Wednesday, February 18, 2009

Baitul Muslim ; Isteri Perkasa


Sekadar satu perkongsian...

ISTERI PERKASA

Mereka mahukan muslimat perkasa
Yang mampu berdikari
Yang mampu bercakap di tengah demonstrasi
Yang lantang bersuara memberi pandangan
Yang mampu mempertahankan hak dan perjuangan
Cuma dia rasa seperti mahu bertanya
Mahukah mereka pada isteri perkasa?


Acapkali terkena sejuknya angin malam
Kadang- kadang panas terik dan juga hujan
Terpaksa bersaing dengan pelbagai kenderaan
Yang selalu memberi pandangan atau kritikan

Namun dia berserah dan cuba
untuk tidak ambil kisah
Baginya dia mahu jadi seperti saidatina Fatimah
Kuat hatinya seperti Nusaybah
Penuh keibuan seperti saidatina Khadijah
Cerdik aqalnya sepeti saidatina Aishah
Agung cintanya seperti Rabiatul Adawiyah

Dan dia tak boleh duduk diam di dunia sekarang
Kerna musuh itu sedang menyerang
Sister in Islam, Secularisme, Pluralisme
Jadi dia perlu terus bergerak
Mempertahankan Islam dan kebenaran
Membantu para muslimin di medan juang
Walau kadang dia bertanya
Perlukah sebagai muslimat, isteri, ibu
Untuk terus berdiri di medan perjuangan?

Apapun dia sentiasa katakan pada diri
Bahawa hidup ini hanya untuk tuhan
Manusia itu hanya sandaran
Jadi biarlah tuhan yang menentukan
Cuma dia ada satu soalan untuk para pejuang
Jika mahukan muslimat perkasa,
Bersediakah anda menerima isteri perkasa?


( diambil dengan izin dari http://www.rehlah2syahid.blogspot.com/)

Tersentuh hati ni tatkala membaca sajak karangan adinda sekelas dan seperjuangan,Adinda Ayatul Akhras Al-Busra. Sajak yang sangat bagus yang tersirat disebaliknya salah satu permasalahan yang sering membelengu muslimat haraki yang mencintai jalan perjuangan lebih dari segala-galanya. Saya tersentuh,dalam diam mengakui ada benarnya juga kebimbangan yang cuba ditimbulkan disebalik bait-bait sajak yang indah ini. Saya juga tersentuh dengan bait-bait akhir sajak ini yang menyimpulkan betapa pentingnya memasakkan segala niat dan amal jihad ini hanya kerana Allah Taala.

Dari satu sudut, saya terlalu amat bersyukur,amat-amat sangat bersyukur dengan nikmat perkahwinan, baitul muslim yang Allah pinjamkan kepada saya dan suami kini. Membaca sajak tersebut, saya terasa. Suatu petang, di pejabat suami (setelah habis office hour), saya membacakan sajak ini dengan penuh gaya dan intonasi di hadapan suami. Suami tersenyum. Terus mengangguk-angguk dan tersenyum. Kemudian, dia menjawab persoalan akhir bait sajak tersebut. Dia memang mahukan muslimat perkasa. Dan dia juga mahukan isteri perkasa. Dan dia telah 'dapat' muslimat perkasa dan isteri perkasa tersebut.
Bagaimana dengan para pejuang yang lain?


Ya Allah,tsabatkan kami dalam jalan perjuangan ini.Jadikanlah kami hamba-hambaMu yang benar-benar hidup berjuang mengharapkan redha dan kasih sayangMu.Temukan kami di syurga nanti berpimpin tangan menuntut janjiMu.Amin.

Sekadar satu perkongsian...




Monday, February 16, 2009

MUSAWAH : SATU LAGI SIRI UJIAN KEINTELEKTUALAN PENCINTA ISLAM


Ma’ruf Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berpandangan program ‘Musawah’ bertemakan Global Movement for Equality and Justice in the Muslim Family anjuran Sisters in Islam (SIS), tidak akan menyelesaikan masalah akar umbi (real problem) kepada ketidakadilan yang menimpa kaum wanita dan keluarga Muslim di Malaysia. Pertikaian terbuka kepada beberapa hukum syariah dan interpretasi hukum-hukum Al-Quran berkaitan wanita dan kekeluargaan yang telah dipersetujui secara sepakat ulamak muktabar tanpa melalui jalan dialog ilmiyyah dengan sarjana-sarjana Islam tidak akan menyelesaikan segala doktrin hak asasi yang mereka perjuangkan.

