Monday, April 27, 2009

Catatan Hari Pertama ; Secebis Bingkisan Buat Muslimat

Hari Pertama

Hari pertama bekerja (attachmnet@praktikal) di Tetuan Radzi & Abdullah hari ini adalah antara pengalaman baru yang saya kecapi dalam hidup. Dari semalam hati berdebar-debar, akhirnya menjengah jugak hari siang. Setelah selesai bersiap-siap, dengan pakaian rasmi hitam putih seorang peguam, beserta handbag hitam dan beg laptop, terasa diri macam wanita bekerjaya pulak hari ni !

"Zaujah abang dah nak keja dah esok.."

Dari semalam lagi, inilah ungkapan yang tak habis-habis cik abang saya tuturkan. Macam saya ni nak masuk sekolah hari pertama masa darjah satu plak lagaknya. Kami berdua berkongsi debaran yang sama walau jasad berbeza. Siap saya dihantar dan diiring hingga ke bilik tempat saya ditempatkan di firma ini. Terasa sungguh istimewa diri ini. Terima kasih suamiku, kunci syurgaku.

Hari pertama di firma guaman ni, pada mulanya tak banyak kerja dan tugasan lagi yang diberikan. Masih boleh 'goyang kaki' sikit-sikit. Tapi menjelang selepas zohor, kerja mula bertimbun dan makin banyak hingga tak sempat nak habiskan semua. Terpaksa tangguhkan ke esok pula.

Masa lapang yang ada saya gunakan sebaik-baiknya. Bila tengah mengemas-ngemas isi kandungan 'kak ngah' ni, (nama laptop saya,laptop suami nama abg long) terjumpa beberapa keping gambar yang diambil masa satu sesi brainstorming gerakan muslimat bulan lepas kalau tak silap. Teringat beberapa perangkaan penting yang pernah kami gagaskan ketika itu.


Muslimat Serikandi Gerakan

Rentetan tentang posting saya sebelum ini bertajuk "Gerakan Feminisme Islamik", saya melihat aspek pemerkasaan gerakan muslimat pada masa kini amat penting. Melihat komen yang diberikan oleh MarBu dalam posting tersebut, menyebabkan saya terus memaksa diri memikirkan dengan serius agenda pemerkasaan ini. Namun, izinkan saya berkongsi gagasan idea tersebut pada posting yang akan datang dek kerana kesuntukan masa yang ada saat ini untuk sedikit 'research', menambahbaik gagasan idea tersebut. Posting ini, sekadar 'intro' (set induksi) sahaja. Meluah apa yang rasa.

Pimpinan muslimat Maaruf Club bersama Penasihat Maaruf Club, Madam Uzaimah dan Ustazah Nazirah


Saya sudah lali, sudah mangli dengan ungkapan 'pelemah semangat' yang sering dituturkan muslimin tatkala melihat ada muslimat yang mungkin pada pandangan mereka 'agak menonjol' dan 'terkehadapan'. Saya juga sudah biasa sangat dengan persepsi-persepsi kaum Adam, dengan pandangan dan lirikan sinis mereka tatkala saya bangun untuk memberikan pandangan dalam mesyuarat-mesyuarat yang dijalankan. Tak kurang ada yang senyum-senyum, gelak-gelak, berbisik-bisik. Pelbagai reaksi ditunjukkan. Dalam sesi muhasabah muslimin-muslimat, pernah ada seorang muslimin menyatakan yang dia pelik dengan saya yang tak serik-serik untuk bangun dan bagi pandangan walaupun saya pernah dikritik dan kehadiran saya kadang-kadang 'tidak disenangi' muslimin kerana 'menggugat' mereka. Saya tak katakan semua muslimin begini. Ada segelintirnya memang absolutely macam ni ! Saya tak kata saya bagus sangat, sebab saya memang tak bagus sangatlah saya masih tidak boleh diterima oleh semuanya!

Salah satu sebab muslimat terus terkebelakang antaranya kerana inilah. Tak tahan dengan penangan dan kerenah muslimin yang jenis ni. Tapi hakikatnya, sebab ini bukanlah 'real problem' kepada kelesuan gerakan muslimat, tapi hanya sekadar 'presented problem'. Realnya muslimat selalu berdepan dengan masalah krisis keyakinan diri, rasa rendah diri (inferior) yang tak bertempat, malu yang tak perlu dan juga dibuat-buat. Pergi lebih dalam lagi, muslimat sebenarnya selalunya sangat kurang membaca, kurang kemahiran. Inilah antara penyebab utama pada pandangan saya, gerakan muslimat tak boleh sekencang gerakan feminisme liberal yang lain, tak mampu pergi jauh memimpin dan membuat perubahan.

Justeru, muslimat perlu 'sedar' dan 'terasa' akan hakikat ini. Saya sendiri sebenarnya cukup-cukup terasa. Saya tahu ada insan-insan diluar sana yang mengatakan yang muslimat "POYO" , bercakap je lebih dari tindakan. Bercakap pulak kosong, tak berisi. Itupun kalau bercakap, berdozen-dozen muslimat hanya mampu menjadi tukang angguk dan tukang geleng sahaja dalam mesyuarat-mesyuarat penting, hingga kadang kehadiran mereka tak dirasai pun. Inilah antara agenda-agenda ujian yang menguji gerakan muslimat.

Bersama srikandi-srikandi gerakan muslimat berjiwa besar dari Kuantan semasa ziarah ke Kuantan

Pada saya, tak salah muslimat bermula dengan satu gagasan berjiwa besar terlebih dahulu, walau hanya sekadar slogan seperti "Muslimat POWER, POWER, POWER !!! " yang dilaungkan bermula dari STIGMA ( Simposium Tindakan Gerakan MUslimat Muda ) anjuran GAMIS tak lama dahulu. Tak mengapa mencetus semangat dahulu. Yang penting, langkah seterusnya adalah mencetus 'kesedaran', eleme 'rasa' ini amat penting untuk kekalkan momentum agar ianya boleh melekatlama dalam hati dan minda , bukan sekadar tempelan semangat yang boleh pergi bila-bila masa sahaja. Dan seterusnya gunakanlah akal yang bijak untuk bertindak.

Sekadar sedikit luahan rasa saya buat semua muslimat,srikandi gerakan. Kita boleh melangkah jauh, yang penting sedar kenapa kita perlu melangkah, ke mana hendak melangkah dan bagaimana hendak melangkah. Mulakan dengan langkah yang pertama hari ini...


