Sunday, November 2, 2008

Aku akan ke sana....


Aku cepat-cepat menempah katil pilihan hatiku.Kalau lambat,nanti tak dapat katil yang aku nak.Lalu aku letak semua barang-barang aku atas katil.

Memang keadaan yang biasa macam ni setiap kali bermula penggal persekolahan yang baru.Selepas selesai sesi pendaftaran asrama,masing-masing akan cepat-cepat naik ke dorm masing-masing untuk memilih katil pilihan.Ada yang mahukan katil atas,ada yang mahukan katil bawah.Siapa cepat,dia dapat.

Aku macam biasa kali ni,dapat dorm yang sama lagi.Dorm E-24 di Blok E Asrama Puteri KISAS.Sedang aku sibuk mengemas barang-barang aku,tiba-tiba datang seseorang menghampiri aku.Susuk tubuh yang amat aku kenali.Raut wajah yang amat aku rindui.


“Hang dah tak ingat kat aku ka?Tak tempah katil untuk aku pun”,katanya dengan nada sedih.Raut wajahnya juga sedih dan sayu..Kemudian,semuanya hilang…


Ya Allah,inilah mimpiku semalam yang hingga kini masih segar dalam ingatanku.Mana mungkin aku dapat melupakannya dengan mudah.Insan yang datang menyapa ku dalam mimpi tersebut adalah Arwah Siti Sopuriah bt Abd Hamid,sahabat baik dunia akhiratku yang telah kembali ke Rahmatullah 4 tahun lalu pada tanggal 04 Febuari 2004.Tarikh yang sama perkenalan kami,2tahun sebelumya,04 Febuari 2002 kami mula berkenalan ketika sama-sama masuk mendaftar di Tingkatan 4 di Kolej Islam Sultan Alam Shah,bumi waqafan tercinta.Beliau meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di kampungnya sejurus selepas seminggu kami balik dari satu program di Kuala Lumpur setelah tamat peperiksaan SPM di KISAS.


Siti,teman yang terlalu baik buatku.Teman yang dua tahun sebilik,sekatil denganku.Yang berkongsi suka duka,segalanya denganku.Malah antara orang penting yang telah memperkenalkan aku dengan perjuangan Islam yang indah ini.Apa lagi yang mampu aku coretkan untuk menggambarkan betapa berharganya dia buatku.Malah,kami juga pernah berniat sama-sama untuk meneruskan perjuangan di Tingkatan 6,STAY di KISAS.


Namun,takdir mengatasi segalanya.Allah lebih menyayangi Siti lebih dari aku menyayanginya.Pemergiannya yang mengejut,amat sangat menyentap hatiku.Malah mudah benar emosiku terganggu bila mengenangkan yang pagi sebelum dia meniggal,dia mengejutku untuk qiam bersama-sama.4 jam kemudian,aku mendapat berita kematiannya.Apalah daya ketahanan emosiku ketika itu untuk menerima semua ini.


Hampir 4 tahun semua itu telah berlalu.Namun hingga saat ini,gambaran tubuhnya dalam kain kafan,wajahnya yang bersih ketika itu masih lagi segar dalam ingatanku.


Mimpiku semalam mengingatku kembali pada Siti.Amat sangat aku merinduinya.Amat sangat aku rindu untuk bercakap,menyentuh dan memeluk Siti.

Mimpiku semalam juga merupakan peringatan buatku yang sering alpa.Yang mungkin sudah lama tidak menyedekahkan Al-Fatihah,bacaan Yaasin buat sahabatku ini.

Mimpiku semalam juga mengingatkan aku yang Siti sudah ke sana,sampai masanya aku juga akan ke sana.Cuma masanya aku tak pasti.Mungkin sudah dekat,Siti datang mengingatkan aku…

Aku sibuk melakukan pelbagai persediaan.Janganlah diri ini lupa untuk melakukan persediaan untuk pergi ke sana.Setiap insan akan merasainya.Setiap insan pasti ke sana..Aku jua akan ke sana...Ya Allah....



Al-Fatihah buat sahabatku,Siti Sopuriah...(kiri sekali..)