Monday, June 29, 2009

Debat Diteruskan Di Rumah No.36

Ada juga sebahagian muslimat dari kampus UIA dan kampus-kampus lain yang menghubungi saya, menanyakan perkara sebenar yang berlaku dalam GAMIS, terutamanya antara suami saya dan Ust Dzul sejak isu debat berkenaan kerajaan perpaduan antara Ust Meor dan Ust Dzul ini timbul. Saya pada mulanya juga tidak begitu mengetahui tentang isu ini. Sekadar membaca-baca, tak pandang berat sangat pun. Pernah bercakap dan berbincang-bincang dengan suami, pernah juga 'tidak sehaluan' dengan beliau, tapi kami very professional bila berada dalam fatrah diskusi ilmiyah dan perbezaan pandangan kami raikan. Ini bukan tempatnya perlu saya taat dan wala' kepada suami.

Sebenarnya, tak ade ape pun yang kecoh sangat saya rasa. Suami saya pun tenang je, masih meneruskan rutin hidup kami seperti biasa. Masih dengan 'kegilaan' beliau yang makin menjadi-jadi terhadap Sultan Muhammad Al-Fateh. Kami masih lagi giat menjual buku hebat karangan Ust Dzul. Semua seperti biasa. Ust Dzul pun saya rasa begitu. Beliau masih ber'sms' dengan suami saya seperti biasa. Tulisan di blog beliau pun masih seperti biasa, masih 'Ust Dzul'. Secara peribadinya, saya cukup menghormati dan mengagumi Ust Dzulkhairi, beliau cuba merintis sesuatu yang baru. Biasalah bila jadi perintis ni banyak cabaran dan dugaannya.

Biasalah berbeza pandangan ni. Asalkan masih dalam kawalan dan tak timbulkan perpecahan. Apatah lagi antara muslimin vs muslimin. Memang dah ma'ruf sifat mereka ini. Masing-masing 'keras'. Berbeza sedikit dengan muslimat, lebih lembut.

A man's sense of self is defined through his ability to achieve result. A women's sense of self is defined through her feelings and the quality of her relationships - John Gray, Men Are From Mars, Women Are From Venus


Saya dan suami sendiri sebenarnya berada di pihak yang berbeza dalam isu kerajaan perpaduan ini. Walau kami telah hidup bersama hampir 6 bulan, bersatu dengan aqad yang suci, tapi kami berbeza pandangan. Malah pernah berdebat dalam kereta dalam perjalanan balik dari satu usrah politik yang membincangkan tentang isu ini. Seterusnya kami masing-masing teruja mengumpul fakta dan maklumat tentang isu kerajaan perpaduan ini. Bila berbincang isu ini, mulalah masing-masing mengeluarkan hujah intelek di pihak masing-masing. Debat intelek yang tak jadi antara Ust Meor dan Ust Dzul telah terjadi di rumah kami di Darul Syuhada no. 36. Syaari vs Syuhada ;-)


Saya yakin isu ini akan berlalu dibawa angin, meninggalkan hikmah dan nostalgia dalam chapter perjuangan GAMIS. Ramai orang yang sangat menyayangi GAMIS ni sebenarnya. Buktinya ramai yang peduli, yang kritik dan puji. GAMIS bakal dipimpin pimpinan baru, bakal membuka lembaran sejarah baru. Justeru saya menyeru kita sama-sama tingkatkan kecaknaan kepada isu-isu ummah yang lebih utama. Kurangkan kontrovesi, tingkatkan prestasi !

Sekadar coretan dari satu-satunya isteri kepada Syaari..