Saya attachment di firma guaman di Jalan Ipoh KL, tapi kerana semangat suami saya yang berkobar-kobar, dibawaknya saya ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur semata-mata untuk bergambar, untuk memberi semangat pada saya meneruskan attachment ini selama 3 bulan. Isteri mana yang tak terharu bila suami yang dihormati buat macam ni. Syukur sangat-sangat padaMu ya Allah, atas kurniaanMu, pinjamanMu, seorang suami yang cukup penyayang dan memahami untuk diriku..

Gerakan Feminisme Islamik ?

Lama tak menulis disini. Lepas berperang dalam final exam, kembali ke kampung suami bersama keluarga mertua selama beberapa hari. Belum sempat bermalam dirumah, saya berangkat pergi, berjuang di satu program tarbiah yang agak panjang.

Bila saya buka blog saya yang tak seberapa ni, saya sendiri tidak menyangka, entry saya sebelum ini "Catatan Seorang Isteri", agak mendapat perhatian. Tulisan saya yang kesepian saat itu, lebih merupakan perkongsian peribadi, alhamdulillah jika ada manfaatnya pada yang lain. Terima kasih pada yang memberi komen, kata-kata semangat dan sebagainya.

Kali ini, saya pula yang meninggalkan suami. Saya pula yang keluar berjuang tinggalkan Darul Syuhada no.36. Tapi, cik abang sorang ni tak tegar tinggal di rumah berseorangan rupanya. Saya mengemas beg untuk ke program, beliau juga sibuk mengemas barang-barangnya untuk kembali menumpang tidur di rumah bujang PERAKAN yang pernah beliau diami sebelum berkahwin dahulu. Tak tahan menatap memori di rumah tanpa saya katanya. Hebat jugak penangan cinta kami. Mujur tak sampai menghalang kami untuk berjuang. Malah saya diberi tasji', dorongan, pertolongan dan motivasi khusus untuk ke program tersebut.

Hati melojak-lonjak untuk menulis. Setelah beberapa hari bermukim di Kelantan, kemudiannya hadirkan diri ke program, banyak isu yang saya tertinggal. Banyak benda yang perlu di'update'. Beberapa laman blog favourite mula saya terjah satu persatu tatkala broadband telah dapat diakses. Antaranya blog Ust Hasrizal, blog MSO, blog Ust Dzulkhairi, Presiden GAMIS dengan pemikiran-pemikiran dan idea baru beliau. Saya tertarik beberapa perkara tentang tarbiah.

Dalam program tarbiah yang saya ikuti tersebut, antara persoalan dan elemen yang pernah dibincangkan adalah berkaitan dengan isu 'gerakan muslimat'. Dalam satu sesi brainstorming saya mencadangkan untuk menerapkan elemen 'feminisme' dalam satu slot yang melibatkan muslimat sahaja. Feminisme bukan dalam ertikata feminisme yang sebenar-benarnya tersebut, tetapi, 'real intention' saya ketika itu adalah untuk menerapkan semangat gerakan muslimat, agar mereka merasai istimewanya menjadi seorang muslimah dan juga tahu dimana posisi muslimat boleh berperanan sewajarnya dengan menigkatkan aspek kepimpinan dalam diri.

Mungkin kerana 'wording' 'feminisme' yang saya gunakan tatkala melontarkan idea tersebut menyebabkan saya mendapat respon mengejut dari beberapa orang muslimin dalam nada dan riak muka yang penuh kerisauan. Saya dah mengagak sebenarnya. Tetapi menarik situasi ini.

Ada yang mengingatkan supaya saya tidak menerapkan elemen feminisme ini kerana isme feminisme ini sendiri adalah antara ideologi yang ditentang. Ada yang mencadangkan agar elemen feminisme ini saya terapkan dalam elemen leadership muslimat yang juga menjadi fokus yang hendak disentuh pada slot tersebut. Tak kurang ada yang mengatakan, elemen feminisme ini perlu diterapkan sekadar sesuai dengan setakat mana muslimat boleh berperanan. Lalu kisah-kisah sirah bagaimana muslimat berperanan sebagai jururawat tatkala peperangan berlaku dizaman Rasulullah dahulu dikisahkan semula sebagai peringatan. Muslimat lebih banyak yang jadi jururawat berbanding yang mengangkat pedang berperang sesama muslimin. Hujah diteruskan lagi. Begitu risau dan nampak 'tak harap' muslimin-muslimin tersebut pada saya.

Saya tersenyum, mula menerangkan dan memberi penjelasan apa yang sebenarnya saya maksudkan.

Saya mengharapkan muslimat boleh pergi jauh dari sekadar yang ada muslimat dalam gerakan kini. Fokus saya adalah kepada muslimat muda, srikandi gerakan. Masalah kelesuan muslimat bukanlah masalah baru yang tiba-tiba muncul, tapi sebenarnya masalah yang telah lama berakar umbi dalam gerakan kita. Hinggakan beberapa sesi kepimpinan pernah meletakkan tunggak 'kebangkitan muslimat' sebagai salah satu fokus dalam ucapan dasar. Muslimat sentiasa istimewa, sentiasa unik dan berharga. Justeru, treatment rawatan yang diterima juga perlu sentiasa istimewa.


Menyelusuri Sejarah Gerakan Feminisme



Feminisme ialah himpunan teori sosial, gerakan politik, dan falsafah moral yang sebahagian besarnya didorong oleh atau berkenaan dengan pembebasan perempuan daripada penindasan oleh kaum lelaki. Dalam istilah yang mudah, feminisme merupakan kepercayaan kepada kesamaan sosial, politik, dan ekonomi antara kedua-dua jantina, serta kepada sebuah gerakan yang dikendalikan berdasarkan keyakinan bahawa jantina harus tidak merupakan faktor penentu yang membentuk identiti sosial atau hak-hak sosiopolitik dan ekonomi seseorang.

Sejarah gerakan feminisme ini bermula pada abad ke-18 akibat kemelut yang dialami dan dirasakan oleh golongan wanita. Perjuangan kaum wanita dalam memperoleh hak-haknya pun berlangsung cukup lama. Ini disebabkan beberapa diskriminasi yang kerap terjadi dalam kehidupan seharian mereka, diantaranya, sekatan terhadap kebebasan wanita dalam segala bidang, baik sosial, pendidikan, ekonomi, politik, budaya, sains, pekerjaan dan banyak hal lainnya. Bahkan laki-laki ketika itu menjadi sangat dominan dan superior dibandingkan wanita, sehingga mereka selalu diletakkan di bawah lelaki.

