Monday, May 25, 2009

Prison Break ; Muslimat Berani Cabar Status Selesa Dalam Diri?


Lama tak meng'update' blog, list perkara-perkara yang ingin di'update' hanya tinggal listing atas kertas semata-mata. Walau keinginan membara, tetapi masa makin tiada. Akhirnya, setelah hampir beberapa hari saya dan suami bertungkus lumus melengkapkan,mengemas dan menghias teratak Darul Syuhada kami ini kerana ada tetamu yang bakal menginap disini hampir tiga hari lamanya, dan setelah mak mertua dan keluarga mertua saya yang menjadi tetamu selamat kembali ke bumi Kelantan, kami me'reward' kan diri kami dengan sama-sama menonton sebuah tele-drama kegemaran kami, hingga ke siri terakhir Prison Break Season4 ini.

Selalunya siri-siri cerita sebegini hanya diminati kaum 'muslimin' atau 'ar-rijal', kerana secara fitrahnya golongan muslimat@perempuan ini kurang berminat dengan cerita-cerita yang melibatkan pemikiran, strategi dan aksi seperti ini tetapi lebih cenderung meminati cerita-cerita romantika ala-ala penuh kasih sayang, airmata tangisan dan yang bersalut pelbagai warna emosi. Mungkin ini juga menjadi salah satu punca muslimat tidak mampu menjadi penganalisis, strategis dan player yang baik dalam organisasi dek kerana faktor pendedahan kepada strategi critical thinking dan beraksi berani mengambil risiko ini agak kurang sebaliknya lebih cenderung kepada menjadi pekerja yang baik dan agen check and balance dalam decision-decision yang dibuat kerana elemen emosi dan teliti terhadap sesuatu perkara itu dominan dalam diri seorang wanita yang bergelar kaum Hawa.

Saya tidak katakan semua muslimat begini tetapi majoriti dan fitrahnya begini. Ini juga hikmah penciptaan lelaki dan perempuan untuk saling lengkap melengkapi antara satu sama lain dalam perjuangan. Namun, muslimat akan mampu pergi jauh lagi ke depan, dengan pakej yang lebih lengkap andai berani untuk mencabar status selesa @ status quo dalam diri dengan turut mengambil kisah tentang aspek pembinaan pemikiran dan idealisme.

Kita dah ramai stok muslimat yang hanya mampu menjadi 'tukang angguk' dan 'tukang geleng' dalam siri meeting-meeting penting gerakan, tetapi kekurangan muslimat yang lantang dan berani mengemukakan idea dan hujah berasas dalam mesyuarat, mampu memberikan strategi-strategi ampuh dan idea briliant dalam sesi-sesi brainstorming gerakan agar kehadiran muslimat yang sememangnya telah 'menang' dari sudut kuantiti turut dirasai kehadirannya dari sudut kualiti. Saya optimis muslimat kini makin bangkit dan makin berkualiti, moga perubahan ini terus konsisten kerana kitalah bakal-bakal pelapis kepimpinan negara masa akan datang.
Italic
Hasil analisis pandangan saya dan suami setelah selesai menonton Prison Break yang memang kami ikuti sejak dari Season 1 hinggalah ke season 4 telah dinukilkan dengan baik oleh suami saya dalam posting terbaru beliau. Justeru kali ini, saya menggunakan kaedah 'copy and paste' yang terancang dan setelah mendapat keizinan, agar blog ini tidak terus bersawang. Selamat menghayati :-)


Dahulu, ketika mendengar seminar Kenali Illuminati di UIAM, saya masih teringat kata-kata penceramah yang berkali-kali mencerita dan membuktikan kebijaksanaan golongan ini merekayasa bukti dan mengatur konspirasi demi konspirasi bagi memerangi Islam dan menawan dunia. Golongan ini digambarkan sebagai intelegen, think-tankers dan sangat halus perencanaan mereka, sukar untuk dikenalpasti apakah ia perencanaan mereka atau sebaliknya. Namun hakikatnya, golongan ini menjadikan dunia sebagai papan catur mereka, menjadikan umat Islam sebagai buah-buah catur yang akan mengikut telunjuk isu-isu yang mereka mainkan, sehinggalah umat Islam gagal bertindak sebagai player yang mampu berdepan dengan mereka sendiri di gelanggang menggunakan senjata minda dan akal.

Selepas seminar itu, saya hanya mampu mengetahui betapa liciknya Illuminati, namun saya masih belum mahu dan mampu untuk berbuat sesuatu bagi membuat persiapan diri saya dan generasi muda hari ini untuk membina bekalan kekuatan berhadapan dengan mereka. Illuminati dengan pelbagai proksi strategik di serata dunia yang mereka kuasai, dari penipuan pendaratan manusia di bulan, merekayasa perang dunia pertama, kedua dan segala perang-perang besar membabitkan AS dan Israel, UFO sebagai makhluk asing kononnya, sehinggalah kepada penggunaan senjata biologi seperti virus selesema babi yang merebak pada saat ini.

"Allah jua yang lebih baik perencanaan dari perencanaan mereka, walaupun perencanaan mereka mampu menghancurkan gunung." (Al-Quran)

Tidak perlu pelik Amerika menjadi polis dunia, menguasai dunia dan menjadi "khalifah yang menumpahkan darah" di atas dunia. Rakyat Amerika membaca 2 hari sebuah buku, umat Islam sebulan belum tentu mampu menamatkan sebuah buku. Obama yang mempunyai PhD tidak pernah disebut media dan rakyatnya sebagai Dr. Obama, menggambarkan betapa rendahnya martabat PhD sama taraf dengan Degree di Malaysia. Tidak perlu pelik Amerika menguasai dunia. Mereka berpegang kepada kata keramat Napoleon Benoparte, penguasa Eropah yang hampir tidak pernah tumpas dalam semua peperangan, "he who read will conquer the world" menjadi pegangan mereka.