Perkongsian Pengisian

Saya telah membuang posting saya sebelum ini yang sekadar mempunyai gambar-gambar muslimat yang memprotes pilihanraya Iran. Ada beberapa orang yang menegur, Alhamdulillah. Gambar tanpa sebarang penjelasan lanjut memang boleh menimbulkan 1001 tanggapan dan interpretasi. Saya memandangnya mengikut persepsi lain namun ada yang memandangnya dari sisi lain. Saya tidak ego untuk memohon maaf pada yang telah ter'konfius', tersalah tafsir dan sebagainya. Untuk tidak keruhkan lagi keadaan, saya menarik balik posting tersebut. Saya tak rugi apa-apa pun. Saya rasa muslimat lebih mudah ditegur dan kurang sikit egonya berbanding muslimin dalam hal-hal tidak sependapat dan tidak sehaluan ini. Alasan pertahankan prinsip, tidak berada di pihak yang salah, selalu jadi alasan mereka. Tapi, itulah antara keunikan penciptaan lelaki dengan sifat yang sebegitu untuk jadi pemimpin tertinggi dan komuniti yang besar. Mungkin hikmah penciptaan muslimat, menyeimbangkan keadaan.

Justeru, saya publish posting yang lebih bermanfaat insyaAllah. Saya publishkan posting saya yang telah saya taip pada hari Sabtu, 27 Jun yang lalu. Sekadar perkongsian sebuah pengisian.


PERKONGSIAN PENGISIAN


Lama tidak 'merempit'. Tiba-tiba hari ni terasa macam kembali ke masa lalu. Sejak bergelar 'isteri', dan setelah kehadiran Fateh (kereta VIVA hitam milik kami,dah tentu suami saya yang menamakannya sempena nama tokoh Sultan Muhamad Al-Fateh yang menjadi kegilaan beliau), saya jarang-jarang sekali menaiki motor. Paling jauh pun ke kampus UIAM untuk urusan kelas mahupun meeting. Berbeza dengan sebelum kahwin. Bermula dengan motor NAR hinggakan KBW, merekalah teman setia saya dalam perjuangan. Mereka juga seolah-olah telah 'berbaiah' untuk perjuangan ini. Ke mana sahaja saya akan menaiki motor, jauh mana sekalipun sebolehnya nak menaiki motor. Lebih mudah dan cepat. Setakat ke Banting, Bangi, Kuala Selangor dengan motor, memang dah pernah rasai. Tak kesah waktunya siang, malam, pagi, petang memang redah je. Saya rasa ramai muslimat haraki yang ada kebolehan ni. Berani bergerak.

Namun, sejak bergelar seorang 'isteri', entah ke mana perginya semangat yang seperti itu. Keberanian yang dulunya tidak kenal erti takut macam makin terhakis. Lain rasanya bila dah bergelar isteri orang ni rupanya. Kalau dulu, semangat jihad membara-bara, tawakkal pada Allah juga tinggi. Apa jua cabaran dan halangan, berani ditempuhi. Terasa manisnya perjuangan ini kerana Allah semata. Dalam fikiran bila naik motor jauh-jauh ni, hanya ingat Allah, jihad dalam perjuangan dan mak ayah. Tapi kini makin bertambah rasanya orang yang menyayangi dan penting untuk diri ini. Rasa diri ini dimiliki juga oleh seseorang yang bergelar 'suami'. Dah agak takut nak naik motor sorang-sorang, jauh-jauh, malam-malam sekarang ni. Kadang-kadang nak ke tempat-tempat awam berseorangan pun terasa sedikit gentar. Rasa diri ni makin 'lembik' pula. Mungkin ini juga sedikit ciri-ciri 'kematangan' mungkin. Bila dah melangkah ke alam rumahtangga ni, tanggungjawab dan bebanan, hati dan perasaan, pergerakan dan rentak perjuangan terasa lain sedikit. Moga Allah terus kukuhkan kaki saya di alam perjuangan Islam yang indah ini, apatah lagi dalam alam fatrah kemahasiswaan yang cukup menarik untuk meraih pengalaman, belajar buat kesilapan, asah bakat untuk perjuangan Islam.