Wanita ketika itu bukan hanya tidak mendapat tempat dalam masyarakat, apatah lagi mereka dipergunakan segala macam cara, perbuatan-perbuatan tersebut tidak mencontohkan bahawa golongan ini dilayan dengan peri kemanusiaan. Dalam tamadun china, golongan wanita ini kebanyakannya ditangkap atas arahan maharaja untuk dijadikan gundik mereka. Dipisahkan dengan keluarga dan apatah lagi dipaksa menjadi gundik diraja. Dalam tamadun india pula golongan wanita yang ingin berkahwin pula yang dipaksa membayar mahar atau dowry kepada bakal suami mereka. Dan selepas mereka berkahwin, keluarga mertua boleh melakukan apa-apa saja terhadap si isteri. Tamadun arab pula merendahkan wanita serendahnya. Mereka adalah semata-mata simbol seks dan dianggap hina dalam masyarakat. Anak perempuan yang dilahirkan ditanam hidup-hidup ataupun disembunyikan seumur hidup bagi mengelakkan malu. Menjadi budaya mereka isteri ditukar-tukar sesuka hati dan ada pula yang mempunyai sehingga puluhan isteri. Kebajikan mereka tidak pernah diambil berat dan mereka dipergunakan sesuka hati.



Gerakan wanita yang dikenal dengan gerakan feminisme dipelopori oleh Lady Mary Wortley Montagu dan Marquis de Condorcet bertepatan dengan kelahiran era Pencerahan di Barat. Kata feminisme diciptakan pertama kali oleh aktivis sosialis utopis, Charles Fourier pada tahun 1837. Menjelang abad ke 19 feminisme lahir menjadi gerakan yang cukup mendapatkan perhatian di Eropah. Perempuan di negara-negara penjajah Eropah memperjuangkan apa yang mereka sebut sebagai universal sisterhood.

Pergerakan center Eropah ini berpindah ke Amerika dan berkembang pesat sejak penerbitan buku John Stuart Mill, the Subjection of Women (1869). Perjuangan mereka melahirkan feminisme gelombang pertama.


Gerakan Feminisme atau Gerakan Muslimat ?

Gerakan Muslimat UIAM

Apabila ditelusuri sejarah gerakan feminisme ini, sebab dan punca kewujudannya, gerakan seperti ini di zaman kini seolah-olah sudah tidak releven lagi untuk diperjuangkan. Kerana sebab, punca kewujudannya juga telah hilang seperti mana kaedah fiqh yg ada menyatakan Gugur sesuatu hukum, disebabkan gugurnya sebab kewujudan hukum tersebut ”

Dengan kedatangan Islam, wanita dibela habis-habisan, seolah-olah diangkat dari kubangan lumpur yang sangat dalam. Bukan hanya di kalangan wanita pada umumnya, lebih khusus lagi Islam juga melakukan pembelaan kepada mereka yang lemah dan tertindas, seperti anak-anak perempuan yatim, ataupun kanak-kanak.Wanita diberikan hak yang sepatutnya mereka miliki, sesuai dengan fitrah kejadian seorang wanita yang mana Al-Khaliq Allah Taala jua yang lebih mengetahui.

Wanita diangkat martabatnya sebagai golongan yang mulia. Status seorang ibu hinggakan menjadi kunci syurga buat anak-anaknya. Dalam hal-hal ketaqwaan dan keimanan, langsung tidak Allah bezakan antara lelaki dan wanita. Malah kini, wanita terus melangkah dengan lebih jauh, turut mengambil peluang dalam aspek kepimpinan dan pentadbiran negara. Dewasa ini, bukan sahaja wanita memiliki kuantiti yang ramai, malah turut mampu melahirkan individu-individu yang berkualiti.

Di sebalik pelbagai kemelut yang dihadapi wanita kini, seperti isu-isu penindasan hak, penderaan dalam rumahtangga, kes-kes rogol dan ragut yang selalu wanita menjadi mangsa, gerakan feminisme yang berteraskan kepada konsep perjuangan persamaan hak antara lelaki dan perempuan demi sebuah cogankata ‘keadilan sejagat’ bukanlah penyelesai terbaik untuk menyelesaikan isu-isu yang telah disebutkan sebentar tadi.

Isu persamaan antara lelaki dan wanita bukanlah isu sebenar yang perlu diperjuangkan. Ianyan hanyalah sekadar satu tempelan atau alasan golongan-golongan tertentu yang berselindung disebalik hakikat bahawa mereka tidak faham dan tidak mahu menggunakan Islam dan syariat Allah sebagai penyelesai kepada segala masalah. Justeru, wanita kini tidak memerlukan gerakan feminisme seperti ini, tetapi apa yang diperlukan adalah sebuah gerakan muslimat @ wanita yang mampu berperanan sepertimana yang Islam telah gariskan. Kita juga tidak perlu lagi kepada Gerakan Feminisme Islamik kerana jika kita letakkan dasar perjuangan feminisme sepertimana yang termaktub dalam definisi sebenar feminisme itu sendiri, mustahil ianya boleh jadi Islamik.

Tapi, andai kita ingin mendefinisikan semula gerakan feminisme ini dengan dasar dan corak bentuk seperti yang Islam gariskan, mengapa tidak kita berintima’ dengan gerakan yang seperti ini? Mungkin SIGMA ( Srikandi Gerakan Muslimat Muda ) sayap kiri GAMIS adalah jawapannya.
Bersama srikandi gerakan muslimat dari UTHM
semasa lawatan mereka ke UIAM berjumpa
Maaruf Club

Sunday, April 12, 2009

Catatan Seorang Isteri

Malam ini saya keseorangan di teratak indah no.36 yang kami namakan Darul Syuhada. Tempat kami beristirehat setelah penat berjuang, tempat kami menyemai kasih, melayari bahtera perjuangan baitul muslim yang baru 4 purnama cuma. Moga rumah ini yang masih kosong dari segala jenis perabot dan peralatan, akan sentiasa penuh dengan rahmah dan mawaddah dari Allah Taala. Moga barokahNya tumpah disini.

Malam ini saya kesunyian kerana 'another half of me' berada di Melaka. Hujan renyai-renyai diluar, saya di dalam asyik dengan berita-berita terkini, menjengah ke blog demi blog. Namun sebenarnya, masih belum dapat merawat rawan di hati. Tadi saya kepenatan berjuang di medan 'final exam'. Kembali ke rumah, saya sangat merindui seorang insan bernama 'suami'.

Suami di zaman 'kekurusan'

Saya mula mencari penawar untuk hati yang keresahan, motivasi buat diri yang lemah. Saya mula menaip di Google search, "Isteri Seorang Pejuang". Lalu, muncullah beribu-ribu entry dan website yang menanti untuk dibaca. Saya mula memilih-milih. Benarlah, teori yang selalu kita ucapkan tak semudah apa yang perlu kita praktikkan. Sebagai insan yang telah mula mengenal erti hidup berjemaah dan hidup berjuang ini sejak dari sekolah menengah lagi di bumi tarbiah, bumi waqafan tersebut, saya sudah lama menyimpan cita-cita untuk menjadi isteri seorang pejuang. Menjadi isteri solehah, sayap kiri perjuangan si suami adalah impian terindah sejak dulu lagi.