Adalah satu tindakan terpuji jika kerajaan Malaysia bersedia memperbanyak wacana-wacana pemahaman Islam di Malaysia, namun apabila program seperti Musawah membabitkan kira-kira 200 aktivis liberalis tanpa seorang pun ulama Islam muktabar di Malaysia atau luar negara dijemput menjadi panel atau sekurang-kurangnya sebagai pemerhati adalah satu tindakan yang akan mengundang prejudis menebal di kalangan pemikir-pemikir dan aktivis Islam terhadap motif kerajaan merestui program seperti ini.

Pepatah Arab menyebut bahawa manusia itu sentiasa bermusuh dengan perkara yang mereka jahilkan. Tokoh-tokoh pemikir Islam yang berani berdebat secara terbuka seperti Ahmad Deedat, Malcolm X, Shah Kirit Govindji di Malaysia dan ramai lagi seharusnya mengajar SIS untuk berani bersemuka dengan apa jua jaluran pemikiran yang wujud dari kalangan peserta andaikata mereka meyakini kebenaran di pihak mereka dalam isu yang bersifat‘public interest’ .

Sebagai mahasiswi Islam, saya berpandangan, banyak ketidakadilan, perceraian dan diskriminasi yang berlaku ke atas golongan wanita adalah disebabkan jauhnya manusia dari pedoman dan bimbingan Islam itu sendiri, bukannya kesalahan konsep dan hukum yang telah diberikan Tuhan. Bukan juga kesalahan interpretasi dari hukum-hukum dari Al-Quran mahupun implementasi undang-undang keluarga Islam yang diguna pakai di Malaysia kini. Banyak kajian dan temuramah terhadap mangsa yang dilakukan telah membuktikan hakikat ini. Fakta sejarah Arab sendiri membuktikan layanan sistem Jahiliyah lebih dahsyat terhadap kaum Hawa. Mereka tidak ubah seperti hamba yang mesti sujud pada kaum lelaki. Namun Islam datang memartabatkan wanita, mentamadunkan bangsa Arab yang bengis dan kasar itu. Lihatlah sahaja hikmah bertudung sebagai penampan Tuhan untuk memelihara maruah wanita daripada pandangan mata durjana manusia yang semakin ramai gilakan seks pada saat ini.

Kepada para pimpinan parti politik dan NGO Islam, program seperti Musawah hanyalah satu siri dari siri-siri ujian keintelektualan para pencinta Islam. Sekiranya pendekatan konfrontasi menjadi pilihan utama berbanding kesediaan menganjurkan sendiri dialog-dialog mengenai Syariah Islam, selagi itulah kelompok seperti SIS akan terus melihat kita sebagai entiti yang mesti dimusuhi dan tidak boleh didekati atau diajak berbincang. Para pencinta Islam mestilah pro-aktif, bukannya sekadar responsif mahupun defensif untuk memulakan sebarang perdebatan konstruktif, mengambil ruh al-Quran supaya dapat diresolusikan suatu pandangan yang “ahsan”, yang dapat dilihat dan diadili oleh masyarakat secara intelek. Fakta kenaikan kadar jenayah dan kekerasan terhadap wanita, keampuhan polisi-polisi kerajaan sedia ada dalam melindungi wanita dan kesejahteraan rumahtangga boleh menjadi titik yang mempertemukan antara kedua-dua belah pihak ini. Kita masih ingat suatu debat Gerakan Tajdid yang pernah diadakan membabitkan Astora Jabat dan Dr Asri Zainal Abidin. Sudah terhentikan semangat dialog dan debat seperti itu ?

Kelab Ma’ruf UIAM menyeru seluruh mahasiswa dan mahasiswa Islam terutamanya golongan mahasiswi untuk menjadi barisan hadapan pejuang agama yang berwibawa dalam sudut penentangan ghazwul fikri. Persatuan-persatuan mahasiswa Islam juga perlu bersedia menggalas tugas selaku front liner dalam kampus dengan memperbanyak dialog-dialog bersifat inter-faith dan mengharmonikan pertembungan dua jaluran pemikiran yang berbeza terhadap warga kampus. Kita perlulah mencontohi kewujudan Institute for the Study of Islamic Thought and Civilization (INSISTS) di Jakarta yang sangat digeruni oleh golongan Islam Liberal yang makin bermaharajela di Indonesia.