Bergambar kenangan bersama suami setelah selesai mengendalikan bengkel Public Speaking untuk adik-adik UIAM Gombak

Saya hari ni sekadar 'merempit' ke Matrikulasi UIAM Petaling Jaya, memberi sedikit pengisian kepada adik-adik alumni sekolah berasrama penuh (SBP). Tak pasal-pasal saya syarah bab 'rempit' plak kat atas tu sedangkan tujuan utama nak cerita pasal ni. Moga syarahan spontan saya ada jua sedikit manfaat.

Atas kapasiti seorang alumni KISAS, saya gagahkan diri hadir ke sana walau tanpa suami dan sesiapa pun menemani. Alhamdulillah, selamat sampai ke destinasi tanpa sebarang kecelakaan menimpa diri. Saya sekadar ingin berkongsi, walau diri ini cukup kerdil dalam ilmu dan darjat disisi Tuhan.

Saya letakkan 3 perkara besar yang saya ingin capai pada slot yang diberi kepada saya hampir 2 jam tersebut. Yang pertama sekadar ingin menjalin ukhuwah sesama mereka, wujudkan 'engagement' jangka panjang atas dasar ukhuwah Islamiyah. Lalu, taaruf ringkas saya jalankan diawalnya. Yang kedua saya bercakap tentang aspek kepimpinan dalam diri dan organisasi. Seterusnya yang ketiga, saya syarahkan sedikit kepada mereka 'bedahan' buku@ introductory kepada buku yang tengah saya baca sekarang iaitu buku "Generasi Ulul Al-Bab, Segunung Harapan, Seteguh Impian".


Kepimpinan ; Antara Integriti dan Kompetensi

Saya mulakan dengan kewajipan untuk menerapkan dua elemen penting pemimpin ini dalam diri sendiri terlebih dahulu. Integriti kita dengan amanah dan syariat Allah, setakat mana kita 'menjaga' hubungan dengan Allah sedangkan Allah menjaga kita rapi setiap saat, makan pakai rezki kejayaan kehidupan kita ini Allah jaga serapinya. Tapi kita yang sekadar berstatus hamba Allah ini tidak mampu menjaga hak-hak Allah terhadapNya sebaiknya. Inilah rahsia kejayaan terbesar seorang pemimpin. Takde rahsia lain yang lebih utama untuk terus kekal menjadi hambaNya yang sebenar dalam jalan perjuangan ini melainkan menjaga hubungan dengan Allah. Menjaga hubungan yang baik sesama manusia juga sangat perlu dan termasuk juga dalam elemen ini. Masakan mampu terlunas hubungan kita dengan Allah andai tersangkut hubungan kita dengan manusia. Hubungan sesama manusia lebih parah dan susah untuk dijaga sebenarnya. Realitinya kita boleh lihat secara 'live' dalam sosial masyarakat kita kini. Hinggakan anak sendiri sudah gagal menjaga hubungan yang sepatutnya dengan ibu ayahnya sendiri. Kebrobokan sosial yang maha dasyat.

Aspek kompetensi saya tidak syarahkan yang sudah termaklum yang terlalu factual dan fundamental. Cukup saya menekankan pada diri saya dan adik-adik tersebut, pentingnya 'memanfaatkan' masa sebagai mahasiswa ini untuk meningkatkan potensi dalam diri. Meningkatkan kemampuan dari aspek intelektual dan kemahiran dalam diri. Hinggakan 'kelayakan' kita sebagai seorang pemimpin tidak akan mampu dipertikaikan kewajarannya. Aspek intelektual ini, kita perlukan individu-individu yang memiliki 2M. "Master your field dan Multi-Field". Kita perlukan individu-individu yang bukan sekadar datang dari pelbagai bidang dari aliran hard science hinggalah ke soft science, tapi kita perlukan orang-orang yang pakar dalam bidang tersebut. Pakar yang benar-benar pakar yang cukup berautoriti dan kompeten dalam bidangnya sendiri. Selain itu, pakej yang kita perlukan adalah juga insan-insan yang juga mempunyai pengetahuan yang sepatutnya dalam bidang-bidang lain juga(Multi-Field). Maksudnya, kita mampu bercakap dan mengulas bidang-bidang luar dari bidang pengajian atau pengkhususan kita. Terutamanya bidang fundamental agama dan akan berlakulah islamisasi ilmu disini. Maka kelak, takkan timbul lagi isu ulamak vs profesional yang saban tahun hangat dibahaskan. Era sekarang, kita tak mampu memimpin dengan hanya menguasai dan pakar dalam bidang kita sahaja tanpa ada ilmu dalam bidang-bidang lain juga.