Saya menyimpan hasrat untuk menjadi isteri sesetia Khadijah, sebijak Aisyah, sanggup hidup susah seperi Fatimah, cintakan syahid seperti Sumayyah. Malah semasa di tingkatan 5 lagi saya telah khatam buku " Hari-hari Dalam Hidupku " karangan seorang wanita ikhwan yang menjadi idola saya, Zainab Al-Ghazali Al-Jubaili. Semangat berjuang makin berkobar-kobar, cita-cita untuk menjadi isteri sekuat Zainab Al-Ghazali yang rela diseksa demi dakwah terpasak kuat dalam sanubari. Tatkala itu saya merasakan tak ada masalah langsung untuk melepaskan suami pergi berjuang, berjihad di jalan Allah Taala. Malah saya akan berbangga, pergilah hatta ketika di malam pertama sekalipun sepertimana yang berlaku dalam cerita agung tentang sahabat Rasulullah, Hanzolah yang meninggalkan isteri di malam pertama pergi menyahut seruan jihad dan beroleh syahid. Saya rela menjadi seperti isteri Hanzolah tersebut, rela ditinggalkan bila-bila pun, lama mana sekalipun hatta di malam pertama pun. Malah cita-cita saya juga hingga kini, inginkan semua anak lelaki supaya semuanya boleh dihantar untuk pergi berjihad hingga beroleh
gelaran syahid kesemuanya seperti Khansak.
Beliau merupakan ibu yang telah menyuntik semangat jihad kepada kesemua putera beliau untuk terjun ke medan perang. Akhirnya,kesemua putera beliau mendapat syahid di sisi Allah. Begitulah 'dream' saya dengan penuh semangat hasil dari tarbiah dalam jalan perjuangan ini.

Namun, itu semua baru retorik dan cita-cita. Angan-angan dan impian. Bila berdepan realiti, suami baru keluar untuk menghadiri program selama 3 hari, jiwa ini telah kacau terasa sunyi. Hidup terbayang-bayang susuk tubuh nan satu itu, hati gelisah menghitung saat bila dia akan kembali. Perasaan resah, macam hilang sesuatu yang cukup berharga. Tempat bergantung, tempat bermanja, tempat bergurau senda, tempat berkongsi masalah, tempat segalanya. Inilah kali pertama kami berpisah agak lama. Saya mula tersentak, mula merasai betapa sebenarnya 'aura' isteri seorang pejuang itu mungkin masih lemah dalam diri saya.

Saat ini saya terkenangkan bagaimana perasaan isteri-isteri yang ditinggalkan suami. Hatta isteri-isteri Rasulullah yang terpaksa bergilir-gilir untuk bersama Rasulullah turut merasa ditinggalkan suami. Isteri para sahabat agung yang ditinggalkan kerana pergi berjihad. Isteri pejuang-pejuang PAS, isteri yang berhormat-yang berhormat yang komited dan amanah dalam berjuang yang semestinya selalu ditinggalkan. Saya tersentuh membaca sajak karangan Ust Nasaruddin Tantawi yang didekasikan khusus buat isteri beliau. Sudah tentu isteri beliau selalu ditinggalkan demi perjuangan yang suci ini. Saya juga terkenangkan isteri-isteri tahanan ISA yang sudah bertahun-tahun terpisah dari suami mereka. Bagaimanalah perasaan mereka. Mesti 1000 kali ganda lebih perit dari apa yang saya rasa kini. Malah kawan-kawan saya ada yang berkahwin tetapi berjauhan dengan suami, mereka juga terus tabah menempuh taqdir hidup yang begitu.

Ada juga isteri-isteri yang terus tabah menempuh hidup setelah terpisah terus dari suami tersayang kerana suami pergi dahulu menyahut seruan Ilahi. Saya cukup mengagumi ibu mertua saya, ummi tersayang yang kematian suami tatkala beliau masih perlu membesarkan 8 orang anak yang masih kecil belaka. Betapa tabahnya hati seorang perempuan yang bernama ibu ini. Ada juga isteri-isteri yang terus hidup dengan bangga setelah kematian suami yang dijemput Ilahi dengan mendapat gelaran syahid. Saya membaca tentang Dr Rayyan, isteri As Syahid Dr Abd Aziz Rantisi. Seorang mujahidah yang telah melalui liku-liku perjuangan sebenar yang sebelum ini menjadi tunjang perjuangan suami beliau As-syahid Dr.Abdul Aziz Rantisi. Beliau yang dikenali juga sebagai Abu Muhammad telah diamanahkan mengambil alih tanggungjawab paling besar selepas syahidnya Syeikh Ahmad Yasin di bumi Al-Aqsa (Palestin) dan Dr Rayyan bersama perjuangan beliau hingga beliau syahid. Semangat dan ketabahannya sungguh luarbiasa. Saya juga membaca temuramah dengan isteri As Syahid Ismail Abu Syanab, seorang pemimpin Hamas yang terbunuh diserang helikopter Israel. Beliau juga amat mengagumkan.

Dr Rayyan di tengah-tengah

Saya jadi semakin bersemangat semula untuk benar-benar menjadi isteri seorang pejuang. Saya mula membuka buku, bersiap sedia untuk menelaah pelajaran untuk exam yang seterusnya. Ingatan kepada suami, saya letakkan ke tepi, buang agak jauh. Saya ingin hidup sebagai seorang isteri pejuang, yang berbangga dengan perjuangan suami. Malah saya juga ingin jadi seperti Dr Rayyan, isteri As-Syahid Abd Aziz Rantisi dan saya juga ingin jadi lebih hebat dari beliau. Saya mendambakan bukan sekadar menjadi seorang isteri kepada As-Syahid, tetapi juga mendambakan gelaran syahid itu untuk diri saya sendiri.


Buat bakal-bakal isteri, bersedialah untuk jadi isteri seorang pejuang. Buatlah persediaan yang rapi kerana teorinya mudah, praktikalnya payah.

Monday, April 6, 2009

Read, You'll Conquer The World

Musim-musim peperiksaan beginilah masa yang saya rasa golongan mahasiswa paling banyak membaca. Manakan tidak, disaat-saat peperiksaan begini apa sahaja boleh dibaca dengan masa yang singkat demi menghadapi sebuah peperiksaan, demi mendapat markah yang lebih baik, demi segulung ijazah dan pengiktirafan. Malah, rekod yang pernah saya buat sendiri, mampu untuk menelaah 8-10 topik dalam satu subjek semalaman tanpa tidur kerana esoknya bakal berdepan dengan peperiksaan subjek tersebut. Inilah 'realiti' mahasiswa termasuk saya.