Dari episod pertama season pertama Scofield membuat keputusan untuk menyelinap masuk penjara Fox River menyelamatkan "rakan"nya sehinggalah episod terakhir (22) di season terakhir (4) yang menyaksikan pemergian Scofield yang sanggup menembak mati ibunya sendiri demi "kawan"nya Burrows, Prison Break telah membantu saya meRASAi sendiri hakikat kebijaksanaan dan kegeniusan orang Amerika yang dizahirkan dalam satu plot cerita panjang lebar tersebut.

Yang tidak suka cerita yang "berat" dan "complicated", pasti akan berputus asa dari terus melihat PB, khususnya banyak babak-babak "sia-sia" di Season 3. Namun, saya dan isteri konsisten mengikuti siri hasilan teknologi Hollywood ini walaupun saya cukup kenal siapa di belakang tabir Hollywood ini. Namun, saya berpegang teguh pada prinsip Sun Zu, kenalilah musuh kamu, kamu takkan tumpas walaupun 100o peperangan.


Akhirnya, 4 season Prison Break memberikan satu mesej yang sangat menakutkan saya. Musuh-musuh Islam tidak pernah berhenti menuntut ilmu, belajar, membaca, mengorientalis dan meneroka kegeniusan mereka untuk memerangkap umat Islam, namun umat Islam terus lena dibuai mimpi kejahilan dan selimut jahiliah. Daya upaya jihad makin luntur, sementalahan dengan daya intelektual dan pembacaan yang sangat menakutkan statistiknya.

Secara zahirnya, PB berakhir dengan sebuah kemenangan "team work". Intelegen Scofield sahaja tidak memberikan apa-apa makna jika kelebihan dan keunikan yang ada pada teamnya yang lain tidak digabungkan dalam satu pasukan untuk menghadapi 2 team besar dalam The Company. PB bukan sebuah jalan cerita yang mudah untuk diteka kesudahannya pada setiap 45 minit setiap satu episodnya, bahkan penghujung segala penghujung season itu sendiri.


PB sememangnya dibuat untuk menguji ketajaman IQ penontonnya, sejauhmana the separated puzzle itu boleh disusun semula dan diteka apakah gambaran besarnya oleh penontonnya. Persis seperti filem Liar Game (Jepun) yang pernah saya tontoni. Kemunculan Kellerman sebagai "penyelamat" sebenar di klimaks PB ini membenarkan hakikat "in politics, nothing happened by accidents".


Prison Break (PB) di hujung plotnya menunjukkan betapa pentingnya objek bernama Syclla dalam mencetuskan perang antara China dan AS-Eropah, ia mampu dijadikan objek busines paling mahal di atas dunia. Jika ada berminat dengan teka-teki, lihatlah PB, nescaya anda akan dibuai dengan pelbagai teka-teki dan lebih malang lagi tekaan anda silap. PB hakikatnya mendedahkan bahawa segala isu-isu besar yang berlaku tidak boleh dibuat kesimpulan dan tekaan yang begitu simplistik. Jangan melihat sesuatu isu-isu besar sama ada dalam mahupun luar negara dengan sebelah mata sahaja (simbolik Dajjal), kerana kejayaan gerak kerja Dajjal adalah apabila media massanya berjaya mengaburi umat Islam dari melihat sesuatu isu dengan sebelah mata sahaja, bukannya dengan kedua-dua belah matanya, yakni pengkajian yang lebih mendalam dari mata pandang awam.

Sejak 3 tahun lepas lagi, kami konsisten dengan Series ini. Tidak lain dan tidak bukan untuk meRASAi sendiri sejauhmana tahap genius dan kebijaksanaan orang Amerika yang terzahir dalam filem-filem mereka, khususnya musuh-musuh Islam di sana yang mempunyai hubungan dengan Illuminati. Media yang menjadi lidah bicara mereka, kekadang boleh tersasul mendedahkan strategi mereka mengkaderkan proksi-proksi mereka. Ia semenangnya terserlah secara tersirat dalam plot-plot cerita PB.

Kepada yang tidak mampu menghabiskan The Art of War (Sun Zu) atau belum melihat Red Clif yang mirip kepada strategi perang ala ketimuran, tidak salah untuk melihat PB bagi melihat pula sisi strategi perang ala kebaratan, bagaimana mereka menyerlahkan kebijaksanaan dan kegeniusan menumpaskan musuh yang kekuatannya adalah peluru dan bom, akhirnya tumpas kepada kuasa sebuah "minda" dan "team work".


Saya masih ingat satu tulisan mengenai "Kenapa Yahudi Bijak?" (tesis PhD Dr Stephen Carr Leon), sehingga hampir 70% perniagaan di dunia dikuasai oleh kaum Yahudi, dari kosmetik, pakaian, pemakanan, senjata, perhotelan, perfileman di Hollywood dan sebagainya. Di Israel, ibu yang mengandung akan sering menyanyi, bermain piano, membeli buku matematik dan menyelesaikan masalah matematik bersama suami. Yahudi dididik menjadi bijak, mahir menggunakan otak kanan (menyanyi, piano) dan kiri (matematik, genius) bukan semasa di sekolah, tetapi sejak dalam perut ibu lagi. Seterusnya dari darjah 1 hingga 6 lagi, anak anak Yahudi akan diajar metamatik berkonsepkan perniagaan dan pelajaran sains amatlah diberi keutamaan. Dr Stephen membuat perbandingan dengan anak anak di California, ianya jauh berbeza tentang IQ dan boleh dikatakan 6 tahun ke belakang! Segala pelajaran akan dengan mudah di tangkap oleh anak Yahudi. Selain dari pelajaran tadi, sukan juga menjadi kewajipan bagi mereka dan sukan yg diberi keutamaan ialah memanah, menembak dan berlari, yang dapat melatih otak mereka memfokus sesuatu perkara.