Peranan mahasiswi Islam dalam berdepan dengan situsi-situasi seperti ini amat perlu diperkasakan. Masyarakat amat menagih golongan mahasiswi yang benar-benar menjiwai setiap hukum-hakam yang telah dikenakan ke atas mereka, mengetahui dalil-dalil aqli dan naqli dari setiap hukum tersebut dan seterusnya mampu berhujah secara intelek dan berhikmah sepentas dengan golongan-golongan seperti ini. Jika kita sendiri tidak mampu untuk menghasilkan tindakan defensif dan ofensif terhadap isu-isu seperti ini, siapa lagi yang boleh kita harapkan untuk manggalas tugas dan amanah dakwah ini.

Aktivis-aktivis mahasiswa Islam juga tidak boleh alpa dari membaca tulisan-tulisan cendikiawan penting yang telah memberikan penjelasan bernas dalam menangani konflik-konflik pertembungan pemikiran seperti Ahmad Deedat, Sheikh Yusuf Qardhawi, Tariq Ramadhan, Syed Mohamad Khatami, John Esposito, John Voll dan lain-lain. Segala konflik pemikiran janganlah diselesaikan dengan hanya mengambil perhitungan politik puak dan perkauman atau sentiman untung rugi pilihan raya semata-mata. Terokailah cara yang lebih bijak dan bertanggungjawab dengan menjuarai gelanggang-gelanggang ilmu dan pentas-pentas diskusi intelektual.

Nurul Syuhada Haji Shuib,
Timbalan Presiden 2,
Kelab Ma’ruf UIAM
(penulis juga adalah mahasiswi Kuliyah Undang-undang Ahmad Ibrahim)

Saturday, February 7, 2009

Company Law vs Kemelut di Perak

" Seseorang manusia harus cukup rendah hati untuk mengakui kesilapannya,cukup bijak untuk mengambil manfaat dari kesilapannya dan cukup berani untuk membetulkan kesilapannya "


Resah sungguh hati ini.Makin setiap saat berlalu,makin meresahkan.Saya disini dalam library UIAM yang indah yang dipenuhi dengan buku-buku,tetapi hati saya di Perak sana walaupun Perak bukanlah negeri tumpah darah saya.Didepan saya buku-buku Company Law,tetapi yang ada dalam pemikiran saya ialah analisa-analisa apa yang sedang berlaku kini,kemelut di Perak.

Pagi tadi,sekitar jam 4 pagi,suami tersayang,bangun saja dari tidur,sambil-sambil dia membancuh air milo kegemarannya,mula bercakap tentang Perak.Analisa terbarunya tentang krisis di Perak.Mungkin inilah yang ada dalam pemikirannya sebelum dia tido semalam.Bangun saja,bercakap tentang Perak.Saya terkebil-kebil dengan mata yang baru saja terbuka,cuba memahami apa yang ingin disampaikannya.Mendengar dengan teliti,walau mungkin otak saya tak begitu hidup sepenuhnya lagi untuk turut menganalisis,menyebabkan tiada sepatah respon yang mampu diungkapkan,melainkan sekuntum senyuman baru bangun tidur.

Dalam keadaan yang genting seperti ini,semua perlu tenang dan jangan terlalu emosional.Terima apa yang berlaku buat masa ini,yakin hikmah yang pasti ada.Dari kejauhan saya meneliti gambar-gambar Ir Nizar sepanjang berdepan dengan kemelut ini nampak begitu tenang dan aman.Terpancar dari wajahnya sinar iman taqwa.Mungkin inilah "si ma hum fi wujuhihim min asari sujud".Inilah antara contoh 'figure' pemimpin yang patut dijadikan idola dan teladan pimpinan kampus kini sebagai persediaan untuk menjadi pemimpin negara masa depan.

Apa yang disebut suami saya pagi tadi,mungkin ini juga adalah strategi Najib untuk memecah belahkan Pakatan Rakyat terutamanya antara pakatan PKR dan PAS.Kalau dulu strategi 'lompat-lompat" ini pernah dicanangkan oleh DSAI,dan kini seolah-olah seperti 'senjata makan tuan',boleh membuka ruang kepada penyokong-penyokong PR yang lain terutamanya penyokong PAS menyalahkan DSAI.Tapi sebenarnya mungkin apa yang dicanangkan DSAI dulu bukanlah 'kotor' seperti ini.Mungkin Najib telah mengambil idea DSAI,merealisaikannya senyap-senyap.Banyak kemungkinan yang mungkin.Apa yang penting,jangan dibiarkan api perpecahan,tuduh menuduh,menyalahkan antara satu sama lain terus berlaku dalam pakatan rakyat,sebaliknya utamakan lah rakyat dan berdepanlah dengan musuh sebagai pakatan yang satu.