Bagus, kerana ini bukti yang kita tidak berputus asa menggunakan setiap saat untuk membaca hingga ke titisan saat yang terakhir sebelum berdepan dengan peperiksaan. Bayangkan, jika sikap dan budaya membaca begini sentiasa kita amalkan, sudah tentu kita akan jadi golongan mahasiswa yang lebih terkehadapan, mampu menguasai pelbagai bidang ilmu fundamental dan kontemporari yang menjadi tuntutan dulu dan masakini, mampu untuk benar-benar menjadi sumber rujukan masyarakat dan jurubucara ummat.


Memang telah zaman berzaman terbukti, orang-orang hebat yang mencorak dunia, yang melakukan transformasi dalam pelbagai bidang, yang menjadi academician dan ahli politik yang hebat masakini memang banyak membaca. Ulama-ulama Islam terkemuka dahulu, seperti Imam Syafie, imam-imam mazhab yang lain, memang hebat bacaan kitab-kitab mereka hingga mereka mampu menjadi alim ulama yang warisan ilmu mereka dapat kita rasai hingga kini. Pemikir-pemikir Islam seperti Imam Ghazali, Jamaluddin Al-Afghani, Muhammad Abduh juga melakukan reformasi umat kerana ketinggian ilmu dan kebijaksanaan aqal mereka yang diasah melalui bahan bacaan. Tokoh-tokoh seperti Anwar Ibrahim, Dr Zulkifli Ahmad, Ir Nizar, malah kedua-dua Tok Guru Haji Hadi dan Nik Abdul Aziz sendiri cukup suka membaca. Malah ada yang mengatakan dalam kesibukan Anwar Ibrahim itu, beliau sampai membaca di dalam tandas. Tok Guru Haji Hadi Awang disebalik imej ulama serban dan jubah beliau tersebut, beliau antara pengguna laptop dan internet yang terawal di Malaysia, sentiasa up to date membaca isu-isu terkini melalui laptop beliau. Senator Mumtaz Mat Nawi, tokoh muslimat hebat kontemporari kini pernah berkongsi antara tips beliau cukup cemerlang dalam akademik dan juga mampu berbahas dalam dewan negara memberi komen dan cadangan kepada hampir semua kementerian adalah kerana beliau mangamalkan konsep "membaca dimana-mana sahaja, membaca apa-apa sahaja yang ada". Pimpinana mahasiswa kini seperti Ust Dzulkhairi Pres GAMIS skrg, bekas pimpinan mahasiswa Ust Ramadhan Fitri, semuanya memang banyak membaca. Hasilnya, lihatlah bagaimana mereka ini sedang mencorak mahasiswa kini. SU GAMIS Ust Syaari pun banyak membaca juga. Saya boleh jadi saksi untuk ust yang sorang ini (^_^) . Adik UZA saya, Nazirah a.ka G-ah juga kini telah mula membaca bahan-bahan bacaan yang lebih berat. Hebat, tahniah!

Sebenarnya, kesempatan menulis ini saya ambil kerana saya tengah rehatkan minda sikit kerana saya juga turut letih menelaah pelajaran di musim peperiksaan ini kerana asyik membaca dan membaca. Final exam kali ini penuh kelainan kerana saya membaca dengan ditemani seorang suami yang sedang asyik dengan kerja-kerja multimedia beliau tatkala ini.

Saya menulis berkenaan membaca ini juga kerana ingin terus memberi tekanan dan motivasi kepada saya terutamanya untuk terus membaca. Read, You Will Conquer The World adalah kata-kata Napolean Bonaparte, penakluk dunia yang telah pun mementingkan aspek pembacaan dikala zaman penjajahan dulu lagi. Apatah lagi pada zaman kita yang serba canggih dan moden ini. Tidak dapat dibayangkan bagaimana seorang insan akan 'survive' di dunia kita kini andainya tidak boleh membaca. Melalui pembacaan, kita akan dapat 'menguasai' dunia. Masakan tidak, peranan ilmu dan maklumat memang terlalu amat berkuasa dalam bidang mana sekalipun yang ingin kita ceburi. Ingin meningkatkan potensi dan keyakinan diri, ingin menjadi orator dan pembahas yang baik, ingin menulis dan mengulas sesuatu dengan baik, ingin menjadi pemimpin sebenar yang memimpin mampu meninggalkan legacy, ingin menjadi anak dan isteri yang soleh, malah ingin mencapai darjat tertinggi menjadi hamba Allah yang bertaqwa yang sangat dekat denganNya, mulakanlah semua ini dengan rajin membaca. Read, you will conquer the world ! Kini kata-kata tersebut menjadi tagline blog suami saya pula;-)

Kita mesti sentiasa tingkatkan motivasi untuk membaca, re'new' niat dan pasakkan niat betul-betul kenapa kita membaca sesebuah buku itu. Membaca buku tanpa tujuan ibarat menembak tanpa sasaran. Tetapi membacalah dimana-mana sahaja selagi masa yang ada, apa-apa bahan bacaan sekalipun demi mendapat ilmu. Moga hasil bacaan kita tersebut berguna pada masa-masa yang diperlukan, bermanfaat untuk sebuah kehidupan di dunia fana ini dan di akhirat sana. Wahyu pertama yang turun berkenaan "Iqra" bukanlah saja-saja tapi penuh makna. Rasulullah S.A.W yang merupakan insan yang pada mulanya tidak tahu membaca dan menulis, wahyu pertama, perkara pertama yang Allah ajarkan kepada baginda adalah membaca. Memanglah membaca pintu ilmu.

Kita semua sebenarnya tahu kepentingan membaca, tahu kisah-kisah ilmuan yang hebat kerana membaca, tahu semua sirah yang telah saya sebutkan tadi. Tapi kita selalu malas, bermudah-mudah, tidak berdisiplin dalam membaca. Antara yang selalu saya praktikkan untuk istiqamah dengan pembacaan adalah wujudkan 'burning desire' rasa 'ghairah', 'nikmat' untuk membaca. Buatlah macam mana sekalipun, apa cara yang dirasakan sesuai untuk timbulkan perasaan ini. Dengan perasaan yang mendalam seperti ini, kita membaca bukan sekadar dengan akal, tetapi dengan hati. Dengan cara ini kita lebih mudah istiqamah dan juga lebih lama bahan bacaan tersebut mampu melekat dalam memori kita malah tak mustahil untuk selamanya.