Sebab itu tidak perlu pelik setiap Yahudi yang lahir bukan sekadar mampu menjadi tentera, tetapi penguasa dunia dengan pengetahuan dan teknologi. Lantaran kerana apa ? Kerana mengkaji lebih mendalam tentang sunnah-sunnah Nabi dan fakta-fakta dalam al-Quran seperti pengetahuan ahlul Kitab dahulunya mengenai Nabi, lantas mereka "mencuri" nya untuk membunuh kita sendiri umat Islam. Memanfaatkan kekuatan yang ada pada musuh (Islam) adalah strategi besar mereka.

Jepun melalui salah satu prinsip Samurainya iaitu Keisan (kreatif mengambil idea dari sesiapa sahaja termasuk musuh dan inovatif mengacu idea tersebut sehingga pattern yang terbentuk adalah acuan mereka sendiri). Lihatlah teknologi keretapi yang ditemui di Amerika tetapi Jepun yang berjaya menghasilkan keretapi terpantas dunia, Bullet Train yang mencecah kelajuan 500 km sejam. Jepun tahu memanfaatkan idea dari musuhnya Amerika yang pernah mengebom mereka sehancur-hancurnya di Hiroshima dan Nagasaki. The Last Samurai mengesahkan prinsip Keisan ini apabila Kitsumoto tidak membunuh Tom Cruise, bahkan melatihnya dan memanfaatkan untuk menjadi Samurai Jepun.

Sempena 29 Mei 2009 ini, marilah sama-sama kita mengenang seorang tokoh yang telah lama mengasaskan prinsip Keisan Jepun ini iaitu Sultan Muhammad al-Fateh, model anak muda yang menepati kriteria "ulama profesional" yang sangat menggerunkan musuh. Baginda mempelajari 7 bahasa yang boleh dikatakan kesemua bahasa itu adalah kebanyakannya bahasa musuh-musuh Usmaniah pada masa itu. Kerana apa baginda pelajari ? Beliau mempelajari 7 bahasa dengan tujuan untuk mendedah dan mengorek semua dokumen peradaban, pemerintahan dan strategi perang bangsa-bangsa terpenting di Timur Tengah dan Eropah, termasuk musuh-musuh Islam sendiri, lantas mempunyai idea geliga untuk menguasai kubu terkuat dunia itu.

Read, you will conquer the world.

Iqra bismirabikallazi khalaq !


NOTA
Paul T. Scheuring dikhabarkan menamatkan PB dengan tujuan untuk memulakan drama baru "Masterwork". Beliau mensifatkan series baru ala PB tersebut as “a race against time to recover the world’s most sought-after artifacts.” Nampaknya Paul Scheuring dah jadi macam Dan Brown, buat series ala Da Vinci Code dan Angel & Demon. Teruskan mendedah kelicikan Iluminati.

Tuesday, May 12, 2009

Drama Perak dan "My Dream"

Cepat sungguh masa berlalu, pelbagai keputusan dan keadaan boleh berubah dengan sekelip mata. Tak sempat rasanya ramai blogger yang menganalisis politik menulis dan mengulas tentang isu keputusan mahkamah yang mengisytihar Ir Nizar sebagai Menteri Perak yang sah, keputusan itu kini ditangguhkan pula hasil rayuan Datuk Seri Zambry Abd Kadir kepada mahkamah Rayuan. Penangguhan keputusan mahkamah itu diberikan sementara menunggu selesai rayuan yang dikemukakan oleh Zambry berhubung perkara tersebut. Keputusan 'stay of execution' daripada mahkamah rayuan pagi ini bermakna keputusan mahkamah tinggi semalam akan tergantung sehingga keputusan rayuan diumumkan.

Drama politik Malaysia makin dasyat. Kadang-kadang rasa muak dan jelek dengan apa yang berlaku. Tetapi inilah politik. Disebalik kemuakkan dan kejelekan itu, disitulah terletaknya satu kuasa untuk memerintah yang menjadi tuntutan buat kita untuk merebutnya kerana tuntutan syariat untuk menegakkan syariatullah dan kalimah Allah di muka bumi ini.

Saya yakin, Datuk Seri Ir Nizar sendiri, isteri beliau, Datin Seri Fatimah dan keluarga beliau sendiri sudah tentu sudah amat letih berdepan dengan pelbagai ujian dan sandiwara dalam lingkaran politik Perak yang masih tak berkesudahan ini. Kita yang tidak ada kaitan secara langsung inipun terasa 'berat' dan 'letih' melihat sandiwara perebutan ini, apatah lagi yang melalui, yang menanggungya. "Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul".