Muslimat ; Antara Integriti dan Kompetensi

Subtopik ini saya tidak sebut secara spesifik dalam slot pengisian saya tersebut kerana bukan adik-adik muslimat sahaja yang hadir, ada juga adik-adik muslimin. Saya sekadar selitkan pandangan peribadi saya tentang isu ini.

Pada saya, generasi kepimpinan muslimat kini cukup hebat dari aspek 'integriti', namun mungkin agak kurang sedikit dari sudut 'kompetensi'. Kita selalu dengar betapa berbezanya karektor muslimin dan muslimat hingga ada yang mencadangkan agar tamrin muslimin dan muslimat diasingkan. Saya agak bersetuju. Kerana muslimat memang terkenal cukup kuat menjaga 'ruhiyyah', menjaga aspek-aspek mikro dan dalaman, hati dan perasaan. Jadi mungkin muslimat agak terlepas membina diri sebagai pemimpin yang kompeten sesuai dengan amanah yang perlu dipikulnya. Hatta untuk memimpin diri sendiri, muslimat perlu bangkit mengasah bakat dan kemahiran dalam pelbagai bidang. Pelbagai gagasan, MP3, MP4 di peringkat SIGMA, Tipple M (Membaca,Multi-Skill,Memimpin) di UIAM dan pernah gagasan 3B (Berani,Bijak,Bedikari) digunakan untuk muslimat di UM untuk membantu muslimat meningkatkan kompetensi dalam diri. Moga gagasan-gagasan seperti ini dapat terus membantu muslimat upgrade kualiti diri untuk memacu gerakan.

Malah mungkin pernah timbul isu Dewan Muslimat Kangkung Layu dan sebagainya dulu kerana muslimat masih kurang dari aspek kompetensi ini. Tidak perlu tuding jari pada sesiapa, tuding pada diri untuk ubah diri.

Saya tidak katakan aspek integriti tidak penting malah terpenting. Muslimat perlu terus kekalkan,maintain bertahan dengan kekuatan yang hebat ini. Cuma perlu di 'top up' dengan aspek tingkatkan kemampuan dan keberdayaan dalam diri masing-masing.

Generasi kepimpinan muslimat akan datang, InsyaAllah


Sekadar mencatat berkongsi sebuah pengisian. Dalam posting seterusnya jika berkesempatan saya akan syarahkan tentang Generasi Ulul Albab yang saya bentangkan dalam slot tersebut. Tak sempat kali ini, hari sudah pagi.

Saya bukan orang hebat, sekadar mahu tingkatkan kemampuan diri agar mampu berdiri selesa menghadap Tuhan di sana nanti. Mardhatillah matlamat abadi.


