 pagi. Jadi saya bertolak dalam pukul 8.45pagi dengan harapan sempat untuk interview para panelis dan bersedia sedikit sebanyak di sana. Ruapanya yang terjadi dan hakikatnya, forum tersebut patutnya bermula pada jam 9 pagi. Bila dihubingi oleh AJK program ketika saya dalam perjalanan, saya jadi semakin kalut dan gelabah. Saya cuba bertenang sedayanya. Sampai di sana, macam-macam perasaan ada dalam diri. Akhirnya saya menjerit dalam hati, "xpe, redah je ! Tawakkal ! ".


Begitulah lebih kurang pengalaman yang saya lalui. Penuh dengan pelbagai ragam dan rencam pagi tersebut. Dengan masa yang cukup sempit, cacamerba rasanya saya kendalikan forum tersebut. Tak terurus jadinya. Nasib baik ahli panel memang hebat-hebat belaka, sedikit sebanyak menutup kelemahan saya yang begitu major. Saya berazam dan berjanji dengan suami saya untuk buat yang terbaik, tetapi setakat itu sajalah yang saya mampu dengan pelbagai ujian teknikal yang melanda.

Petang itu saya agak 'down' sebenarnya. Tapi suami saya tak henti-henti memotivasikan diri saya, memberi semangat dan dorongan. Saya jadi sangat gembira. Pengalaman seperti ini cukup bermakna buat saya, banyak pengajaran yang saya dapat. Saya dalam usaha untuk membentuk diri, meningkatkan kualiti dan prestasi, justeru, saya tak boleh menyerah lagi. Terlalu banyak lagi benda yang perlu dipelajari dan diselami dirasai. Teringat saya pada satu kata-kata motivasi yang saya baca dalam buku muakhah saya, Shahidat.

"Do not just learn from experience, but learn POSITIVE"

Kalau saya sekadar nak ambil pengalaman, saya mesti rasa serik dah nak jadi moderator. Tapi, bila saya ambil semuanya sebagai sesuatu yang POSITIF, saya kembali bersemangat. Saya bukan sekadar nak jadi moderator, saya nak jadi ikon ORATOR terbaik muslimat suatu hari nanti !

Antara pengalaman berharga yang saya dapat dalam kenangan di forum ini adalah apabila dapat mengenali satu persatu personaliti panelis hebat yang terlibat dalam forum ini. Dalam bilik menunggu, saya mengenali dengan lebih dekat Dr Mariani, seorang pensyarah yang cukup hebat, cukup aktif menjadi mentor kepada PAKK ( Persatuan Pendidikan Awal Kanak-Kanak) di UM. Beliau juga beberapa kali telah muncul di kaca TV bercakap tentang psikologi. Beliau menceritakan bagaimana dengan keadaan beliau yang menghadapi masalah kesihatan, namun masih mampu cemerlang dalam pelajaran dan kini cemerlang dalam kerjaya dan rumahtangga.

Puan Norlina pula telah menyebabkan saya dan audience yang hadir menangis mendengar cerita beliau yang berusaha untuk membesarkan dan mendidik hampir 43 orang kanak-kanak yang merupakan anak kepada pesakit HIV AIDS. Ceritanya cukup sayu dan pilu. Saya terfikir betapa Agungnya Allah yang mengurniakan perasaan 'keibuan' yang sebegitu hebat kepada Puan Norlina. Disebalik pelbagai fitnah yang dilemparkan kepada beliau, beliau terus tabah. Beliau minta kepada suami beliau untuk mengandung anak yang ke-6 semata-mata supaya beliau dapat menyusukan salah seorang anak pesakit HIV AIDS yang beliau pelihara yang ketika itu masih kecil. Begitulah 'kaya'nya perasaan Puan Norlina, hebatnya pengorbanan beliau.

En Kamal Affandi pula seperti yang kita kenal di kaca TV, memang pakar menganalisis jenayah. Dalam masa yang sama juga, beliau juga pakar membuat lawak. Di bilik menunggu, pecah perut saya dibuatnya. Cukup kelakar sampai saya terkonfius, betul ke dia ni penganalisis jenayah? ;-)


Di kesempatan ini, jutaan penghargaan dan terima kasih penuh kasih dan cinta buat suami tersayang yag terlalu banyak memberi tunjuk ajar, semangat dan dorongan. Saya cukup bertuah memiliki beliau. Pada saya, susah nak jumpa muslimin yang mengikuti jalan tarbiah ini, yang redho dan sokong isterinya menjadi 'public figure'. Suami saya bukan sekadar redho dan izinkan malah beliau kini sedang 'membentuk' saya ke arah itu. Kata-kata yang selalu dituturnya, "abg nak ayg jadi negarawan", "abg nak ayg jd hebat macam Senator Mumtaz". Ya Allah, kekalkan kami terus bersama dalam ketaqwaan dalam jalan perjuangan ini.

Tidak dilupa, khusus buat adinda saya yang saya yakin beliau juga bakal menjadi insan hebat di masa depan, adik Shah Rizul Ayuni Zulkiply, Pengarah FEMINA 09 merangkap Setiausaha MPPUM atas kesudian menjemput saya. Mohon maaf sangat atas segala kekurangan. Maaf juga kerana tidak mampu terlibat secara 'full' dalam FEMINA, tuntutan yg lebih awla mendesak. Saya sangat kecewa tidak dapat lama berada di FEMINA. Saya cukup-cukup menyanjung tinggi usaha yang telah dilakukan oleh semua pencetus idea dan penggerak FEMINA. Pada saya, ini sesuatu yang menakjubkan. Letak ketepi sebentar segala kelemahan, kerana yang dasarnya FEMINA cukup hebat.