Tetapi, seperti yang telah diulas oleh suami saya dalam blognya, Datuk Seri Ir Nizar bukanlah sebarangan orang. Walau ramai yang melihat 'figure' ini tiba-tiba muncul dalam kemelut politik Perak, namun kewibawaan, kekuatan, ketabahan beliau mentadbir Perak sebelum ini dan rentak dan aksi beliau dalam melalui ujian rampasan kuasa ini adalah satu testimoni yang jelas untuk menjadi bukti bahawa insan ini bukanlah 'accidentally figure' yang muncul kerana tekanan dan terdesak. Kita perlu melahirkan lebih ramai Ir Nizar dalam PAS dan Pakatan Rakyat.

Saya dan suami sejak dari membaca keputusan mahkamah semalam asyik bercakap tentang isu ini, membuat andaian, 'prediction' terhadap apa yang terjadi dan apa yang bakal terjadi seterusnya. Mungkinkah semua ini sudah dalam perancangan pihak-pihak tertentu ataupun ianya terjadi kerana 'out of control' sesetengah pihak yang terbabit. Ataupun mungkinkah benar institusi kehakiman yang agak diragui sebelum ini telah dapat 'dijernihkan' kembali? Ataupun inipun sekadar tempelan kosmetik terhadap perancangan grand design yang lebih dasyat yang ingin dilaksanakan? Manusia hanya mampu membuat andaian dan jangkaan, tetapi suratan Allah telah tetap tersusun kemas menanti masa untuk dipersembahkan kepada hamba-hambaNya yang lemah.

Iktibar buat saya juga, betapa pentingnya saya benar-benar menguasai displin ilmu yang sedang saya ceburi kini iaitu bidang Undang-undang. Kadang-kadang tak dapat dinafikan, rasa begitu lelah menelaah matapelajaran demi matapelajaran yang terpaksa saya hadapi dalam setiap semester. Keputusan peperiksaan, CGPA pun nampaknya kini makin tidak memuaskan, menghadapi masalah fokus tumpuan yang agak mencapah menyebabkan ada aspek yang terlepas pandang gagal diambil kisah dengan baik. Semuanya ini terjadi bila semangat mulai luntur, matlamat mula jadi kabur. Maka proses re-energizing perlu dilakukan segera.

Dalam krisis Perak yang sebegini, institusi kehakiman, mahkamah dan perundangan terus hangat diperkatakan. Malah dalam banyak hal, apa-apa hal sekalipun, isu perundangan ini terus relevan kerana bidang inilah bidang yang dapat membuat final judgement di atas dunia yang fana ini. Saya kadang-kadang terkial-kial jugak menjawab persoalan demi persoalan yang dilontarkan rakan-rakan yang mahu mengetahui lanjut dari aspek perundangan mengenai sesuatu isu. Mungkin kerana penguasaan saya terhadap bidang yang saya ceburi ini belum begitu baik. Justeru, seruan buat saya dan semua terutamanya golongan mahasiswa, kuasai dan jadilah pakar dalam bidang disiplin ilmu yang telah kita ceburi. Kerana disinilah kunci penting kita mampu berperanan dan memberi sumbangan yang optimum kepada gerakan dan perjuangan Islam yang kita intima'. Jangan sekadar menjadi orang 'biasa-biasa' sahaja dalam bidang kita sendiri. Dah rumah kita, kita lah kena jadi tuan rumah.

Saya melihat bagaimana beberapa tokoh penting dalam bidang perundangan seperti Prof Aziz Bari, Sulaiman Abdullah, Hanipa Miaden, Zulkifli Nordin dan lain-lain terus diperlukan dalam perjuangan ini dek kerana kekuatan dan kepakaran dalam bidang perundangan yang mereka ada. Generasi muda kini seharusnya bersiap sedia untuk menggantikan generasi mereka ini yang pastinya akan pergi suatu hari nanti. Kita kena letakkan matlamat yang jelas, kemana haluan perjuangan kita selepas ini. Kena juga sentiasa 'check' matlamat ni dan 'up to date'.

Masa saya ditemuramah oleh Kak Hidayah a.k.a Ustazah Engineer tentang aspek kepimpinan muslimat muda yang tak sempat lagi saya nak kongsikan sepenuhnya disini, saya diasak oleh beliau untuk benar-benar spesifik dan measureable dalam mengatakan sesuatu. Saya ingat selama ni memang suami saya dah selalu 'train' saya bercakap spesifik dan jelas tentang sesuatu. Rupanya tak cukup lagi, dan terima kasih sangat pada Kak Dayah yang telah mengajar saya sesuatu yang berharga. Pernah suami saya kata, dia cukup tak berkenan dengan muslimat yang bila bercakap suka bercakap atas angin, tak mampu bagi huraian jelas dan contoh spesifik tentang sesuatu. Paling beliau pantang, suka sangat sebut 'dan lain-lain','dan sebagainya' dan yang seangkatan dengannya. Jadi, bila saya berhujah dan berbahas dengan suami tentang sesuatu isu, saya selalu diingatkan beliau tentang aspek ini.

Saya sahut seruan Kak Dayah untuk letakkan matlamat yang spesifik untuk 'self projection' saya masa akan datang. Saya benar-benar ingin menjadi seorang pakar dalam bidang perundangan spesifiknya undang-undang perlembagaan. Sebelum umur saya mencecah 40 tahun, saya meletakkan target, saya dah boleh jadi macam salah seorang idola dan pensyarah saya yang cukup terkenal dalam imu perlembagaan ini, iaitu Prof Aziz Bari. Saya sudah mampu menjadi rujukan dalam negara ini dalam ilmu perlembagaan sebelum umur saya 40 tahun, insyaAllah.