Thursday, June 18, 2009

ISA 7 : Harga Yang Perlu Dibayar Untuk Perjuangan Mahasiswa


Pagi ini saya hampir menitiskan airmata tatkala melihat salah seorang daripada 7 mangsa kes 7 mahasiswa yang ditangkap pada 08 Jun 2001 yang lalu atau lebih dikenali sebagai kes "ISA 7 "di Mahkamah Majistret Jenayah 4 di Kompleks Mahkamah Jalan Duta. Setelah disabitkan bersalah oleh mahkamah majistret tersebut, dan setelah hukuman dijatuhkan beliau mula menelefon saudara mara dan sahabat-sahabat memohon bantuan kewangan untuk membayar denda RM 3900 yang telah dikenakan kepada beliau dan rakan-rakan yang lain. Hanya seorang iaitu Saudara Helman Sanuddin yang disabitkan tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut. Kemudian beliau mengeluarkan semua kad ATM yang ada dalam dompet beliau, memberikannya kepada rakan beliau mohon dikeluarkan semua duit yang ada dalam kad-kad ATM tersebut. Melihatkan kepada gaya pemakaian, dengan t-shirt yang agak lusuh, jenis hset yang saya rasa antara yang termurah di pasaran, saya dapat mengagak yang beliau tidak berkemampuan untuk membayar RM 3900 sekaligus pada waktu tersebut. Hukuman yang dikenakan adalah denda RM 3900 atau penjara selama 3 bulan.

Hati saya tersentak dan tersentuh melihat situasi sebegini. Inilah antara secebis ujian yang perlu mereka hadapi. Harga sebuah perjuangan aktivis mahasiswa yang perlu dibayar oleh mereka.

Kes ISA 7 ini bukanlah kes baru tetapi kes yang sudah hampir 8 tahun dahulu berlaku yang pernah ditangguhkan perbicaraannya hampir 2 tahun. Kes ISA 7 ini melibatkan penangkapan terhadap 7 orang mahasiswa yang menghadiri Perhimpunan Aman Mansuhkan ISA di hadapan Masjid Negara. Ketujuh-tujuh mahasiswa itu terdiri daripada 2 orang penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) serta seorang penuntut daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Mereka telah ditangkap di parkarangan Masjid Negara pada 8 Jun 2001 yang saban tahun dijadikan tarikh ini sebagai Hari Hak Asasi Mahasiswa Malaysia.

Akibat daripada penangkapan dan pendakwaan ini, mereka telah digantung pengajian dari universiti masing-masing sehingga kini walaupun ada salah seorang daripada mereka yang dapat meneruskan pengajian. Ada di antara mereka yang telah pun berada di tahun akhir pengajian dan hanya perlu menghabiskan baki lagi satu semester sahaja pada ketika itu. Namun hak mereka telah dinafikan tanpa belas ehsan dari pihak universiti sendiri dengan alasan mereka telah melanggar AUKU. Bayangkan bagaimana perasaan mereka, ibu bapa dan keluarga mereka pada saat 'hukuman' gantung dari universiti yang telah dijatuhkan tersebut sebelum mereka disabitkan bersalah di mahkamah. Sebagai mahasiswa, saya yakin kita dapat menyelami perasaan bagaimana andainya kita tidak dapat meneruskan pengajian dalam bidang masing-masing di universiti, pada saat itu sudah tentu rasa seolah-olah telah gelap masa depan kita, hancur hati, putus asa dengan hidup mungkin.

Namun alhamdulillah, mendengar hujahan justifikasi yang disampaikan oleh para peguam pembela sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman, rata-rata dikalangan mereka kini sudah mempunyai pekerjaan sendiri dan telah berkeluarga. Walau berpendapatan sederhana dan ada yang sekadar bergaji bawah RM 1 ribu sebulan, namun mereka terus gagah meneruskan hidup masing-masing. Benarlah, rezeki ini di tangan Allah, bumi Allah ini luas. Yang penting ikhlaskan hati berjuang. Namun, keadilan dan hak mereka untuk meneruskan pengajian dalam tempoh hampir 6 tahun bukanlah satu perkara yang remeh yang boleh diketepikan dan dipandang enteng. Andai hak mereka untuk meneruskan pengajian tidak dinafikan, tidak mustahil mereka kini mempunyai prospek kerjaya yang lebih baik dari apa yang mereka miliki kini.