Terima kasih juga pada sahabat seperjuangan yang disayangi, Izzatie merangkap Timb Pengerusi SIGMA kerana sudi menemani saya ke sana dan bersama-sama di FEMINA. Terima kasih juga kepada Kak Fasihah, Pengerusi SIGMA atas layanan yang diberikan.

Tidak dilupa kepada semua adik-adik penggerak FEMINA yang sempat kita berkenalan hari tu. Liyana, Iffah, Maryam dan ramai lagi yang tak mampu disebutkan semua. Alhamdulillah, memang cukup bermakna saya ke FEMINA.

Wednesday, October 14, 2009

Kuatkan Semangatmu Kak Khadijah, Ustaz Ramadhan...(edited version)


Tidak semua Baitmuslim dilalui dengan penuh kenangan manis. Kekadang ujian Allah datang dengan tidak diduga, penuh hikmah petanda Allah mahu melihat ketabahan hamba-Nya yang telah terbukti sebelum ini thabat dalam perjuangan gerakan Islam.

Idola saya dan suami, Ustaz Ramadhan Fitri bersama isteri beliau sedang melalui ujian Tuhan yang sangat mencabar. Ujian Baitmuslim seperti ini jarang kedengaran berlaku pada mantan ketua aktivis mahasiswa Islam yang "always walk the talk" dengan qudwah bukan sekadar di pentas aktivisme PMIUM-GAMIS-SMM, bahkan di pentas akademik pengajian Islam dan kerjaya perbankan.

Semoga Allah memberikan kesejahteraan kepada Nur Fatimah, cahaya mata kesayangan mereka yang baru berusia 3 bulan namun kini sedang koma ICU, Hospital Putrajaya sejak Jumaat lepas dan pernah berhenti bernafas seketika. Maklumat yang diperolehi Nur Fatimah mengalami pendarahan di otak akibat gegaran ketika dalam buaian di nursery An-Nur, Bangi.


15 Oktober 2009

Alhamdulillah, setelah 2,3 hari merancang, akhirnya pada petang tadi saya dan suami beserta sahabat-sahabat pimpinan UIAM sempat untuk bertandang ke Hospital Putrajaya untuk menziarahi sendiri anak Ust Ramadhan dan Kak Khadijah, Nur Fatimah.

Setelah suami saya mendapat sms dari Ust Ramadhan sendiri pada tengahari tersebut yang mengatakan anak beliau makin kritikal dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Putrajaya, kami terus bergegas ke sana. Alhamdulillah, perjalanan dimudahkan dan kami selamat sampai.

Di depan pintu ICU tersebut, Ust Ramadhan sedang berdiri melayani beberapa orang tetamu lagi yang juga datang untuk menziarahi anak beliau. Kak Khadijah pula sudah kelihatan agak letih dan penat, sedang duduk di bilik menunggu. Beliau kesejukan setelah beberapa hari berada di hospital tersebut.

Saya betulkan kenyataan yang saya buat sebelum ini yang saya mendapat maklumat bahawa Nur Fatimah mengalami pendarahan di otak akibat gegaran ketika dalam buaian di nursery An-Nur, Bangi. Bila ditanya sendiri pada Ust Ramadhan, sebenarnya doktor sendiri hingga ke saat ini masih tidak dapat mengenal pasti apakah 'punca' sebenar Fatimah yang sihat dan ceria pada pagi Khamis yang lepas ketika dihantar ke nurseri tersebut pada waktu pagi, tiba-tiba boleh mengalami kekejangan dan kemudian terus tidak sedarkan diri pada tengahari hari yang sama. Dalam masa 3 jam sahaja, Fatimah berubah keadaannya. Beberapa siri ujian yang dilakukan oleh doktor setakat ini, masih belum dapat mengesan punca sebenar apa yang terjadi kepada Nur Fatimah.


Cuma, setakat yang doktor suspek, Fatimah mungkin ada mengalami gegaran di otak sama ada akibat hentakan buaian yang kuat, atau goncangan yang kuat ketika didukung dan sebagainya ataupun kerana tersedak susu. Inilah antara maklumat yang kami perolehi ketika bersembang-sembang dengan ibu Ust Ramadhan sendiri merangkap isteri Ust Ellias Zakaria yang cukup kami kagumi.



Sama-samalah kita mendoakan agar Nur Fatimah selamat dan tabah menghadapi ujian sakit ini. Tubuh beliau terlalu kecil untuk menanggung kesakitan yang seperti ini. Pedih dan pilu hati ini melihat si kecil tersebut terlantar sakit, berwayar-wayar dicucuk ke sana sini di tubuh kecil beliau.

Moga Ust Ramadhan, Kak Khadijah, Ustazah Fauziah sekeluarga terus tabah menghadapi ujian ini. Saya secara peribadi amat kagum dengan kekuatan yang dimiliki oleh Kak Khadijah. Beliau nampak tenang dan kuat menghadapi semua ini. Teladan yang cukup baik telah beliau tunjukkan, mungkin inilah hasil tarbiah yang cukup kuat mengcengkam hati srikandi yang berjaya menawan hati Ust Ramadhan ini.

Saya dan suami cukup tersentuh dengan ziarah kami kali ini. Hanya Allah sahajalah sebaik-baik tempat pergantungan...