Tuliskan matlamat dan 'dream' kita, bukan untuk riak, tetapi sebagai satu cetusan semangat buat kita. Bila kita baca, kita akan ingat kembali. Saya takut juga nak tulis pasal dream ni mulanya. Yelah, kalau tak jadi, malulah saya. Tapi ketepikan semua tu dulu. Berfikiran positif. Redah je..

Catatan muhasabah ringkas buat diri ini..

Sunday, May 10, 2009

Catatan Baitul Muslim MSNS


Hampir dua minggu bergelumang dengan 'alam pekerjaan' (praktikal di firma guaman) membuatkan saya kini makin terdedah dengan realiti kehidupan perjuangan masa akan datang. Alam pekerjaan sebegini akan hadir dalam hidup kita, sama ada kita bersedia atau tidak. Tuntutan globalisasi dan kedudukan ekonomi negara kita yang meruncing menyebabkan tempiasnya terkena pada kita sebagai rakyat, tiada ruang melarikan diri. Suami isteri bekerja sudah menjadi fenomena biasa dek kerana tuntutan kewangan menyara sebuah keluarga yang melibatkan kos yang agak besar, tidak cukup untuk mengharapakan duit gaji suami semata-mata. Kos hidup di Lembah Klang ini, andainya gaji hanya sekadar RM 1500 ke bawah, telah termasuk bawah paras kemiskinan. Apatah lagi, golongan wanita masakini bukan lagi seperti zaman dahulu kala yang tidak berpendidikan tinggi, tidak bekerja. Wanita kini mahu berdiri atas kaki sendiri, menempuh cabaran di alam pekerjaan setelah berpenat lelah mendapatkan segulung ijazah. Wanita bekerjaya ini ada 'pro' dan 'contra' nya, berbeza-beza bergantung rapat kepada fakta kes masing-masing.

Apa yang ingin saya nyatakan disini, bukanlah berkisar tentang wanita bekerjaya yang saya rasa telah banyak dikupas sebelum ini, tetapi betapa pentingnya memilih pasangan hidup yang ada fikrah 'perjuangan' sebagai salah satu jaminan istiqamah di medan dakwah ini. Saya tidak mengatakan Baitul Muslim ini adalah segala-galanya, namun mungkin segala-galanya boleh bermula dengan Baitul Muslim.

Saya dan suami kini bekerja bermula dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang setiap hari bermula dari hari Isnin hinggalah Jumaat. Akibat cabaran kesesakan jalan raya dan juga tuntutan kerja yang kadang-kadang tak mampu disiapkan tatkala jam 5.30 petang menjengah, hampir waktu Maghrib baru kami mampu bersama-sama berada di Darul Syuhada, no.36 ini. Seharian membanting tulang di tempat kerja, walau bekerja dalam kondisi berhawa dingin, bukannya berpeluh di sawah atau ladang, kepenatannya hanya yang merasai akan mengetahui. Dulu saya sendiri pun pernah terfikir, kerja kat pejabat dengan ada 'air-cond', kerusi empuk, ada kawan-kawan sekerja bersama-sama, ada kemudahan internet untu di'akses', takkan lah penat sangat, mesti relax je. Bila dah mula praktikal ni, baru saya sedar diri, hakikat sebanar yang dilalui hampir majoriti ahli masyarakat kita kini.

Hampir setiap malam kepenatan, mampukah lagi untuk sahut seruan perjuangan seperti mesyuarat, brainstorming, usrah dan sebagainya tatkala ada seruan sebegini datang? Ini belum lagi bincang soal 'anak-anak dan masalah-masalah mereka' andainya telah mempunyai anak untuk diuruskan. Mesti tambah berkaliganda lagi kepenatan tersebut. Hujung minggu yang ada pula adalah antara kesempatan 'emas' untuk beristirehat dan melakukan kerja-kerja rumah. Andai ada seruan tamrin atau program, mampukah untuk kita melangkah pergi tatkala tentatif hidup seharian sudah padat, tinggal hujung minggu saja masa yang ada untuk diri dan keluarga?

Inilah antara dilema dan sekelumit cabaran yang perlu dihadapi bila berdepan dengan alam rumahtangga dan kerjaya. Sangat berbeza dengan perjuangan 'single' di kampus. Sangat berbeza. Di kampus, bila kita mungkina agak terleka dengan perjuangan dek kerana tuntutan akademik yang mengganas, atau kerana masalah-masalah diri yang dihadapi, kita masih ada sahabat-sahabat untuk mengingatkan, untuk 'tarik' kita kembali ke medan perjuangan. Sahabat-sahabat sangat dekat di hati mahupun fizikal kita tatkala di kampus. Tapi, dalam realiti hidup berumahtangga dan bekerjaya, pasangan hiduplah faktor yang terpenting. Dialah insan yang paling rapat, dekat dengan hati mahupun jasad kita ini.

Kalau tidak, masakan Imam Hassan Al-Banna menggagaskan hierarki kedua ke arah pembentukan daulah islamiyah ini adalah pembinaan "Baitul Muslim". Penting untuk mempunyai pasangan yang faham fikrah perjuangan Islam ini, ketepikan dulu perjuangan dengan manhaj yang bagaimana, asalkan mahu dan sedia berjuang untuk Islam. Pasangan yang sama-sama saling memahami tugas dan taklifan memperjuangkan fikrah suci Islam ini akan lebih mudah berdepan dengan pelbagai cabaran dan halangan di alam rumahtangga nanti.