"Someone justified rule by force rather than by law"

Sebagai mahasiswa yang sepatutnya berhujah dengan hujah yang lebih intelek dan ilmiah,saya tak mampu nak meneruskan penulisan ini dek kerana sebenarnya tumpuan saya perlu lebih kepada subjek Company Law yang tinggal hanya beberapa jam saja lagi saya terpaksa menduduki satu peperiksaan.Satu subjek heavy yang memberatkan kepala.Disaat hati ini melonjak-lonjak ingin ke Perak,makin berat lah jadinya subjek ini kerana fokus yang tak mampu diberikan.

Mesti ada orang ( my hubby:-) ) akan komen kerana entry saya kali ini berunsur luahan perasaan,personal dan kurang idealisme nya.Mesti saya akan dikritik.Tapi tak mengapa,kali ini saya luahkan juga kerana dia pun takde disisi untuk sesi luahan.Moga Allah mudahkan urusan program "Ust Syaari" di Masjid Wilayah.Mesti hati dia pun melonjak-lonjak juga ingin ke Perak.Moga Allah mudahkan urusan saya menjawab exam Company Law mlm ni.Dan moga Allah kembalikan pemerintahan kerajaan Perak kepada mereka yang lebih berhak dan bertaqwa untuk memimpin.Hanya Allah yang lebih mengetahui masanya.Rabbi Yassir..

Monday, February 2, 2009

Red Cliff 2 : Menyingkap Karakter Kepimpinan

Berkongsi minat yang sama dengan suami - suka menonton filem-filem aksi dan kisah perang - menjadikan hidup saya setelah berumah tangga ini semakin menarik dan seronok. Di sebalik kesibukan pengajian dan perjuangan yang menjadikan masa 24 jam sehari tak cukup untuk penuhi semua aktiviti-aktiviti ini, kami cuba mengoptimumkan masa bersama yang ada antaranya dengan sama-sama menonton cerita-cerita filem yang menarik yang mempunyai ‘khibrah’, pengajarannya yang tersendiri yang sukar didapati dengan cara-cara lain. "A picture can tell a thousand words”.
Baru-baru ni, kesempatan menonton filem terbaru arahan John Woo, Red Cliff II merakamkan satu lagi episod manis dalam kehidupan bahtera perjuangan Baitul Muslim kami. Kira-kira 3 bulan yang lepas, saya telah menonton Red Cliff 1 yang sememangnya telah membuat saya cukup teruja dengan jalan ceritanya yang dipenuhi dengan pelbagai strategi perang yang halus, aksi-aksi peperangan yang mendebarkan, motivasi dan disiplin ketenteraan yang mengkagumkan serta pelakon-pelakon hebat yang berjaya membawa watak mereka dengan baik. Namun, Red Cliff tergantung jalan ceritanya di akhir filem tersebut kerana ada sambungan. 23 Januari yang lalu, muncullah kembali Red Cliff II.
Malangnya, ia adalah tarikh selepas selesainya pilihanraya kampus UIAM dan semua kampus, sebuah medan perang yang turut sama memerlukan strategi perang yang ampuh untuk menang. Apapun, moga ketua-ketua siasah kampus akan melihat filem ini sebelum perang PRK berulang semula tahun hadapan andaikata mereka 'malas' untuk membaca "The Art of War" dan andaikata benar kita mahu menguasai kampus utama seluruh Malaysia, bukan lagi hanya bergantungharap pada UIAM dan UM, apatah lagi dengan strategi yang lama, propaganda dan saraf yang stereotaip dan tiada yang bersifat "killer".

Filem Epik ini yang mengisahkan tentang peperangan antara 3 negara ( Three Kingdom) dalam Dinasti Han China ini, pada pandangan saya mempunyai 1001 pengajaran yang boleh diambil terutamanya bagi mereka yang ingin mencabar daya kekuatan pemikiran strategis. Selesai filem ini kami tonton, bermulalah siri-siri brainstorming antara kami membedah setiap inci dari filem ini, mengeluarkan pelbagai pengajaran yang boleh diambil dengan melihat dari pelbagai angle yang berbeza.