Seperti yang dihujahkan oleh peguam pembela, Amir Hamzah dan Latheefa Koya, kesalahan yang mereka lakukan bukanlah kesalahan jenayah yang melibatkan mangsa atau 'against personal body'. Mereka hanya menghadiri satu perhimpunan aman membantah ISA 8 tahun yang lalu. Pada ketika itu, mereka masih bergelar mahasiswa. Perhimpunan ini jugak tidak melibatkan sebarang insiden yang membahayakan atau mengancam keamanan masyarakat. Walau pihak pendakwa cuba berhujah dengan hujah 'public interest', namun pandangan saya secara peribaadi pihak peguam bela telah menghujah balas dengan baik. Malah Latheefa Koya membidas pendakwa raya yang acap kali menggunakan perkataan 'mereka telah melakukan jenayah' sedangkan mereka didakwa bawah seksyen 27 Akta Polis 1967 bukanlah Akta Kanun Keseksaan dan perkataan 'jenayah' bukanlah perkataan sesuai yang boleh digunakan.

Mahasiswi sedang mengumpul sumbangan duit


Suasana dalam mahkamah tadi juga begitu mengharukan apabila kami golongan mahasiswa yang masih belajar ni, yang memang tidak mempunyai pendapatan tetap melainkan biasiswa dan pinjaman PTPTN, turut berusaha untuk mengutip duit untuk menyumbang kepada tertuduh yang dikenakan hukuman denda tersebut apabila dimaklumkan masih kekurangan RM 1 ribu setelah semua orang termasuk peguam pembela dan keluarga mangsa mengumpulkan duit untuk membayar denda tersebut. Jumlah yang diperlukan mencecah hampir RM 25 000. Dalam masa tak sampai 10 minit, kami golongan mahasiswa dalam mahkamah tersebut dapat mengumpulkan RM 800. Kalau dulu dalam tamrin-tamrin pengkaderan, elemen tadhiah atau pengorbanan seperti ini dimodulkan untuk diterapkan dalam jiwa ahli-ahli, kami terasa seperti mendapat modul direct dari Allah Taala tadi, menguji setakat mana tahap pengorbanan dan kesanggupan kami untuk menyumbang dalam perjuangan ini. Sumbangan tersebut walaubagaimanapun dipulangkan kembali kepada kami kerana duit RM 1 ribu tersebut sudah mencukupi. Memang menakjubkan, tak sampai setengah jam, wang RM 25 ribu dapat dikumpulkan dari pelbagai sumber.


Ustaz Idris Ahmad, Ketua Penerangan PAS turut hadir, sedang berikhtiar mencukupkan duit untuk membayar hukuman denda


Sebelum kami semua berpusu-pusu masuk ke mahkamah majistret jenayah 4 untuk mendengar judgement bagi kes ini pagi tadi, kami berkumpul di lobi Kompleks Mahkamah Jalan Duta untuk sesi 'press statement' dan gimik menarik yang telah disediakan oleh aktivis-aktivis DEMMA yang menarik perhatian peguam-peguam dan orang awam yang lalu lalang di kawasan tersebut. Laungan 'student power' bergema juga di perkarangan lobi kompleks mahkamah walaupun kehadiran aktivis mahasiswa tidak begitu ramai, mungkin dek kerana universiti-universiti utama sedang bercuti.

Kes ISA 7 ini menjadi antara chapter penting dalam episod perjuangan aktivisme mahasiswa.Kes ini tak mungkin dapat dilupakan, dapat menjadi pembakar semangat mahasiswa untuk terus berjuang, malah boleh juga menjadi sebaliknya. Isu tentang AUKU dan ISA ini merupakan isu yang releven untuk terus diperjuangkan. Disebalik isu-isu politik yang terlalu kuat mendominasi minda kita kini, moga mahasiswa tidak terus alpa dan leka tentang perjuangan bersifat jangka panjang yang amat penting, isu AUKU dan ISA.

Merenung masa depan akta AUKU dan ISA


Sunday, June 14, 2009

SIGMA Wajar Menokohi Aina Bajuri dan Senator Mumtaz

Beberapa hari terpaksa saya tangguhkan keinginan hati untuk meng'update' blog kerana tuntutan alwajibat lain yang lebih awla untuk diutama dan didahulukan. Apatah lagi timbul beberapa isu terkini berkenaan dengan muslimat, 'Dewan Muslimat Kangkung Layu', isu SIS dan sebagainya. Hingga isu ini turut disambut mendapat perhatian muslimin seperti suami saya yang telah menulis satu posting khusus berkaitan muslimat. Tahniah dan tercabar saya dibuatnya !