Saya kini tengah membaca buku " Kebangkitan Generasi Salahuddin Dan Kembalinya Al-Aqsa Ke Pangkuan Islam ", impak dari Uzlah Qiyadah bersama sahabat-sahabat PKPIM beberapa minggu yang lalu. Masih lagi di bab-bab awal yang menceritakan suasana yang berlaku sebelum zaman islah dan 'pencerahan' oleh Imam Al-Ghazali. Zaman fanatik mazhab yang melampau, pertenglingkahan mazhab yang sehingga meragut nyawa. Saya tidak pernah tahu tentang ini jika tidak membaca buku ini. Targetnya, bulan April ini juga saya akan cuba habiskan buku ini InsyaAllah.

Saya makin teruja, ghairah untuk membaca buku ini setelah mendapat beberapa sentuhan komentar dan pandangan dari Ustaz Hasrizal Abd Jamil, pendakwah dan blogger terkenal masakini berkenaan dengan sisipandang tentang sejarah yang patut kita lihat apabila membaca kajian sejarah yang terkandung dalam buku ini. Kesempatan bertemu beliau tatkala saya menjadi 'peneman' suami ke mesyuarat GAMIS bersama JPM dan Ust Hasrizal baru-baru ini tak saya sia-siakan. Saya 'menemani' si suami dengan penuh visi sebenarnya.

Gambar ehsan dari handset rijal82

Baru-baru ini juga alhamdulillah kami telah membeli sebuah peta dunia yang kini sedang melekat megah di dinding bilik tidur kami. Sejak dari malam pertama perkahwinan lagi kami dah bercita-cita untuk memastikan ada peta dunia di rumah dan bilik kami. Bukannya apa, mudah untuk kami rujuk tatkala membaca sejarah-sejarah dunia yang menyebut nama negara-negara dan tempat-tempat yang mungkin tak pernah didengar sama sekali sebelum ini. Malah kadang-kadang, tanpa peta dunia ini, kedudukan benua-benua yang kita belajar dalam subjek Geografi di sekolah menengah dahulukala mungkin telah kita lupa dan tidak dapat bayangkan gambaran kedudukannya dimana. Malah mungkin juga ada dikalangan kita yang dah tak ingat pun dimana kedudukan Malaysia dalam peta dunia! Dengan peta ini juga kami selalu melihat negara-negara Barat dan negara-negara hebat seperti Jepun, China untuk menaikkan semangat menjadi seorang negarawan yang mampu membina negara dan umat. Suami saya pula setiap hari melihat Istanbul ( Kota Constantinople ) yang sentiasa menjadi idamannya kerana beliau adalah Al-Fateh versi beliau sendiri. Peta ini juga menjadi motivasi kepada kami, yang Islam akan kembali menguasai dunia suatu hari nanti. Setiap hari melihatnya, kami jadi makin optimis! Setiap hari melihatnya, kami makin bermotivasi untuk membaca. Kerana dengan membaca, kita akan dapat menguasai dunia.

Model peta dunia abad-21

Pelbagai method dan cara boleh kita praktikkan untuk meningkatkan motivasi. Benarlah kata-kata pepatah, "Hendak seribu daya". Ada 1001 cara dan macam-macam jalan yang boleh diambil. Tepuk dada tanyalah hati.

Mari kita sama-sama terus membaca, membaca dan membaca!

Sunday, April 5, 2009

Sentuhan Seorang Isteri Bernama Rosmah

Dua tiga kali saya membaca entry terbaru suami tercinta, Hari Ini Aku Melihat Tuhan Dimana-mana ( Sebuah Catatan Matahati ), saya sangat suka kerana saya sangat tersentuh. Pelbagai episod perjuangan yang telah kami lalui bersama selepas perkahwinan ini, dan semalam merakamkan lagi salah satu episod indah dalam bahtera perjuangan kami.


Insan bersama 'suami' ini sebenarnya, cukup lemah bila berhadapan dengan seorang perempuan bergelar 'isteri'. Seorang perempuan yang telah 'halal' baginya, yang dikahwini dengan lafaz aqad yang mulia, yang menjadi tanggungjawab dan amanah dari Allah buatnya, dan apatah lagi jika isteri tersebut memang insan yang sangat dicintai dan disayanginya. Dalam perkahwinan itu ada rahmah, pada seorang isteri itu ada mawaddah. Malah ada satu 'kuasa ajaib' yang mampu menundukkan seorang suami. Jika seorang perempuan biasa pun dapat menundukkan seorang lelaki, apatah lagi seorang isteri.

Hatta Rasulullah sendiri pernah 'tunduk' kepada isteri-isteri baginda sehingga ditegur oleh Allah. Tercatat dalam sejarah Islam, bahawa ayat 1-2 Surah at-Tahrim turun disebabkan angkara isteri-isteri baginda. Ketika baginda habis meminum madu di rumah isteri baginda Saudah, dia berkata bahawa ada bau yang busuk. Begitu juga ketika baginda selesai meminum madu di rumah Aisyah, dia diberitahu bahawa ada bau yang busuk. Lalu Rasulullah saw kerana untuk menjaga hati isterinya telah berjanji untuk tidak meminum madu lagi. Allah lalu menurunkan firman Nya :

"Hai Nabi, mengapa kamu mengharamkan apa yang Allah halalkan bagimu, kamu mencari kesenangan hati isteri-isteri kamu?" (at-Tahrim :1)


Semua perasaan condong padanya, perbuatan harampun terjadi karenanya. Mengundang terjadinya pembunuhan, permusuhan pun disebabkan karenanya. Sekurang-kurangnya ia sebagai insan yang disukai di dunia. Kerosakan mana yang lebih besar daripada ini?

Begitulah Al Imam Al Mubarokfuri rahimahullah menjelaskan tentang bentuk bahaya fitnah wanita dalam Al Tuhfah Al Ahwadzi 8/53.

Rasulullah memberikan peringatan dari fitnahnya sebagaimana yang diriwayatkan dalam Shahih Muslim dari sahabat Abu Said Al Khudri, beliau bersabda:

“Hati-hatilah terhadap dunia dan hati-hatilah terhadap wanita, karena sesungguhnya fitnah yang pertama kali menimpa Bani Israil adalah wanita”


Melihat perkembangan politik semasa, dengan kini Datuk Seri Najib Tun Razak rasmi menjadi Perdana Menteri kita yang ke-6, peranan seorang 'isteri' disebalik Datuk Seri Najib itu tidak boleh diremehkan. Datin Seri Rosmah Mansor, isteri kedua Najib yang sebelum ini pernah berkahwin dengan Tengku Puteri Zainah Tengku Eskandar, bukanlah calang-calang orang. Beliau bukan seperti Tun Jeane yang suka berkebun, first lady sebelum ini. Bukan juga seperti Tun Hasmah yang bertaraf 'doktor' itu. Beliau lain dari yang lain.