Setelah itu, kami berlumba-lumba ingin berkongsi pengalaman dan pengajaran berharga ini melalui posting entry diblog masing-masing;-). Setelah syura dijalankan,kami bersetuju untuk masing-masing mengulas dari angle yang berbeza. Saya akan mengulas dari sudut kehebatan filem ini berdasarkan watak-watak utama yang diketengahkan sebagai pengajaran untuk para pimpinan kampus khususnya dalam mengatur strategi dakwah dan politik memenangkan Islam.

Pertamanya, lihat karakter Perdana Menteri Cao Cao, apa yang positif dari beliau adalah beliau seorang pemimpin yang mampu menjadi pembakar semangat perang yang hebat. Ini boleh dilihat ketika dia meyakinkan ribuan tenteranya yang terkena penyakit sehingga kesemua tentera yang sakit mampu mengangkat semula senjata untuk berperang bersama Cao Cao. Air mata buaya terhebat sepanjang sejarang China, namun itulah kekuatan seorang pimpinan apabila ahli-ahli bawahannya mengalami 'sindrom down' dalam gerak kerja.

Lihat pula karakter Raja Liu Bei. Seorang raja yang arif, sabar, tawadhu', sederhana dan pendiam. Lebih mempercayai tindakan praktikal sebagai gambaran keintelektualannya berbanding hanya banyak berkata-kata. Ketika dia menghentikan pakatan dengan Zhou Yu, semua panglima membenci dan memakinya dari Jenderal Guan Yu, Zhang Fei, dan Zhao Yun . Dia menanggapinya dengan tenang dengan berkata “kalian sudah lama mengenal saya, maka tidak ada yang harus kalian ragukan.” Di akhir filem, ternyata ini hanya taktik perangnya saja untuk mengelabui Cao Cao.

Lihat pula Zhou Yu, seorang panglima perang yang selalu bersandarkan pada perhitungan taktikal. Dalam melakukan sebuah tindakan, dia selalu mendahulukan rasional taktik yang tinggi,. Namun, apa yang lebih hebat, beliau memberikan contoh terbaik seorang pemimpin yang selalu terbuka menerima dan percaya dengan kebijakan analisa orang bawahannya. Karakter pemimpinnya adalah selalu memberikan kepercayaan penuh terhadap orang yang dia percayai. Beliau juga mampu membahagi-bahagikan kerja dan posisi perang dengan cermat dan cemerlang.

Manakala Zhu Liang adalah idola saya dalam filem ini. Sejarah negeri China tidak pernah terlepas dengan mastermind perang ini. Beliau seorang yang percaya bahwa alam menentukan kelangsungan hidup manusia di semua bidang termasuk strategi perang. Sejak dari Red Cliff I lagi beliau telah memainkan peranan penting dalam aspek diplomasi juga.Beliaulah insan yang berjaya memujuk Zhou Yu untuk bergabung dengan Liu Bei dalam menghadapi peperangan dengan tentera Cao Coa.

Ketika pasukan Wu kurang panah, dia begitu yakinnya akan mendapatkan 10 ribu panah dalam masa 3 hari. Ternyata dia memanfaatkan cuaca kabus untuk memimpin armada yang penuh dengan jerami lantas mendekati perkhemahan armada angkatan laut Cao Cao. Kejayaan menimbulan suasana panik di pihak musuh, akhirnya tentera pertahanan Cao Cao menghujani armada Zhu Liang dengan serangan panah. Jelas, 10 ribu panah melekat di armada perahu mereka.

Selain itu, kesemua tokoh-tokoh penting dalam Red Clif ini jelas menunjukkan bahawa seorang pemimpin gerakan itu tidak berguna jika hanya mampu orator yang hebat, tapi mereka juga mestilah tidak lembap dan lekang dari pemikiran strategik dan seni memimpin yang luar biasa.

Setakat itu sahaja tulisan saya untuk sementara waktu ini. Sebelum berpisah, tahukah anda apakah punca utama di sebalik berlakunya perang besar dalam sejarah China ini ? Dan tahukah anda siapakah yang paling banyak membantu di sebalik kejayaan Zhou Yu dan Zhu Liang menumpaskan tentera gergasi Cao Cao ? Nantikan tulisan kedua saya sekejap lagi mengenai "gerakan muslimat" di sebalik tabir Red Cliff 2.

Jangan lupa layari pandangan lebih strategik dan dari sudut lain yang dianalisa oleh suami saya di blognya.