Bila berdepan dengan kekangan masa bersama antara suami isteri yang terlalu minimum kerana ada sebahagian masa yang terpaksa diinfaqkan ke jalan perjuangan, kita mampu untuk berlapang dada malah berasa bangga dengan apa yang telah dicurahkan seterusnya sama-sama mencari alternatif lain untuk terus memastikan kemesraan hubungan cinta akan terus berkekalan dalam tempoh masa sedikit yang kita ada. Bila kita kesempitan duit kerana jalan perjuangan ini sentiasa menuntut pengorbanan, kita tidak akan cepat mengeluh dan putus asa, malah syukur denan nikmat ujian kesusahan yang Allah beri ini. Dikala hati rasa malas dan culas untuk berjuang lagi, ada orang yang sangat kita sayang dan dekat dihati kita yang akan mengingatkan, memberi dorongan semangat, yang mampu membangkitkan aura berjuang kita. Tatkala kita perlukan bantuan yang amat sangat dalam kerja-kerja yang kita lakukan, pasangan yang 'memahami' sudah tentu tak kekok untuk menghulurkan bantuan, malah dia juga akan sanggup berkorban bersama-sama kita. Dan yang paling penting, akan ada insan yang boleh mengingatkan kita bahawa kita tidak hanya ingin bercinta dan berkasih sayang di dunia ini sahaja, kerana kita akan mati dan terpisah. Yang paling utama, adalah untuk 'bersama selama-lamanya di akhirat sana. Hidup dengan penuh cinta dan kasih sayang tanpa terpisah di akhirat sana. Justeru, bekalan untuk ke sana perlu mantap, di dunia sinilah bersama pasangan yang seiring kita mengutip dan menyiapkan bekalan ke sana.

Saya amat bersukur kerana Allah izinkan saya dan suami merasai nikmat berjuang dalam suasana Baitul Muslim yang telah kami dirikan. Walau tempoh masanya terlalu amat sangat masih singkat untuk dijadikan kayu ukur keistiqamahan kami, saya optimis momentum ini insyaAllah akan boleh dikekalkan berkat doa dan ilmu yang diamalkan yang perlu seiring berjalan. Kami tak mahu menambah lagi bilangan kes Baitul Muslim yang 'hampeh', 'pancit' di tengah jalan, tunduk pada tekanan dan cabaran. Cukuplah dengan yang dah ada.

Cita-cita saya untuk berkahwin dengan seorang pejuang telah Allah maqbulkan. Walau dulu masa saya masih di menengah rendah, saya pernah bercita-cita untuk berkahwin dengan bekas penagih dadah atau bekas banduan dek kerana saya ini seorang yang agak agresif yang sukalan cabaran dan sukakan penjara, namun Allah lebih mengetahui yang terbaik buat saya. Ramai juga yang menanyakan perihal baitul muslim ini pada saya, saya cuba menjawab apa yang termampu kerana jelasnya saya bukanlah yang terbaik.

Saya dan suami sudah kenal agak lama. Semasa saya di tingkatan 5 di Kolej Islam Sultan Alam Shah lagi. Namun, hubungan kami tatkala itu hanya sekadar hubungan ukhwah dalam gerak kerja demi menggerakkan tarbiah di bumi waqafan tercinta. Ikatan kami menjadi lebih serius setelah satu surat 'lamaran' hadir ke rumah saya setelah saya tamat tingkatan 6 Rendah di Kolej Islam Sultan Alam Shah. Surat yang amat-amat sangat mengganggu gerak kerja dan emosi saya ketika itu. Surat yang tak pernah saya harapkan, surat 'gangguan' yang cukup saya benci. Namun akhirnya, apabila hampir tamat tingkatan 6, setelah puas istikhorah dan risikan demi risikan telah saya lakukan, setelah mak ayah juga perkenankan, insan itu hadir dalam hidup saya sebagai insan istimewa yang bakal bergelar 'suami' saya. Seribu satu cabaran kami tempuh sebenarnya sebelum aqad nikah dapat dilangsungkan. Biarlah ianya menjadi memori antara kami berdua dan rahsia antara kami dan Allah Taala. Sejak dari tarikh saya menerima insan itu, sejak itu lagi telah tercatat tarikh aqad nikah yang telah kami persetujui. Ini antara penekanan yang ingin saya kongsikan, betapa pentingnya suatu 'perancangan' yang khusus dan spesifik dalam perangkaan baitul muslim ini. Jangan sesekali bermain-main dengan aspek ini. Perancangan menjadikan kita bersedia. Persediaan menjadikan kita yakin. Keyakinan insyaAllah dapat memudahkan perancangan yang telah dirancangkan. Doa yang tidak henti, tidak putus, sememangnya satu kewajipan yang tak boleh ditinggalkan dalam fatrah ini. Cukuplah sedikit perkongsian memori kami menuju baitul muslim ini.


Buku ini hadiah dari suami semasa kami pulang bercuti di kampung di Kelantan. Buku ringkas yang bermakna, tercoret catatan seorang isteri kepada Ulama tersohor di negara ini. Inspirasi penting buat saya untuk terus memacu perjuangan ini sebagai seorang isteri. Alhamdulillah, mampu saya tamatkan bacaan buku ini dengan cepat dan pedoman penting telah saya catat. Walau selepas membaca buku ini, timbul juga beberapa konflik dalam diri saya kerana buku ini menceritakan perihal seorang isteri yang setia berjuang di rumah mengurus rumah, mendidik, mentarbiah anak-anak tatkala suaminya keluar berjuang. Isteri yang begitu suci terjaga dari hiruk pikuk suasana politik yang dilalui oleh suaminya sendiri. Tapi saya ni, jarang lekat di rumah walau telah berkahwin, macam mana nak jadi macam Datin Tuan Sabariah? Apatah lagi saya juga punya cita-cita yang sama dengan suami untuk terjun secara 'direct' dalam dunia politik. Kalau beliau di dewan rakyat, saya akan berjuang di dewan negara sebagai senator. Justeru, bagaimana pula orientasi gerakan baitul muslim kami selepas ini? Bolehkah kami jadi seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datin Tuan Sabariah? Mungkin akan masuk dalam agenda brainstorming kami malam ini :)


Suami saya pula masih asyik membaca buku ini. Cinta di Rumah As-Syahid Imam Hassan Al-Banna. Memang menarik. Suami saya bercita-cita untuk menjadi ketua keluarga yang sehebat Imam Hassan Al-Banna. Saya turut tertarik dengan isi kandungan buku ini. Bagus untuk persiapan membina baitul muslim yang hebat.