Namun, saya tidak mahu cepat melatah, apatah lagi menyalah dan menuding jari pada sesiapa. Dalam isu Dewan Muslimat khususnya, saya tidak mahu terus melihat kelemahan kelompangan dewan tersebut secara simplistik tanpa analisis fakta yang lebih konkrit dan juga tanpa ada usaha di pihak kita sendiri untuk buat sesuatu. Agenda pemerkasaan generasi muslimat pelapis kepimpinan perlu diteruskan, praktikalnya perlu dibumi dan diaplikasikan.

Kali ini, ada dua tokoh yang mahu saya ketengahkan kepada muslimat. Saya mahu highlightkan kedua-dua tokoh ini supaya SIGMA tidak perlu blur dan mencapah dalam mencari-cari tokoh-tokoh yang releven dengan idealisme SIGMA. Saya tidak mahu SIGMA terlalu ideal dan romantis dengan hanya mampu mengungkap kehebatan tokoh-tokoh muslimat silam dalam lembaran sejarah perjuangan Islam sahaja, sedangkan kita gagal membaca pemikiran tokoh-tokoh tersebut secara berkesan, tidak mampu dijejakkan ke bumi dan diterjemahkan dalam lagak aksi perjuangan SIGMA dan Helwani PMI di kampus.

1. Aainaa Bajuri (Tokoh Muslimat Yang Hujahnya "Mikroskop")


Saya tidak berkesempatan lama bersama kepimpinan Kak Aainaa, namun saya banyak mengenalinya dari suami saya yang bersama beliau memimpin Wufi di UIAM dan GAMIS.

Sukar saya menemui pimpinan mahasiswa muslimat, termasuk juga muslimin, yang bukan sekadar berani mencabar idea-idea muslimin khususnya idea "konservatif" dan "fundamentalis", namun itulah karakter pemikiran Kak Aina.

Apa yang lebih memberikan added value kepada beliau adalah penguasaannya dalam bahasa Inggeris dan bahasa Arab. Bukan sekadar kekuatan yang tampak hilang dari majoriti aktivis pimpinan gerakan mahasiswa Islam, bahkan beliau adalah seorang yang sentiasa "menghitamputihkan" pandangan yakni sangat teliti dan "mikroskop" apabila bercakap. Tanpa research dan fakta, beliaulah orang pertama akan bangkit mempertikai sesuatu pandangan dari sesiapa sekalipun, setinggi mana sekalipun jawatan. Masakan tidak, beliau telah berkecimpung hampir 2 tahun dalam dunia R & D Ma'ruf Club UIAM.

"Mikroskop" juga adalah istilah yang sering dileterkan oleh Ustaz Ramadhan Fitri dalam pidato-pidatonya kepada mahasiswa sekiranya dikaji dengan mendalam. Itulah budaya berhujah dan bercakap yang kontang pada pimpinan kampus hari ini. Kita lebih gemar bersikap retorik dan sloganik, tetapi bila ditanya inti dan huraian konkrit setiap kenyataan, pada masa itu terzahir ketidakjelasan dan penyakit "goreng".

Sesungguhnya, wibawa seorang pimpinan gerakan Islam khususnya muslimat pada saat ini bukan lagi pada kepetahan pidato menerangkan Islam itu pada sudut "what" sahaja (makroskop), tetapi juga sudut "why", "when", "how", "who" yang lebih merujuk kepada aspek mikroskop.


2. Senator Mumtaz (Tokoh Muslimat Terbukti dan Teruji Berjiwa Besar)


Inilah satu-satunya pimpinan Dewan Muslimat yang baru yang satu-satunya berada di Dewan Negara. Saya secara peribadi mengharapkan satu ketika nanti Dewan Muslimat PAS Pusat akan dipimpinan oleh Kak Mumtaz.