Kisah tentang pembunuhan Al-Tantuya yang cukup menggegarkan Malaysia, turut dikaitkan dengan Datin Rosmah ini, bukan hanya Najib semata-mata. Tujuh akhbar negara asing turut melaporkan berita tentang penglibatan Najib dan Rosmah dalam pembunuhan tersebut tanpa ada satu tindakan saman pun dari Najib sendiri. Beliau terus berdiam diri dengan sekadar berbentengkan sebuah penafian yang pernah dibuat dahulu kala. Walaupun kini isu tersebut hangat dimainkan dalam kempen-kempen pilihanraya di 3 Bukit yang bakal berlangsung 7 April ini, Najib dan Rosmah terus diam, mungkin sedang bergembira dan berbahagia setelah berjaya menjadi Perdana Menteri dan 'First Lady' Malaysia. Bayangkan jika benar seorang wanita seperti Rosmah tersebut sememangnya terlibat dengan pembunuhan kejam yang turut membunuh seorang wanita, bagaimanakah 'perasaan' dan 'peribadi' first lady Malaysia yang seperti ini? Tergamakkah seorang wanita muslim melakukan perbuatan kejam seperti itu terhadap wanita yang lain? Yang bernama wanita diluar sana saya yakin dapat menyelami perasaan ini lebih mendalam kerana kita merasai betapa 'halusnya' perasaan seorang wanita itu sepatutnya.
Rosmah juga dalam banyak laporan dalam internet terkenal dengan perangainya yang memang suka bermewah-mewah, bermegah-megah dengan segala kemewahan dan kekayaan. Tempat shopping wanita ini adalah di luar negara dengan barangan-barangan yang dibeli hampir mencecah ratusan ribu ringgit. Malah dalam satu laporan, ada yang menggelarkan beliau sebagai 'Imelda Marcos Malaysia' kerana tabiat suka membeli-belah yang membazir.

April tahun lalu ketika mengikuti Najib ke pameran Biotech di Boston, Rosmah singgah ke Los Angeles untuk membeli belah pakaian, kasut dan alat2 mekapnya.

"Amat memeranjatkan menurut pegawai2 Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar yang terlibat dalam rombongan tersebut memaklumkan sebanyak lapan buah kereta diperlukan untuk mengangkut 74 beg barang yang dibeli oleh Rosmah," kata Saifuddin Nasution, Pengarah Strategik PKR dalam satu laporan.

"Di Boston pula setelah meninjau toko2 kelas atasan, Rosmah memaklumkan kepada pegawai terbabit, beliau memerlukan 15 buah kereta untuk membawa beg2 barangan yang dibelinya," katanya.

Saifuddin turut mendedahkan sewaktu misi kerajaan ke Jepun, Rosmah tinggal bersama Najib di President Suite, Hotel Imperial Tokyo dengan keluasan bilik tersebut ialah 3,000 kaki persegi. tetapi keesokan hari Rosmah mendakwa tidak dapat tidur kerana mendapat tahu ada bilik yang lebih luas iaitu 4,000 persegi daripada bilik yang diduduki bersama suaminya itu.


Sebelum ini, Rosmah juga pernah mengundang kontroversi dengan aksi manjanya dengan pelakon Bollywood yang mendapat kritikan dan teguran pelbagai lapisan masyarakat yang kecewa dengan sikap isteri pemimpin nombor dua negara ketika itu yang tidak menjaga batas2 agama dan memalukan imej seorang wanita muslim.Sewaktu Anugerah Filem India Global (GIFA) 2006 pada 9 Disember tahun lalu yang diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil menyaksikan Rosmah selaku penaung festival berlaga pipi dengan aktor kacak Bollywood, Salman Khan.

Inilah antara cebisan beberapa perkara menarik berkenaan Datin Seri Rosmah Mansor, 'first lady' kita sekarang. Perkara-perkara yang disebut di atas, bukan menjadi rahsia lagi. Bukan saya mahu mengungkit kisah-kisah lama, sekadar satu paparan, gambaran yang agak negatif tentang Rosmah. Saya tidak nafikan, mungkin ada banyak lagi jasa-jasa positif, peranan dan sikap baik Rosmah yang tidak saya paparkan.

Rosmah, sebagai seorang isteri kepada Perdana Menteri kita sekarang sebenarnya banyak mempengaruhi Najib dalam membuat keputusan. Jika kita terus mencari maklumat-maklumat dalaman berkenaan kes Al-Tantuya tersebut, kita akan dapat lihat dengan jelas peranan Rosmah kepada Najib. Beliau sebenarnya boleh terus menerus 'mempengaruhi' Najib dalam membuat keputusan-keputusan besar untuk negara. Malah tak mustahil, dalam kabinet Najib yang bakal diumumkan tidak lama lagi juga mungkin boleh turut menerima 'sentuhan', seorang isteri bernama Rosmah.

Disebalik pelbagai laporan dan persepsi negatif terhadap Najib dan Rosmah ini, saya masih meletakkan harapan agar kedua-dua insan penting yang sedang memacu pemerintahan dalam negara kita kini mampu berubah, terutamanya Rosmah. Kerana tak mustahil, dengan kuasa seorang 'isteri' tersebut, beliau mampu untuk merubah Najib.

Najib mula melakukan 'perubahan' setelah bergelar Perdana Menteri dengan membebaskan 13 orang tahanan ISA dan menarik semula penggantungan akhbar Harakah dan Suara Keadilan. Walau banyak pihak yang mengatakan ini sekadar satu 'gimik' memancing undi dan sokongan untuk 3 pilihanraya kecil yang bakal diadakan, saya masih boleh melihat positif dari sudut impak kepada tahanan-tahanan ISA yang telah dibebaskan tersebut dan juga manfaat dari akhbar Harakah dan Suara Keadilan yang sudah tidak digantung. Saya masih menunggu, adakah ramalan yang dibuat oleh suami saya bakal berlaku atau tidak. Adakah Najib akan juga turut menghapuskan PPSMI? Pelbagai desakan, tekanan, memorandum, demonstrasi telah dilakukan untuk PPSMI ini. Namun, masih belum ada tindakan. Adakah Tun Lah dan Najib menunggu hingga Najib menjadi Perdana Menteri untuk memansuhkan PPSMI ini demi menarik kembali sokongan rakyat dan juga bukti 'perubahan' yang dibawa bawah pemerintahan Najib kini? Sama-sama kita nantikan.