Moga Allah terus pelihara ruh perjuangan dan keberkatan baitul muslim yang kami bina. Moga pejuang-pejuang yang lain juga akan menemui baitul muslim impian masing-masing. Saya mendoakan kemudahan buat semua.


Saturday, May 9, 2009

Sekitar Kenangan Penghantaran Memorandum Maaruf Club

Saya tidak pernah terlibat secara langsung dalam agenda penhantaran memorandum peringkat nasional seperti ini. Kalau ada pun, hanya sekadar jadi penyokong meramaikan audiens. Bila kali ini, dalam isu sensitif berkenaan dengan status agama anak bagi pasangan non-muslim yang menjadi muslim ini, saya diberikan tugas yang agak berat buat saya, membuat research dan draf memorandum ini berseorangan. Memang sangat bermakna pengalaman ini walau telah agak berlalu agak lama, baru berkesempatan untuk update. Saya bersyukur, saya puas. Apa implikasinya, saya terima dengan reda.

Alhamdulillah juga, hasil desakan dari pelbagai pihak, termasuk mungkin desakan memorandum yang kami hantarkan ini, walau mungkin hanya picisan di mata pentadbir, akhirnya keputusan kabinet itu ditarik balik untuk diadakan penelitian semula tentang isu ini dengan lebih mendalam. Alhamdulillah. Inilah yang dikatakan 'tipping point'. Sedikit sahaja yang perlu dilakukan, tetapi hasilnya besar.


Gerakan Srikandi Muslimat Muda ( SIGMA )



Monday, May 4, 2009

Himpitan Emosi

Saya benar-benar dihimpit emosi yang pelbagai. Tiga hari bercuti di kampung tercinta, nun jauh di Kedah sana, sekali lagi terpaksa berjauhan dengan suami tercinta dek kerana tuntutan perjuangan yang menuntut beliau kekal di sini. Saya redho, kuatkan hati melangkah pulang berseorangan ke kampung. Namun, saya menikmati saat-saat yang paling indah bersama mak ayah tercinta di kampung sana.

Saya bukan saja-saja hendak pulang ke kampung, sejak bergelar pelajar asrama semenjak dari tingkatan 1 hingga ke tingkatan 6 saya memang jarang-jarang pulang ke kampung. Apatah lagi sejak menuntut dan berjuang di bumi tarbiah waqafan, KISAS. Masuk ke 'Garden of Knowledge and Virtue' ni pun saya jarang pulang ke kampung. Setelah berkahwin ni pun, jarang-jarang jugak pulang. Sibuk berjuang mungkin.

Sejak dari 2,3 minggu yang lalu hati saya memang asyik meronta-ronta untuk pulang. Berita demi berita yang saya terima dari abang dan kakak-kakak saya tentang tahap kesihatan mak dan ayah saya terutama sekali ayah saya amat tidak menenangkan hati saya. Cukup untuk membuatkan saya tak keruan dan meniti, menghitung hari hendak pulang menjenguk dua insan yang terlalu amat berjasa dalam hidup ini. Dua tiga kali saya menangis disisi suami kerana risaukan mak dan ayah yang hanya tinggal berdua di kampung. Apakan daya lagi yang mampu saya lakukan.

Mak dan ayah tiga tahun yang lalu

Di kampung, sepenuh masa saya maknakan untuk bersama mereka. Saya urut jari-jemari ayah yang kesakitan. Urat-urat tua cukup jelas kelihatan. Sesekali beliau mengerang kesakitan. Tangan itu yang dulunya gagah memulas stereng teksi mencari nafkah untuk kami berenam nampak makin uzur dan lemah. Namun, tangan itu yang dulunya selalu membelai rambut saya dengan kasih sayang, hingga kini masih lagi penuh dengan kasih sayang. Tubuh ayah makin kurus, mungkin kerana penyakit kencing manis yang dideritainya selama beberapa tahun kebelakangan ini. Menitis airmata ini pertama kali menatap tubuh ayah yang makin kurus. Tetapi susuk tubuh itu, senyuman di wajahnya masih sama macam dulu, penuh kasih sayang. Usia yang kini mencecah 73 tahun, tidak memungkinkan saya untuk mengharapkan ayah yang sekuat dan segagah dulu. Yang mampu melakukan hampir semua kerja dengan tangannya sendiri. Ayah kini makin tua dan uzur, makin lemah. Hakikat yang saya perlu terima.