Kahwin dan mendapat anak di masa belajar di AIKOL UIAM, namun tetap menjadi figura Anugerah Dekan di pentas akademik dan figura politikus menggugat ketika bersama memimpin MPP UIAM sehingga mampu berbahas dengan Allahyarham Tan Sri Ahmad Ibrahim. Suami saya pernah berpengalaman membuat brainstorm lebih dua jam dengan beliau (lihat "Hari Ini Mindaku Diasak Senator Mumtaz"), yang pernah mencatat rekod membahas lebih 60 rang undang-undang dari pelbagai sudut di Dewan Negara. Ruh Ustaz Fadzil Nor yang disegani kawan dan lawan dari BN semacam wujud dengan jelas dalam diri Kak Mumtaz.

“kita ada 28 kementerian. Sekurang-kurangnya 82 soalan perlu dihasilkan dengan 4 senator dari Pas yang ada sekarang ini. 1 kementerian kamu kena fikirkan 3 soalan.” Itulah ‘muqaddimah’ Senator Mumtaz yang sempat suami saya ceritakan pengalamannya dengan beliau pada tarikh kemenangan Muhammad al-Fateh di Konstantinople iaitu pada 29 Mei 2008 tahun lepas.

Insya-Allah, saya mahu menjadi seperti beliau. Bahkan saya telah menyatakan dengan sarahah dalam majalah Muslimah bulan ini.


Bahkan saya mahu adik-adik usrah UZA saya mengambil Kak Mumtaz dan Kak Aina sebagai mentor dan sasaran seterusnya siri-siri usrah pro aktif kami. Saya juga mengharapkan SIGMA dan gerakan muslimat PMI berkesempatan melakukan brainstorming sekurang-kurangnya 2 jam dengan mereka, justeru baru kita akan rasai tahap keupayaan pemikiran dan daya pembacaan luas mereka menumpaskan muslimat dan mungkin juga muslimin.

Saya menyebut dua tokoh ini bukan untuk berbangga dengan mereka tanpa objektif dan asas, bahkan saya bukan mahu membanding atau meremehkan kepimpinan SIGMA yang ada pada hari ini. Terus terang saya nyatakan bahawa 2 figura penting saya kagumi pada kepimpinan SIGMA hari ini adalah Kak Pidah dan Kak Munawirah.

Kak Pidah qudwah kepada saya bagaimana pidatonya mampu mempengaruhi, menceria dan menarik crowd termasuk muslimin, ia suatu kekuatan yang jarang saya lihat pada pimpinan muslimat kampus pada saat ini. Hebat pemikiran dan penulisan belum tentu berpengaruh pidato dan cara menterjemahkan idea di fikiran dalam bentuk lisan dan pengucapan awam. Kak Munawirah pula kini membuktikan kuasa muslimat memimpin projek mega sebesar Kongres Pendidikan, itu belum lagi mendalami pemikirannya yang sarat dengan idea-idea besar dan pemikiran-pemikiran baru.

Menyinggung seketika penulisan terbaru suami saya mengenai SIGMA, saya telah memberikan pandangan saya kepada beliau bahawa apa yang beliau nyatakan masalah kepada SIGMA hakikatnya sedang berlaku juga kepada "gerakan muslimin". Saya telah mencadangkan kepada suami saya supaya segera memikirkan masa depan "gerakan muslimin", bukan lagi muslimat. Jika muslimat berdepan dengan masalah kualitatif yang boleh dibaiki, muslimin sedang berhadapan dengan masalah kuantitatif dan kualitatif sekaligus berdasarkan beberapa sampel kampus yang saya temui yang tak perlu saya jelaskan di sini. Suami saya tampak sedang serius memikirkan gagasan saya ini. Moga gerakan muslimin tidak terus leka dibuai keselesaan dan keegoan mereka yang tersendiri.