Buat Datin Seri Rosmah, mainkan lah peranan sebgai seorang isteri yang baik dengan baik. Suamimu kini sedang berada di puncak, mainkan perananmu sebagai sayap kiri perjuangan suamimu, juga sebagai ibu, 'first lady' kepada semua rakyat Malaysia. Buat teman-teman pembaca wanita yang lain, yang sudah menjadi isteri, mari kita mainkan peranan sebagai seorang isteri, srikandi perjuangan suami. Yang bakal bergelar isteri, bersedialah dengan bekalan-bekalan untuk menjadi isteri, kerana dalam satu hadis Rasullullah, baginda menyebut :

" Tiap perempuan yang menolong suaminya dalam urusan agama, maka Allah s.w.t. memasukkan dia ke dalam syurga lebih dahulu daripada suaminya (10,000 tahun). "


Friday, April 3, 2009

Sekitar kenangan di Zoo Negara

Lama sangat-sangat dah saya nak ke Zoo Negara. Akhirnya suami menunaikan impian saya ini. Thanks sgt2 mera baya ;-) Alhamdulillah..Hebat sungguh ciptaan ALLAH pada binatang-binatang, haiwan-haiwan ini. Cukup menginsafkan...



HAIWAN-HAIWAN KESAYANGAN..

1) Bermula dengan ikan-ikan..


2) Group monyet, beruk, mawas dan yang seangkatan dengannya. Saya paling suka haiwan-haiwan bahagian ni. Aktif dan agresif.


3 ) Tiba di bahagian haiwan-haiwan yang besar, tinggi dan ganas-ganas..





Fakta menarik tentang Singa. 90 % kehidupannya akan dihabiskan dengan berehat dan tidur. Muhasabah buat kita. Adakah kita ingin jadi seperti singa ini? 2,3 kali kami round area situ, dia masih tertidur dengan nyenyak, tak bangun-bangun..

Cheetah vs Harimau Kumbang
Buaya yang sedang berehat-rehat

4) Bahagian haiwan yang jinak, baik dan selalu jadi pemangsa..

Kanggaroo yang bawak anak kat perut..
Kura-kura Gergasi

5) Alhamdulillah, sempat jugak kami menonton pertunjukkan singa laut yang cerdik secara percuma..

6 ) Tanpa disangka-sangka, kami juga terserempak dengan rombongan dari Kelab Bomba KISAS yang tengah membuat khidmat masyarakat di Zoo ini. Memang menarik. Aura KISAS dimana-mana..

Bersama Cikgu Norisah dan Miss Rajesh tersayang...


Adik-adik KISAS..


UZA Hebat, Hebat, Hebat !!!

Lagi sedikit cerita tentang kami, Usrah Zainab Al-Ghazali @ UZA. Malam yang cukup penuh memori buat saya. Sepanjang hidup selama 23 tahun di dunia fana ini, inilah kali pertama saya menyambut hari lahir di samping seorang insan yang bernama suami. Bila makin menghampiri tanggal 02 April, ingatan saya terus menerus teringat kepada kedua mak dan ayah tersayang. Tanpa mereka, mana mungkin saya adalah saya kini pada tanggal 02 April 2009. Ucapan terima kasih tak cukup, moga saya tidak lupa untuk terus menerus menutur doa buat mak dan ayah yang amat berjasa.

Mak ayah jauh nun di Kedah sana. Keluarga juga jauh. Namun, alhamdulillah, ada suami yang sangat dekat menemani. Saya tak minta sebarang hadiah istimewa sempena hari lahir saya, cukuplah cinta dan kasih sayang dari beliau yang berterusan untuk saya terus berjuang.


Tak cukup dengan itu, suami saya juga tanpa disangka, telah mengadakan pakatan sulit dengan adik-adik usrah saya membuat satu kejutan yang maha dasyat buat saya. Tatkala saya dah siap sedia nak keluar, kerana ikut kata suami, kami akan ke Giant untuk membeli CD filem kegemaran saya (cd apa dirahsiakan,hnya ahli usrah saya yang tahu ;-) tiba-tiba rumah saya dihujani dengan kehadiran adik-adik UZA yang hebat2 tersebut. Datang dengan penuh sulit, sampai hampir merangkak-rangkak kerana ingin bersembunyi dari saya. Hebat2..Jiran saya juga turut kehairanan dengan apa yang berlaku. Saya dah pun berada dalam kereta tatkala tiba-tiba mereka semua menerjah masuk. Memang memori yang cukup mengujakan.

UZA hebat, hebat, hebat !!!

Suamiku dan UZA ku..

Kehadiran mereka, tak saya sia-siakan. Dengan bantuan Guru Besar yang tiba-tiba malam ini menjadi AJK Prep n Tech, kami menayangkan 3 video khas buat santapan adik-adik tersayang.

1) Video petikan ucapan Siti Fatimah, Pelajar TerbaikUIAM yang berucap dalam Konvokesyen UIAM yang lepas, moga mampu menjadi satu suntikan semangat buat kami semua yang bakal menempuh peperiksaan final exam minggu ini.

2) Seterusnya video '3 Pointer' yang merupakan suntingan dari Filem 300 yang telah diolah dengan kreatifnya menjadi satu video akademik yang sangat kelakar. Bergegar rumah saya dengan gelak tawa adik-adik UZA yang hebat2 ini.

3) Emosi kami tersentak dengan video seterusnya apabila video tentang Sultan Muhammad Al-Fateh selama 40 minit ditayangankan. Video yang terdiri dari 2 bahagian ini cukup menyuntik semangat buat kami semua pada pandangan saya. Bahagian pertama sarat dengan maklumat-maklumat tentang kisah Al-Fateh dan perjuangan generasi-generasi terdahulu sebelum Al-Fateh. Bahagian kedua pula merupakan video yang menunjukkan aksi-aksi real peperangan Al-Fateh menentang Constantinople. Part ini yang paling menyentuh hati apabila video ini menggambarkan secara real apa yang terjadi. Benarlah, " A picture can tell thousands words". Video ini meruapakan hasil kerja tangan suami saya sendiri yang sememangnya sentiasa teruja melakukan kajian demi kajian berkenaan Al-Fateh ini. Hinggakan beliau seringkali berangan-angan menjadi Al-Fateh :-)

Kami khusyuk menonton video Al-Fateh

Terima kasih buat semua adik2 UZA yang hebat2 ini. Kehadiran kalian amat bermakna buat kami berdua. Teruskan berjuang, berjuang dan berjuang. UZA hebat, hebat, hebat !!!

Sebuah lagi perkongsian dalam pentarbiahan..