Emak pula hampir mencecah 67 tahun. Rambut beliau sudah tidak ada yang hitam, sudah putih kesemuanya. Mak masih lagi sakit di bahagian pinggang, sama macam dulu. Malah saya yang muda ini juga turut mewarisi sakit bahagian pinggang ini. Malah kadang-kadang, mak mengalami sakit kepala yang menyebabkan tidak boleh tidur malam langsung. Mak tak pernah berubah, sama macam dulu. Melayan saya sama macam saya masih lagi kanak-kanak, anak bongsu yang sangat disayanginya. Saya masih macam anak dara, anak bongsu mak dan ayah. Mak juga makin dimamah usia. Tak mampu lagi nak melakukan kerja-kerja berat seperti dahulu. Tapi mak juga penuh dengan kasih sayang yang melimpah-limpah. Saat tidur di tepi mak, tubuh mak yang maik tua itu saya peluk, pipinya saya cium berkali-kali. Saya renung muka mak yang menyimpan seribu satu erti. Ibu inilah yang telah membesarkan kami adik beradik dengan penuh susah payah. Beliau sangat tekun dan tabah. Sabar dengan apa saja yang menimpa.

Ayah dan mak dalam usia 'emas' mereka ini, saya perhatikan amalan ibadah mereka makin hebat. Sejak dulu lagi hampir 5 waktu mereka mesti berjemaah. Setiap kali lepas solat, mesti membaca Al-Quran. Setiap kali lepas Subuh, bacaan Yaasin akan dilaungkan setiap hari. Amalan tahajud dan dhuha tetap mereka amalkan sama macam dulu walau dalam keuzuran. Kuliah-kuliah dan forum-forum dan perbincangan agama dalam TV atau radio menjadi tentatif harian yang mesti mereka ikuti. Betapa hebatnya mak dan ayah. Mungkin inilah rahsia kejayaan mereka, membina rumahtangga yang cukup bahagia yang mampu bertahan hingga kini. Dalam usia 23 tahun saya ini, saya tak pernah melihat mak dan ayah bergaduh ataupun bertengkar. Nak melihat mereka berpisah berjauhan 3 hari sekalipun tak pernah. Mereka tak berpendidikan tinggi, namun anak-anak mereka dididik untuk mementingkan pendidikan dan pelajaran. Hasilnya saya kira cukup membanggakan. Mereka sangat hebat mendidik anak-anak mereka kerana mereka sangat dekat dengan Tuhan.

"Anak-anak ni amanah Allah, kena jaga elok-elok. Bukan sebab nak harap anak balas jasa kita, tapi sebab Allah yang suruh didik anak. Kena buatlah"

Jawapan mak tatkala saya mengucapkan terima kasih atas segala jasa beliau pada saya mendidik dan membesarkan saya. Saya juga mohon maaf pada mak kerana takut saya tak sempat balas jasa mak dan ayah.

Saya memang sangat takut kalau saya tak sempat membalas jasa mak dan ayah. Andainya mereka pergi dahulu ataupun saya yang mendahului mereka. Dulu, sebelum saya berkahwin pun, persoalan ini jugaklah yang selalu mengganggu saya. Orang kata, nak balas jasa mak ayah ni kena belajar sampai habis, kerja tinggi-tinggi, kemudian boleh bagi duit banyak-banyak kat mak ayah. Sebelum kahwin boleh la berbakti banyak-banyak kat mak ayah. Saya ni belum habis belajar lagi dah kahwin. Apatah lagi nak kerja lagi nanti, belum pasti lagi nasib saya macam mana. Bila nak balas jasa mak ayah?

Saya pasakkan niat, nak berbakti pada mak ayah sejak dari sekarang. Doakan mak dan ayah setiap kali lepas solat adalah wajib. Dengan berkahwin, sekurang-kurangnya saya dah terhindar dari dosa 'bercouple' dan sebagainya, yang mana dosa ini akan turut ditanggung oleh mak ayah. Saya dapat berikan seorang lagi 'anak' untuk mak ayah saya iaitu suami saya. Bertambah orang yang akan mendoakan mereka. Suami saya juga selalu ingatkan saya, perkahwinan kita ini akan memberikan manfaat yang besar buat mak ayah juga. Kami akan laksanakan sedayanya insyaAllah. Keutuhan rumahtangga, prinsip hidup suami isteri yang cukup harmoni antara mak dan ayah akan kami jadikan panduan. Merekalah pasangan terbaik untuk ikutan kami melayari bahtera rumahtangga ini.



Terima kasih yang tak terhingga buat mak dan ayah. Tiada kata lain yang mampu diungkapkan. Maafkan segala kesalahan dan kesilapan anakmu yang sorang ini.

Berbaktilah kepada ibu dan ayah kita sejak dari sekarang. Hargailah mereka tatkala mereka masih ada. Jangan jadikan perjuangan sebagai alasan mengabaikan tanggungjawab kita sebagai anak. Bijaklah melihat dan menilai keperluan.

Terima kasih juga buat suami tersayang atas posting terbaru beliau. Saya di Kedah hanya dimaklumkan beliau ada 'sesuatu istimewa' di blognya. Saya tidak mengagak apa-apa, ingatkan dia buat layout baru, ada video Al-Fateh yang baru atau lain-lain. Bila ada sahabat yang memberitahu, barulah saya tahu hal sebenar. Saya sangat takut sebenarnya. Kami masih di permulaan. Amat sangat baru bermula. Alhamdulillah ramai yang mendoakan agar kami istiqamah. Teruskan berdoa.

Semuanya menghimpit emosi saya. Mak ayah, suami, penghantaran memorandum bantahan isu agama asal anak ke YAB Najib TunRazak dan Ketua Hakim Negara, peristiwa ditipu di Puduraya, kembali bekerja di RAKL ini, semuanya menyebabkan saya bermain dengan emosi hari ini. Himpitan emosi.